Bab 4

Romance Series 39307

BUKAN main lebar lagi senyuman yang terukir pada wajah Datin Maherah yang sedang berdiri di muka pintu melihat kedatangan menantunya.

"Ha, sampai pun! Ingatkan Risha tak jadi datang tadi," kata Datin Maherah sebelum dia menarik tubuh Erisha ke dalam pelukannya dan saling melagakan pipi. "Cantiknya menantu mama," pujinya sambil memandang Erisha dari atas sampai ke bawah yang memakai baju kurung moden warna peach yang dipadankan dengan tudung bawal dengan warna yang sama setelah pelukan terlerai. Jauh sekali perbezaan penampilan menantunya itu berbanding dengan Edrina yang berpakaian lebih terdedah.

Erisha langsung tersipu-sipu malu mendengarkan pujian wanita itu. "Biasa-biasa je, mama. Mama tu yang cantik."

"Kita sama-sama cantik," balas Datin Maherah disusuli dengan tawa kecil. "Eh, jomlah masuk! Mama sedih dah tadi ingat Risha tak datang tau." Tangan Erisha lantas ditarik menuju ke ruang tamu.

"Risha hantar kawan balik ke rumah sewa dulu tadi. Sebab tu lambat," jelas Erisha dengan sengihan sambil jalan beriringan dengan wanita berusia separuh abad yang masih kelihatan cantik dan anggun itu. Dalam hati, dia berasa kagum melihat suasana di dalam rumah banglo mewah yang dihiasi dengan hiasan dan perabot mahal itu.

"Selamat datang menantu papa," ucap Datuk Fazli dengan begitu mesra sekali sambil menghulurkan tangannya sebaik sahaja Erisha tiba di depannya.

Dalam kejanggalan yang Erisha rasakan, sempat lagi dia rasa teragak-agak sebelum dia menyambut huluran tangan lelaki yang masih segak dan kacak itu walaupun kepala sudah dipenuhi uban. Dia hampir terlupa bahawa hubungannya dengan lelaki itu kini adalah sama seperti ayah kandungnya sendiri.

"Errr, terima kasih, papa."

"Mari sini, duduk dekat mama," pelawa Datin Maherah sambil menepuk tempat duduk di sebelahnya, lalu dia menuangkan air ke dalam cawan.

Erisha terus melabuhkan punggungnya di sebelah Datin Maherah. Gerak-gerinya terlihat kaku. Dia duduk tegak dengan kedua-dua tangan diletakkan di atas riba. Janggal.

"Macam mana dengan study?" soal Datuk Fazli membuka topik.

"Alhamdulillah, okey je, pa," jawab Erisha sambil berusaha memaniskan senyumannya untuk menutup kejanggalannya. "Ada dua minggu je lagi sebelum exam."

"Last semester dah, kan?"

Laju Erisha mengangguk. "Ya, pa. Last semester dah."

"Dah habis belajar nanti, apa plan Risha?"

Aku nak lari daripada semua orang! Aku nak pergi jauh dari sini! Laju Erisha menjawab, namun kata-kata itu hanya bergema dalam hati sahaja. "Ermm, belum ada plan lagi. Lepas habis belajar, Risha ingat nak rehat dulu sebelum mula praktikal. Masa praktikal nanti, baru plan hala tuju."

"Daripada penat-penat fikir nak kerja kat mana nanti, baik Risha kerja dengan papa je," cadang Datin Maherah.

Laju Erisha memandang ibu mentuanya. Dia terdiam buat beberapa saat sebelum dia tersengih, tidak tahu hendak menjawab apa, walaupun suara hatinya menjerit membantah cadangan wanita itu.

"Sebab tulah papa tanya tadi. Kalau Risha tak nak kerja dengan papa, dengan Zaq pun boleh," kata Datuk Fazli sebelum dia menghirup air di cawannya.

Spontan Erisha melihat di sekeliling ruangan yang luas itu mencari kelibat manusia yang disebut namanya tadi.

"Risha cari Zaq ke? Zaq ada kat atas tu, sekejap lagi dia turunlah tu. Mama dah suruh Acik Yah pergi panggil," kata Datin Maherah seolah-olah dapat membaca fikiran menantunya.

"Eh, tak! Risha tak cari dia," nafi Erisha. "Cuma, Risha perasan rumah ni sunyi. Ada berapa orang tinggal dalam rumah ni, ma?" soalnya sengaja mengalihkan topik.

Datin Maherah melepaskan keluhan halus, namun bibirnya kekal tersenyum. "Ada empat orang je tinggal dalam rumah ni sekarang, termasuk Acik Yah. Dulu enam orang."

Dia, mama, papa, Acik Yah... Erisha mengira dalam hati. "Dua orang lagi pergi mana?"

Datin Maherah menunduk buat beberapa saat sambil menarik nafas dalam-dalam sebelum dia memandang semula wajah menantunya. "Dua orang tu dah arwah dah. Zaq ada tiga beradik. Tapi, adik dia dua orang meninggal dalam kemalangan jalan raya tujuh tahun lepas. Dua-dua perempuan, kembar. Kalau dia orang masih ada sekarang, mesti dah dewasa macam Risha. Dia orang accident dalam perjalanan nak pergi ambil sijil SPM kat sekolah."

Erisha serta-merta dihurung dengan perasaan serba salah. Tangan Datin Maherah langsung diraih, lalu digenggam erat. "Risha... Risha minta maaf, ma. Risha tak sengaja nak..."

"Takpa, tak perlu minta maaf pun. Risha perlu tahu juga kisah keluarga. Risha dah jadi sebahagian daripada keluarga mama, kan?" pintas Datin Maherah dengan senyuman sambil menepuk-nepuk lembut tangan Erisha. "Lagipun, mama dah lama reda dengan takdir yang mama kehilangan dua orang anak sekali gus."

Erisha mengangguk kecil, namun dia tetap berasa serba salah kerana telah membuatkan hal menyedihkan itu terungkit.

"Eh! minumlah air Risha tu. Tu, sedap cucur udang Acik Yah buat," kata Datin Maherah sambil menuding ke arah cawan dan pinggan di depan mereka, cuba menceriakan semula suasana.

Cepat-cepat Erisha mencapai cawan di depannya dan menghirup perlahan air yang sudah suam sambil menunduk.

"Risha ada apa-apa nak buat ke hujung minggu ni?"

Laju Erisha mengangkat wajah memandang Datin Maherah. "Hujung minggu ni? Erm..." Bola matanya bergerak-gerak laju memikirkan alasan seolah-olah dapat mengagak mungkin mentuanya itu mahu berjumpa dengannya lagi. "Hujung minggu ni, Risha..."

"Kalau Risha free, mama nak bawa Risha keluar," lanjut Datin Maherah sebelum sempat Erisha menjawab.

Erisha membungkam buat seketika. Melihat riak muka berharap wanita itu membuatkan dia tidak sampai hati untuk menolak, tetapi dalam masa yang sama, dia tidak mahu terlalu rapat dengan keluarga barunya, kerana dia tahu ada orang yang tidak mengalu-alukan kehadirannya dalam keluarga itu.

"Sebenarnya Risha dah janji dengan kawan nak siapkan semua assignment hujung minggu ni. Tapi, erm... kalau Risha free, nanti Risha bagitahu mama, ya? Tapi, Risha tak berani janji tau," ujarnya sambil tersenyum. Dia fikir, itu sahaja cara paling sopan untuk menolak pelawaan wanita itu secara halus.

Datin Maherah mengangguk dan turut tersenyum, lalu mereka terus berbual. Sedang asyik berbual, suara Acik Yah bercakap dengan seseorang membuatkan semua orang yang berada di ruang tamu itu menoleh.

"Haa, turun pun! Dari tadi orang tunggu!" sembur Datin Maherah.

Zaq Zaeden menoleh. Riak wajahnya yang tenang tadi langsung berubah tegang saat anak matanya tertangkap sosok tubuh wanita yang sedang duduk di sebelah ibunya. Lantas, dia mengorak langkah menghampiri mereka di ruang tamu, lalu dia duduk bertentangan dengan Erisha. Namun, dia tidak memandang langsung wajah isterinya. Dia berlagak seperti wanita itu tidak wujud di situ.

Erisha menelan liur. Bukan kerana takut, tetapi kerana perasaan tidak selesa. Jiwanya meronta-ronta hendak melarikan diri dari tempat itu pada saat ini juga.

"Risha, suka kuih ketayap tak?" soal Datin Maherah membuka topik perbualan baru.

“Suka. Kuih tu sedap. Terasa lemak santan dia. Inti kelapa tu pun manis-manis gitu," jawab Erisha sambil cuba tersenyum walau hati sedang bergelora.

"Risha pandai buat?"

Erisha mengangguk. "Pandai, senang je nak buat."

"Haa, kalau macam tu, nanti Risha datang sini lagi, buatkan untuk mama boleh? Mesti sedap Risha buat, kan? Boleh Risha terus ajar mama resipi kuih tu nanti."

Spontan Erisha mengetap bibir. Aduh! Menyesal aku cakap pandai tadi! getus hatinya.

"Tak payah susah-susah suruh orang, ma. Beli je kat luar tu. Senang," celah Zaq Zaeden dengan nada dan riak dingin.

Datin Maherah memandang suaminya sekilas sebelum dia memandang semula wajah anak lelakinya. "Apa masalahnya kalau mama nak rasa air tangan menantu mama? Tak salah, kan?"

Zaq Zaeden pura-pura tidak dengar. Dia memandang Datuk Fazli dan membuka topik perbualan mengenai bisnes dengan lelaki itu. Manakala, Datin Maherah menyambung semula perbualannya dengan Erisha.

Setelah hampir setengah jam sesi makan kuih sambil berpura-pura tenang, Erisha tiba-tiba menyentuh tangan ibu mentuanya.

"Err... kat mana tandas, ma?"

"Ikut laluan dapur tu, kat hujung belah kanan."

"Okey. Erm, Risha pergi ke tandas sekejap, ya?" kata Erisha seraya berdiri dan terus melangkah menuju ke arah yang diberitahu tadi.

- - - -

SELESAI urusan ‘pelaburan’, Erisha keluar dari tandas dengan perasaan lega. Tetapi, langkahnya serta-merta terhenti saat dia terpandang seseorang yang sedang berdiri bersandar dan berpeluk tubuh di dinding yang memisahkan dapur dan ruang tengah.

Erisha menarik nafas dalam-dalam. Dia sebenarnya terkejut, tetapi dia cepat-cepat berlagak tenang seraya meneruskan semula langkahnya. Namun, ketika dia hendak melepasi 'penghadang' itu, tangannya tiba-tiba ditarik kasar.

"Eh, budak! Kau tak payah buat-buat mesra nak ambil hati mama dan papa aku, ya! Dah cukup aku tengok drama korang adik-beradik! Menyampah aku tengok! Kau dan kakak kau sama je! Pandai buat drama!" sembur Zaq Zaeden dengan suara yang ditekan bersama pandangan yang tajam menikam.

"Drama?" Erisha mendecit sinis. "Aku tak ada masa nak berdramalah, Encik Beku! Kau ingat aku nak datang sini ke bila fikir aku akan hadap muka besi yang baru keluar dari freezer kalau bukan sebab mama kau yang beria desak aku?" balasnya sambil memusingkan bola mata.

"Kau jangan nak biadab dengan aku eh, budak! " bentak Zaq Zaeden sambil melangkah setapak untuk merapatkan kedudukan mereka. "Aku pantang budak beraku kau dengan aku! Lebih-lebih lagi kau!" lanjutnya sambil menghalakan jari telunjuknya tepat di depan hidung Erisha. "Kau dengar sini baik-baik, kau jangan fikir yang kalau kau dapat tempat di hati mama dan papa aku, kau akan dapat tempat di hati aku juga! Perkara tu takkan berlaku, faham!"

Bukannya takut, Erisha malah membalas tatapan tajam lelaki itu sambil tersenyum nipis. "Saya minta maaf ya, pak cik. Lepas ni, saya tak guna perkataan aku kau kat pak cik lagi, okey?"

Usai bercakap, Erisha segera mengayun langkah hendak pergi dari situ, namun baru selangkah dia berjalan, tiba-tiba dia berhenti dan memandang suaminya semula.

"Oh, ya! Erm, pasal nak ambil hati tadi tu kan... Saya datang sini sebab mama awak yang desak ajak saya minum petang, bukan sebab saya nak cari kasih sayang. FYI, saya tak terfikir langsung nak ambil hati mama dan papa awak, apalagi nak ambil hati awak. Jangan risau, sebab saya memang tak sudi pun. So, jangan overthinking ya, pak cik?"

Tanpa menunggu balasan, Erisha segera melangkah meninggalkan Zaq Zaeden yang kelihatan tergamam dengan mata membulat. Terkejut dengan serangan balas wanita yang nampaknya tidak mudah untuk dia 'buli' itu.

Zaq Zaeden menggenggam erat penumbuknya. Rahangnya diketap kuat sambil memicingkan mata memerhati isterinya yang semakin menjauh. "Budak ni, kan!" gumamnya geram.

Dia benar-benar tidak menyangka dan tidak menjangka Erisha akan melawan begitu. Satu demi satu kata-kata wanita itu tadi terngiang-ngiang semula dalam kepalanya. Nada selamba. Muka tidak bersalah, tetapi setiap kata-katanya seperti peluru yang menyasar tepat ke tembok keegoannya yang selama ini tidak pernah dicabar oleh sesiapa.

“Jangan overthinking, pak cik...” Zaq Zaeden mengulang kata-kata itu dengan suara bergetar menahan marah. "Pak Cik?" Jari telunjuknya dihalakan ke mukanya sendiri dengan muka tidak percaya. "Cis!"

Kenyataannya, dia bukanlah jenis lelaki yang sukakan wanita lemah lembut yang mudah mengalah dan lembik. Tetapi, dia juga benci perempuan yang melawan tidak kena gaya. Namun, sikap sengal jenis 'berani mati' yang dia lihat pada Erisha membuatkan dia berasa benar-benar tercabar.

Zaq Zaeden menghela nafas panjang sebelum dia mengatur langkah menuju ke ruang tamu dengan satu tekad. Kalau kau nak main perang psikologi, aku akan pastikan aku menang. Aku akan pastikan kau menyesal sampai bila-bila sebab setuju jadi isteri aku! Aku akan buat kau melutut, merayu dengan aku!

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience