Bab 12

Detective Completed 54058

"DARA!"
Dara kenal suara tersebut. Suara yang kedengaran protes. Tidak berpuas hati. Cuma satu yang Dara ingin tahu. Apa tujuan dia munculkan diri ke sini lagi setelah dipindahkan ke unit lain?
"Ada apa Suraya?" Dara palingkan wajah. Dia sedia menatap raut wajah marah Suraya.
Seperti yang dijangkakan, Suraya sememangnya marah besar. Kedua belah tangan dicekak ke pinggang. Mukanya merah-merah.
"Amy mana?"
Dara silap. Kemunculan Suraya rupanya ingin bertemu dengan Amy. Bukannya dia. Itu sangat bagus.
"Amy ke tandas sekejap."
Suraya rasa pandang sekilas tempat duduk Amy yang kosong. Inilah peluang yang ditunggu-tunggu.
"Saya nak tanya awak. Sekarang file kewangan kenapa semua dah tak boleh nak akses ya? Semuanya perlukan password." Suraya tidak tunggu lama untuk bertanya.

Semalam percubaan dia untuk mengetahui keuntungan syarikat gagal bila dia perlu memasukkan password terlebih dahulu. Sebelum ini tak pernah pula begini. Semuanya boleh diakses bila-bila masa tanpa sebarang halangan.
Sempat Dara garit kening.
Apa Suraya masih punya hak untuk godam maklumat kewangan syarikat setelah dia secara rasminya berpindah ke unit lain? Atau dia diberi mandat sebagai back up jika kekurangan staff di unit kewangan? Hairan.
"Amy dan Atiya cakap Su dah ada password. Dan saya tak perlu maklum apa-apa lagi pada Su." Itu yang dipesan oleh mereka berdua kepada Dara. Pesanan tersebut disampaikan bulat-bulat kepada Suraya.
Mengetap seulas bibir Suraya. Kemungkinan besar mereka sudah dapat menghidu kegiatan dia sehingga mereka melakukan rombakkan secara besar-besaran selepas dia ditendang keluar.
Jika mereka sudah medapat tahu, pastinya Suraya sudah dipanggil dan disoal siasat? Sehingga hari ini, dia masih belum dipanggil lagi. Dan mereka tidak boleh menuduh tanpa sebarang bukti yang sah. Itu andaian Suraya.
"Tak apa. Nanti saya tanya Amy sendiri." Suraya putuskan untuk beredar sebelum Amy atau Atiya bakal munculkan diri.
Dara pandang Suraya dengan pandangan cukup hairan. Dia hanya sekadar mampu menghantar pemergian Suraya. Lima minit kemudian, barulah Amy muncul semula. Tetapi Dara pilih untuk mengunci mulut saja tentang kehadiran Suraya. Tidak penting pun. Dan tiada apa yang perlu ditakutkan.
Apa yang penting sekarang ini, tentang pengumuman kerajaan perihal pengeluaran wang tua untuk meringankan kewangan rakyat yang terjejas. Dara tergolong dalam kumpulan tersebut setelah dia mengambil kira semua kos-kos yang ditanggung. Dia sedang meninamg-nimang untuk keluarkan atau mengabaikan saja pengumuman tersebut.

Tetapi keinginan dia untuk mengeluarkan wang itu sangat tinggi apabila mengenangkan Emir. Sedikit sebanyak, pengeluaran tersebut bakal meringankan beban Emir untuk merealisasikan majlis perkahwinan mereka kelak.
Laju jari Dara melakukan kerja. Dia mula mengira jumlah pengeluaran kwsp dan dicampur pula dengan hasil jualan asb. Melebar senyuman dia bila hasilnya menunjukkan lima angka. Terus dia berdoa semoga niat murninya berjalan dengan lancar. Dan cepat juga dia dan Emir disatukan.
Senyuman Dara kian pudar apabila dia masih memikirkan Haris. Lelaki itu masih sepi tanpa khabar berita. Dia sudah tidak menemukan apa-apa jalan untuk berjumpa dengan lelaki itu melainkan melalui Amy atau Atiya. Tetapi Dara malu! Nanti apa kata mereka jika dia bertanyakan perihal lelaki itu? Lebih-lebih lagi Amy. Andaian Amy itu tersangat jauh ke hadapan.
Dara bakal usahakan juga sehingga dia dapat menemukan Haris dengan apa cara sekali pun asalkan dia bersabar. Dan terus bersabar. Allah sayang orang yang penyabar.


BUNYI hon kereta membuatkan Dara melompat turun dari katil. Dia sudah ada sedikit keberanian. Dia yang menyuruh Emir datang ke rumah untuk menjemput dia makan malam bersama. Hari ini ada berita gembira yang dia ingin kongsikan bersama Emir. Dan dia yakin, Emir juga pasti merasakan hal yang sama.
Rasa gembira kian pudar bila melihat emak berada di ruang tamu. Emak macam tahu-tahu dia akan keluar. Jadi, awal-awal emak sudah menjadi tugu negara. Siap sedia untuk melontarkan segala protes, segala pesanan beracun, segala ketidakpuasan hati emak terhadap Emir.
"Nak keluar?"
Nada suara emak sudah lain benar.
"Ya, mak."
"Dengan Haris?"
Emak masih mengharapkan Haris yang muncul. Dan emak masih menaruh harapan Dara keluar bertemujanji dengan Haris. Bukannya Emir.
"Bukan mak. Dengan Emir."
Keras keluhan emak.
"Kerap sangat Dara keluar dengan Emir. Tak elok. Berdua pula tu. Entah apa yang Dara buat belakang mak nanti."
Tidak salah andaian Dara. Emak bukan saja marahi dia, mak sudah berfikiran yang bukan-bukan.
"Dara tahu batas mak."
"Tanpa orang ketiga, Dara ingat binatang tu nak Dara jaga batas? Binatang tu tak boleh nak hasut Dara buat benda-benda tak elok?"
Emak sudah menggelar makhluk bertanduk itu sebagai binatang. Emak seperti tidak restu dia keluar dengan Emir.
"Sekejap je mak." Dara masih belum berputus asa.
"Sekejap Dara, boleh jadi dua ke tiga jam." Tempelak emak.
Dara gigit bibir. Emak semakin bijak mengira waktu. Emak juga sudah pandai berkira.
"Mak bagi masa setengah jam. Kalau setengah jam Dara tak balik, jangan pernah fikir Dara ada mak lagi."
Kali ini kuat Dara gigit bibir. Mereka berdua sudah menempah tiket wayang. Setengah jam itu hanya cukup untuk ke sana saja. Sudahlah ini kali pertama Dara dan Emir menonton wayang bersama. Emak pula meranapkan terus rancangan mereka berdua.
Lemah langkah Dara. Dia tidak mahu jadi anak derhaka. Beg tangan diletakkan atas kerusi. Hanya telefon saja dicapai. Barulah dia nampak raut wajah emak berubah. Jelas benar emak tidak sukakan Emir. Emak pantang dengar nama Emir. Mulalah melenting.
Tidak mengapa. Dara akan usahakan supaya emak buang segala persepsi buruk tentang Emir. Dara cuba tanamkan kesabaran dalam jiwa bila berhadapan dengan emak demi kebahagiaan dia bersama Emir.
"Mak awak okay kita keluar?" Soalan pertama Emir sebaik Dara masuk ke dalam perut kereta.
Dara ingin mencari jawapan yang sesuai untuk soalan Emir. Dia tidak mahu hati Emir terguris.
"Mak okay." Bohong Dara. Sempat dia menoleh sekilas Emir. Dia nampak senyuman lelaki itu.
"Tapi Emir...Hari ni kita tak jadi keluar. Saya kena hantar mak ke Kota tinggi. Pakcik saya sakit." Sayu sekali suara Dara ketika menutur pembohongan.
Dara tunduk bermain sepuluh jari. Dia takut dengan penerimaan Emir. Lebih takut melihat wajah kehampaannya.
"It's okay, Dar. Lain kali kita boleh keluar lagi."
Dara panggung kepala. Dia menemukan senyuman Emir. Tiada langsung reaksi kekecewaan yang dipersembahkan. Ah! Emir sangat memahami.
"Awak dah semak akaun kita?"
Melebar lagi senyuman Dara. Setiap hari dia melakukan hal itu. Dan setiap kali selesai melakukan pemeriksaan, rasa sayang dia pada Emir semakin menggebu-gebu.
"Belum." Sengaja Dara ingin menduga.
Ada kerutan terbentuk di dahi licin Emir yang tenang memandu. Dia menoleh sekilas pada Dara.
"Kan saya dah bagi username dengan password. Awak tak check?"
Dara cuba sembunyi senyuman dia sebaik yang boleh. Dia tidak mahu tertangkap.
"Tak sempat. Dan lebih kepada lupa sebenarnya." Bersahaja Dara memberi jawapan.
Emir tersenyum lagi mendengar Dara yang polos.
"Saya ada masukkan duit, tapi tak banyak."
Emir lulus ujian. Emir tidak berbohong. Sememangnya lelaki itu ada masukkan duit. Tetapi bukan sedikit seperti yang didakwa Emir. Ada dua ke tiga ratus lelaki itu masukkan. Paling banyak, lima ratus kalau tak silap Dara. Nampak sangat Emir itu sungguh-sungguh mahu kumpulkan wang.
"Slow-slow Emir. Banyak masa lagi. Tak perlu terburu-buru." Titip Dara. Mereka baru menyulam cinta. Masih terlalu awal. Bak kata pepatah, masih baru nak kenal hati budi masing-masing. Dia pun perlukan masa untuk memujuk emak.
"No! Kalau boleh, saya nak majlis kita langsung cepat. Sebab tu, saya kumpul duit." Potong Emir.
"Tapi saya belum jumpa family awak, Emir. Saya pun tak tahu penerimaan keluarga awak." Perihal ini Emir masih belum berbincang. Tak pernah pula Dara dengar Emir bangkitkan hal ini.
Emir diam seketika. Kemudian, dia lemparkan senyuman. Emir belum pernah gagal membeli jiwa wanitanya.
"Itu jangan risau. Papa dan mama saya dah tahu tentang awak. Dia tunggu lampu hijau untuk awak datang saja."
Jawapan positif Emir bikin Dara turut tersenyum. Namun, senyuman dia sedikit hambar bila memikirkan emak. Dia perlu lancarkan pujukan segera. Dia mahu emak menerima Emir seperti mana keluarga Emir menerima dia.
"Dara..."
Panggilan Emir membuatkan Dara menoleh. Dia diperlihatkan Emir yang nampak teragak-agak.
"Ada apa, Emir?" Tanya Dara lembut.
"Saya kalau boleh, nak majlis kita langsung dalam tiga bulan ni."
Melongo Dara. Tiga bulan? Tidakkah terlalu cepat? Duit yang mereka kumpul pun baru berapa. Kos majlis saja sudah hampir cecah puluh ribu. Mana dia mahu cari duit secepat itu?
"Duit kita belum cukup Emir." Dara ingat Emir seperkara ini.
"Tapi, saya ada rancangan."
Rancangan? Entah kenapa Dara jadi tidak keruan mendengar perkataan tersebut.
"Apa rancangan awak?" Dara tetap bertanya juga.
"Ermmm...Ini antara kita berdua saja."
Sempat Dara betulkan duduk. Lain macam saja gaya suara Emir. Dara diserang rasa kurang enak. Banyak hal yang mereka simpan berdua saja.
"Awak ambil duit company dulu. Kita pinjam! Selesai saja majlis, kita pulang semula."
Kali ini hampir putus nafas Dara. Pinjam duit syarikat? Maksud Emir itu apa?
"Kita buat tuntut invois dari pihak pembekal untuk projek baiki struktur bangunan dalam sepuluh ribu. Projek tak jalan. Duit kita ambil."
Emir sedang mengajar dia buat kerja jahat!
"Tapi...Ini salah, Emir." Dara tidak mampu memandang Emir lagi. Seluruh tubuhnya terasa seram sejuk.
"Tak salah. Kita hanya pinjam. Selepas itu, kita akan pulangkan semula."
Mudahnya Emir berkata-kata. Emir lupa agaknya. Yang menghadap pinjaman itu adalah Dara. Yang bertanggungjawab juga Dara. Hanya rancangan saja dari Emir. Selebihnya diserah pada dia.
"Jangn risau. Saya akan cuba bantu mana yang patut. Awak hanya pastikan duit tu dapat dikeluarkan."
Lambat-lambat Dara menoleh. Dia berharap dapat melihat raut wajah serba salah lelaki ini. Namun hampa. Dia menemukan riak tanpa jiwa Emir.
"Boleh kan awak tolong saya? Nanti saya ajar macam mana nak buat."
Emir mendesak Dara. Emir bulat dengan rancangannya.
"Bagi saya masa, Emir." Dara perlu berfikir sedalam-dalamnya.
Ketika Dara sedang berperang dengan perasaan sendiri, bayangan Atiya dan Amy datang menjengah. Mereka berdua percayakan dia. Apa dia tergamak melunturkan kepercayaan mereka berdua demi kepentingan dia dan Emir?
"Saya tahu awak tak akan menolak, Dara. Demi menghalalkan hubungan kita."
Tapi cara Emir salah! Ingin saja Dara jerit memberitahu hal itu.
Sesampai saja di rumah, Dara mencari biliknya. Panggilan Emak dibiar sepi. Semangat dan jiwa dia telah hilang. Dalam kepala terlalu asyik memikirkan rancangan gila Emir sehingga apa dikatakan emak, tidak dengari lagi. Semua tidak meresap dipendengaran.
Dara rebahkan diri di atas katil. Dia merenung dada siling dengan pandangan kosong. Ada dalam sepuluh minit dia begitu sebelum dia bangkit. Pagi tadi dia ingin khabarkan berita gembira pada Emir bahawa dia telah berjaya mengumpul wang hasil daripada pengeluaran duit tuanya dan jualan asb yang disimpan bertahun-tahun. Sepuluh ribu jumlah yang terkumpul. Sesuai dengan kehendak Emir. Bagaimana dia boleh lupa perkara penting tersebut?
Laju jari Dara menari-nari di skrin telefon. Selesai saja, dia screeshot bukti lalu dihantar kepada Emir.
- Saya dah masukkan duit dlm akaun kita 10k. Hasil jualan asb saya dan duit kwsp.
Dara menekan butang sent. Sekarang, dalam akaun bersama mereka sudah ada wang lima belas ribu ringgit. Sudah cukup sangat jika mereka ingin melangsungkan kenduri kesyukuran akad nikah. Cukup sekadar buat biasa-biasa. Apalagi dengan keadaan sekarang tidak mengizinkan untuk buat sebarang majlis, Dara rasa wang ini mampu menampung mereka selepas kahwin.
Senyuman Dara muncul saat melihat Emir sedang online. Sejurus itu, dia menerima blue tick. Itu menandakan mesej dia telah dibaca Emir.
- Thanks, Dar! Love u...Plan tadi cancel.
Barulah jiwa Dara kembali semula. Dia berjaya halang Emir menjadi jahat. Berkali-kali dia membaca pesanan terakhir Emir. Ada emoji ciuman yang diberikan kepadanya. Pesanan Emir dibiar sepi tanpa dibalas. Dia jadi malu bila memikirkan Emir pasti akan mempercepatkan majlis mereka.
Ada rintangan terakhir yang perlu Dara selesai dengan kadar segera. Dia memerlukan lampu hijau dari emak. Emak perlu dipujuk dengan apa cara sekali pun. Rundingan perlu dilaksanakan. Jadi dia ingin berjumpa dengan mak. Sebaik saja daun pintu terbuka, emak sudah terpacak di depan pintu bilik dengan muka serius.
"Ada yang datang nak jumpa dengan Dara."
"Siapa?" Tanya Dara pelik. Tidak mungkin Emir.
"Dia tengah tunggu dekat depan." Emak enggan memberitahu siapa gerangan tetamu tersebut.
"Dia kata, dia datang nak kutip hutang dia dua ribu."
Semakin teruk Dara berkerut. Hutang? Langkah dia panjangkan ke ruang tamu dengan rasa tidak sabar. Dia ingin berjumpa dengan si pengutip hutang tersebut.
Dara melopong saat terpandang figura yang tenang menghirup air yang dihidang emak.
"Haris?!" naik seoktaf suara Dara.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience