RUANG yang penuh dengan aroma maskulin dan bunyi air paip bukanlah perkara pelik di tandas awam. Apa yang pelik ketika seorang perempuan dengan berani menolak pintu tandas eksklusif tingkat atas ballroom Hotel Empire Priemera.
Cempaka Naira perempuan yang mempunyai personaliti tersendiri, memakai dress satin labuh tanpa lengan dan terdedah di bahagian dada berwarna merah jambu dengan kasut tumit tinggi tahu satu perkara. Dia perlu langgar sempadan ini sebelum peluangnya dekat dengan anak sulung Tuan Adnan terlepas.
"Harap tiada lelaki lain selain dia dalam tandas," gumam Naira sebelum menolak pintu tandas.
Naira masuk dengan muka selamba. Pandangannya terhenti ke arah susuk tubuh lelaki sedang berdiri di depan cermin mencuci lengan baju yang kotor. Dia punca lengan itu kotor supaya rancangannya berjaya. Nasib kini menyebelahinya. Hanya lelaki ini seorang di sini.
"Upss, sorry. Saya salah masuk."
Naira mematikan langkah. Wajah lelaki itu ditenung dari pantulan cermin dengan pandangan tajam.
"Maaf… saya tersalah masuk. Awak nampak tak kisah je saya ada dekat sini."
Naira menggenggam beg tangan miliknya kemas apabila lelaki itu mula menoleh dan memandangnya dari hujung rambut hingga hujung kaki. Dia hanya memandang gelagat anak Tuan Adnan dari pantulan cermin di depannya. "Itu je? Huh, tak ada emosi ke dia?"
Sesaat, Naira tersenyum sumbing. Akhirnya, pandangan mata lelaki itu mula tajam ke arahnya. Jelas sekali rahang lelaki awal 40an itu bergerak dan rambutnya juga sedikit serabai tapi masih dengan gayanya. Kemeja putih yang masih basah di bahagian lengan dilap menggunakan sapu tangan. "Perfect sangat. Aku suka dia, aku suka."
"Kau siapa sebenarnya?"
Berkerut dahi Naira dengan soalannya. Dia senyum segaris dan mendekati anak sulung Tuan Adnan tanpa rasa malu. Wajahnya dipaling semula ke cermin. Beg tangan kecil dibuka. Tangan Naira spontan mengeluarkan pemerah bibir.
"Pelik. Ada perempuan masuk tandas lelaki dan soalan pertama awak siapa saya. Bukan ke sepatutnya awak tanya... kenapa saya ada di sini?”
Bibirnya dikemam setelah selesai mengoles lipstik di bibir. Pandangan Naira masih teguh ke arah anak Tuan Adnan walaupun bibirnya sengaja dimuncungkan seperti mahu mencium lelaki lewat 40an di sebelahnya.
"Aku tak peduli kau masuk sini kalau kau tu memang dua alam. Kau sedar tak kau dah buat silap besar."
Naira menoleh dan menyentuh dadanya seakan terkejut dengan amaran lelaki ini. Matanya bulat teruja.
"Oh, ya ke silap besar! Serius la saya dah buat silap?"
Sunyi. Hanya bunyi keluhan daripada anak sulung Tuan Adnan.
"Boleh tak saya nak buat silap lagi, biar nanti awak yang buat silap dengan saya sekali."
Sebelum lelaki ini sempat membalas, Naira melibas rambutnya yang mengurai ke wajah lelaki di depannya. "Lambat!"
Naira melangkah keluar meninggalkan anak Tuan Adnan namun langkahnya mati di muka pintu.
"Dah kenapa pula dia berhenti," gumam Izril sambil mengelap tangan.
Terdiam Izril apabila perempuan tadi menoleh sebelum pintu dibuka dan itu cukup mencuri perhatiannya dengan satu lagi kejutan hingga ke dasar hati. Tanpa sengaja dia terbungkam ketika perempuan licik ini sengaja memberi ciuman dari jauh ke arahnya sebelum hilang di balik pintu. "Damn! Dia terlalu melekit dan terlalu hot."
Di luar tandas, Naira beredar dengan penuh yakin disulami senyuman riang sambil berjalan menuju ke dewan. "Sorry Tuan Izril. Saya memang sengaja termasuk tandas untuk jumpa awak. Saya rasa saya macam terlanggar hidup awak pula. Kita jumpa lagi nanti Tuan Izril Azril bin Tuan Adnan."
Izril menggenggam jarinya hingga menjadi penumbuk. Perempuan itu pergi meninggalkannya dengan bau semerbak. Bau minyak wangi mahal bercampur dengan bau maskulin. Persoalannya sekarang, kenapa fikirannya mula berselirat dan tidak dapat jumpa jalan pulang. "Siapa perempuan yang tak reti malu tadi? Sejak bila syarikat papa ada staff perangai macam...."
Pili air ditekan. Izril memandang wajahnya di pantulan cermin lama. Walaupun cantik tapi tidak cukup buat hatinya terpikat. Hanya sedikit terusik. Sikit. Perempuan itu baru ganggu hidupnya secara berani. "Memanglah dia tahu sebab majlis malam ni majlis papa buat untuk aku."
"Nasib baiklah aku jarang on program papa. Duduk hadap laut lagi bagus dari hadap perempuan macam dia," gumam Izril dengan mata dijuling secara sengaja.
"Lupakan dia, lupakan dia Ril. Boleh gila kau fikir ke dia. Reject!"
Izril keluar dari tandas dan masuk ke dewan semula seperti tiada apa berlaku. Sayangnya makin dia mengelak, makin lagi cepat matanya menangkap kelibat perempuan tadi. Pandangannya terhenti di kerusi sebelah meja tetamu VIP. Tanpa sengaja pandangan mereka kini bertaut. Izril dapat lihat senyuman terbentuk di bibir merahnya. Masalahnya hati dia terusik dan dia terbalas tanpa sedar. "Damn. Jangan makan umpan dia. Jangan. Ini kerja gila."
"Senyuman pertama tapi tak ubah seperti senyuman parasit," gumam Izril, perlahan.
"Siapa parasit bang?" soal Arash.
"Tak ada apa. Aku cuma rasa orang dalam dewan ni semuanya senyum tak ikhlas," balas Izril, spontan demi menafikan rasa hati.
Arash ketawa kecil dan menepuk bahu abang iparnya.
"Abang, dunia atas kapal tak sama dengan darat."
Berkerut dahi Izril mendengar jawapan adik iparnya.
"Arash, siapa dia tu? Aku tak kenal pun,” bisik Izril sambil tangannya mencapai gelas air mineral di meja.
"Mana satu Abang Long?" tanya Arash dengan perasaan ingin tahu.
"Perempuan pakai dress merah jambu meja sebelah VIP."
"Abang, nama dia Cempaka Naira. Fresh staff dari HQ. Papa yang suruh dia join event malam ni. Papa kata projek baharu nanti under dia."
Izril menggaru dagu dan memandang wajah Arash sekejap. "Hq? Projek bawah dia? Bila pula papa ambil orang luar masuk line management?”
"Entah, itu abang kena tanya papa sendiri. Saya, Elah dengan Izat sendiri tak berani tanya papa."
"Berapa bulan dia dalam Hq?"
"Bukan bulan bang, hari."
Arash meletakkan jari di atas meja. Membulat mata Izril memandang jari Arash.
"Tengkorak kau! Kau biar betul, skandal papa ke?" tanya Izril tegas tapi masih berbisik.
"Abang, itu yang Elah syak tapi papa kata perempuan tu ada something yang special. Ada personaliti yang menarik, berani, bijak dan banyaklah. Paling best Cik Naira tu mampu kawal lelaki yang lebih besar daripadanya,” jawab Arash dengan kening terjongket berulang kali.
Izril mendengus. "Tak lawak Arash."
Arash mengeluh. "Abang, bila masa saya melawak?"
Pandangan matanya beralih ke arah perempuan tadi yang kini sedang leka berbual mesra dengan tetamu lain.
Gaya duduknya tertib tapi pandangan matanya sesekali mencuri ke arah Izril menyebabkan dia terjebak dan tersentak. Perempuan itu seperti tahu yang dia sedang diperhatikan. Menarik. "Siapa kau perempuan?"
Jauh di sudut hati Izril merasakan ada sesuatu yang tidak kena. Cik Cempaka Naira tidak masuk dalam kategori pekerja biasa. Makin dia pelik, Cik Naira terlalu berani dan tidak sesuai untuk perempuan yang baru bekerja. Dia sendiri tidak nafikan dirinya sekarang makin terganggu dengan senyuman dan lirikan mata Cik Cempaka Naira.
.
.
.
Suasana dewan makin lengang. Tetamu sudah mula beransur pulang secara berperingkat. Hanya tinggal ahli keluarga dan kenalan rapat di ruang ini. Lampu dewan masih menyala terang dan mencipta bayang-bayang pada wajah-wajah yang mula keletihan.
Izril berdiri jauh di satu sudut dengan tangan memeluk tubuh. Pandangannya meliar ke pintu keluar. Tak sabar rasanya mahu lari keluar dari ruang yang padat dengan senyuman yang penuh dengan pura-pura dan perbualan yang membodek.
"Izril!"
Suara Tuan Adnan seperti menyedut tubuh Izril ke tengah dewan. Dia mengeluh kasar sebelum menoleh. "Apa lagi orang tua ni?"
"Izril, sini kejap. Papa nak kenalkan seseorang.”
Langkahnya lemah dan malas ke arah papa yang berdiri dengan seorang perempuan yang tidak asing di matanya. Matanya yang galak seakan menyambut kehadiran Izril dengan terang tanpa selindung.
"Izril, kenalkan... ini Cik Naira. Baru habis belajar di UK. Sekarang Cik Naira akan bantu papa dan yang lain di pejabat. Naira, kenalkan... ini anak sulung saya, Izril.”
Naira menghulurkan tangan namun Izril hanya menyeluk kedua tangan ke dalam poket. Rasanya tidak perlu untuk sambut salam daripada perempuan yang tidak sampai seminggu kerja. Tambah pula kenal dalam tandas.
"Anak saya memang pelik sikit. Tak suka bergaul. Sorry Naira." Sudah dia duga reaksi anaknya memang begitu.
"Tak ada masalah Tuan. Tuan Izril, papa awak selalu cerita tentang awak. Malam ni saya rasa senyuman awak buat saya bahagia."
Izril tunduk memandang karpet hotel. Dia dengar tapi bagi Izril, itu cuma ucapan di bibir bukan dari hati.
"Awak kerja dalam bidang apa ya Tuan Izril?”
Sunyi tanpa jawapan. Terbit batuk kesat daripada Tuan Adnan cuba kawal suasana yang canggung. "Dia kerja ikut kapal. Ada masa dia di darat sebulan dua, tapi selebihnya banyak dekat laut. Latihan, operasi dan kadang-kadang ke luar negara.”
Naira angguk lambat dan sempat menjeling anak sulung Tuan Adnan yang sesang memalongkan wajah daripadanya. Kali ini pandangannya lebih tertumpu ke wajah lelaki bernama Izril.
"Wow, saya memang suka lelaki kerja kapal. Biasanya lelaki kapal susah nak karam."
Terima kasih kerana menyokong win.
Share this novel
uc ke