Kediaman Yang Kembali Hidup Tapi Tidak Lagi Tenang

Drama Completed 450185

Rumah agam milik Mikael Lutfi kembali berdenyut dengan kehidupan. Setelah berminggu-minggu sunyi tanpa pekerja.

Kini ruang tamu kembali dipenuhi suara tawa kecil, bunyi penyapu diseret, bunyi periuk berlaga, dan aroma masakan yang mulai membangkitkan suasana rumah sebenar.

Zara, Aminah dan Laila sudah pulang dari percutian mereka di Eropah.

Ketiga-tiganya melangkah masuk dengan wajah ceria dan kulit yang sedikit lebih cerah, membawa cerita dan buah tangan dari pelbagai negara.

Laila, yang paling peramah, terus menyapa Medina yang sedang menyiram pokok di halaman kecil.

"Ya Allah, puan makin berseri-seri! Makin glowing!" Laila berseloroh sambil menjinjit beg tangannya.

Medina Atalia tersenyum nipis.

"Mungkin sebab banyak tidur. Tapi kerja rumah tetap menanti."

Zara dan Aminah masing-masing menyimpan beg mereka, sebelum bersalaman dengan penuh hormat.

Mereka tahu kedudukan Medina sebagai isteri sah Mikael kini tak boleh dipandang remeh, walaupun masih ada bayang Maria Elena yang tak pernah betul-betul pergi dari ruang rumah ini.

“Puan, saya kemas dapur ya? Tadi kami nampak ikan segar dalam peti. Nak buat asam pedas ke kari hari ni?” soal Aminah.

“Asam pedas Melaka boleh? tuan Mikael suka yang tu,” jawab Medina sambil menahan senyum.

Laila dan Zara saling berpandangan, tergelak kecil.

“Adoi, nampaknya cik puan kita ni dah pandai baca selera tuan rumah. Bahaya ni.”

Di tingkat atas, Maria Elena hanya memandang ke bawah dari balkoni kamar lamanya.

Melihat suasana yang kembali hidup tidak membawa kelegaan padanya. Malah sebaliknya, makin terasa dirinya semakin dikelilingi.

Kehadiran Medina kini bukan lagi seperti tetamu, tapi sudah mengakar sebagai ‘permaisuri baru’ di rumah itu.

"Pandai kau ambil hati semua orang, Medina…" bisik Maria sendiri.

Tangannya mencengkam pada palang balkoni. Pandangan matanya jatuh pada telefon bimbit yang tergeletak di meja.

Satu mesej belum dibaca muncul daripada nombor asing.

Sementara itu, di dapur belakang, Zara menarik Medina ke tepi sewaktu Aminah sibuk mengatur pinggan.

“Puan… kami dengar khabar angin,” bisik Zara, matanya liar memandang sekeliling.

“Khabar apa?”

“Kat luar, ada yang cakap ada orang tengah cari awak Medina.”

”Lelaki.”

”Bukan calang-calang orang.”

”Ada yang nampak dia dekat kawasan ni…“

”Tapi macam nak sangat jumpa puan. Muka garang, macam gangster.”

Medina Atalia terkedu.

Jantungnya berdegup laju.

Dia tahu siapa yang Zara maksudkan.

“Qalam…” ucap Medina perlahan, hampir tak bersuara.

Zara angguk.

“Ya. Dia.”

Rumah itu mungkin sudah hidup kembali. Tapi di sebalik hiruk-pikuk suara pekerja dan aroma masakan, ada sesuatu yang sedang mendekat.

Bencana itu datang perlahan, bersembunyi di sebalik tawa dan senyuman.

Dan kali ini, Medina Atalia tahu tiada siapa boleh dipercayai sepenuhnya.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience