Bab 28

Romance Series 59840

"ALHAMDULILLAH... nak dapat cicit dah aku.." Halimah mengucapkan rasa syukur. Dia amat gembira setelah mendapat perkhabaran daripada Amira dan Rizal. Kini cucu sulungnya itu sudah dikhabarkan mengandung dan Halimah bakal menimang cicit pertamanya. Pada masa yang sama, wanita tua itu turut bersyukur kerana diberikan umur yang panjang dan turut memohon agar diberi kesempatan untuk melihat keturunannya pada generasi ketiga itu. Amira dan Rizal pula hanya tersenyum sambil melihat nenek mereka yang kegembiraan.

"Kalau macam tu, kau jangan duk buat kerja berat lagi Mira.. banyakkan rehat.. tak payah duk pergi ke kedai kau tu lagi.. duduk je kat rumah dulu." Halimah memberi saran kepada cucunya.

"Ish, Tokma ni.. Mira mengandung pun baru nak masuk dua bulan.. bukannya tengah duk sarat.. setakat pergi kedai, tengok-tengok je kat restoran tu, tak kan ada apanya.. dah la restoran tu pun baru je bukak, kena la jaga sikit.. takkan la semua benda nak lepaskan kat pekerja yang buatkan.." Amira menyanggah kata-kata neneknya. Bagi Amira, dia nantinya bukanlah akan melakukan pekerjaan berat dan melelahkan. Memandangkan restorannya baru dibuka beberapa minggu, dia perlu berada di sana untuk melakukan pantauan.

"Laa.. Rizal kan ada.." Halimah membalas.

"Tokma.. Rizal kan sibuk nak uruskan kebun dia.. ayam dia tu lagi.. lepas tu, akaun restoran tu pun dia kena uruskan.. nak promote kedai, buat marketing pun dia jugak.. takkan la semua benda nak kena Rizal uruskan.. kita pakat buat la sama-sama.."

"Kalau macam tu, Tokma pun nak pergi kerja kat restoran kau jugak la.." Halimah berseloroh. Amira dan Rizal mula tertawa.

"Tokma jaga cashier la.. kira duit je.." Rizal mengusik. Padahal dia tahu neneknya itu lemah dalam membuat kira-kira.

"Hishh, tak nak la Tokma.. nanti tersalah bagi duit baki.. bankrupt pulak restoran kau." Halimah menggelengkan kepala. Aksinya itu seraya membuatkan Amira dan Rizal pecah tawa.

Malam semakin larut. Halimah sudah pun masuk ke bilik tidurnya. Rizal dan Amira juga bersedia menuju ke kamar mereka setelah mematikan lampu di ruang tamu. Rizal terkocoh-kocoh mengejar Amira yang sudah pun berjalan dengan perlahan. Lelaki itu kemudian memimpin tangan isterinya dan sebelah tangannya lagi merangkul belakang badan Amira seraya mengiringinya berjalan ke bilik tidur mereka.

"Ish, abang ni.. sayang belum sarat lagi.. masih boleh berjalan sendiri.." Bicara Amira. Dia sedikit geli hati apabila suaminya itu melayan seolah kandungannya sedang sarat dan tidak larat untuk berjalan.

"Kan doktor dah pesan, banyakkan rehat.." Rizal dengan pantas memangku Amira dalam dukungannya dan berjalan membawa isterinya itu ke bilik tidur mereka.

"Doktor pesan suruh banyakkan rehat.. bukan sampai tak boleh berjalan sendiri." Omel Amira.

Rizal kemudian meletakkan isterinya itu perlahan-lahan di atas tilam empuk yang menjadi tempat peraduan mereka. Namun Amira bingkas bangkit dari pembaringan dan duduk sambil menjatuhkan kakinya di birai katil. Rizal pula masih berdiri dan berhadapan dengan isterinya itu.

"Sayang.. rehatlah.." Rizal lantas mengucup ubun-ubun Amira. Setelah lelaki itu melepaskan kucupannya, Amira pula mengangkat tangan dan menempelkan kedua belah telapak tangannya ke pipi Rizal. Padangan mereka bertemu. Cahaya daripada mata keduanya mula menggamitkan rasa kasih. Pasangan suami isteri itu seolah mula hanyut dalam dunia mereka sendiri.

"Abang, terima kasih sebab selalu ada disisi sayang.." Amira bersuara perlahan. Matanya tidak berkedip memandang tepat ke dalam mata Rizal.

"Abang yang patut berterima kasih kat sayang.. sewaktu abang sakit, abang susah dan takde apa-apa, takde sesiapa.. tapi sayang sanggup jaga dan bersama abang.. sekarang sayang bawa pula harta yang paling bernilai dalam hidup kita.. semoga kelahiran anak ni nanti, akan terus pertahankan hubungan kita.. abang harap kita akan bersama selamanya.. sampai hujung nyawa.." Rizal membalas seraya mencium dahi isterinya. Bibir lelaki itu kemudian beralih pula ke mulut Amira.

MATAHARI terpacak tepat di atas kepala. Suasana di sekitar pekan juga agak sibuk dengan kenderaan yang lalu lalang. Di salah satu sudut pekan tersebut, restoran yang dimiliki oleh Amira dan Rizal baru mula beroperasi. Para pelanggan juga sudah mulai berdatangan, mengunjungi restoran tersebut untuk menikmati juadah tengah hari mereka. Para pekerja di restoran turut sibuk melayan para pelanggan dan menguruskan ruangan dapur. Amira dan Rizal pula berada di meja yang menjadi kaunter pembayaran di restoran tersebut.

"Abang nak balik dulu.. ingat, jangan duk buat kerja berat-berat.. duduk je kat kerusi ni.. jaga duit je.." Rizal menyampaikan pesanan seraya meluahkan sifat protektifnya terhadap Amira.

"Emm.. ye la.. sayang jaga cashier je.." Amira mengangguk perlahan sambil tersenyum. Sejak mengetahui dirinya mengandung, Amira terkadang gembira dan kadang-kala rimas dengan sikap Rizal yang terlalu menjaga dirinya. Namun dia akur dan memahami niat suaminya itu. Dia tahu Rizal terlalu teruja untuk menimang cahaya mata dan sangat menitik beratkan keselamatan dirinya dan anak mereka.

Rizal kemudian berlalu pergi dari restoran untuk kembali ke rumah mereka. Ayam-ayam belaannya masih perlu dijaga dan diberi makan. Pagi tadi, Rizal hanya sempat menguruskan kebunnya sahaja sebelum mereka datang ke restoran. Kini lelaki itu harus kembali untuk menguruskan ayam perliharaannya pula.

Amira kagum dengan semangat dan usaha suaminya itu. Rizal sanggup membina reban dan memelihara ayam semata-mata untuk mengecilkan kos operasi restoran mereka. Malah kebun lelaki itu juga kini hanya fokus kepada tanaman yang hanya digunakan untuk restoran mereka sahaja. Walaupun tidak sepenuhnya bergantung kepada bahan mentah daripada usaha Rizal, namun setidaknya restoran mereka sudah mampu menjimatkan ribuan ringgit dalam kos operasi setiap bulan berbanding mereka mendapatkan bahan mentah daripada pembekal luar sepenuhnya.

Tidak lama kemudian, salah seorang pelanggan mendatangi Amira di kaunter untuk membuat pembayaran. Amira terpegun melihat gadis cantik yang berdiri di hadapannya. Gadis itu terlihat bergaya dengan kemeja putih dan berseluar jeans. Cermin mata hitam pula terselit pada saku kemejanya.

"Meja sembilan, berapa?" Shahira ingin membuat pembayaran dengan memberitahu nombor meja yang dia tempati tadi. Amira segera mencari bil.

"Hmm.. awak owner restoran ni ke?" Tanya Shahira. Gadis itu merenung lama ke arah Amira.

"Ya saya.." Jawab Amira sambil melontarkan senyuman kepada pelanggannya. Dari pengamatannya, Amira tahu, gadis yang terlihat sebaya dengan dirinya itu bukan perempuan biasa. Penampilannya kemas dan bergaya. Malah pakaian dan tas tangannya juga terlihat berjenama.

"Kita pernah jumpa ke sebelum ni? saya rasa macam pernah tengok awak.." Shahira bertanya lagi. Dia masih menatap wajah Amira. Sepertinya dia yakin pernah melihat perempuan di depannya itu.

"Hmm.. entahlah.. saya rasa tak pernah kot.." Amira cuba mengingati wajah gadis tersebut. Namun dia langsung tidak ingat. Dia agak yakin tidak pernah bertemu dengan gadis cantik yang terlihat penuh wibawa itu.

"Takpelah.. saya cuma tertanya-tanya je.. sebab saya rasa muka awak agak familiar.. by the way, dah berapa lama buka restoran ni? Saya dengar baru je lagi.. maaf la tanya.. saya bukan orang sini.. saya baru je datang sini sebab ada projek nak kena urus."

"Oh, ya.. baru je lagi.. restoran ni baru masuk minggu ketiga.."

"Wah, hebat awak berniaga.. baru buka, tapi customer dah ramai, penuh dalam restoran." Puji Shahira.

"Eh, takde la.. saya bukan reti pun pasal berniaga ni.. semua ni hasil usaha suami saya.. saya bantu sikit-sikit je.. lagipun sebelum ni kami dah berniaga kat warung.. baru beralih ke restoran.. rata-rata customer ni pun asalnya customer lama je.." Amira tetap merendah diri.

"Oh, berniaga dengan suami.. baguslah kalau macam tu.. pakat usaha sama-sama.." Shahira meluahkan rasa kagum.

"Awak buat projek apa kat sini?" Amira pula bertanya sekadar berbasa basi.

"Saya buat projek perumahan.. ada taman perumahan yang sedang dibuat kat sini.." Shahira membalas.

"Oh, saya pun pernah kerja kat syarikat pemaju dulu.. tapi dah berhenti.. lepas tu kahwin, balik kampung dan mula berniaga dengan suami."

"Dah rezeki awak kat sini.. berniaga sendiri lagi bagus dari makan gaji kan.."

"Alhamdulillah.. rezeki ada kat mana-mana.. asalkan kita usaha je.."

"Okeylah.. saya pergi dulu.. nak sambung kerja, lawat tapak projek pulak.. ni rehat sekejap untuk lunch je.. ah, ni kali kedua dah saya datang sini.. sedap makanan kat restoran awak ni."

"Terima kasih.. kalau ada masa, datang la lagi.."

"Okey, bye.." Shahira melambai seraya berpaling tubuh dan mula berjalan meninggalkan meja kaunter. Gadis itu kemudian mengambil kaca mata hitam pada saku kemejanya dan memakai kaca mata tersebut untuk menghindari panas terik mentari di luar. Amira mengamati Shahira dari arah belakang. Gadis itu semakin menjauh dari pandangannya. Di benaknya, dia sebenarnya turut tertanya-tanya mengenai Shahira. Dia sendiri merasakan mereka pernah saling bertemu sebelum ini. Namun ingatannya mengenai gadis itu langsung tidak muncul.

KEESOKAN hari, Amira dan Rizal tidak berniaga. Restoran mereka bercuti daripada beroperasi pada hari minggu. Sempena bercuti, Rizal mengambil keputusan untuk membawa Amira bersiar-siar sambil membeli belah. Sudah cukup lama dia menahan diri untuk memanjakan isterinya dengan membeli belah barangan kehendak isterinya itu. Kini setelah merasakan kewangan mereka sudah cukup stabil, Rizal ingin sekali membelikan Amira barangan perhiasan. Selama ini, yang ada pada diri Amira hanyalah sebentuk cincin emas yang tersemat pada jari manisnya. Rizal yang sudah kehilangan ingatan itu sendiri tidak pasti, apakah benar cincin emas itu adalah pemberiannya kepada Amira sebagaimana dakwaan isterinya itu. Setelah lebih dua tahun berkahwin, kini tibalah masanya untuk lelaki itu mendapatkan perhiasan lain pula kepada isterinya sebagai satu penghargaan.

Selesai membeli belah pakaian dan bahan makanan untuk keperluan mereka di rumah, Rizal dan Amira berlegar di ruang gedung membeli belah yang besar itu. Mereka kemudian tiba di hadapan sebuah kedai emas dan permata. Sebenarnya, itulah tujuan sebenar Rizal mengajak Amira keluar pada hari tersebut. Dia ingin membelikan satu perhiasan kepada isterinya itu.

"Sayang, jom masuk tengok dalam kedai emas ni.." Bicara Rizal.

"Eh, tak nak la.. tak payah la abang beli barang emas ni.. membazir je.." Amira cuba menolak walaupun hatinya sedang berbunga-bunga mendengar ajakan Rizal.

"Apa pulak membazir.. abang nak beri penghargaan untuk sayang, sebab selalu ada di sisi, membantu abang selama ni.. lagipun emas ni satu pelaburan.. takdenya membazir.. kalau disimpan, harga emas ni semakin lama, semakin mahal.. lebih baik simpan emas dari simpan duit." Rizal menyangkal pendapat isterinya.

"Hmm.. suka hati abanglah.." Amira berpura-pura berat hati. Padahal sebagai seorang perempuan, dia juga memiliki keinginan untuk memiliki perhiasan emas pada tubuh badannya. Malah dia juga sebenarnya merasa tersanjung dan dihargai oleh suaminya sendiri. Dia tahu, Rizal mampu merancang ekonomi keluarga mereka dengan baik. Baginya, selama ini Rizal sangat cerewet dalam berbelanja kerana terlalu fokus untuk membuat simpanan bagi memperbesarkan perniagaan mereka. Kini dia ingin membiarkan suaminya itu berbelanja untuk memenuhi keinginan mereka bersama. Amira sedar, perniagaan yang dijalankan oleh mereka kini sudah pun menarik mereka keluar dari kesusahan. Kehidupan mereka kini serba serbi dalam kesenangan walaupun masih tidak kaya.

Baru sahaja melihat-lihat pelbagai perhiasan emas di dalam almari kaca, Rizal tiba-tiba merasakan perutnya memulas.

"Sayang, tengok la dulu yang mana berkenan.. abang nak pergi tandas jap.. tak tahan dah ni, perut memulas.." Rizal terpaksa menyampaikan hajatnya kepada Amira.

"Okey.. abang pergi la tandas dulu." Amira mengangguk. Rizal dengan tergesa-gesa keluar dari kedai emas tersebut untuk mencari tandas.

Di dalam perjalananya, Rizal melihat Shahira yang sedang berbicara melalui telefon bimbitnya. Shahira yang asyik berbual di telefon menundukkan pandangan dan hanya menatap lantai. Mereka berpapasan tanpa Shahira sedar lelaki yang lalu disebelahnya itu. Rizal pula hanya memandang gadis cantik tersebut tanpa mengetahui hubungan sebenar mereka.

"Mama jangan la risau.. Ira dah selesai pun tugas kat sini.. hari ni Ira nak rest dulu.. esok pagi Ira bertolak balik KL.. Okey, bye.." Shahira menamatkan perbualannya di telefon. Gadis itu kemudian berpaling ke arah belakang. Dia tidak mengerti, hatinya tiba-tiba terasa diusik oleh perasaan rindu kepada seseorang. Namun dia tidak tahu perasaannya itu tertuju kepada siapa. Pandangannya melihat beberapa kelibat manusia yang sedang lalu lalang. Tiada seorang pun yang dia kenali.

"Huh, aku rindu kat mama dan papa kot.. dah berapa hari tak jumpa.." Shahira melepaskan satu keluhan. Gadis itu kembali berpaling ke arah yang dia tujui tadi dan kembali meneruskan langkah kakinya.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience