Bab 3

Romance Series 7953

Enam tahun berlalu.
TAPI bagi Haris, masa seperti berhenti di hari yang sama—hari dia kehilangan Sofea. Wajah itu, suara lembut yang mengucap salam sebelum pergi, masih bermain dalam kepalanya hampir setiap malam. Wanita yang sentiasa mencintainya dan menerimanya apa saja, juga wanita yang sering memudahkan urusannya di universiti dulu.

Ara Damya kini sudah berumur enam tahun. Petah, manja, dan punya mata bundar yang sering mengingatkan Haris kepada Sofeana.

“Tolong kemaskan mainan tu, sayang,” ujar Haris, letih, sambil melipat baju di ruang tamu.

Ara buat muka comelnya. “Ayah… penatlah!”

Puan Rosini masuk ke ruang tamu dengan semangkuk buah potong. “Penat? Penat lagi ayah kamu tu... kerja, kemas rumah, urus kamu. Nasib baik nenek masih kuat.”

Haris tersenyum tawar. “Mak jangan risau. Haris boleh uruskan semua.”

Puan Rosini duduk di sebelah anaknya. “Tapi sampai bila, Haris? Kamu muda lagi. Fikir-fikirlah untuk ada teman hidup semula. Bukan ganti Sofea… tapi teman baru, untuk kamu dan Ara.”

Kata-kata itu terbiar tanpa jawapan. Haris hanya tunduk, jemarinya mengusap rambut Ara perlahan. Mana mungkin dia akan dapat pengganti sesempurna Sofea. Argh, rindu ni kalau menyapa memang perit rasanya.

Malam itu, selepas semua tidur, Haris masuk ke bilik kerjanya. Dia memandang tempat simpanan hard disknya. Entah kenapa malam yang sunyi dan mendamaikan ini membuatkannya mencapai hard disk yang dilekatkan dengan sticker logo kelab sukannya semasa di universiti.

Jarinya mengklik satu folder bertajuk – Zaman Kegemilangan.

Skrin memainkan satu demi satu video lama—gelak ketawa di padang, sesi latihan teater, makan malam di mamak. Dan kemudian… wajah itu muncul.

Nadia.

Dalam video itu, Nadia sedang menyakat Haris yang terlupa skrip teater.
“Eh Haris, kalau kau lupa skrip masa show nanti, aku pura-pura pengsan, okay?”

Gelak tawa Haris dalam video itu lain. Ikhlas dan sangat bahagia.

Haris tertawa kecil, sendiri. Untuk seketika, beban dunia terasa ringan. “Hanya kau je yang boleh buat aku gelak macam tu…”

NADIA melangkah masuk ke pejabat utama syarikatnya di Kota Kinabalu.

“Miss Nadia, you’ve been assigned to oversee the new branch opening in Selangor. HQ’s request,” ujar pengurus sumber manusia sambil menghulur surat rasmi.

Jantung Nadia seakan berhenti seketika.

“Selangor?” ulangnya, perlahan.

“Ya. Lebih tepat, Shah Alam.”

Nadia menelan liur. Sudah bertahun dia mengelak untuk kembali ke sana. Sejak hari dia tinggalkan Haris di balai pelepasan, dia tidak pernah menoleh ke belakang.

“Boleh saya... minta tukar?”

Pengurus itu menggeleng. “Maaf. Awak yang paling layak untuk urus cawangan tu. Kita perlukan awak di sana, Nadia.”

“Tak ada orang lain ya?” Nadia masih mencuba. Dia entah kenapa memang tidak mahu ke sana dengan lebih tepat menjejakkan kakinya di sana.

Pengurus memandangnya dengan gelengan lagi. “Please, Nadia. Don’t make things harder. Just go and after that apply kat sini semula. I will help you. Please, Nadia?”

Nadia angguk perlahan. Tiada jalan keluar kali ini. “Baiklah…”

Tapi hatinya berdebar. Tak, aku tak bersedia... bisiknya dalam hati.

“Masih belum.”

PUAN ROSINI terpinga-pinga melihat anaknya ceria tiba-tiba.

“Hai… ceria sungguh Haris hari ni? Ada mimpi apa-apa ke malam tadi?” sindirnya sambil membawa roti bakar ke meja makan.

Haris sedang menyuap bihun goreng ke mulut Ara, sambil menyanyi kecil. “BINGO. BINGO Nama saya Ara Damya…”

Ara ketawa mengekek. “Papa ni suka hati tukar lagu!”

Haris tersenyum, matanya bersinar. “Hidup ni kadang-kadang susah, kadang-kadang kita kena paksa diri cari bahagia.”

Puan Rosini memerhati anaknya. “Kenapa tiba-tiba ceria ni?”

“Entah,” Haris menjawab pendek, mengangkat bahu. “Mungkin… ada kenangan yang muncul semalam.”

Hatinya masih enggan bercerita lebih.

Tapi Puan Rosini tak puas hati. Mana mungkin seorang emak akan tertanya-tanya tentang hal anaknya. Petang itu, ketika Haris keluar membeli barang dapur, dia masuk ke bilik kerja anaknya. Dia meneliti rak buku, fail-fail lama… dan kemudian, terselit di celah tesis universiti Haris, sekeping gambar kecil.

Wajah dua orang muda—ketawa, bahu bersentuhan, mata penuh gembira. Haris dan seorang gadis... Nadia.

Puan Rosini menatap gambar itu lama. Bibirnya menyebut perlahan, “Dia... ini ke kenangan tu?”

MALAM menjelang. Haris baring di katil, Ara sudah tidur. Tapi dia tak lena. Tiba-tiba, Nadia datang bertamu dalam ingatan lebih kerap daripada biasa.

Gelak tawa dia, cara dia bercakap, cara dia menenangkan bila Haris marah atau kecewa.
“Nadia… kau dekat mana sekarang?”

Entah dari mana datang keberanian, Haris capai telefonnya.

Dia cari nama seorang kenalan lama—rakan sekuliah mereka yang kini bekerja di Sabah.

Haris:
Kau tahu tak kat mana Nadia sekarang? Aku... aku nak cari dia. Hanya nak tahu dia okay atau tak.

Pesanan itu dihantar. Haris pandang skrin lama-lama. Kerana kadang-kadang, cinta yang lama tak mati. Ia cuma diam. Dan menunggu waktu yang tepat… untuk kembali bernafas.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience