Wajah Afka yang nyenyak tidur itu ditatap lama. Timbul rasa kasihan. Pasti Afka penat membantunya di booth hari ini. Sungguh Ajana bersyukur Afka sudi membantunya walaupun dia tidak meminta pertolongan lelaki itu.
Tiba-tiba terdetik dalam hati Ajana, dalam ramai-ramai perempuan dekat atas dunia ni kenapa Afka nak kahwin dengan dia? Tiada apa-apa yang istimewa padanya. Sampai sekarang Ajana masih tidak dapat jawapan mengapa Afka mahu berkahwin dengannya.
Terimbas kembali kejadian di booth tadi. Punyalah ramai gadis-gadis datang singgah ke booth nya hanya kerana mahu berjumpa dengan Afka. Siap bergurau nak jadi isteri kedua, ketiga Afka lagi. Langsung tak hormat perasaan Ajana sebagai isteri Afka.
Bila lihat mereka bergurau begitu dengan Afka tadi, terbit satu perasaan tidak senang di hati Ajana. Dia sendiri tak pasti mengapa dia rasa begini.
Adakah dia cemburu? Tak mungkin. Ajana cuba menafikan perasaannya. Tapi tetap perasaan itu muncul tanpa dapat dikawal.
Tengoklah tu… Tengah tidur pun nampak hensem. Tak adil betul!
Tiba-tiba datang idea nakal Ajana. Dia capai telefon bimbitnya yang ada di atas meja kopi. Kamera dibuka. Ajana bercadang mahu mencuri-curi rakam gambar Afka yang sedang tidur itu.
Namun dia tidak berpuas hati gambar yang dirakam. Dia menghampiri Afka dengan lebih dekat lagi. Ajana terlalu fokus pada skrin telefon sehingga tidak menyedari kakinya tersangkut pada hujung karpet. Dalam sekelip mata, dia tergelincir dan jatuh tepat ke atas badan Afka.
“Ah!” Ajana terjerit kecil. Sedar-sedar dia sudah selamat mendarat di atas badan Afka.
Afka langsung terjaga daripada tidurnya. Dia sendiri terkejut bila tiba-tiba Ajana berada di atas tubuhnya.
“Ajana?” Terkebil-kebil matanya memandang Ajana.
“Err… Sorry. Saya… Saya tak sengaja!” Ajana cuba bangun tapi entah di mana silapnya, dia terjatuh kembali di atas badan Afka.
“Aduh! Awak ada dendam dengan saya ke Ajana?” seloroh Afka. Dia berpura-pura menahan sakit. Bukannya berat sangat pun badan isterinya itu.
Ajana langsung bangun. Dia menjauhi Afka beberapa tapak ke belakang. Wajahnya terasa membahang. Ah, kenapalah suka sangat memalukan diri sendiri ni? Tu lah, sibuk sangat nak curi-curi tangkap gambar Afka tadi!
“Saya minta maaf. Saya tak sengaja.”
Afka menahan ketawa. “Awak nak tidur dengan saya ke? Kalau nak, mehlah sini.” Afka menepuk pahanya. Datang dah mood nak mengusik…
“Merepeklah awak ni. Malas nak layan!” Ajana cepat-cepat beredar ke biliknya. Meninggalkan Afka sendirian di ruang tamu.
Afka menghantar pemergian Ajana dengan pandangan mata. Dia ketawa kecil sambil menggeleng perlahan. Entah macam mana Ajana boleh terjatuh di atasnya.
Tapi yang penting… Afka suka! Kesempatan begini tak datang dua kali. Eh tapi, Ajana jatuh atas dia dua kali tadi.
***
Orked share teaser dulu je kat sini ya. Nak baca sambungan boleh follow/add orked dekat ig dan fb.
ig - orkedungu_14
fb - Orked Ungu
***
“Kena tutup lampu. Baru feel macam dekat dalam panggung wayang.” Afka bangun daripada sofa dan bergerak ke arah suis lampu. Sekelip mata ruang tamu mereka berubah gelap. Yang ada hanya lampu daripada skrin televisyen yang memancarkan cahaya samar-samar.
“Over lah dia ni. Dah lah nak tengok cerita hantu. Siap tutup lampu pula tu,” marah Ajana. Padahal jantungnya dah mula berdegup laju. Bab-bab macam ni Ajana memang penakut sikit.
“Kenapa daripada tadi gelap je? Rumah dia tak ada lampu ke?” soal Ajana. Gelisah dibuatnya. Takut tiba-tiba ada jump scare.
Afka ketawa mendengar soalan isterinya itu. Tipikal filem seram, memang suasana di dalam rumah gelap walaupun siang hari.
Ajana menjeling Afka di sebelah. Fokus betul Afka tonton filem. Dia pula yang tak senang duduk sekarang ni.
Tiba-tiba, suara jeritan daripada televisyen bergema. Diiringi dengan kemunculan makhluk menyeramkan secara tiba-tiba. Ajana terus menjerit dan tanpa sedar dia mencengkam kuat lengan Afka.
“Awak ni, janganlah tiba-tiba jerit. Saya pun terkejut,” kata Afka sambil menahan ketawa.
“Dah hantu tu keluar tiba-tiba. Saya terkejutlah,” bidas Ajana kembali. Lengan Afka yang dicengkamnya tadi dilepaskan. Sumpah, ini kali terakhir dia tonton filem seram bersama Afka. Kalau tak mengenangkan Afka membantunya di booth minggu lepas, jangan haraplah Ajana bersetuju untuk menemani Afka menonton filem. Baik dia sambung baca novel di bilik.
“Kalau takut sangat, sini. Duduk rapat sikit.”
“Tak nak. Saya nak tidur.” Ajana menguap kecil. Lebih baik dia masuk bilik dan tidur. Asyik terkejut je tengok filem seram. Silap-silap boleh terkena serangan jantung.
Ajana sudah berkira-kira mahu bangun daripada sofa tapi Afka menghalang.
“Tidur je lah dekat sini. Nanti dah habis movie ni, saya kejutkan awak.”
“Baring kat sini.” Afka menepuk pahanya sambil tersenyum kecil.
Dahi Ajana berkerut seribu. Serius lah Afka nak dia tidur atas paha lelaki itu?
“Baringlah cepat. Nanti kalau awak tidur sorang-sorang dalam bilik tu, awak overthinking pula.” Afka terus menarik tubuh Ajana berbaring di atas pahanya.
Terkebil-kebil mata Ajana pandang wajah Afka daripada bawah.
“Selesa tak?” soal Afka. Rambut Ajana diusap perlahan.
Ajana telan liur. Posisi ini terasa sangat janggal. Tapi dia tiada pilihan lain. Betullah Afka cakap tadi. Kalau dia masuk bilik sekarang, mulalah dia fikir yang bukan-bukan. Terbayang-bayang muka makhluk seram yang ada dalam filem.
“Saya tak ada pilihan lain.” Ajana pejamkan mata. Tapi beberapa detik kemudian, dia buka mata kembali.
Dia menatap wajah Afka. Tanpa sedar bibirnya tersenyum sendiri. Afka memang bukan lelaki romantik. Kata-kata Afka kadang buat dia bengang dan geram. Tapi lelaki itu ada caranya yang tersendiri untuk menunjukkan rasa prihatinnya.
Bibir Afka melengkung senyum bila telinganya menangkap dengkuran halus Ajana. Rambut Ajana dielus perlahan. Wajah isterinya itu ditatap penuh cinta.
Entah bila dia ada keberanian untuk meluahkan rasa hatinya pada Ajana. Afka takut jika dia meluahkan rasa hatinya yang dipendam bertahun-tahun selama ini akan buat Ajana rasa tidak selesa. Jadi biarlah waktu yang menentukan. Suatu hari nanti pasti dia akan meluahkan juga rasa hatinya.
Tak sampai hati nak kejutkan Ajana daripada lenanya, Afka membongkok dan menyelitkan satu lengannya di bawah lutut Ajana, satu lagi di belakang tubuhnya. Dengan berhati-hati, dia mendukung Ajana. Memastikan gerakannya tidak mengejutkan isterinya itu.
“Ringan sangat,” gumam Afka perlahan. Kaki bergerak melangkah ke tingkat atas.
Sampai di bilik, dengan berhati-hati Afka meletakkan tubuh Ajana di atas katil. Memastikan isterinya itu selesa. Selimut ditarik menutupi tubuh Ajana.
“Afka... Saya kat mana?” soal Ajana separuh sedar. Matanya terbuka sedikit.
“Dekat bilik. Awak tertidur dekat sofa tadi. Sambung tidur, okey?”
Ajana mengerutkan dahi tetapi matanya semakin berat untuk dibuka. Dia akhirnya mengangguk kecil sebelum matanya dipejamkan kembali.
Afka duduk di birai katil seketika. Bibirnya tersenyum kecil sambil menatap Ajana. “Selamat malam, Ajana.”
Share this novel