Medina Atalia memandang jam dinding yang berdetik tanpa belas. Jarum pendek menunjuk ke angka sepuluh.
Malam semakin dalam, dan dalam diam hatinya memberontak dia tak mahu pergi.
Namun dia tahu, kewajipan menantinya. Tugasan yang bukan sekadar kerja, tetapi satu pengorbanan demi keluarga yang dia cinta sepenuh jiwa.
Rindunya pada Mama dan Ayah masih menggunung. Baru beberapa jam bersama, dan dia sudah dihimpit rasa enggan untuk meninggalkan rumah ini.
Rumah yang membawa ketenangan.
Rumah yang menjadi saksi segala air mata dan peluh yang pernah mengalir kerana kesusahan dahulu.
Sudah lama dia tak merasa nyaman seperti ini. Selalu hanya panggilan telefon yang menjadi pengubat rindu. Itupun sering terganggu, sering terputus… dan sering tidak cukup.
Namun dia juga tahu, rasa rindu itu bukan tiket untuk dia berhenti berjuang.
Dia bangkit dari kerusi, menelan keluhan yang mahu terlepas dari bibir.
“Kalau aku berhenti sekarang, apa nasib adik-adik nanti? Ayah? Mama?”
Gaji empat ribu ringgit sebulan itu bukan kecil bagi mereka. Itu adalah harapan. Itu adalah nyawa.
Dan pekerjaan itu meskipun hanya sebagai pembantu rumah kepada seorang lelaki kaya bernama Mikael Lutfi adalah sumber rezeki yang halal.
Tak mungkin dia akan berhenti hanya kerana emosinya ingin pulang dan berlama di rumah ini.
Tap.
Tap.
Tap.
Bunyi jam berdetik bagaikan jeritan sunyi yang mencucuk ke dalam jiwa. Semakin saat berganjak, semakin dia rasa jantungnya dihimpit. Gelisah.
“Ya Allah…” bisiknya dalam hati.
“Aku nak balik. Tapi aku takut. Kalau Tuan Mikael marah macam mana?”
Pandangannya melayang ke luar pintu.
Angin malam yang menderu perlahan seolah-olah memanggilnya untuk terus duduk diam di rumah ini.
Tetapi akal dan logik menyentak.
“Takkan aku nak call dia suruh datang sini ambil aku? Gila apa Medina!”
Tiba-tiba wajah lelaki itu menjelma dalam benaknya.
Mikael Lutfi.
Majikan yang sangat misteri.
Banyak soalan yang dia tak mampu jawab tentang lelaki itu. Banyak juga rahsia dirinya yang tak mampu dia ceritakan kepada lelaki itu.
“Kalau dia tahu siapa aku sebenarnya… kalau dia tahu aku Medina Atalia yang.“
Dia menghentikan fikirannya sendiri.
“Tak! Jangan, Medina! Kau tak boleh dedahkan siapa kau. Kau tak boleh biarkan sesiapa tahu… biarpun dia!”
Dia mendekati pintu rumah.
Berkira-kira. Kalau dia keluar sekarang, mungkin sempat dia cari teksi. Tapi jika Mikael sedar dia tak kembali ke rumah malam ini…
“Kalau dia pecat aku…?”
Hati dan akal terus bertarung.
Tapak kaki berjengket-jengket ke depan pintu seolah-olah mencari keberanian yang tersembunyi entah di mana.
Saat itu, suara lembut yang sangat dikenal memanggil dari belakang.
“Kakak…”
Medina Atalia terkejut.
Terus berpaling.
Wajah itu wajah wanita yang melahirkannya, kini berdiri di belakangnya dengan tatapan penuh kasih.
“Ye, Mama?” suara Medina sedikit bergetar.
Farhana mendekat.
Tanpa kata, dia memeluk anaknya dari belakang.
Pelukan yang lama, yang penuh rindu dan pengertian.
“Kamu masih sama… walau dah besar panjang, Kakak tetap budak kecil Mama,” bisik Farhana sambil menyentuh rambut anaknya lembut.
Medina tidak membalas kata.
Hanya air matanya yang perlahan mengalir ke pipi.
Dia rindukan ini.
Rindukan pelukan ini.
Farhana dapat rasa gelisah di tubuh anaknya. Dia tahu… anaknya sedang menyembunyikan sesuatu.
Medina Atalia bukan anak yang banyak cakap, tetapi hatinya terlalu jujur untuk menipu mimik wajah.
“Kamu tak nak cakap apa yang terbuku dalam hati?” tanya Farhana perlahan.
Medina tunduk.
“Mama tahu kamu risau. Tapi kamu tak perlu tanggung semua benda sendiri, sayang. Kami tetap keluarga kamu. Kami ada untuk kamu.”
Medina menghela nafas.
“Tapi Kakak tak boleh berhenti kerja tu, Ma. Kakak tahu Mama dan Ayah tak pernah minta pun… tapi Kakak tak sanggup tengok kita hidup macam dulu lagi.”
Farhana mengangguk perlahan.
“Mama faham. Tapi… tolong jaga diri kamu lebih dari kamu jaga kerja tu, boleh?”
Medina mengangguk lemah. Lalu dia bersandar di bahu Mamanya.
Dan untuk seketika, hanya diam yang mengisi ruang. Tetapi dalam diam itu, ada banyak cerita yang terpendam. Ada rahsia yang belum terbuka.
Ada luka yang belum sembuh.
Medina Atalia tahu… cepat atau lambat, segalanya akan terbongkar. Tapi malam ini, dia hanya mahu jadi anak Mama.
Bukan pembantu rumah.
Bukan penyamar.
Bukan wanita yang menyembunyikan identitinya.
Cuma Medina Atalia.
Anak kepada Farhana dan Dafizan.
Share this novel