BEBERAPA orang lelaki yang berada di dalam restoran mendekat dan membantu untuk mengusung Rizal yang sudah tidak sedarkan diri. Rizal dibawa keluar dari restoran dan di masukkan ke dalam kereta Toyota Vellfire milik Tan Sri Hanafi. Manakala di dalam restoran, Juana masih terduduk lemah di lantai. Wanita itu masih kaku dan tidak mempercayai jika dirinya telah mencelakakan Rizal. Malah dia juga tidak mampu untuk bergerak setelah menerima tamparan daripada Rizal.
Delisha pula berdiri dengan bisu sambil menatap ke arah Juana. Dia kesal dengan sahabatnya itu. Walaupun dia tahu, Juana tidak suka kepada Amira dan berusaha untuk merebut kembali Rizal agar bersamanya, namun tindakan Juana sebentar tadi dianggap sangat melampau. Daripada tindakannya, jelas Juana cuba membunuh Amira tanpa teragak-agak. Namun kini yang menjadi mangsa adalah Rizal yang telah menahan serangan daripada Juana itu. Delisha yakin, keluarga Tan Sri Hanafi tidak akan berdiam diri dan membiarkan Juana terlepas jika sesuatu yang buruk berlaku ke atas anak lelaki jutawan tersebut. Delisha tidak ingin terlibat. Dia tidak mahu jika dirinya turut dituduh berkomplot bersama Juana untuk menganiaya Amira dan Rizal. Walaupun Juana adalah temannya, namun Rizal dan keluarganya juga adalah kenalan rapat kepada Delisha dan keluarganya malah bapanya, Tan Sri Jamali adalah teman rapat kepada Tan Sri Hanafi. Tidak mungkin untuk dia merosakkan hubungannya dan keluarganya dengan Rizal sekeluarga.
Juana yang lemah memandang ke arah Delisha. Satu pandangan yang penuh dengan harapan agar Delisha membantunya.
"Sha.. tolong aku.. seluruh badan aku sakit.. aku tak boleh nak bergerak,.." Juana merayu dengan suara yang penuh rintihan.
Delisha menghembuskan satu nafas yang bergelumang keluhan. Dia tiada pilihan. Tidak mungkin juga untuk dia membiarkan Juana terjelepok kaku di atas lantai. Walaupun dia tidak suka dengan tindakan Juana tadi, namun setidaknya wanita itu adalah sahabatnya yang sudah belasan tahun bersama dengannya. Delisha kemudian menarik lengan Juana, cuba membantu wanita itu untuk berdiri.
"Tolong bawa aku ke klinik Sha.. aku betul-betul dah tak larat.. sejak pagi tadi seluruh tubuh aku sakit.. sekarang nak bergerak pun susah.." Juana meminta pertolongan.
"Ye la.." Delisha hanya membalas singkat. Dia cuba memapah sahabatnya itu untuk menyokongnya berjalan.
"Kau marahkan aku ke Sha?" Juana bertanya setelah menyedari perubahan sikap Delisha terhadapnya.
"Aku bukannya marahkan kau.. tapi aku kesal.. tergamak kau buat macam tu kat Amira dan Rizal.. Kau bukan tak tahu, keluarga dia macam mana.. Kau betul-betul cari masalah la Ju.. Kalau diorang ambil apa-apa tindakan, aku minta maaf awal-awal kat kau.. aku memang takkan tolong kau dan aku tak nak terlibat dalam masalah kau dengan diorang.. Kau pun tahu, family aku dengan family dia tu rapat.. ayah dia tu kawan baik ayah aku.. Apa-apa masalah berbangkit nanti, kau selesaikan sendiri dan jangan libatkan aku.." Delisha berkata dengan jujur. Dia perlu menyatakan pendiriannya lebih awal agar Juana tidak melibatkan dirinya sekali dalam masalah mereka.
Mendengar kata-kata Delisha, Juana terus terdiam. Kini dia turut menyesal dengan tindakan yang dia lakukan tadi. Walaupun keluarganya juga adalah golongan kaya dan berpengaruh, namun pengaruh keluarganya masih jauh dibawah jika dibandingkan dengan pengaruh dan kekuasaan keluarga Rizal. Bahkan Tan Sri Hanafi sendiri dikenali sebagai antara orang terkaya di dalam negara dan juga diperingkat asia. Berbeza sama sekali dengan ayahnya yang masih tidak termasuk di dalam senarai seratus orang terkaya di dalam negara. Juana mulai risau. Tiada guna jika dia melawan keluarga Rizal bahkan dia dan keluarganya juga masih tidak mampu menandingi pengaruh keluarga lelaki tersebut. Apatah lagi dalam kes sekarang, Juana jelas adalah pesalah. Berbeza sama sekali ketika dia memukul dan menghina orang lain yang dianggapnya miskin dan tidak berguna.
Setelah tiba di klinik dengan bantuan Delisha, Juana mula diperiksa oleh doktor. Disebabkan simptom sakit yang dialaminya, doktor terpaksa mengambil sampel darahnya untuk diuji.
Sekian lama menunggu hasil ujian darahnya, doktor yang merawat Juana kembali ke mejanya sambil menggelengkan kepala. Juana dan Delisha pula semakin tidak sabar untuk mendengar hasil keputusan ujian kesihatannya.
"Macam mana doktor? apa sakit saya?" Juana bertanya. Doktor yang baru melabuhkan punggungnya ke kerusi segera membuka fail dan menunjukkan hasil laporan pemeriksaan kesihatan milik Juana.
"Awak didapati positif HIV.." Doktor tersebut bersuara datar. Agak berat baginya untuk menyatakan kebenaran, namun hasil laporan kesihatan pesakitnya itu perlu disampaikan jua.
Mendengar ucapan doktor tersebut, Juana dan Delisha lantas tersentak dan membeliakkan mata mereka.
"HIV?" Juana seakan tidak percaya.
Delisha pula bangkit dari kerusinya yang terletak di sebelah Juana. Perlahan-lahan wanita itu menapak menjauhi Juana. Risau jika dirinya akan turut terjangkiti oleh virus yang masih tiada penawarnya itu.
"Doktor, jangan main-main.." Juana semakin cemas.
"Saya tak kan main-main mengenai keadaan kesihatan dan nyawa orang.. tugas saya sebagai doktor adalah merawat dan menyampaikan apa yang perlu di sampaikan kepada pesakit.." Doktor segera membalas.
"Tolong check semula.. mesti ada kesilapan dalam laporan ni.. doktor, tolong check semula.." Juana cuba merayu dengan tangannya mula menepuk meja.
"Maaf cik.. tiada yang salah dengan laporan pemeriksaan ni.. kalau ulang buat semula pun, hasilnya tetap sama.." Doktor itu memjelaskan sambil menggelengkan kepala.
"Ini tak betul! mesti ada yang silap! takkan la saya kena HIV!.." Juana mula menjerti sambil menghentak meja. Dia sangat risau jika dirinya benar-benar sudah dijangkiti penyakit tersebut. Kini dia terkenang kembali gaya hidupnya. Selama ini, dia hanya berfikir untuk mencari keseronokan dan sering mengamalkan hubungan seks bebas. Tidak pernah terfikir olehnya jika dia akan dijangkiti oleh penyakit mematikan akibat perbuatannya itu. Walaupun dia sering bertukar-tukar pasangan, namun semua lelaki yang pernah ditidurinya itu adalah anak-anak orang kaya. Fikirnya, tidak mungkin anak-anak orang kaya itu akan menghidapi HIV dan akan menjangkiti dirinya. Kini Juana benar-benar menyesal. Dia tidak menyangka jika keseronokan yang dia cari selama ini akhirnya akan menghancurkan hidupnya sendiri.
Juana akhirnya mengamuk dan menghempas barang-barang yang berada di atas meja doktor yang di datanginya. Delisha yang melihat keadaan tersebut pula segera keluar dari bilik tersebut dan ingin melarikan diri. Dia sama sekali tidak ingin terlibat dan berhubungan lagi dengan Juana. Wanita itu sangat risau jika dirinya akan turut terjangkit. Kini dia mula merasa jijik apabila melihat Juana. Fikirnya, Juana patut mendapat hasil yang selama ini dia sudah semai. Dia sendiri yang suka bertukar-tukar pasangan dan melakukan seks bebas. Kini dia sendiri harus menanggung akibatnya. Delisha sama sekali tidak ingin terlibat lagi dengan wanita tersebut.
Manakala di hospital pula, Rizal terbaring di atas katil dan ditempatkan di dalam wad. Kepalanya yang luka akibat menerima pukulan dari Juana sudah berbalut. Di sisi katil, Amira menangis teresak-esak sambil memegang tangan kanan suaminya itu. Shahira dan Tan Sri Hanafi pula hanya berdiri tegak, hanya memerhati keadaan dengan bisu.
Seketika kemudian, suasana hening dipecahkan dengan suara batuk daripada Tan Sri Hanafi. Shahira tidak senang melihat keadaan bapanya itu.
"Papa.. papa balik la dulu.. duduk je kat rumah, berehat.." Shahira memberi saran kepada bapanya.
"Ah, patutnya Ira la yang balik rehat.. Ira kan baru je sampai kat rumah tadi lepas drive jauh.." Tan Sri Hanafi pula yang menasihati anak gadisnya. Tadi Shahira dan Rizal baru sahaja tiba di rumah mereka setelah pulang ke kampung untuk mencari Amira. Baru sahaja mereka kembali ke rumah, Tan Sri Hanafi pula menerima panggilan telefon daripada Delisha yang memaklumkan mengenai keberadaan Amira. Mereka tiga beranak dengan segera bergegas bersama pemandu peribadi, menuju ke restoran Delisha. Pada pandangan Tan Sri Hanafi, anak gadisnya itu pasti kepenatan dan harus berehat terlebih dahulu dan tidak perlu berada di sana, menunggu Rizal yang sedang tergeletak di tempat tidur.
"Ish, papa ni.. papa tu dah berumur.. tak berapa sihat pulak tu.. baik Papa balik je dulu dengan Pakcik Razak.." Shahira berkeras.
Amira kemudian mengalihkan pandangannya kepada adik ipar dan bapa mentuanya itu. Tidak semena-mena wanita itu menggarukan kepalanya yang tidak gatal. Pening dengan perangai tidak ingin mengalah dua beranak itu.
"Papa dan Ira balik je la dulu.. biar Mira je yang tunggu Riz kat sini.." Amira pula memberikan saran. Bagi Amira, mahu atau tidak, dia tetap harus berada di sana untuk menjaga suaminya. Dia tidak ingin Shahira dan bapa mentuanya itu saling berkeras untuk tetap berada di sana, padahal kedua mereka seharusnya berehat secukupnya di rumah mereka.
"Hah, Ira tunggu apa lagi? pergi la balik.." arah Tan Sri Hanafi kepada anak gadisnya.
"Ira pulak dah.. Papa la yang balik.."
Dua beranak itu masih saling berkeras. Amira mengerutkan dahi sambil terus menggaru kepalanya.
"Dah, dah.. dua-dua je pergi balik.. Papa dan Ira, dua-dua rehat dulu kat rumah.. biar Mira sorang je jaga Riz kat sini. Nanti kalau ada apa-apa, Mira akan bagitau.." Amira pula yang terpaksa berkeras untuk mengelakkan perang mulut dari duan beranak itu berlanjutan. Masing-masing tidak mahu mengalah dan tetap ingin berada di sana.
"Tapi.." Tan Sri Hanafi cuba mengatakan sesuatu, namun Amira segera memintas percakapan bapa mentuanya itu.
"Tak payah tapi-tapi.. Papa balik je dulu kat rumah dengan Ira.. rehat elok-elok.. kalau ramai-ramai duk tunggu kat sini pun takde guna.. Riz masih tak sedar.."
"Hmm.. ye la.. Papa balik dulu la.." Tan Sri Hanafi mula mengalah terhadap permintaan menantunya itu. Kata-kata Amira itu ada benarnya. Tiada guna juga jika mereka berkumpul di dalam wad tersebut memandangkan Rizal masih tidak sedarkan diri. Malah keadaan anak lelakinya itu juga sudah pun stabil dan membahayakan nyawanya, menurut doktor.
"Ira pun balik." Amira bernada tegas. Tidak pernah selama ini dia menggunakan nada sebegitu terhadap adik iparnya itu. Kali ini dia terpaksa menunjukkan kedudukannya sebagai seorang kakak kepada Shahira agar adik iparnya itu patuh kepada permintaannya.
"Ya la.. Ira balik la.. tapi, kalau ada apa-apa, akak call je Ira tau.. gunakan telefon abang Riz tu.. handphone akak rasanya ada kat rumah, abang Riz simpan.." Shahira turut mendengar kata kakak iparnya.
"Okey.." Amira tersenyum lebar. Akhirnya dia berjaya mengawal dua beranak itu dari terus berkeras untuk tidak pulang.
Sebelum beredar, Shahira mendekati Amira dan memegang tangan kakak iparnya itu. Telapak tangan kanannya diletakkan pada tapak tangan Amira, seolah mereka bersalaman. Ketika itu, Shahira memberikan beberapa keping not seratus ringgit kepada Amira.
"Akak ambil ni, buat belanja untuk makan minum selama akak duk kat sini.." Shahira tersenyum lalu segera berundur dan berpaling punggung untuk beredar.
Amira pula terkedu. Dia benar-benar terharu dengan kebaikan adik iparnya itu. Gadis yang cantik itu tidak putus-putus berbuat baik dan sering memahami keadaan orang dipersekitarannya. Fikir Amira, alangkah bagus dan indahnya dunia ini jika semua orang baik hati dan berfikiran seperti Shahira. Gadis cantik yang hidup dalam keadaan kaya raya itu langsung tidak menyombongkan diri malah sering bersikap sederhana dan merendah diri. Walaupun pakaian dan perhiasan pada tubuh badannya berjenama dan mahal harganya, namun Shahira tidak pernah sesekali menunjukkan sikap sombong dan menunjuk-nunjuk. Sesekali, terlintas dibenak Amira, dia juga ingin menjadi seperti adik iparnya itu. Dia sangat kagum pada penampilan dan sikap Shahira yang berbudi pekerti dan baik hati.
Setelah Tan Sri Hanafi dan Shahira meninggalkan bilik wad tersebut, Amira kembali menatap ke arah Rizal yang terbaring di katil. Wajah suaminya itu ditenung lama. Satu perasaan rindu dan kasih mula membaluti hati Amira. Sungguh, dia sangat rindukan suaminya itu. Tangan Rizal dipegang dengan kemas. Amira kemudian menarik tangan suaminya itu mendekati bibirnya. Satu kucupan daripada Amira singgah pada tangan Rizal. Wanita itu sedih dan kesal. Dia merasa bersalah kerana telah menjadi penyebab kepada keadaan suaminya itu sekarang. Jika bukan kerana Rizal ingin melindunginya, lelaki itu pasti tidak akan terlantar tidak sedarkan diri sebegitu sekarang.
"Abang... maafkan sayang.." Amira mencium sekali lagi tangan suaminya itu. Kali ini, bibirnya melekat lama pada tangan Rizal. Tanpa disangka, tangan lelaki itu kemudian dibasahi oleh titisan air jenih yang gugur setelah melimpah keluar dari kelopak mata Amira.
Share this novel