Bab 3

Romance Series 19217

TAHUN demi tahun berlalu, Izreen jalani semuanya dengan sangat baik. Hidup berjauhan daripada seorang suami langsung tidak memberi kesan apa-apa buat dirinya. Malah dia seringkali terlupa yang dirinya itu adalah isteri orang. Hanya akan teringat setiap kali dia mendapat notifikasi yang Zakwan telah memindahkan sejumlah wang nafkah buatnya dan Nurin sahaja.

Entah apa khabarlah suami tuanya di sana? Telefon tak pernah, mesej pun tak pernah tetapi Izreen yakin suaminya sentiasa dalam keadaan yang baik-baik sahaja.

Izreen kini sudah pun menjadi seorang guru. Kerjaya itulah yang dia idam-idamkan sejak kecil. Walau tanpa ibu dan ayah di sisi, tetapi semua itu bukanlah satu penghalang buat Izreen. Dia sudah terbiasa hidup sendiri. Bukan tak ada orang tua, tetapi kedua-duanya saling menjalani hidup sendiri setelah bercerai 15 tahun yang lepas. Malah, masing-masing sudah pun memiliki keluarga baharu. Mereka bahagia, dan Izreen sendiri pun reda. Lalu hanya kepada Puan Ameena sahajalah tempat Izreen menumpang kasih. Kerana simpati dan terhutang budi jugalah membuat Izreen bersetuju untuk menerima pinangan Puan Ameena tiga tahun dulu meski tidak pernah kenal langsung siapa Zakwan yang selalu wanita tua itu ceritakan. Yang Izreen tahu, Zakwan adalah seorang doktor pakar. Pernah mendirikan rumah tangga tetapi gagal dek kecurangan isteri dan Nurin pula adalah anak hasil daripada perkahwinan pertamanya itu.

Haaa... bercakap pasal Nurin, anak comel itu kini sudahpun berusia 9 tahun. Comel, petah kalau bercakap. Kasihan Nurin, kecil-kecil lagi sudah ditinggal ibu dan ayah. Nasibnya serupa benar dengan Izreen. Oleh kerana rasa simpati dan tanggungjawab jugalah membuat Izreen bertekad untuk menjaga Nurin. Nurin tidak lagi dijaga oleh pengasuhnya tetapi telah dibawa tinggal bersama Izreen sendiri.

Walaupun anak lincah itu bukan darah dagingnya, tetapi Izreen tetap mengasuh Nurin tak ubah seperti anak kandungnya sendiri. Nurin diberi didikan dan kasih sayang yang mencukupi, bahkan anak kecil itu lebih memilih untuk tinggal bersama Izreen berbanding keluarga kandungnya sendiri. Mujurlah rumah mereka hanya sebelah-menyebelah. Masa rindu, adalah muka Puan Ameena dengan Encik Zaim datang menjenguk.

"Nurin, cepat sikit! Nanti lambat pula sampai sekolah." Dari arah dapur, Izreen melaung nama anak tirinya. Dia sibuk menyiapkan sarapan termasuklah bekal untuk Nurin. Bangun seawal jam 4.00 pagi, Izreen sudah terbiasa benar kerana dia sentiasa mahu memastikan kebajikan dirinya dan Nurin sentiasa teratur dengan baik. Dididik dengan penuh perasaan kasih dan sayang, kerana itu jugalah diri Izreen amat disayangi oleh Nurin.

"Ibu."

Muncul Nurin menayang senyuman comelnya sebelum memeluk tubuh Izreen sekejap. Mahu ambil aura positif dan kekuatan daripada ibu tirinya itu. Muka Izreen memang nampak lemah dan manja, tetapi hakikatnya tidak. Wanita itu sangat kuat dan tabah menjalani setiap hari-harinya.

"Hmmm, anak ibu dah siap dah?" tanya Izreen sambil tersenyum.

Memang sudah menjadi kebiasaan Nurin memeluknya setiap pagi, sebelum pergi dan balik sekolah juga sebelum beradu malam. Manja sungguh!

"Dah." Sepatah disahut. Puas memeluk, Nurin terus bergerak ke arah meja makan.

"Hari ni bekal bihun goreng dan ayam goreng. Jangan lupa habiskan biar tak lapar," kata Izreen. Bekas makanan yang sudah siap tersedia lantas dimasukkan ke dalam beg kertas.

"Hari ni siapa ambil Nurin balik sekolah?"

"Ibu. Atuk sibuk, lagipun ibu free sikit minggu ni."

Senyuman Nurin kembali terkoyak lebar kerana memang itulah yang dia mahukan. Dia lebih suka dijemput oleh Izreen berbanding dengan datuknya itu sendiri.
"Boleh tak balik nanti kita singgah kedai buku kejap, ibu?" tanya Nurin. Terkebil-kebil manja matanya memerhatikan pergerakan Izreen yang sedang melangkah mendekatinya.

"Nurin nak beli apa?"

"Nak beli buku nota yang macam Rina punya tu. Ada gambar princess depan belakang," ujar Nurin dengan bersemangat.

"Bolehlah, lagipun ibu pun ada barang nak dibeli." Izreen terangguk-angguk sambil ikutan tersenyum sendiri. Sambil membawa Nurin membeli apa dimahukan, sambil-sambil itu juga bolehlah dia mencari novel romantik yang ada dijual di sana nanti.

"Yes!" Nurin bersorak senang, menayang muka lebih bersemangat daripada tadi.

Jarang Izreen berkata tidak terhadap kemahuan Nurin. Selagi tidak melarat ke lain, apa sahaja yang diminta oleh anak kecil itu akan Izreen tunaikan dengan baik.
Menjadi seorang ibu tiri di usia muda, bukanlah satu beban untuk Izreen. Dia reda menerima semua itu dan Izreen selalu percaya bahawa aturan takdir itu indah buat dirinya.


* * *

BUTANG love disentuh, diberi juga lima emoji love pada ruangan komen. Bibir Zakwan tak sudah mengukir senyum saat melihat status terbaharu isterinya di laman Instagram. Hanya dengan emoji itu sahajalah dia berani memberi komen kerana jika mahu menaip menggunakan huruf-huruf, dia segan. Bimbang jika Izreen akan malu mengaku siapa dirinya yang hampir senja itu.

"Hei."

Zakwan toleh saat bahunya ditepuk lembut dari arah belakang. Wajah Hakim muncul lalu selamba saja lelaki itu melabuhkan punggung di sisinya.

"Nurin ke tu?" tanya Hakim, menilik ke arah skrin telefon yang berada dalam pegangan Zakwan.

"Haah, Nurin dengan... wife I." Tersipu-sipu Zakwan mengangguk tetapi senyumannya ketika itu jelas terlihat bangga dan miang. Siapa tak bangga ada isteri secantik dan semuda Izreen. Nampak seksi dan menggoda je aura wanita itu pada pandangan Zakwan walaupun penampilan tertutup sempurna sedari atas sehingga ke bawah.

"Wife? Oh, jadi inilah Izreen?" Hakim angguk melopong lalu dengan selamba merampas telefon bimbit daripada pegangan Zakwan. Wajah comel Nurin ditatap tapi hanya sekejap kerana matanya lebih tertarik meniliki wajah seorang wanita muda yang sedang duduk di sisi Nurin. "Cantiknya wife you, masih muda sangat ni. Bertuah you, Zak."

Semakin meleret panjanglah senyuman Zakwan ketika ada yang memuji isterinya. Pura-pura berdeham, pura-pura juga menggaru kepala. "Ya, dia memang cantik. Tapi... I tak tahu macam mana penerimaan mereka masa I balik Malaysia Sabtu ni." Wajah Zakwan mengendur sayu.

"Kenapa pula?" soal Hakim. Jarang dia melihat riak Zakwan yang seperti itu dan jujur, matanya tak biasa melihat. Zakwan yang dia kenal selalu sahaja bersikap ceria dan beraura positif walau sesulit apapun keadaan.

"Sekali pun I tak pernah call mereka tanya khabar. Cuma mampu macam ni je lah, tengok perkembangan mereka berdua kat IG."

"Seriuslah? You follow dia, dia ada follow you tak?" tanya Hakim, penasaran.

"Mestilah ada, cuma... "

"Jom, kita ambil gambar. Lepas tu you post kat IG, tengok dia ada komen ke tak?" Bukan main bersemangat lagi Hakim, menatal telefon bimbit milik sahabatnya itu sebelum diangkat meninggi.

"Eh, janganlah!" Laju Zakwan menegah, terlihat kalut benar tingkahnya ketika itu. Dia belum bersedia lagi menayangkan wajahnya yang terkini kepada Izreen. Kumis merata mencemari muka, kulit wajah pula sudah pasti berminyak kerana dia belum lagi sempat mandi setelah habis jam bekerja tadi. Nanti apa pula tanggapan Izreen? Mesti wanita cantik itu akan geli melihat atau malu mahu mengaku siapa dirinya.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience