Bab 2 - Hina

Romance Series 20801

IRDINA pulang ke rumah dalam keadaan dia kesedihan. Laju sahaja kakinya melangkah masuk ke dalam rumah papan yang dihuni bersama mak dan ayahnya. Beg sekolah dicampakkan di atas lantai. Matanya tajam merenung beg sekolah yang menunggu masa sahaja untuk dibuang ke dalam tong sampah. Ishak dan Maryam merenung ke arah beg sekolah yang dicampak oleh anak perempuannya tadi.

“Kenapa ni Dina?” soal Ishak.

“Kenapa ayah cakap? Dina benci hidup macam ni! Semua orang tak nak kawan dengan Dina. Semua kutuk dia. Diaorang cakap Dina orang miskin. Dina nak semua baru. Beg sekolah baru. Baju baru! Dina tak nak pakai baju macam ni lagi!” Irdina memberontak.

“Kamu ni kenapa Dina? Beg tu boleh pakai lagi. Nanti mak jahit balik. Baju sekolah tu pun boleh pakai lagi. Tak kan nak beli baru?”

“Jahit balik mak cakap?” Irdina mengambil beg sekolah di atas lantai lalu dibawa ke arah maknya.

“Ni apa mak? Berapa banyak jahitan lagi yang nak dijahit? Dina nak baru semua! Dina tak nak orang pandang hina dekat Dina lagi! Dina bukan budak-budak. Dina dah besar. Dina malu!” Irdina mula menangis. Dia pun tidak tahu kenapa tiba-tiba sahaja hari ini dia mahu kesemuanya baru. Mungkin disebabkan kata-kata abang Ilyana tadi.

Ishak menghampiri anak perempuannya. “Dah, esok ayah beli semua baru ya. Esok ayah dah gaji.”

“Abang. Kita tak cukup duit nanti, kalau nak beli semua baru esok,” potong Maryam.

“Tak apa. Cukup. Nanti tahulah abang mana nak cari.”

“Betul ke ni ayah? Semua baru kan?”

“Ye, esok ayah beli baru semua ya,” pujuk Ishak.

Irdina sudah tersenyum lebar. Dia berharap selepas ini tiada siapa yang akan memandang hina padanya lagi.

 

IRDINA sedang berjalan menuju ke tandas. Secara tiba-tiba sahaja dia bertembung dengan abang Ilyana yang sedang merenung tajam ke arahnya.

“Woi perempuan. Kau sini!” panggil Ilham.

Berat kaki Irdina mahu melangkah menuju ke arah lelaki itu. Entah bagaimana dia terfikir mahu melarikan diri, tetapi belum sempat dia mahu berbuat begitu, lengannya sudah ditarik kasar oleh abang Ilyana. Mata mereka berdua bertembung antara satu sama lain. Kali pertama Irdina melihat wajah abang Ilyana secara dekat-dekat. Kacak. Memang sungguh kacak! Wajah yang bersih langsung tiada jerawat.

“Berani kau nak larikan diri dari aku?”

“Abang nak apa?”

“Siapa abang kau?”

“Sebab abang tua dari saya,” kata Irdina.

“Tak payah nak berabang-abang dengan aku. Kau bukan adik aku. Aku nak bagi amaran dekat kau, jangan rapat dengan adik aku lagi. Aku tak nak adik aku termakan dengan kata-kata kau. Bukan aku tak tahu, kau tu saje je rapat dengan adik aku, supaya lepas ni adik aku akan termakan dengan kata-kata kau.” Lengan Irdina ditolak dengan kasar, hampir terjatuh Irdina waktu itu.

“Kenapa saya tak boleh berkawan dengan Ana? Hina sangat ke saya ni?”

“Ye hina! Memang hina. Orang miskin macam kau ni, tak layak berkawan dengan adik aku. Aku tahu, mula-mula mesti kau tunjuk baik, lepas tu apa lagi, time tu la kau ambil kesempatan, betul tak?” Ilham tersenyum mengejek.

“Tak kisah la abang nak cakap apa dengan saya. Tapi saya ikhlas berkawan dengan Ana. Saya tak terfikir pun nak ambil kesempatan dekat dia ke apa.”

“Ikhlas konon, nanti lama-lama adik aku mesti kesian dekat kau. Mesti dia bagi kau duit. Tengoklah nanti.”

“Ilham! Buat apa lagi tu! Jom masuk kelas,” jerit seorang pelajar lelaki dari arah belakang.

Ilham? Nama dia Ilham? Mata Irdina merenung ke arah wajah abang Ilyana.

“Ingat ya! Jangan rapat dengan adik aku.” Ilham terus sahaja berlalu dari situ meninggalkan Irdina.

Memang aku ni tak layak langsung nak berkawan dengan siapa-siapa pun? Dada Irdina berasa sebak. Sungguh dia terasa dengan kata-kata abang Ilyana tadi.

ISHAK menunggu gilirannya untuk menerima wang gaji sebanyak RM1000. Dia yang hanya bekerja sebagai buruh kasar, bersyukur dengan gaji yang diterimanya. Cukup untuk dia menampung perbelanjaan harian isteri dan anak perempuannya. Dia mengasingkan RM100 untuk membayar hutang rakan baiknya Solihin.

“Solihin, ambil ni. Aku dah bayar ya hutang kau.” Ishak menghulurkan wang RM100 kepada Solihin.

“Eh, tak payah la. Aku ikhlas bagi kau pinjam dulu.”

“Eh, tak boleh macam tu. Hutang tetap hutang.”

“Kau tak cukup duit nanti. Kau nak bayar hutang dekat kedai runcit lagi kan? Mesti tak cukup.”

“Tak apa. Aku dah asingkan duit untuk bayar hutang dekat kedai runcit nanti. Sewa rumah RM250 pun aku dah asingkan. Ada la aku dalam lima ratus lebih,” ujar Ishak.

Solihin agak berat mahu menerima wang dari Ishak. “Baiklah, kalau kau dah suruh aku ambil, aku ambil je la. Tapi kalau kau tak ada duit, beritahu aku ya. Aku boleh bagi pinjam lagi.”

Ishak angguk kepala sedikit. “Dah, aku nak balik dah ni. Nak beli beg sekolah dengan pakaian sekolah anak aku. Semalam dia memberontak suruh beli baru semua. Cukup kot RM100 ni nak beli semua.”

“RM100? Mana cukup. Sekurang-kurangnya kena ada dalam RM200 juga kau nak kena keluar duit beli barang sekolah ni. Dah, ambil balik RM100 yang kau bagi aku tadi. Yang ni aku belanja. Ambil la.”

“Eh tak payah la.”

“Ambil je la. Dina tu pun, aku dah anggap macam anak aku juga. Ambillah duit ni.”

Ishak merenung wajah sahabat baiknya. Dia berasa sungguh terharu. “Terima kasih Solihin. Terima kasih.”

“Sama-sama. Baiklah, aku nak balik dulu ni.”

“Ha yela. Aku pun nak balik juga ni.” berjalan sambil memasukkan wang gajinya ke dalam poket seluarnya.

Ishak senyum sedikit, lalu berjalan menuju ke motosikal Honda C70. Walaupun motosikal itu sudah terlalu lama, tetapi masih lagi boleh digunakan. Dia terus menghidupkan enjin motosikalnya dan bergerak menuju ke pekan. Dia sudah berjanji dengan Irdina untuk membelikan beg sekolah, dengan pakaian sekolah yang baru.

 

ISHAK tersenyum melihat barangan sekolah anaknya di dalam raga motosikalnya yang dibelinya tadi. Sudah terbayang-bayang wajah anak perempuannya Irdina.

Mesti Dina suka beg sekolah yang aku beli ni. Kesian Dina, pakai beg sekolah yang dah koyak. Mungkin dekat sekolah selalu sangat orang kutuk dia agaknya. Fikir Ishak.

Jam sudah menunjukkan pukul 7 malam. Dia dalam perjalanan pulang menuju ke rumahnya. Jalan pula pada waktu itu, agak gelap sedikit, tanpa cahaya lampu jalan.

Tanpa dia sedari, dia telah terlanggar satu lubang di atas jalan yang dilaluinya. Terus sahaja motosikal yang ditungganginya terseret ke tengah jalan. Ishak terus  sahaja terjatuh dari motosikalnya.

Gedebuk!

Ishak menyeringai menahan sakit. Lengannya bergesel di atas jalan tersebut. Dia menahan sakit yang teramat sangat. Barangan sekolah yang dibelinya tadi, telah terpelanting daripada raga motosikalnya.

“Beg Dina..” rintih Ishak.

Dengan kudrat yang ada, Ishak cuba mengesot ke tengah jalan untuk mencapai beg sekolah anaknya. Suasana agak gelap waktu itu, dengan tiada lampu jalan. Tiba-tiba, ada sebuah kereta dari arah hadapannya secara tidak sengaja telah melanggar Ishak.

Terbuntang mata Ishak waktu itu. Dia langsung tidak dapat berbuat apa. Kejadian berlaku dengan cukup pantas.

Bam!

Kedua-dua kaki Ishak tergilis dengan tayar kereta tersebut. Ishak menjerit menahan sakit. Darah mula mengalir di atas jalan. Dia cedera parah. Matanya sempat mengerling ke arah beg sekolah anaknya. Tidak lama itu, matanya terus kelam.

 

MARYAM sedang menanak nasi untuk mereka bertiga makan malam sebentar lagi. Dia tahu, suaminya Ishak akan pulang ke rumah sebentar lagi, selepas membeli barangan sekolah anaknya hari ini, seperti yang dijanjinya semalam.
“Dina, tolong mak kejap. Ambilkan daun kunyit dekat luar. Mak nak goreng telur dadar untuk ayah kamu kejap lagi ni. Ayah kamu macam biasa la, nak telur dadar daun kunyit je.”

“Baik mak.” Irdina terus sahaja bangun dari atas lantai, yang pada ketika itu sibuk menyiapkan kerja sekolahnya.

Tidak lama itu, Irdina muncul semula sambil membawa satu helai daun kunyit. Maryam mengambil daun kunyit tersebut untuk dihiris halus. Secara tak sengaja, jarinya telah terhiris sedikit. Darah mula menitik-nitik.

Dahi Maryam berkerut nenahan sakit. Laju sahaja dia melangkah menuju ke arah sinki untuk membasuh jarinya.

Kenapa aku rasa macam tak sedap hati ni. Mana Abang Ishak tak balik-balik lagi ni? Selalunya macam ni dia dah balik. Fikir Maryam.

“Assalammualaikum,” ucap satu suara di muka pintu.

Maryam tersedar dari lamunan.

“Waalaikummussalam.” Maryam terus sahaja menuju ke ruang tamu. Jantungnya berderau apabila melihat dua anggota polis yang sedang berdiri merenung ke arahnya.

Irdina turut berjalan menuju ke arah maknya. Dia juga berasa pelik melihat ada dua anggota polis yang datang ke rumah mereka pada waktu malam begitu.

“Ye tuan. Ada apa?” soal Maryam.

“Maafkan kami. Sebenarnya kami datang ke mari, ingin memaklumkan tentang suami puan Encik Ishak. Dia sekarang ni berada di hospital akibat kemalangan jalan raya tadi.”

Maryam dan Irdina tergamam waktu itu.

Share this novel

Shariff Eizat
2024-11-19 12:49:22 

Kesian Irdina


NovelPlus Premium

The best ads free experience