HFM 72 | | Andai Masa Di Putar Semula

Romance Series 131913

Bilik mesyuarat di tingkat lima Menara Syarikat Samsoong Enterprise itu akhirnya sunyi. Bau kopi yang sedikit pahit masih terawang-awang di udara bercampur dengan haruman kertas-kertas laporan yang berselerakan di atas meja mahogani yang panjang.

Zane menghela nafas lega. Mesyuarat lembaga pengarah yang berlangsung sejak pagi tadi akhirnya selesai, tepat sebelum perut mula berkeroncong meminta diisi.

Suasana tadi tegang, membincangkan kemerosotan sedikit dalam aliran tunai syarikat dan beberapa projek yang berjalan lambat. Zane, sebagai ketua pegawai eksekutif, terpaksa menjawab pelbagai soalan yang kadangkala terasa seperti hukuman.

Cahaya matahari yang menembusi tingkap kaca yang besar menyinari debu-debu halus yang menari-nari di udara, memberikan gambaran betapa lamanya mereka berkurung di dalam bilik itu.

Kerusi-kerusi kulit yang diduduki ahli lembaga pengarah mula kosong satu persatu. Encik Ronald mengemas fail-failnya dengan wajah kerut, manakala Puan Anita sudah pun berbual mesra dengan setiausahanya di muka pintu.

Zane mengumpulkan kertas-kertas catatannya, memasukkannya ke dalam fail kulit berwarna hitam miliknya. Dia ingin segera keluar dari ruangan yang terasa menyesakkan ini.


“Zane,” satu suara garau memanggilnya. Langkah Zane terhenti. Dia menoleh dan melihat Tuan Isaac, salah seorang ahli lembaga pengarah yang paling senior, sedang menghampirinya dengan senyuman di bibir.

Tuan Isaac, dengan rambutnya yang sudah memutih di sisi dan perutnya yang sedikit membuncit, sentiasa membawa aura tenang dan berpengalaman.


“Tuan Isaac,” sapa Zane dengan sopan.


“Sibuk?” tanya Tuan Isaac, berdiri betul-betul di hadapan Zane.


Zane menggelengkan kepalanya. “Tidaklah begitu, tuan. Tuan perlukan apa-apa ke?”


“Baguslah. Saya ada sedikit masa sebelum makan tengah hari. Mari kita berbual sekejap,” ajak Tuan Isaac sambil menunjuk ke arah sudut bilik yang terdapat beberapa sofa kulit yang empuk.

Zane mengangguk dan mengikut langkah Tuan Isaac. Mereka duduk berhadapan, suasana di sudut itu terasa lebih santai berbanding meja mesyuarat yang tegang tadi.


“Jadi, Zane,” Tuan Isaac memulakan perbualan dengan nada lembut, “bagaimana keadaan kamu sekarang? Saya dengar… tentang Astrid.”


Zane menarik nafas perlahan. Perkahwinannya dengan Astrid, yang diatur oleh keluarga mereka sejak dulu, memang tidak bahagia. Perceraian mereka beberapa bulan lalu masih terasa perit, meskipun dia sendiri yang menginginkannya. “Saya baik-baik sahaja, Tuan Isaac. Sudah lama berlalu.”


Tuan Isaac mengangguk-angguk, matanya memandang Zane dengan penuh perhatian. “Kamu masih muda dan berjaya. Seorang lelaki seperti kamu tidak sepatutnya hidup sendirian.” Dia berhenti seketika, seolah-olah sedang menimbang kata-katanya. “Saya dengar… kamu masih belum mempunyai pengganti?”


Zane tersenyum nipis. “Buat masa ini, saya belum memikirkannya, Tuan.”


“Begini, Zane,” kata Tuan Isaac, nada suaranya menjadi lebih serius namun tetap ramah. “Saya mempunyai seorang anak perempuan. Namanya Aisyah. Dia seorang gadis yang baik, sopan, dan berpendidikan. Saya… saya fikir dia sesuai dengan kamu.”


Zane terkejut. Dia tidak menyangka perbualan ini akan menuju ke arah perjodohan. “Tuan Isaac, saya sangat menghargai tawaran Tuan. Itu suatu penghormatan yang besar.”


“Saya serius, Zane. Saya sudah lama memerhatikan kamu. Kamu seorang lelaki yang bertanggungjawab dan berdedikasi. Saya yakin kamu akan menjadi suami yang baik untuk Aisyah.”


Zane merasa serba salah. Bagaimana dia harus menolak tawaran baik ini tanpa menyinggung perasaan Tuan Isaac? Dah pulak, bagaimana dia nak cakap ni? Tuan Isaac ni baik, tapi lelaki ini tak tahu yang dia dah berkahwin. Dengan Dihya pula tu. Kalau diberitahu, mesti kecoh. Tapi kalau dia terima, dia pula yang menduakan Dihya. Tak mungkin la dia akan lakukannya! “Tuan Isaac,” dia memulakan dengan hati-hati, “saya amat berterima kasih atas kepercayaan Tuan. Tetapi… buat masa ini, hati saya belum terbuka untuk memikirkan soal perkahwinan lagi.”


“Oh, begitu?” Tuan Isaac kelihatan sedikit kecewa, namun senyumannya tidak pudar. “Tidak mengapa, Zane. Saya faham. Mungkin belum tiba masanya.”


Zane mengangguk lega. “Terima kasih kerana memahami, Tuan.” Dia melihat jam tangannya. “Maafkan saya, Tuan Isaac. Saya baru teringat, saya perlu bergegas ke hospital. Datuk saya, Tuan Samsoong, minta kehadiran saya sejak semalam. Jadi saya perlu melawatnya.”


“Oh, ya. Baiklah. Semoga beliau cepat sembuh. Sampaikan salam saya kepadanya, ya?” kata Tuan Isaac dengan nada prihatin.


“Baiklah, Tuan. Sekali lagi terima kasih atas perbualan tadi,” ujar Zane sambil berdiri. Dia berjabat tangan dengan Tuan Isaac sebelum bergegas keluar dari bilik mesyuarat, meninggalkan Tuan Isaac yang masih duduk di sofa dengan wajah yang sedikit termenung.

Zane menghela nafas lega. Satu halangan berjaya dilewati. Namun, dia tahu, rahsia perkahwinannya dengan Dihya adalah bom waktu yang pasti akan meletup suatu hari nanti.

LANGKAH Zane tergesa-gesa menyusuri koridor Hospital Universiti Negara. Bau antiseptik yang kuat menusuk hidung, bercampur dengan bau ubat-ubatan yang samar.

Suara roda katil yang berdecit dan deringan perlahan alat pemantau jantung menjadi latar bunyi yang sayu. Lampu kalimantang yang terpasang di siling memancarkan cahaya putih yang dingin, menerangi dinding-dinding berwarna krem yang terasa membosankan. Beberapa jururawat dan pembantu perubatan berjalan pantas dengan wajah yang serius, sesekali bertukar sapaan ringkas. Seorang wanita tua duduk di kerusi roda di tepi dinding, ditemani seorang lelaki yang kelihatan cemas. Di hujung koridor, kelihatan seorang doktor sedang berbincang dengan ahli keluarga pesakit dengan nada yang lembut namun berhati-hati.

Zane mempercepat langkahnya, hatinya sedikit gusar. Datuknya, Tuan Samsoong, seorang lelaki yang gagah perkasa, kini terbaring lemah di hospital. Khabar kesihatannya yang menurun semalam benar-benar mengejutkannya. Dia tiba di hadapan sebuah pintu kayu dengan nombor wad tertera di atasnya: 305.

Zane menarik nafas dalam-dalam sebelum menolak pintu tersebut perlahan.
Di dalam wad yang serba putih itu, Tuan Samsoong kelihatan sedang bersandar di atas katil. Bantal-bantal disusun tinggi di belakang punggungnya, membolehkannya duduk dalam keadaan melunjur. Sebuah alat bantuan pernafasan terpasang di hidungnya, mengeluarkan bunyi desiran halus yang mengiringi setiap tarikan dan hembusan nafasnya.

Tray makanan kosong terletak di meja kecil di sisi katil, menandakan lelaki tua itu baru sahaja selesai makan tengah hari. Wajah Tuan Samsoong kelihatan sedikit pucat, namun matanya masih memancarkan semangat yang biasa Zane lihat. Ketika melihat Zane, seulas senyum tipis terukir di bibirnya.


“Zane… kamu datang,” sapa Tuan Samsoong dengan suara yang sedikit serak, teredam oleh alat pernafasan.


Zane menghampiri katil dengan langkah lebar dan menggenggam tangan datuknya yang terasa sedikit sejuk. “Ya, Datuk. Saya baru selesai mesyuarat tadi. Bagaimana keadaan Datuk hari ini?” tanyanya dengan nada mendatar.


Tuan Samsoong mengerutkan dahinya sedikit. “Lama sungguh nak tunggu kamu datang, Zane. Datuk ingatkan kamu tak sudi lagi nak jenguk orang tua ini.”


Zane meremas lembut tangan datuknya. “Mana ada, Datuk. Saya sibuk sikit uruskan hal syarikat tadi. Maafkan saya.” Dia menarik kerusi beroda di tepi katil dan duduk, meletakkan failnya di lantai. “Sekarang saya dah ada di sini. apa yang mustahak sangat sampai tak sabar-sabar suruh saya datang?”


Tuan Samsoong menghela nafas perlahan. “Sebenarnya… ada sesuatu yang penting Datuk nak beritahu kamu. Sebab itu Datuk suruh kamu datang.” Raut wajahnya berubah, senyuman tipisnya hilang digantikan dengan ekspresi yang sukar dibaca. Ada kerisauan yang terpancar di matanya, bercampur dengan rasa bersalah yang samar.


Zane mengerutkan keningnya, merasa hairan dengan perubahan air muka datuknya. “Apa dia, Datuk? Nampak macam penting sangat.”


Tangan Tuan Samsoong yang digenggam Zane terasa sedikit bergetar. Lelaki tua itu memandang ke arah tingkap seketika, seolah-olah sedang mencari kata-kata yang tepat. “Zane… Datuk harap, lepas kamu dengar apa yang Datuk nak cakapkan ini… kamu takkan marah pada Datuk.” Suaranya semakin perlahan, hampir berbisik. “Kamu tahu kan, Datuk ni dah tak lama… Bila-bila masa saja nyawa ni boleh panggil. Jadi, sebelum itu terjadi… Datuk nak pastikan satu perkara ini selesai. Satu rahsia… yang Datuk simpan selama ini daripada kamu.” Nada suaranya menggantung, meninggalkan Zane dengan perasaan ingin tahu yang bercampur dengan firasat buruk.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience