TUTUP sahaja pintu bilik mandi, pili air singki dibuka membiarkan air terus mengalir seiring dengan air matanya yang mula jatuh bertali arus. Kedua-dua tangan menongkat pada birai singki. Wajahnya di pantulan cermin direnung dengan tangisan sepi tak bersuara.
"Ini yang kau nak dari dulu kan, Rose?" Suara halus Mawar menggumam perlahan. Berbisik pada diri sendiri. Cukup perlahan, hampir tidak dengar saja di telinga. Bibir naik melengkung, tersenyum perit.
Ketika bibir dipaksa naik melengkung untuk tersenyum, air matanya jatuh lagi sekali. Kali ini makin laju, membuatkan sebelah tangannya spontan naik menekup mulut, menahan bunyi esakan dari terdengar hingga ke luar.
Demi Allah, dia sayangkan Zayn, sepenuh hati. Bodohnya dia, perasaan itu hadir setelah semuanya sudah terlambat. Terlalu jauh untuk dia perbaiki segalanya.
Nafas berat ditarik dalam lalu dihembus panjang. Air mata yang tersisa di pipi disapu. Lengan baju disinsing hingga ke siku sebelum kedua-dua tapak tangan naik menadah air yang mengalir, mengambil wuduk, memohon ketenangan jiwa.
Dan di saat lafaz bismillah meniti di bibir, air matanya jatuh buat kesekian kalinya.
Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang, kembalikan aku ke dalam pelukan cinta-Mu, ya Allah...
MENGGAGAU tangan Zayn mencari suis lampu tidur.
Tap!
Kepala ditoleh ke sisi. Berlapis dahinya bila tersedar akan ruangan kosong di sebelah yang sepatutnya dihuni si isteri. Bangun dari baringan, mata Zayn terus tertuju ke arah Mawar yang masih bertelekung sembahyang yang sedang lena mengiring di atas tikar sejadah. Jam meja dikerling sekilas. Pukul 5:15pagi.
Mawar tidur di situ sejak semalam ke? Getus hatinya.
Kelopak mata digosok. Turun dari katil, tubuh yang meringkuk di atas lantai itu didekati sebelum dia turunkan badan, bertinggung di hadapan isteri.
"Mawar." Jari Zayn naik menyentuh bahu Mawar. "Mawar..."
Celik sahaja mata, wajah suami menyapa pandangan. Terus tubuh yang tadi meringkuk kini bangun duduk. Sejanak, wajah tampan di dalam samar-samar cahaya itu direnung.
"Awak ni kenapa?" Zayn kerut dahi. Sekilas, kepala ditoleh ke belakang. Bulu roma naik menegak. Berdebar bila Mawar pandang dia tak lepas. Ada sesuatu yang tak kena ke? Belakang dia ada apa-apa ke?
"Hei! Tengok apa?" sergah Zayn lagi.
Mawar seakan baru tersedar. Pandangan dibuang memandang sejadah sebelum jarinya naik membuka tali ikatan telekung sembahyang. "Awal awak bangun..."
"Saya rasa macam dekat sebelah saya tak ada orang. Saya ingat awak dah mula belajar tidur sorang-sorang," perli Zayn.
Mendengar sindiran begitu, Mawar hanya sekadar senyum sebelum kepala menggeleng, menidakkan tanggapan suami. "Saya tertidur dekat sini. Semalam lepas solat, saya pening kepala sikit."
Tak beri apa-apa jawapan balas, Zayn bangun semula dan duduk di birai katil. Diperhati saja gerak-geri isteri yang sedang melipat kain sembahyang di atas lantai.
"Sarapan nanti nak makan apa? Saya masuk kerja awal pagi ni," tanya Zayn acuh tak acuh. Tidak meleret seperti selalu. Lagipun, Mawar bukannya ada perasaan pada dia.
Kedua-dua kening Mawar terangkat. Tangan yang sedang melipat sejadah kini terhenti, seolah sedang berfikir. Dulu, apa saja yang ada di dalam rumah ini, dia boleh makan. Tapi situasi kini sudah berbeza. Jika ada hari Zayn tidak tapaukan makanan untuknya, dia harus keluar sendiri semata-mata untuk mengisi perut yang kosong.
"Tak apalah, saya tunggu awak balik tengah hari nanti."
"Itu kalau saya balik. Kalau saya tak balik, pandai-pandai awaklah. Tau jaga diri kan?"
Mendengar jawapan mudah Zayn, buatkan Mawar kelu serta-merta. Zayn seolah mengulang semula kata-katanya pada tempoh hari.
'I boleh jaga diri sendiri. Eh tak perlu tunggu dia buang I lah, I dulu yang pergi nanti. Zayn Raffael adalah suami yang tak diundang. Sekelumit pun I tak kisahlah setakat hilang dia.'
Jari jemari di riba bermain sesama sendiri. Tidak tahu hendak beriak seperti apa. Kalaulah dia mampu jelaskan pada Zayn bahawa itu semua hanyalah sekadar ingin mengaburi mata Raffael...
"Diam? Betul kan? Awak tau jaga diri. Awak sakit ke, awak lapar ke, adakah awak masih perlukan saya untuk semua tu? Tak kan? Malah, hilang saya sekalipun, langsung tak beri apa-apa kesan pada awak. Betul?" bidas Zayn lagi.
Dengan susah payah, Mawar geleng kepala. "Demi Allah, Zayn. Saya cakap macam tu sebab saya tak nak Raffael cerita perkara yang sebenar pada awak. Masa lalu saya, dia tak ada hak untuk sebarkan pada siapa-siapa!"
Zayn ketawa suka. Sinis kedengaran.
Melihat tubuh tinggi itu bangun mendekati dan duduk bertinggung di hadapannya, Mawar telan liur. Gugup.
"Saya tahu, sejak hari pertama saya bawa awak masuk dalam rumah ni. Saya tahu semuanya, Mawar. Saya diam, sebab saya terima isteri saya seadanya. Hari yang saya minta izin untuk sentuh isteri saya, di mana hari pertama saya bawa isteri saya masuk dalam rumah ni, adalah hari yang sama saya tahu siapa sebenarnya isteri saya. Bayangkan, Mawar... saya tahu selepas tiga hari kita bernikah. Apa yang Raffael bongkarkan pada saya, adalah sesuatu yang saya dah lama tahu.
Dan hari yang Fahad balik ke sini, saya perhati semuanya, Mawar.Ya, awak nampak saya tenang... tapi tak, Mawar. Saya tahu semuanya sejak awal. Saya tahu, siapa Fahad pada awak satu ketika dahulu. Tapi kenapa saya tak melenting? Sebab saya tak bodoh. Saya terima isteri saya seadanya. Sebab itu adalah masa lampau isteri saya, di mana waktu itu, dia belum lagi berada di bawah tanggungjawab saya. Saya juga tak nilai seseorang berdasarkan masa lalu. Selagi dia berusaha untuk menjadi yang lebih baik dan menerima saya sepenuh hati, itu saja sudah buat saya rasa bersyukur tak terhingga. Tapi sekarang, awak sedar atau tidak yang awak sedang mempersendakan perasaan saya, Mawar?"
Wajah sang isteri direnung garang. Dada utuhnya jelas terlihat sedang berombak perlahan. Seakan menahan perasaan.
"Di kuaters Semenyih, awak cakap awak cintakan saya. Lepas kita bertolak balik ke KL, awak cuba nak lari dengan Raffael. Saya marah, tapi tak lama. Sebab saya tak tergamak nak pulaukan isteri saya sendiri. Tapi bila saya dah terima maaf awak, awak mainkan perasaan saya sekali lagi, Mawar. Apa yang awak luahkan haritu adalah antara perkara yang paling sakit saya pernah rasa selepas papa tinggalkan mama. Macam mana papa buat pada mama, macam tulah apa yang isteri saya sedang buat pada saya sekarang. Rasa dikhianati, tapi awak takkan faham perasaan sakit tu macam mana, Mawar. Sebab awak tak pernah rasa tersakiti."
Mawar tunduk memandang sejadah. Bibir bawah diketap perlahan. Patutlah Puan Zahra begitu marah padanya. Angkat kepala, baru saja mulut terbuka ingin membalas bicara panjang suami, suara garau itu berbunyi lagi.
"Agaknya awak akan faham bagaimana perasaan saya, jika saya balas balik perkara yang sama. Kan? Itu ke cara untuk saya ajar isteri saya?"
Dengan mata bergenang, Mawar menggeleng perlahan. "Saya minta maaf... Demi Allah Zayn, apa yang saya beritahu pada Raffael bukan—"
"Cukup saya percayakan awak sekali sahaja, Mawar. Untuk kali kedua, saya rasa saya tak bodoh untuk terus percayakan awak lagi. Awak nak cakap yang awak cintakan saya? Saya lebih percayakan cerita dongeng, daripada tipu daya awak. I know what kind of woman you are, Rose. Saya cuma baik, bukannya bodoh."
Diamnya Mawar buatkan Zayn tarik senyum sinis. "Saya lelaki, Mawar. Kalau isteri saya tak tahu hargai saya, bermakna saya ada hak untuk cari yang tahu hargai saya."
Usai itu, tubuh bangkit berdiri sebelum menghilang ke dalam bilik mandi. Membiarkan Mawar terdiam sendiri.
JAM dinding dikerling. Masuk kali ini, sudah kali ke-10 dia tilik jarum jam. Perut yang meragam ditahan sejak tadi. Nampak gayanya, Zayn memang tidak balik untuk tengah hari.
"Syu... kau free ke?" Tekap saja iPhone di telinga, Mawar menyoal tanpa memberi salam terlebih dahulu.
"Kenapa?"
"Jom keluar makan nak?"
"Ala Rose... aku baru je balik makan dengan abang aku ni ha. Dah kenyang dah ni. Kerap kau makan luar sekarang? Kelmarin dah, semalam dah, harini makan luar lagi? Amboi, cik suami tak bagi mem besar masuk dapur ke?" usik Syuhada di talian.
"Oh.. yeke? Kau dah tak nak keluar ke?" tanya Mawar. Soalan dibalas soalan. Apa yang ada dalam kepalanya ketika ini, dia mahu makan. Usikan Syuhada tak dihiraukan.
"Tak kut... aku ada kelas nanti Rose. Kau memang nak keluar makan ke atau nak ajak aku gosip? Kalau ajak gosip, malam nanti kita video call. Cun tak?"
Mawar ketawa suka. "Tak adalah. Saja nak jumpa kau, rindu."
"Mengada! Dahlah, malam nanti aku call kau."
Putus saja talian, Mawar renung layar iphone di riba. Selain daripada kereta Zayn dan Puan Zahra, dia sudah tiada pengangkutan untuk ke mana-mana. Hendak berjalan kaki, cuaca di luar seakan tidak mengizinkan. Kuat betul ribut di luar. Gerun rasanya hendak berjalan kaki. Silap-silap jika dia pegang payung sekalipun, pasti berat ditarik angin.
Aplikasi GrabFood ditekan, ingin membuat pesanan melalui penghantaran.
Setelah hampir 30 minit menunggu, saat bungkusan makanan ingin dibawa masuk ke dalam rumah, laluannya disekat Puan Zahra.
"Makanan yang kau beli dari luar, jangan makan dalam rumah aku."
Terkedu Mawar dibuatnya. Plastik makanan yang tadi hanya dipegang sebelah tangan, kini dipegang dengan kedua-dua belah tangan. Meja batu di halaman menjadi tumpuan. Kepala mendongak menengadah awan yang jelas terlihat sarat.
"Tapi... nampak macam nak hujan, mama..."
"Bukan masalah aku. Ingat, aku tak halau kau, dah cukup bagus tau? Apa saja peraturan dalam rumah ni lepas ni, kau kena ikut. Sebab ini rumah aku. Bukan rumah Zayn. Aku tak alu-alukan bekas pelacur dalam rumah ni. Bermakna, aku dah cukup baik sebab masih tumpangkan kau untuk berteduh. Kalau kau tak nak ikut peraturan aku, kau ajak Zayn pindah rumah dia. Dan, jangan panggil aku mama!Keras suara Puan Zahra berbisik.
"Eh.. tapi Zayn pernah cakap dulu yang kau memang tak nak pindah rumah dia kan? Yelah kan, kalau Fahad balik, ada lah peluang bersama," bidas Puan Zahra lagi.
"Anak aku tak layak tau untuk perempuan tak ada maruah macam kau? Anak aku, sentuh perempuan pun tak pernah. Tapi dapat isteri? Apalah agaknya dosa aku dulu ya? Sampai Allah balas macam ni? Dapat menantu-menantu yang kisah silamnya bukan biasa-biasa. Letak saja siapa dekat tempat aku, semua orang pun memang tak boleh terima, Mawar."
Mawar tunduk memandang lantai. Tidak dapat menahan empangan air mata, setitis mutiara jatuh menimpa pipi. Pelacur? Dia sudah tinggalkan itu semua setelah Zayn lafazkan akad padanya. Gelaran itu buatkan Mawar lebih terhenyak dengan rasa malu. Malu pada Allah, malu pada suami, malu pada semua orang.
"Saya tak pernah minta untuk hadir dalam keluarga ni, puan." Hampir berbisik. Jelas terdengar getaran suaranya. Sekalipun tidak pernah terdetik untuk dia rosakkan keluarga ini. Malah, kewujudan Zayn sebagai pengantin lelaki di hari pernikahan mereka dahulu, pun adalah di luar jangkaannya.
Share this novel
best cerita Ni..harap blh selalu update..X sabar Nak tunggu next chapter..