RAYQAL sedang menghancurkan ikan salmon di atas papan pemotong dengan pisau yang dipegangnya ketika ini. Belum hilang lagi rasa amarahnya. Dan dia juga tidak dapat melupakan kejadian yang berlaku petang tadi.
Bodohnya! Macam manalah aku boleh jumpa dia balik ni! Tapi kenapa jumpa balik dalam keadaan tak sepatutnya? Patutnya, jumpalah time aku tengah drive dalam keadaan macho ke, pakai rayban hitam ke? Ni jumpa, time aku langgar traffic light? Dah tu, aku boleh kena saman pula? Lepas tu dia perli, kata aku nak sembelih ayam kambing? Tumbuk cili? Memang dasar minah gila!
Bunyi pisau pada papan pemotong semakin kuat. Habis hancur isi ikan salmon dikerjakannya. Ibarat dia sedang menghancurkan Rania. Beberapa orang tukang masak yang ada di dalam dapur itu, sedang memerhatikan Rayqal dari tadi. Tetapi masing-masing tidak berani untuk bersuara.
“Chef Ray. Chef,” panggil Chef Safuan.
Rayqal masih tidak sedar, saat namanya di panggil.
“Chef Ray!” Chef Safuan bersuara kuat.
Rayqal tersentak apabila namanya dipanggil. “ Ha? Apa?”
“Chef, er... salmon tu dah hancur chef. Dah tak ada rupa ikan lagi dah.” Chef Safuan menunjukkan salmon yang sudah hancur dikerjakan Rayqal tadi.
“Salmon? Bila masa pula saya hancurkan salmon? Kan saya hancurkan daging ni, nak buat bergedel,” ujar Rayqal.
“Tapi isi ikan salmon colour oren chef. Memang itu salmon. Mana ada daging colour oren.”
Rayqal perlahan-lahan memandang papan pemotong. Dia benar-benar terkejut melihat keadaan ikan tersebut. Dahi ditepuk.
Isy! Ni semua salah minah gila tu. Tak pasal-pasal salmon aku ni hancur. Isi ikan salmon yang hancur, terus sahaja dibuang ke dalam tong sampah. Dia langsung tidak ada rasa ingin memasak lagi.
“Chef okey tak ni? Saya tengok macam tak okey aje? Ada masalah ke chef? Cuba cerita dengan saya, mana tahu, saya boleh tolong chef ke?”
“Tak ada apalah. Pergilah sambung buat kerja tu. Hari ni, saya ingat nak balik awal. Tak ada mood langsung nak memasak hari ini. Kalau dah tak ada mood, bila masak pun, jadi tak sedap,” ujar Rayqal.
“Baiklah kalau dah chef cakap macam tu.” Chef Safuan hanya mengangguk sedikit.
“Oh lupa pula, macam mana dengan interview hari ini? Berapa orang chef ambil pekerja?”
“Saya dah ambil dalam sepuluh orang. Lima lelaki lima perempuan. Dua tukang masak, lapan pelayan restoran.”
Rayqal mengangguk-anggukkan kepalanya. “Kalau tak ada apa-apa lagi, saya balik dulu?”
“Baik chef, “ jawab Chef Safuan.
“Eh kejap.”
“Ada apa lagi chef?”
“Perempuan, chef ambil yang cantik ke?”
“Err... ya,” jawab Chef Safuan sambil tersengih.
“Kan saya dah cakap, saya tak nak yang cantik bekerja di sini. Nanti banyak yang nak melawa, bukannya nak bekerja. And then, yang cantik-cantik ni fake, chef tahu tak?”
Terpinga-pinga Chef Safuan ketika ini. “Tapi kenapa chef cakap macam tu? Tak akanlah dia orang datang sini nak melawa. Mestilah datang sini nak bekerja.”
“What ever. Malas dah saya nak cakap lagi. Saya betul-betul tak ada mood. Saya balik dululah.” Rayqal terus sahaja melangkah meninggalkan dapur tersebut.
KERETA yang dipandu Rayqal, tiba di pekarangan rumah teres satu tingkat miliknya. Waktu pada ketika ini, sudah pun menunjukkan pukul 8 malam. Gara-gara pertemuannya dengan Rania semula, telah membuatkan dirinya langsung tiada hati untuk memasak.
Keluar sahaja dari perut kereta, Rayqal melihat rumah sebelahnya terang benderang dengan lampu di ruang parkir. Turut kelihatan sebuah motosikal berkuasa besar di situ.
Aik? Ada penyewa baru ke? Maybe baru semalam kut orang ni pindah? Yalah, aku pun baru sampai dari Penang pagi tadi. Tapi okey juga. Ada juga jiran baru. Tak adalah aku sunyi dekat rumah hujung ni.
Pintu kereta terus ditutup. Setelah itu, dia menuju ke arah pintu pagarnya untuk dikunci. Tiba-tiba kedengaran pintu rumah sebelah dibuka. Rayqal terus berpusing, untuk menegur jiran barunya itu. Senyuman terukir di bibir.
Belum sempat mahu membuka mulut, darah sudah naik ke kepalanya. Mana tidaknya, jiran barunya itu adalah Rania! Ya Rania! Mati terus senyumannya.
Rania terkejut melihat Rayqal yang sedang merenung tajam ke arahnya. Seriously? Jiran sebelahnya ini, adalah Rayqal? Why must him?
“Hoi minah gila? Asal kau tinggal dekat sini?” tegur Rayqal kasar.
“Eh, mamat chef baru balik kerja ke?” Rania menjeling Rayqal. Dia malas mahu memandang Rayqal. Lebih baik dia membuang sampah, daripada dia melayani lelaki itu.
“Apa hal kau sewa dekat sini?” soal Rayqal lagi. Dia benar-benar tidak berpuas hati.
“So? Apa masalah kau, kalau aku sewa di sini pun? Aku bukan minta duit kau, untuk bayar sewa rumah aku ni.”
“Eh, kau pergi sewa dekat tempat lainlah. Tak payahlah nak semak dekat sini. Aku tak nak tengoklah muka kau dekat sini tiap-tiap hari.”
“Asal? Takut jatuh cinta dengan aku balik ke?” Rania memberikan satu jelingan tajam. Setelah itu, laju sahaja dia menutup pintu pagar rumahnya. Kenapalah dia perlu berjumpa dengan Rayqal semula? Kenapa?
Rayqal mengetap bibir menahan marah.
“Hoi minah gila. Kau ingat kita couple dulu, sebab aku betul-betul jatuh cinta dekat kau ke? Itu cinta monyet aje pun. Cinta main-main. Kau anggap serius, kan? Dan masa itu pun, sebab aku kesian dekat kau aje tau! Kalau tak, tak ingin akulah.”
Rania tersentak. Hatinya berasa sungguh sakit, apabila mendengar perkataan kasihan. Kenapa perlu diingatkan lagi? Rania berpusing menghadap Rayqal semula.
“Aku pun samalah! Aku pun kesian dekat kau! Budjet hotlah tu? Puih!” Pintu rumah terus dihempas kasar. Berdentum bunyi pintu rumahnya.
Bahu Rayqal terenjut. Terkejut dia mendengar Rania menghempas pintu tadi.
Macam jantan. Tutup pintu macam nak roboh. Bebelnya. Rayqal turut menghempas pintu rumahnya. Tanda dia turut tidak berpuas hati. Kenapalah dia perlu berjiran dengan Rania?
“EH, ada student baru masuklah,” ujar Mariam.
“Mana?” soal Rania.
“Tu ha,” tunjuk Mariam.
Rania terus memandang ke arah pintu kelasnya. Dia sedikit teruja melihat wajah pelajar lelaki tersebut. Wajahnya benar-benar kacak, jika hendak dibandingkan dengan pelajar yang lain.
Boleh tahan... Gumamnya.
“Okey murid-murid. Kita ada student baru masuk ke sini ya. Jadi saya nak, kamu layan dia dengan baik. Okey Rayqal, sila perkenalkan diri kamu kepada semua.”
Rayqal mengangguk. “Assalammualaikum semua. Nama saya Rayqal Bin Zainuddin. Saya sebelum ini belajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Sungai Ara, sebelum saya masuk ke sini.”
Pelajar-pelajar lain mengangguk.
Sedang dia memperkenalkan dirinya, matanya terus sahaja tertancap ke arah seorang gadis yang turut memandang ke arahnya. Jantungnya berdegup dengan kencang, saat dia melihat wajah gadis itu. Entah kenapa ada satu perasaan yang muncul dalam hatinya.
Beberapa bulan kemudian...
“Tak boleh jadi ni. Exam percubaan dan pertengahan, dia boleh dapat nombor satu? Dan aku ni? Nombor dua? Kau boleh pecaya tak?” ucap Rania dengan nada yang tidak berpuas hati.
“Sebab dia pandailah kut. Alah, kau dapat nombor dua pun, apa masalahnya?” ujar Mariam.
“Habis tu aku tak pandai ke? Mana boleh si Rayqal tu dapat nombor satu, aku pula nombor dua. Selama ni aku yang selalu dapat nombor satu. Mana boleh macam tu. Takkan selama-lamanya dia dekat nombor satu? Itu belum lagi tahun depan. Semua nombor satu dapat dekat dia aje.” Rania bercekak pinggang.
Rania benar-benar cemburu. Sangkaannya dialah yang paling pandai di dalam kelas. Tetapi ada yang lagi pandai daripadanya.
Tiga bulan kemudian...
“Saya sukakan awak,” ucap Rayqal kepada Rania. Dia tidak mahu berselindung lagi. Lebih baik dia meluahkan daripada dia memendam rasa.
Rania terpinga-pinga saat ini. Rayqal sukakannya?
“Awak... sukakan saya? Err... tapi sejak bila?”
“Ya, saya memang sukakan awak, sejak dari hari pertama saya masuk ke sekolah ini,” ujar Rayqal lagi. Ya sememangnya dia menyukai Rania sejak dari hari pertama lagi. Dan setiap kali ke sekolah pasti hatinya berbunga-bunga. Kerana tidak mahu memendam perasaan terlalu lama, akhirnya Rayqal meluahkan juga perasaannya pada gadis itu.
Dan sejak dari itu, hubungan mereka berdua mula semakin rapat. Walaupun bercinta di alam persekolahan, itu tidak membuatkan mereka mengabaikan pelajaran. Jika ada masa terluang, pasti mereka berdua akan mengulangkaji pelajaran bersama-sama.
Dan disebabkan hubungan mereka semakin rapat, Rayqal telah sengaja membiarkan Rania mendapat nombor satu di dalam kelas. Dia tahu, Rania begitu kecewa apabila mendapat nombor dua. Kerana sayang dan cinta, Rayqal sanggup lakukan apa saja. Mungkin orang akan katakan dia seorang yang bodoh, tetapi dia tidak kisah. Asalkan Rania sentiasa bahagia saat bersama dengannya.
Setahun lebih menjalinkan hubungan, akhirnya putus jua, hanya gara-gara fitnah yang ditaburkan oleh Mariam. Kerana cemburu dan tidak dapat menerima yang Rayqal dan Rania bercinta, Mariam sanggup mereka cerita.
“Ray, sebenarnya Nia tu nak pergunakan kau aje. Kau terlalu percayakan dia sangat. Kau tu memang dah pandai dalam kelas. Kenapa kau biarkan Nia tu dapat nombor satu?” ujar Mariam.
“Apa kau cakap ni? Aku tak faham. Pergunakan aku?”
“Aku ni dah lama pendam. Dan aku tak sampai hati nak ceritakan perkara sebenar pada kau. Ya, aku tahu Nia tu kawan baik aku. Tapi aku tak sokong apa yang dia dah buat pada kau.”
“Kau cakap aje, apa yang kau cuba nak cakap.” Merah padam wajah Rayqal saat ini.
“Hmm, dia cakap kau tu bodoh. And then dia cakap lagi, dia happy bila dia dapat nombor satu. Dan kau nombor dua. Jadi, dia tak perlu berlumba-lumba lagi dengan kau. Sebab kau sanggup lakukan apa saja untuk dia.”
Riak wajah Rayqal mula berubah.
“Dan dia pun ada cakap, yang dia memang tak cintakan kau pun. Sekarang ini masa untuk belajar. Dan bukannya untuk bercinta. Disebabkan dia nak sentiasa nombor satu, dia terpaksa berpura-pura cintakan kau. Hakikatnya dia selalu mengutuk pasal kau dekat aku,” jelas Mariam panjang lebar.
Hati Rayqal hancur berkecai saat mendengar penjelasan daripada Mariam. Dia benar-benar bodoh. Terlalu bodoh. Sejak kejadian itu, Rayqal mula menjauhkan diri daripada Rania, setiap kali gadis itu menghampirinya.
“Mariam, kenapa dengan Ray ya? Aku tengok dia dah lainlah. Tiap kali aku pergi dekat dia, dia mesti jauhkan diri. Bila aku tanya ada masalah ke? Dia tak jawab langsung. Aku tak fahamlah. Aku ada buat salah ke?”
Mariam mengeluh perlahan. “Sebenarnya kan, Ray cakap dia tak cintakan kau pun. Dia saje nak test kau. Nak tengok kau terima dia ke tak. Mula tu dia saje nak main-main. Dan dia pun tak expect kau betul-betul cintakan dia. Disebabkan dia takut kau feeling lebih-lebih dekat dia, terpaksalah dia layankan juga. Dan dia layan kau pun sebab kesian aje. Aku nak beritahu pada kau dah lama. Tapi aku tak sampai hati. Takut kau terluka.”
Rania terdiam. Jadi, Rayqal hanya mahu test-nya sahaja? Bodohnya dia kerana terlalu percayakan lelaki itu.
Sejak dari itu, mereka berdua mula berlumba-lumba untuk mendapat nombor satu. Pantang sahaja berjumpa di mana-mana, ada sahaja yang mahu ditengkarkan mereka. Mereka berdua bagaikan anjing dengan kucing.
Disebabkan fitnah yang disebarkan Mariam, mereka mula bermusuhan. Selepas setahun, Rayqal terus berpindah sekolah. Rania langsung tidak mendengar khabar berita daripada lelaki itu. Dan sebelum Rayqal berpindah, Rania langsung tidak bertemu dengannya. Bagi Rania, Rayqal tidak patut dimaafkan.
Mariam pula sedikit terkilan, kerana tidak meluahkan perasaannya kepada Rayqal, sehinggalah lelaki itu berpindah sekolah.
APA kabar Dinda?
Lama tak jumpa
Rasanya hampir dua purnama
Rindu di dada tak siapa yang tahu
Dinda jauh di sana, jauh di mata
Namun di hati sentiasa ada
Menemani dikala gundah gulana
Dinda kanda pergi hanya seketika cuma
Inikan semua demi masa depan kita
Dinda jangan marah-marah
Takut nanti lekas tua
Kanda setia orangnya
Takkan pernah mendua
Rayqal bernyanyi dengan begitu kuat, dan dia memang sengaja mahu membuat bising. Nasib baiklah rumahnya paling hujung. Untung-untung dengan cara ini, Rania akan berpindah dari sini. Jadi, dia tidak perlu berjumpa dengan wanita itu lagi.
Bunyi bising dari rumah sebelah telah membuatkan Rania terjaga daripada tidurnya. Terpisat-pisat Rania ketika ini. Dengan pantas dia bangun dari pembaringan.
Siapa yang buat bising tengah-tengah malam ni? Ini mesti jantan tukang masak sebelah ni.
Telefon bimbit terus dicapai dari atas meja. Dia melihat jam yang sudah menunjukkan pukul 1 pagi. Memang gila! Waktu begini mahu berbuat bising. Nombor telefon Koperal Khairul dari bahagian pusat kawalan, dihubungi.
“Helo Koperal Khairul.”
“Ya saya puan.”
“Saya nak awak hantar anggota datang ke alamat, jalan Presint 9, nombor rumah 30. Dia dah buat bising dekat sini dan mengganggu ketenteraman awam.”
“Baik puan. Saya akan hantar anggota ke sana sekarang.”
Talian dimatikan.
Kau cari pasal dengan aku ya Rayqal. Dasar mamat sengal.
Tidak sampai dalam 10 minit, kereta peronda tiba di hadapan rumah Rayqal. Kebetulan Rayqal memang tidak henti-henti menyanyi. Dua anggota polis tersebut mula memberi salam. Tetapi disebabkan lagu semakin kuat, Rayqal langsung tidak mendengar salam yang diberi dari luar.
“Macam mana ni? Makin lama makin kuat dia menyanyi. Memang betul-betul mengganggu.”
“Pasang siren.”
“Tak bising ke nanti?”
“Habis tu, ni tak bising pula menyanyi pagi-pagi buta?”
“Ha, yalah aku pergi buka.”
Anggota polis tersebut, terus membuka siren. Bergema bunyi siren di taman tersebut.
Rayqal yang khusyuk menyanyi terus melompat apabila mendengar siren di luar pagar rumahnya. Dengan pantas lagu ditutup. Dia sudah kecut perut. Sudahlah petang tadi dia disaman. Dan sekarang ini, takkan mahu ditangkap pula?
“Assalammualaikum.”
“Ha, ya waalaikummussalam,” jawab Rayqal sambil membuka pintu.
Rayqal menelan liur saat melihat dua anggota polis sedang merenung tepat ke arahnya.
“Ya tuan. Ada apa tuan?” soal Rayqal. Rayqal berpura-pura tenang. Tetapi jangan cakaplah jantungnya saat ini.
“Kamu tanya ada apa? Kami dapat aduan, yang kamu dah buat bising? Menyanyi di pagi buta, waktu orang tengah tidur. Kami datang beri salam pun kamu tak dengar?”
“Maaf tuan. Saya tak sengaja buat bising.”
“Kamu dengar sini ya, hari ini kami beri amaran. Kalau lepas ini kami terima aduan yang kamu buat bising lagi, kami takkan teragak-agak bawa kamu ke balai.”
“Ha, ya tuan. Saya minta maaf. Lepas ni saya tak buat lagi.”
“Ingat sikit jiran lain nak tidur. Duduk berjiran ni kena saling hormat-menghormati bukan ikut kepala sendiri aje.”
“Ya tuan. Saya minta maaf banyak-banyak. Lepas ni saya takkan buat lagi.” Rayqal menundukkan kepalanya tanda minta maaf.
“Baiklah kami balik dulu.”
Rayqal menghulurkan tangan untuk bersalam. Usai bersalam, anggota polis tersebut terus berlalu pergi.
Ni mesti minah gila ni yang call. Macam mana aku nak buat dia pindah dari sini?! Jerit hati kecilnya.
Pada saat ini, Rania sedang ketawa melihat Rayqal tadi. Nampak wajah lelaki itu di dalam keadaan ketakutan.
Ingatkan berani sangat. Rupanya penakut. Padan muka kau, cari pasal dengan aku lagi.
Share this novel