IZZA masih membatu. Seluruh dunianya seakan berhenti berputar, sehinggakan bunyi hujan pun kedengaran seperti datang dari jauh sekali.
Pandangan matanya hanya terhenti di tampang wajah persis wajah seseorang yang lama mengembara dalam kegelapan.
“Waalaikumussalam…,” jawab Izza akhirnya, suara itu terbit dari celah kerongkong yang terasa sempit.
Tangannya menggenggam mushaf lebih erat, seolah hanya kitab suci itu yang mampu menjadi sandarannya saat ini.
Lelaki itu memijak lantai kayu yang sedikit berkerekot lalu menghampiri dengan langkah perlahan. Air hujan menitis dari hujung jubahnya, membasahi papan lantai membentuk bulatan-bulatan kecil.
“Ana… ana dipandu akhi Basheer ke sini. Dia kata, kelas ustazah hari ni terbuka juga untuk orang macam ana,” ujarnya bersama senyum tipis tapi cepat saja mati, di situ.
Izza pejamkan mata sejenak, menenangkan debar yang seperti mahu memberontak keluar dari dadanya. Nafasnya panjang lalu perlahan ditarik dalam-dalam sebelum dilepaskan.
“Naam… semua dijemput. Tak kira siapa atau dari mana dan apa jua sejarahnya…” tutur Izza lembut. Suaranya masih bergetar namun ada pasrah yang menguat di situ.
Lelaki itu mengangguk sedikit. Mata mereka bertaut hanya untuk sesaat, sebelum Izza kembali tunduk memandang mushaf di ribanya.
“Syukran ustazah…,” katanya lagi, menunduk penuh hormat.
Tasbih hitam di jarinya seolah sudah jadi sahabat karib, digilir-gilir di celah jemarinya yang panjang.
Izza memerhati dari sisi, dada terasa seperti dirungkai oleh seribu tangan halus. Bukan kerana dia takut tapi kerana Tuhan sedang menuntunnya, melalui jalan yang mempertemukan semula dia dengan bayang silam yang pernah menodai tenang hidupnya.
Dalam diam, Izza beristighfar.
'Astaghfirullah… mungkin ini cara Allah mahu menguji lapang dada ana…’ desisnya seraya
menepuk lembut dada tudungnya, seakan mahu memujuk jantung yang masih meronta.
Beberapa orang pelajar wanita dewasa lain mula masuk ke kelas. Yang perempuan, menyalami Izza. Ada juga yang sempat bertanyakan khabar. Suasana menjadi sedikit hidup walaupun bunyi hujan masih setia bernyanyi di atap zink.
Di satu sudut, lelaki tadi duduk. Mukanya tertunduk, sesekali menoleh ke luar jendela yang kabur dititip hujan. Jemarinya rancak mengira tasbih. Bibirnya pula berbisik sesuatu yang Izza tak dapat dengar namun pada riak wajahnya, seakan sedang bergelut dengan sesuatu yang berat.
“Akhi…” panggil Izza perlahan.
Lelaki itu mengangkat muka.
“Naam, ustazah?”
“Enta tak bawa mushaf? Ana ada lebihan sini…” ujar Izza, tangannya menghulurkan mushaf yang satu lagi.
Lelaki itu kelihatan gugup seketika. Izza unjukkan lagi barulah dia bangun dari situ dan mendekati Ustazah Izzatul Janna.
Dia menerima mushaf itu dengan dua tangan, mencium kulit depannya lama sebelum menekap ke dada.
“Jazakillah khairan ustazah… ana… ana dah lama tak pegang Quran,” luahnya bersama mata yang berkaca.
Izza hanya mengangguk kecil. Hatinya diketuk belas yang datang bersama rasa yang sukar dinamakan. Barangkali ini rahmat Tuhan yang turun dalam bentuk paling tidak dia sangka.
Kelas terus berlanjut dengan suara para pelajar yang saling melatunkan kalimah suci. Bersilih ganti meniti bibir yang masih kaku, mencari rentak tartil perlahan.
Ada yang suaranya bergetar, menahan gugup atau sebak. Seakan setiap huruf itu, menghiris syahdu jauh ke dasar dada.
“Iyyaaka na’budu… wa iyyaaka… nasta’iin…” Bunyi suara lelaki berparut itu agak perlahan tapi jelas.
Dia mengeja penuh hati-hati. Jari telunjuknya bergerak, menjejak setiap baris ayat pada mushaf seolah takut tercicir satu pun.
Izza memandangnya lagi, lalu cepat-cepat menunduk. Hatinya terhenyak aneh. Ada sesuatu pada wajah penuh parut itu. Seakan luka di dahi dan luka di hatinya masing-masing saling mengenal dalam diam.
Izza genggam hujung kain niqabnya, menekap ke bibir menahan nafas yang entah kenapa tiba-tiba sesak.
'Ya Allah… ajarkan ana menerima takdirMu dengan reda. Kalau ini jalannya, maka tabahkanlah…’
Angin kembali menjalar masuk dari celah tingkap yang sedikit terbuka, membawa bau hujan dan tanah basah yang seperti menenangkan.
Di luar, titis-titis hujan jatuh menimpa daun-daun durian yang rebah malas ke bumi, membentuk tasik-tasik kecil pada lekuk tanah.
“Ustazah…” Satu suara serak memanggil, mengejutkan Izza dari lamunannya.
Dia angkat muka, menatap lelaki itu yang kini sedikit merapat. Ada ragu pada sinar matanya tapi juga seakan menagih pengertian.
“Naam, akhi?”
“Ana… ana boleh bertanya sesuatu, sebelum kelas habis?”
Izza diam sejenak, menimbang. Dadanya kembali berombak kecil menahan gelora yang datang entah dari mana.
“Tafaddhal, insyaAllah ana cuba jawab.”
Lelaki itu menggenggam tasbih hitamnya erat-erat, lalu menunduk. Bibirnya terbuka, tertutup seolah berperang dengan diri sendiri untuk meluah.
***
Langit senja makin temaram. Cahaya merah tua mula bersembunyi di balik bukit yang tinggal hanya sisa-sisa lembayung yang redup.
Azfar masih berdiri di balik perdu pokok sena, memerhati Izza yang berjalan perlahan di tebing sungai. Dadanya berombak, seolah mahu memberontak menolak semua rasa yang menyesak.
Dia tunduk sedikit lalu memejamkan matanya sejenak. Bibirnya bergerak perlahan.
“Ya Allah… ana takut sangat kalau ini cuma mainan nafsu… ana takut kalau rasa ni bukan dari Engkau…” rusuhnya. Gelisah bertandang.
Setelah itu, dia buka mata semula. Pandangan tak lepas dari susuk Izzatul Janna yang sedang menolak daun-daun kecil dari tepi air dengan hujung kasutnya. Setiap gerak Izza tampak penuh hati-hati, seakan dia juga sedang menyusun semula retak di dalam dadanya.
Azfar telan liur. Hujung lidahnya terasa kering.
“Ana nak jaga dia, ya Rabb… tapi ana tak tahu layak ke tidak. Ana sendiri masih belum selesai dengan dosa ana…” ujar Azfar, sayu. Tulus.
Tangannya naik menekap dada. Menekan kuat seperti mahu menghentikan degup yang terlalu laju.
'Kalau betul Engkau hantar dia untuk tunjukkan jalan taubat ana… ana terima. Tapi jangan biar ana sakiti dia lagi… cukup ana saja yang tanggung semua luka.'
Azfar tunduk lagi, kali ini lebih lama. Tasbih hitam dalam genggamannya bergerak pantas di antara jari, seakan mahu menandingi derasnya fikir dan takut di dalam kepalanya.
'Ampunkan ana, ya Allah… jangan Kau biarkan hati ana khianat lagi. Kalau ana jatuh hati sekalipun, biar jatuh pada cara yang Engkau redha…'
Nafasnya dihela panjang. Dia mengangkat muka, memandang langit yang makin gelap dan hanya ada beberapa ekor burung lewat di atas kepala, terbang pulang ke sarang.
'Kalau bukan dia untuk ana, jangan dekatkan hati kami. Tapi kalau benar dia jalan untuk ana pulang pada Engkau… bimbinglah kami dua-dua, ya Rabb…'
Ada titik bening yang hampir gugur di hujung mata Azfar tapi cepat dia sapu dengan belakang tangan. Dia ketap bibir cuba menahan getar.
Di hadapan sana, Izza sudah mula melintasi jambatan kecil lalu hilang di balik rimbun pokok nangka yang menutup pandangan.
Azfar hanya berdiri memaku di situ, membiarkan angin malam yang mulai dingin merayap masuk ke celah jubah lusuhnya.
Share this novel