Pemilik bar terkejut. “Apa ni? Kenapa ada perempuan kat dalam stor ni?” dia menyoal, suaranya meninggi sedikit.
“Saya… saya tak tahu!” Pengurus wanita itu tergagap, cuba menutup rasa bersalah dengan alasan yang tidak masuk akal. “Kali terakhir saya periksa, tak ada sesiapa kat dalam!”
“Cepat! Selamatkan dia dulu!” arah pemilik bar, cuba mendekati Eryna.
Namun sebelum sesiapa sempat bergerak, Putera Kecil melompat ke atas tubuh Eryna.
Wajah kecilnya kelihatan garang, seperti singa yang melindungi mangsanya. Matanya yang besar bersinar dengan amaran jelas: ‘Jangan dekat!’
Pemilik bar terpinga-pinga. “T-Tuan Arman, ini…” Dia menoleh, bingung. “Macam mana ni Tuan?”
Arman tidak berkata sepatah pun. Pandangannya melintas dari pengurus wanita yang kelihatan semakin pucat, ke tangga yang terbaring di lantai, dan kemudian ke tingkap kecil di atas dinding. Segalanya mula masuk akal.
Dengan wajah yang tetap dingin, dia melambai tangannya, memberi isyarat agar semua orang menjauh. Suasana menjadi senyap, hanya terdengar bunyi nafas tertahan mereka yang berada di situ.
Arman melangkah ke depan, tubuhnya tinggi dan tegap di bawah cahaya malap bilik itu. Tanpa ragu, dia membongkok dan mengangkat tubuh Eryna dengan mudah. Haruman dingin dan lembut yang sejak tadi mengganggu fikirannya kini terasa lebih kuat, lebih jelas.
Putera Kecil, yang tadi kelihatan seperti penjaga singa ganas, akhirnya memberi laluan. Namun, wajah kecilnya mempamerkan ekspresi yang sangat tidak puas hati.
Matanya memandang tajam ke arah ayahnya, dan jika ekspresi itu boleh berbicara, ia jelas berkata: ‘Kalau aku tak terlalu kecil, aku sendiri yang akan angkat dia!’
Di Hospital Ibu Negara
Ketika Eryna membuka matanya, sinar pagi yang lembut menyapa wajahnya. Diam sejenak, dia bingung, matanya cuba menyesuaikan diri dengan keadaan sekeliling. Kemudian pandangannya jatuh pada seorang lelaki yang duduk di tepi tingkap.
Lelaki itu kelihatan seperti dicipta dari novel klasik, kaki panjang bersilang dengan santai, tubuhnya dibalut sut yang dijahit khas, setiap jahitan menyerlahkan bahu lebar dan pinggang rampingnya. Butang kemeja putihnya dikancing rapi sehingga ke leher, menambah aura dinginnya. Walaupun sinar matahari pagi menimpa tubuhnya, dia tetap terasa seperti diselubungi lapisan ais yang tebal. Wajahnya? Dingin, tegas, seperti seorang raja yang duduk di atas takhta, memandang semua orang di bawahnya dengan tidak endah.
Lelaki itu menyedari dia sedang diperhatikan. Dengan perlahan, dia mengangkat wajahnya dan sepasang mata yang tajam seperti lautan dalam bertemu dengan mata Eryna. Pandangan itu… terlalu agresif, seperti pisau bedah yang mengupas dirinya inci demi inci.
Eryna berasa seram sejuk. ‘Siapa dia ni? Kenapa dia tengok aku macam aku barang kemas berharga?’
Pandangan lelaki itu seperti melekat pada dirinya, membuatkan perutnya terasa tidak selesa. Dengan suara sedikit cemas, dia bertanya, “Maaf, encik… macam mana saya boleh sampai sini? Encik ada nampak seorang budak lelaki? Umur dalam empat atau lima tahun. Tak banyak cakap. Kulit dia putih, gebu… Montel.”
‘Montel?’
Lelaki itu mengangkat sebelah kening mendengar deskripsi itu. Mata tajamnya mengalihkan pandangan ke arah kanan Eryna. Dengan suara yang dingin tetapi dalam, dia berkata, “Maksud awak, Putera Kecik?”
Eryna segera menoleh ke arah yang ditunjukkan lelaki itu. Matanya membulat. Di atas katil kecil di sebelahnya, budak lelaki yang dia panggil Montel sedang tidur nyenyak, dengan jarum IV terpasang pada tangannya. Wajah kecil itu kelihatan tenang, hanya pipinya masih sedikit kemerahan, mungkin akibat demamnya yang baru pulih.
“Montel!” Eryna menghela nafas lega. “Oh… jadi nama panggilan dia Putera Kecik?”
Lelaki itu tidak menjawab, hanya memandangnya dengan ekspresi tidak terbaca, seolah-olah menilai sesuatu.
Eryna tidak peduli. Dia segera duduk dan menyentuh dahi Montel. Nasib baik demamnya sudah reda. Rasa lega mengalir dalam dirinya, tetapi bersama rasa itu, muncul juga rasa bersalah.
‘Kenapa aku biarkan dia keluar sorang-sorang tadi?’ fikir Eryna, menggigit bibirnya. Anak sekecil ini, sedang demam pula, dihantar keluar ke tempat seperti bar yang penuh dengan orang mabuk dan suasana huru-hara. Kalau sesuatu terjadi… dia tak sanggup bayangkan.
Dia memandang budak itu lagi, wajah kecilnya yang lembut membuatkan rasa bersalahnya bertambah. Perlahan-lahan dia mengusap kepala Montel, seperti untuk memastikan semuanya benar-benar baik sekarang.
Eryna memandang lelaki yang duduk di kerusi itu seperti… Patung Ais, nama yang kini dia berikan dalam fikirannya, yang auranya cukup untuk membuatkan sesiapa sahaja rasa kecil dan tidak berharga. “Awak… ayah budak ni?”
Selepas soalan itu keluar, Eryna segera menyedari betapa sia-sianya dia bertanya. Lelaki itu dan Montel terlalu mirip, wajah, mata, malah ekspresi dingin yang sama. Mereka seolah-olah diukir dari acuan yang sama. Sudah tentu mereka ayah dan anak.
Patung Ais mengangkat wajahnya sedikit, memberikan jawapan ringkas tanpa nada, “Ya.”
Belum sempat Eryna mencerna jawapan itu, BAM! Sebuah wajah besar tiba-tiba muncul dari sisi, terlalu dekat hingga membuatkan dia melompat kecil dan mengundur dengan refleks.
“Hai, Cik adik manis! Awak dah sedar! Saya ni pak cik Putera Kecik!” Suara lelaki itu ceria, jauh berbeza dengan suasana dingin sebelumnya.
Eryna memandang wajah baru itu, cuba mengenal pasti siapa gerangan si muka besar ini. Dan kemudian, dia terkaku. Matanya membulat. “Az… Azriel?”
Anak kedua Korporat Alonso. Pemilik Golden Age Entertainment. Seorang lelaki yang muncul di banyak majalah dan akhbar, lebih daripada kebanyakan selebriti. Lelaki yang terkenal dengan wajah tampannya dan personalitinya yang memikat, seorang ‘heartthrob’ dalam dunia korporat.
Tidak mungkin dia salah orang. Wajah ini? Sukar dilupakan.
Eryna menghela nafas panjang, fikirannya memutar-mutar fakta baru yang kini mulai jelas. ‘Patung Ais adalah ayah Montel. Azriel adalah pak cik Montel. Jadi, si Patung Ais tu… Arman Alonso!’
Nama itu bergaung dalam fikirannya seperti gong besar yang dipalu.
Arman Alonso. Lelaki yang digelar “dewa kekayaan,” maharaja tidak bermahkota di ibu kota. Dia adalah legenda hidup, seorang tokoh yang membawa kesan hanya dengan kehadirannya, dan sekarang dia duduk di hadapan Eryna, tenang seperti Maharaja di dalam takhtanya.
Dan Montel, budak kecil yang dia selamatkan di stor bar itu? Anak luar nikah Arman. Putera Kecil yang bersinar seperti emas.
Eryna memejamkan mata sejenak, cuba memproses segalanya. ‘Apa aku buat ni? Aku panggil pewaris Korporat Alonso... Montel?!’
Arman memandang wanita di atas katil dengan tatapan dingin, penuh menyelidik. Matanya seolah-olah cuba menembus setiap inci dirinya, mencari tanda-tanda penipuan. Adakah dia benar-benar terkejut dengan identiti Putera Kecil, atau ini semua sandiwara?
Setelah beberapa detik yang terasa seperti berjam-jam, akhirnya Arman mengendurkan sedikit ekspresinya. Nampaknya, dia percaya Eryna benar-benar tidak kenal Putera Kecil sebelum ini. Dengan suara tenang tapi penuh kuasa, dia berkata, “Permintaan awak.”
Eryna mengerutkan dahi. “Eh, permintaan apa?” Dia benar-benar keliru dengan kata-kata itu.
Azriel, yang dari tadi kelihatan seperti menikmati drama percuma, segera menyambung dengan wajah ceria. “Abang nak cakap terima kasih sebab awak selamatkan Putera Kecik. Dia nak bagi awak hadiah. Awak sebut je apa-apa permintaan yang awak nak.” Dia tersenyum, seperti penonton yang menunggu babak paling menarik.
Hadiah? Permintaan? Eryna terasa kepalanya berputar seketika. Namun, dia segera kembali fokus. Dengan nada berhati-hati, dia menjawab, “Eh, tak apa lah. Sebenarnya Mon… Putera kecik pun yang selamatkan saya. Kalau bukan sebab dia yang keluar untuk cari bantuan, mungkin saya masih terkurung lagi dalam bilik stor tu. Jadi… Kira langsai la kan?”
Jawapannya terasa logik. Dia benar-benar tidak mahu apa-apa. Bagaimana dia berani meminta sesuatu daripada keluarga Alonso, golongan elit super kaya? Lebih baik dia menjaga jarak. Lagipun, dia masih ingat tatapan Arman tadi, penuh curiga, seolah-olah dia boleh di cop sebagai orang yang suka mengambil kesempatan. Tidak perlu memberi mereka alasan untuk menyangka dia cuba memperdaya mereka.
Namun, sebaik saja dia selesai bercakap, Eryna perasan sesuatu. Ekspresi Arman yang dingin tadi tidak berubah, malah, mungkin semakin menakutkan. Dia menatapnya seolah-olah dia baru sahaja mengatakan sesuatu yang menghina keturunan Alonso.
‘Eh, aku salah cakap ke? Kenapa muka dia macam tu?!’
“Abang, jangan buat muka menakutkan macam tu, kesian Cik adik manis ni!” Azriel akhirnya bersuara, tidak tahan melihat wanita itu hampir melompat dari katil kerana panik.
Eryna cuba menyembunyikan senyumnya yang hampir terbit kerana kata-kata Azriel, tetapi hatinya masih dilanda kekeliruan. Kenapa setiap kali Arman bergerak atau berkata sesuatu, dia rasa seperti sedang diadili di mahkamah agung?
Azriel menoleh kepadanya dengan senyuman ramah, cuba menenangkan suasana. “Abang saya ni jenis yang tak suka terhutang budi. Ala, awak minta je apa awak nak. Semua dia boleh bagi. Tak kisahlah apa. Nak kereta? Rumah? Atau nak dia belanja awak makan selama setahun? Bukan susah pun nak cakap satu permintaan. Tak payah malu-malu.”
Eryna memandangnya dengan kening terangkat. Ada juga orang yang paksa orang lain buat permintaan?
Dia menghela nafas perlahan, cuba memikirkan cara untuk menolak dengan sopan tanpa membuat Patung Ais di depannya meletus. “Err… kalau saya kata tak ada apa yang saya nak, itu pun permintaan, kan?”
Sudut mulut Eryna berkedut. Dia cuba mengekalkan senyuman yang lebih dekat kepada senyuman paksa. “Bukan saya nak berlapik, tapi betul, awak tak perlu balas budi saya. Apa yang saya cakap tadi semua betul. Kalau awak tak percaya, awak boleh check CCTV…”
“Tak perlu.” Arman memotong dengan tegas. Nada suaranya pendek, dingin, dan penuh kesabaran yang semakin tipis. Wajahnya memberi isyarat jelas, ‘Berhenti buang masa aku.’
Azriel, seperti biasa, melangkah masuk sebagai tukang penterjemah tidak rasmi untuk situasi yang semakin janggal. “Sebenarnya, kami dah tengok rakaman CCTV kat bar tu. Memang betul, Putera Kecik yang masuk sendiri dalam bilik tu. Pengurus bar tu pun dah mengaku dia yang kunci awak. Kesian awak. So, don't worry. Kami tau awak tak tipu. Ha, mintalah sekarang. Apa je yang awak nak!”
‘Alamak. Aku memang kena buat permintaan juga ke? Apa diorang ni? ‘Ginie’? Kenapalah aku pergi gosok kepala budak ni!’
Eryna akhirnya menyerah. Di bawah tatapan Arman yang semakin mendesak, dan ekspresi Azriel yang penuh keterujaan macam menunggu babak filem blockbuster, dia menarik nafas dalam. “Baiklah…” Dia menelan liur, cuba mencari pilihan yang paling logik. “Kalau macam tu… saya nak… duit?”
Dia yakin permintaan ini adalah jalan tengah. Mudah. Terus terang. Tidak akan menyinggung sesiapa. Dia yakin Arman adalah jenis lelaki yang percaya wang boleh menyelesaikan semua masalah dunia.
Namun, sebaik sahaja ayat itu keluar dari bibir merahnya, wajah Arman menjadi lebih kelam. Matanya menyepet, rahangnya mengeras, dan suasana di dalam bilik berubah seperti kabus dingin menyelimuti.
‘Kenapa pula muka dia macam tu?!’
Eryna hampir menangis dalam hati. ‘Kalau tak suka permintaan aku, cakap jelah! Bukannya payah nak bercakap!’
Azriel, yang telah menjadi penterjemah penuh masa antara Arman dan dunia, menggosok hidungnya sambil menoleh kepada Eryna. “Err… abang saya rasa kalau dia cuma bagi awak duit, itu macam menghina awak.”
Eryna hampir jatuh dari katil sambil menjerit dalam hati, ‘Kalau macam tu, tak apa lah! Hina jelah saya ni! Hina sampai puas! Saya tak kisah!
Keluarga Alonso terlalu rumit, dan Eryna tak dapat memikirkan permintaan lain yang sesuai pada saat itu. Ketika keadaan hampir masuk ke jalan buntu, Arman akhirnya bersuara.
“Kahwin dengan saya.”
.
.
.
.
...Apa?
Share this novel