Bab 22

Detective Completed 54058

Lima belas minit memandu, Haris berhentikan kereta di kawasan Stesen Petronas. Tanpa berkata apa-apa, Haris turun dari perut kereta dengan membawa beg galasnya. Itu yang membuatkan Dara kaget seketika. Dia sebenarnya tidak tahu ke mana arah tujunya Haris kerana lelaki ini hanya diam sepanjang pemanduannya. Tidak seperti semalam. Bukan main ligat mulut lelaki ini menyuruh dia berhenti menangis.
Tak sampai lima minit, Haris munculkan diri dengan pakaian lain. Tidak berkedip Dara melihat penampilan baharu lelaki ini. Haris mencampak begnya ke kerusi belakang. Kemudian dia berjalan laju ke bahagian pintu sebelah penumpang. Tempat duduk Dara.
“Turun.”
Dara tidak salah dengar kan? Haris sedang mengusir dia.
“Cepat turun, saya dah jauh tertinggal.” Kata Haris lagi bila Dara hanya diam tidak berkutik.
Hampir luruh rahang Dara. Haris hanya jauh tertinggal, tetapi dia ditinggalkan? Begitu ke maksud lelaki ini? Tergamak Haris ingin meninggalkan dia sendirian?
Haris melirik pergelangan tangan dia. Kalau beginilah kerjasama Dara, boleh jadi dia akan lewat setengah atau satu jam untuk sampai ke check point yang telah mereka janjikan.
“Come on, Dara! Saya percayakan awak. Jadi tolong beri kerjasama. Dan saya akan serahkan isteri ke dua saya kepada awak untuk sementara.”
Kali ini Dara sudah tidak pandai mengerdip mata. Dia hanya merenung Haris menghulurkan segugus kunci kepadanya. Lebih tepat, itu kunci kereta Ford Ranger milik Haris.
Lambat-lambat Dara menyambut. Sebenarnya, dia ingin bertanya perihal penampilan lelaki ini. Daripada pandangan matanya, pakaian yang tersarung di tubuh Haris itu sesuai untuk aktiviti berbasikal. Entah mengapa mulutnya jadi berat untuk bertanya.
Sebaik Dara mengambil kunci tersebut, Haris tidak menunggu lama. Dia terus ke belakang keretanya.
Dara menyusul kemudiannya. Dia sekadar memerhati Haris yang sedang menurunkan sesuatu dari ruangan kabin belakang dan kali ini Dara tidak salah. Sebuah basikal telah pun selamat mendarat di atas tanah. Daripada badan basikal yang berkilat, dapat Dara menebak Haris menjaganya dengan baik sekali.
“Ini isteri nombor tiga saya.”
Dara merenung sekilas Haris yang sibuk membetulkan basikal miliknya. Haris tidak perlu memberitahunya. Dia tidak mahu tahu siapa isteri pertama, kedua, ketiga dan ke empat lelaki ini.
“Awak perlu ingat. Isteri pertama saya, kerja saya. Kereta saya dah jadi isteri ke dua. Ini yang ketiga. Dan, awak jatuh tempat ke empat.”
Baru saja Dara ingin memangkah ayat Haris, dia dihalang. Haris itu sentisa siap-siaga mendominasi untuk mematah-matahkan semua percakapan dia. Haris tidak akan membiarkan dia menang dengan cara apa sekali pun.
“Awak layak dapat gelaran yang bongsu. Yang cengeng. Yang mengada tak bertempat. Yang hatinya serapuh tisu. Yang suka memberontak. Dan yang paling degil.”
Tak guna punya Haris! Lelaki ini sedang melancarkan serangan mengutuk dirinya terang-terangan. Kunci kereta milik Haris digenggam kuat. Sekali lagi Haris mengata dia, jangan di tanya kenapa kunci ini melayang.
“Tapi awak yang akan saya jadikan bantal peluk menemani setiap malam saya. Nombor satu, dua, tiga pun tak akan pernah dapat kelebihan itu.”
Tadi muka Dara merah-merah kerana marah, sekarang merah-merah sudah bertukar merah jambu. Malu bila Haris yang ayatnya pedas-pedas boleh cerita sebegitu. Tak senonoh!
Dara yang bercinta dengan Emir pun tak pernah bercerita adegan sentuh-menyentuh. Haris yang belum tentu jadi suaminya, sudah pandai-pandai saja ingin jadikan dirinya sebagai bantal peluk.
“Ini salah satu hobi saya, Dara. Awak perlu ambil tahu. Jangan nanti kalau saya hilang, awak tuduh saya cari perempuan lain.”
Dara pandang Haris. Cukup tajam pandangan matanya. Dia tidak suka apa yang baru disebut Haris. Seolah-olah dia sejenis perempuan yang berfikiran kolot.
“Hari ni mood saya baik sebab dapat keluar ride setelah sekian lama. Jadi, jangan nak spoile mood saya dengan muka basi awak tu. Cepat, bawa bini ke dua saya tu elok-elok dan follow saya dari belakang.”
Dara pejam mata sejenak.
Emak benar-benar pilih Haris? Emak tahu tak Haris ini virus yang berjaya menimbulkan semua sel-sel kemarahannya? Emak tahu tak, Haris ini boleh membuatkan dirinya mengidap penyakit jantung pada usia muda?
“Saya masih trauma, Haris.” Dara memberi alasan yang kukuh untuk menolak memandu kereta Haris. Dia pun tidak ingin menanggung risiko jika isteri nombor dua Haris ini bakal mengalami luka-luka.
Haris sudah siap sedia untuk menunggang basikalnya. Sempat dia membetulkan kaca mata hitamnya sebelum panahan matanya tepat ke wajah Dara.
“Trauma awak tu spesis saka ke? Yang suka keluar masuk sesuka hati? Semalam trauma awak tu lupa nak munculkan diri, sekarang dia dah jumpa jalan pulang? Dah kenal semula tuan badan? Seingat saya, semalam bukan main elok awak memandu sampai sesat." Bertubi-tubi serangan dari mulut Haris.
Dara gigit bibir. Haris mengungkit cerita semalam. Cerita yang menemukan dia bersama lelaki ini sejurus berjumpa dengan Emir.
“Saya minta maaf kalau berlaku apa-apa pada wife awak nanti.” Separuh rela Dara setuju. Sempat dia berpesan awal-awal. Jangan nanti Haris menunding jari kepadanya jika berlakunya kecelakaan. Bukan dia meminta, tapi dia tidak mampu meramal. Itu kerja tuhan.
“Semalam kita ada berjumpa?”
“Huh?” Dara tidak jadi melangkah. Dia kurang faham dengan soalan Haris.
“Mak awak cakap, semalam kita keluar berdating. Betul ke?”
Dapat Dara rasakan tiada aliran darah yang mengalir di wajahnya. Dia boleh jamin sebentar dia bakal tayangkan seraut wajah pucat lesinya untuk tontonan Haris.
Kalau Haris tahu dia menipu, mati dia terima serangan sindiran bertali arus. Boleh lumpuh semua sistem pemikirannya menerima serangan beracun Haris. Sudahnya, diam merupakan pilihan terakhir.
“Berjumpa tak sampai sepuluh minit dekat belakang lorong sunyi, tanpa sengaja. Itu ke yang awak anggap temujanji kita?”
Haris sudah memulakan lagi. Dara terlebih dahulu melarikan pandangan. Mata dia tidak pandai menipu. Sekelip mata dia bakal tertanggap dengan renungan Haris yang cemerlang membaca fikirannya.
“Jom!”
Barulah Dara berani pandang Haris yang sudah memulakan kayuhan. Turun dada dia kerana berjaya meranapkan perbalahan yang hampir tercetus. Lega.
Dengan lafaz bismillah, Dara memulakan pemanduan. Mula-mula, dia terasa kekok juga memandu kereta yang berganda-ganda tingginya daripada kereta miliknya. Namun, sepuluh minit mengekori Haris, dia berjaya mengawal rentak. Haris pun boleh tahan laju juga mengayuh. Tak adalah dia perlu memandu seperti kura-kura.
Dara sempat meneroka kereta Haris yang bersih. Memang layaklah kereta ini digelar isteri. Haris menjaga luar dalam kereta ini cukup baik. Bauan dalam kereta ini juga menenangkan jiwanya.
Tidak jauh dari sini Dara dapat melihat kelompok manusia yang sama hobinya dengan Haris setelah dua puluh minit mengekori lelaki ini. Tidak lama kemudian, Haris sudah pun menyertai mereka. Sempat mereka berhenti sebentar untuk membasahkan tekak. Dia juga melakukan hal yang sama. Kereta Haris diberhentikan di bahu jalan tidak jauh dari mereka. Dia tidak berniat untuk turun. Arahan Haris, hanya mengekori. Bukan menyertai. Jadi, dia cukup faham penyampaian lelaki ini.
Sedang ralit Dara memerhati Haris yang elok bergurau senda dengan rakannya, dia dikejutkan dengan bunyi dari telefon miliknya. Baru teringat, sejak dari malam tadi, dia belum menerima sebarang khabar daripada Emir. Kemungkinan besar Emir yang menghantar pesanan whatsapp kepadanya.
Telahan Dara tidak salah bila nama Emir yang tertera dinotifikasi. Bibir terus mengorak senyuman lebar. Emir bertanyakan keadaannya. Laju jari dia menaip untuk membalas pertanyaan Emir. Bibirnya masih saja tersenyum-senyum.
Senyuman Dara pudar bila Emir mula bertanyakan perihal laporan polis yang dibuat. Kata Emir, dia sudah tidak sanggup menjadi buruan polis. Dia inginkan kehidupan normal. Mengeluh panjang dengar segala keluh-kesah lelaki ini. Dara jadi kekok untuk membalas ayat Emir.
Keluhan Dara bertukar kejutan bila mana cermin kereta diketuk dari luar. Terlepas telefon miliknya, elok saja mendarat di atas kakinya. Dia tidak segera mengutip. Dia perasan Haris terlebih dahulu memberi pandangan kurang enak. Kelam kabut tangan menekan suis.
Hairan.
Puas ditekan suis untuk menurunkan cermin kereta. Tetapi, cermin kaca yang bertinted gelap ini masih juga degil. Gagal memberi kerjasama. Sengaja nak menjadi penghalang suara Haris menembusi ke dalam. Sengaja juga nak Haris sumpah-seranag Dara. Kepala tunduk memandang di mana salahnya dia menekan suis tersebut.
Sebaik saja cermin turun sepenuhnya, sindiran Haris terus sampai ke pendengarannya.
“Kot ya pun sibuk bercinta, tak kan depan belakang pun dah tak tahu?”
Eh?
Dara menoleh. Bukan main elok cermin tempat duduk belakang dia terbuka luas. Di sinilah kesalahan terbesarnya. Dia yang salah menurunkan cermin. Padanlah bukan main merah padam lagi muka Haris.
“Jangan nak layan lelaki lain dalam kereta saya. Itu pantang isteri saya nombor dua. Takut nanti isteri saya yang ni, cari bumper kereta lain sebab kecuaian awak yang memandu sambil menggunakan telefon bimbit.”
Mana ada!
Dara tahu lah protol penggunaan telefon bimbit. Lagi pun, dia dah pun berhentikan kereta di bahu jalan sambil menunggu Haris. Dia pun tahu mana yang salah. Dan Haris sepatutnya puji sikap dia yang tidak suka memanjangkan isu remeh-temeh.
“Sorry…” Nah! Inilah sikap Dara. Mengalah itu lebih baik sifatnya.
Renungan Haris sudah bertukar. Tiada lagi ketegangan yang menampakkan semua urat-urat jantannya.
“Awak jalan dulu, sekejap lagi saya akan gerak. Tunggu saya dekat stesen minyak yang pertama awak nampak.”
Haris tidak menunggu jawapan balas daripada Dara. Dia terus bergerak menghampiri kelompok rakan-rakannya. Bukan dia tak nampak bagaimana renungan rakan-rakannya yang sarat dengan usikan. Bahkan mereka semua tidak henti-henti melirik ke arah keretanya.
“Dah, jom.” Haris mengetuai kayuhan. Kalau dia tangguh, boleh jadi usikan mereka bertukar menjadi soalan panas.
Dara menoleh kiri dan kanan. Dia mencari-cari stesen minyak pertama yang dia lihat. Itu pesan Haris yang dia simpan sejak dia meninggalkan Haris dan rakan-rakannya jauh di belakang. Cepat Dara memberi lampu isyarat ke kiri. Ada dua stesen minyak tidak jauh dari sini. Yang pertama, stesen minyak Petron yang berada di sebelah kirinya. Mungkin inilah tempat yang dimaksudkan Haris sebentar tadi.
Sebaik saja menarik handbrake, Dara melepaskan tali pinggang keledar. Dia berura-ura untuk turun dari perut kereta. Dia ingin membeli air untuk membasahkan tekaknya yang mula terasa kering.
Pandangan Dara tertancap pada susuk tubuh yang tadinya membelakangkan dia. Elok saja lelaki tadi berpusing, jantung dia tidak pandai berdegup normal. Dia nampak susuk tubuh lelaki yang sedang asyik menghisap sepuntung rokok, kemudian asap berkepul-kepul keluar dari mulutnya.
“Emir?” Sebut Dara antara dengar tak dengar.
Sejak bila Emir itu menjadi perokok? Seingat Dara, sepanjang pertemuan mereka, belum pernah dia nampak Emir itu mengeluarkan rokok.
Niat Dara ingin turun terbantut bila tidak jauh dari Emir, muncul seorang perempuan yang penampilannya sangat daring. Mampu menarik mata para lelaki di luar sana meneroka tubuh perempuan itu yang terdedah sana sini. Lebih parah, perempuan yang tidak tutup sempurna tubuhnya itu dengan selamba menghulurkan tangannya kepada Emir. Apa yang menaikkan kemarahan dia, Emir menyambut dengan senyuman lebar.
Dara mencapai telefon bimbitnya, dia inginkan kepastian. Dia harap sangat dalam dunia ni wujud pelanduk dua serupa.
“Emir, awak dekat mana?” Tanya Dara, matanya masih melekat pada pasangan yang sedang menghampiri sebuah kereta.
Perempuan tadi telah pun masuk ke dalam kereta putih yang berada selang satu kereta di hadapan kereta Haris. Hanya Emir yang masih berada di luar kereta sambil telefon melekap di telinga. Ketika itu, Dara sedar. Tidak wujud pelanduk dua serupa dalam istilah kecurangan.
“Saya ada dengan mama di luar.”
Mengetap kuat sepasang bibir Dara. Emir sedang menipu dia!
“Okay, maaf ganggu awak.” Dara tidak memberi peluang Emir bersuara. Dia terlebih dahulu mematikan talian.
Jangan cakap itu adik ataupun kakak Emir. Lelaki itu sendiri mengaku dia merupakan anak tunggal.

Tergesa-gesa Dara turun dari kereta. Dia ingin memberi kejutan kepada Emir. Dia nampak semua perbuatan Emir. Namun dia terlambat beberapa saat bila kereta dinaiki Emir meluncur laju. Meninggalkan dia yang masih bersisa marahnya pada lelaki itu.
Di belakang Dara, Haris sampai tepat pada masanya. Dia masih berada di atas basikal miliknya sambil berpeluk tubuh memerhati tingkah laku Dara.
Haris menekan earpiece yang setia di corong telinganya.
“Good job! My future wife… Dah nampak Emir.” Ada senyuman kemenangan yang muncul diwajah Haris. Memang ini yang dia nak Dara lihat. Biar Dara tahu, pilihan hati dia salah.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience