BAB 3

Romance Series 98754

“AKU TERIMA NIKAHNYA ELANA ZAHLIA BINTI ZAHRAN DENGAN MAS KAHWIN TIGA RATUS RINGGIT TUNAI.”

Lafaz itu terucap dari bibir Tengku Eidrees saat upacara ijab dan qabul berlangsung. Hanya sekali sebutannya tanpa perlu diulang. Biar pun sedikit gugup pada permulaan tadi, namun dia dapat melafazkan dengan tenang dan lancar. Entah apa yang memberikan dia ketenangan itu.

“Sah.”

“Sah.”

Ucap para saksi mengesahkan pernikahan tersebut. Maka secara rasminya kini status dua individu yang dinikahkan itu telah berubah.

“Alhamdulillah. Tengku dan Cik Elana sudah sah menjadi suami isteri. Semoga perkahwinan ini berkekalan selamanya. Insya-Allah.”

Kata-kata jurunikah itu disambut dengan desihan sinis. Tengku Eidrees tidak menyangka semudah itu proses pernikahannya dengan Elana yang baru sahaja dikenali semalam. Perempuan muda berusia 22 tahun itu kini telah sah menjadi isterinya.

Seraya pandangan Tengku Eidrees beralih ke arah Elana yang hanya diam menunduk di sisinya sedari tadi. Mungkin pasrah atau redha kerana bernikah dalam keadaan ‘kahwin koboi’ sebegini. Tengku Eidrees tidak kisah sementelah Elana sendiri yang meminta dan mahukan begini. Dia tak rugi apa-apa.

Tiada busana indah seperti pasangan pengantin lain. Hanya pakaian biasa tersarung di tubuh mereka berdua. Tiada juga hantaran atau pelamin. Jauh sekalilah kenduri-kendara. Ia tidak lebih sekadar untuk meng’halal’kan satu jalinan hubungan sahaja.

Perkahwinan ini bukan dilakukan di sempadan negara seperti kebanyakan orang lain. Sebaliknya ia berlangsung di sebuah lokasi ‘rahsia’ di pinggir Kuala Lumpur. Dan prosesnya dijalankan secara sulit serta tersorok dari pengetahuan umum.

Selain itu, Tengku Eidrees turut ‘membayar’ individu-individu yang terlibat agar menutup mulut dan tidak membocorkan hal perkahwinannya kepada sesiapa jua. Hanya orang-orang tertentu yang dipercayai sahaja yang tahu. Untuk orang berduit dan kaya-raya seperti Tengku Eidrees semua itu tidak menjadi masalah.

“Baiklah, Tengku boleh sarungkan cincin ke jari isteri sekarang.” Jurunikah itu memaklumkan.

Dalam dengusan nafas Tengku Eidrees menurut dalam paksa. Sebentuk cincin emas yang berada di dalam bekas kecil diambil lalu disarungkan ke jari manis Elana. Riak mukanya dingin dan beku tanpa sebarang perasaan. Cincin itu sebetulnya baru sahaja dibelikan oleh pembantunya pagi tadi kerana ia merupakan salah satu syarat dan menjadi ‘mahar’ dalam upacara pernikahan mereka.

Di arah bertentangan, Elana mencapai tangan Tengku Eidrees lalu tunduk ingin menyalami lelaki yang sudah sah bergelar suaminya itu. Namun, belum sempat Elana mengucup ke tangan Tengku Eidrees, lelaki itu terlebih dahulu meleraikan pautan jari-jemari Elana. Dia tidak perlukan semua itu. Cukup hal yang wajib sudah dilaksanakan.

“Dah. Jom balik.” Arahan itu ditutur Tengku Eidrees ke arah Elana.

Tanpa mengucapkan terima kasih kepada mereka yang terlibat membantu upacara pernikahannya, Tengku Eidrees bingkas bangun dan menonong berlalu keluar meninggalkan ruang bilik tersebut begitu sahaja. Segala proses dan urusan lain akan diuruskan oleh pembantu peribadinya. Dia ke sini hanya untuk ‘menjabat’ tangan tok kadi.

Di belakang Tengku Eidrees, Elana akur membuntuti langkah lelaki itu tanpa sebarang kata mahu pun bantahan. Semuanya dituruti. Redha kerana ini adalah permintaannya sendiri. Dinikahi oleh lelaki asing yang hanya dikenali dalam tempoh satu malam.

SELESAI sahaja upacara pernikahan yang berlangsung secara ringkas itu, Tengku Eidrees terus membawa Elana ke sebuah hotel lima bintang yang terletak di tengah ibu kota. Sebuah suite mewah yang telah ditempah khas oleh pembantu peribadinya dituju.

Elana teragak-agak ingin masuk ke dalam kamar suite di hadapannya. Tiada perasaan teruja walaupun dia kini sudah pun bergelar isteri kepada Tengku Eidrees. Kerana Elana tahu apa yang bakal menantinya di dalam sana sebentar lagi.

“Tunggu apa lagi? Masuklah!”

Suara laungan Tengku Eidrees membuatkan Elana tersentak. Dalam ragu-ragu bersama riak muka yang tergambar ketakutan dia akur melangkah masuk ke kamar itu.

Mata Elana memandang ke sekitar ruang bilik suite tersebut. Kagum dengan dekorasi hiasan dalamannya yang serba mewah. Belum pernah seumur hidup dia menjejakkan kaki ke tempat seperti ini.

Memijak ke permaidani lembut dan gebu di kamar itu tanpa sebarang alas membuatkan tapak kaki Elana terasa seperti sedang berjalan di atas sutera baldu. Bau haruman semerbak wangian bunga ros yang lembut turut menusuk ke hidungnya. Elana seakan terpesona dengan suasana di ruang kamar tersebut. Bagaikan sedang berada di dalam sebuah mahligai indah.

Langkah yang diatur Elana kemudian berhenti secara mendadak tatkala dia melihat susuk tubuh Tengku Eidrees yang sedang berdiri bertentangan dengannya.

Lelaki itu dalam bersahaja menanggalkan kemeja Polo dan seluar yang tersarung dari tubuhnya sebelum dilempar sembarangan ke lantai.

Buat seketika Elana seakan terpegun. Dada bidang bersama perut ‘six pack’ lelaki itu dengan ketinggian tubuh enam kaki memukau pandangannya. Belum termasuk raut tampan dengan ‘jaw line’ dan hidung mancung serta alis mata yang terbentuk sempurna. Rambut pendek lelaki itu yang dipotong kemas gaya ‘short quiff’ menambahkan aura ketampanan. Lelaki ini bagaikan ‘male lead character’ seperti yang sering digambarkan di dalam novel-novel cinta.

Elana terus menundukkan wajahnya. Menahan malu untuk menatap ke raut lelaki itu. Bukan malu kerana dia sukakan Tengku Eidrees. Tidak. Sebaliknya malu kerana ini pertama kali dia berada di ruang yang sama dengan seorang lelaki asing tanpa pakaian yang lengkap!

Dan saat Tengku Eidrees dengan selamba melucutkan pakaian terakhir dari tubuh maskulinnya berupa ‘boxer’ yang tertera jenama ZEGNA, Elana terus memalingkan wajah dan memejam mata. Tidak sanggup untuk melihat!

Hujung bibir Tengku Eidrees terjongket ke atas melihat reaksi Elana. Pertama kali dia bertemu dengan perempuan yang tidak sanggup memandang ke wajahnya lebih dari lima saat. Hanya Elana. Tidak pasti sama ada dia terlalu tampan pada pandangan perempuan ini. Atau perempuan ini sebenarnya takut untuk memandang ke wajah kacaknya?

Hmm tapi itu semua tidak penting. Kerana misi utamanya saat ini adalah untuk meneroka sedalam mungkin tubuh gadis cantik dan polos seperti Elana yang dikatakan masih ‘perawan’. Dia akan buktikan sebentar lagi adakah benar pengakuan yang dibuat Elana semalam.

“Well-well. Aku dah tunaikan janji aku. Sekarang giliran kau pula tunaikan janji kau. Elana Zahlia my wife~”

Sinis Tengku Eidrees menyebut ayat terakhir itu kepada Elana. Sebetulnya dia sedang menyindir. Kerana tidak mungkin sama sekali dia akan menganggap Elana sebagai seorang isteri. Mungkin lebih tepat disebut sebagai ‘teman pendamping’ untuk memuaskan nafsunya sebagai seorang lelaki. Sementelah Elana juga cuma ‘dibeli’ dan merupakan barang tebusan.

Elana meneguk liur. Gementar bercampur debaran. Dia tidak pernah berhadapan dengan semua ini. Pertama kali dalam hidupnya dia perlu melayan seorang lelaki sendirian di bilik tidur. Sudahlah lelaki itu sebelum ini tidak pernah dikenali. Apa yang harus dia lakukan? Fikiran Elana membeku dan bingung dengan situasi tersebut.

Melihat Elana yang cuma berdiri tegak mematung, Tengku Eidrees lantas menghampiri lalu berdiri rapat di belakang tubuh Elana yang jauh lebih rendah berbanding dirinya. Rambut panjang lurus gadis itu yang beralun lembut diraup dan dihidu. Wangi. Serta-merta membangkitkan nafsunya.

Tidak ingin membuang masa walau sesaat, perlahan-lahan pakaian yang tersarung di tubuh Elana dijatuhkan satu-persatu ke lantai. Kini mereka berdua sama-sama polos tanpa sehelai benang yang membaluti tubuh.

Elana memejam rapat kelopak matanya. Menggigil saat merasai setiap cumbuan bibir Tengku Eidrees yang menyentuh dan menjelajahi ke segenap inci tubuhnya. Deruan nafas lelaki itu yang mengenai ke kulitnya membuatkan Elana merinding. Tanpa dia sedar ada air jernih yang hangat membasahi di pelupuk mata. Semua ini bukan kemahuannya. Namun dilakukan kerana terpaksa.

Tengku Eidrees menyedari tingkah Elana. Dia tersenyum menyungging sambil mengelus ke pipi mulus gadis itu. Dia tahu Elana ketakutan. Dan itu yang disukainya. Kerana dia dapat mendominasi dan meleluasi situasi di hadapannya. Ternyata reaksi sang ‘perawan’ memang berbeza berbanding para wanita yang pernah mendampinginya sebelum ini. Itu yang membuatkan dia kian teruja mahu meneroka segala pelusuk tubuh perempuan ini.

“…Relaks, sayang. Jangan takut okey. Aku akan bagi pengalaman terindah untuk kau malam ni. Yang kau tak akan lupakan sampai bila-bila. You’re mine, Elana Zahlia~”

Tengku Eidrees berbisik lembut di cuping telinga Elana sebelum diberikan gigitan cinta di leher perempuan itu. Sentuhan dan belaian tangan kekarnya terganti dengan dakapan serta pelukan erat ke tubuh langsing Elana. Menghadirkan kehangatan yang menghiasi ke segenap suasana di kamar itu.

Tubuh Elana kemudian direbahkan di tengah ranjang. Sebelum dia sendiri berada di atas tubuh polos gadis itu. Sebelah tangannya meraup perlahan anak rambut Elana yang jatuh ke dahi. Merenung ke mata bundar berwarna hazel dengan alis lentik perempuan miliknya ini. Bentuk wajah bujur sireh, hidung ‘button nose’ serta bibir mungil. Tengku Eidrees harus akui bahawa wajah Elana cukup cantik dan sempurna secara semulajadi tanpa perlukan secalit mekap pun. Dan dia bangga kerana gadis rupawan serta ‘perawan’ seperti Elana sedang berada di dalam dakapannya.

Tika itu pandangan Elana tidak dapat mengelak dari menatap ke raut tampan Tengku Eidrees yang cuma berjarak sejengkal dari wajahnya. Panahan mata lelaki yang telah bergelar suaminya itu membuatkan Elana terpaku. Dadanya berdebar hebat. Bagaikan dipukau, Elana merelakan apa sahaja yang dilakukan oleh Tengku Eidrees sebentar kemudian.

Mereka sama-sama hanyut. Saling menelusuri dan tenggelam dalam rasa yang sama. Malam yang cukup panjang dan hangat buat keduanya. Juga malam yang penuh dengan kenikmatan.

PAGI yang tenang dan sunyi di kamar suite hotel berbintang itu. Tengku Eidrees masih terbaring nyenyak di katil. Elana yang berada dalam dakapan hangatnya juga masih terlelap. Momen indah yang dilalui bersama malam tadi membuatkan mereka kelelahan.

Bagaimana pun, bunyi panggilan yang masuk ke telefon pintar Tengku Eidrees seawal jam enam pagi mengganggu tidur mereka.

Permulaannya Tengku Eidrees mengabaikan sahaja panggilan tersebut. Menganggap ia tidak penting. Dia mahu menyambung tidur dek kerana tubuh yang masih keletihan.

Namun, bunyi lagu Inggeris yang terus menyanyi-nyanyi bingit dari telefon membuatkan Tengku Eidrees terpaksa bangun. Dicapai telefon pintar di meja sisi sambil mendengus kasar. Sempat matanya memandang ke skrin untuk melihat nama pemanggil.

“Erm morning bonda~”

Tengku Eidrees menjawab dalam mamai sambil memejam semula matanya akibat rasa mengantuk yang masih menguasai.

“Eid, cepat balik sini!”

Suara wanita separuh baya di hujung talian itu terdengar cemas. Serta-merta Tengku Eidrees mencelikkan semula kelopak mata. Tidak sedap hati mendengar nada bicara bondanya.

“Bonda. Ada apa?”

“Eid, papa… papa ‘collapsed’ lagi. Eid cepat datang ya. Semua dah ada di sini. Bonda tunggu Eid. Jangan lambat. Bonda takut kalau papa-“

Ayat itu tidak habis. Tengku Eidrees terus bingkas bangun dari pembaringannya. Riak wajah bertukar tona. Makluman yang baru disampaikan bonda membuatkan dia gusar. Dia tahu ada hal kecemasan sedang berlaku di sana dan dia harus pulang segera.

“Bonda, Eid gerak ke airport sekarang. Eid cuba sampai di sana secepat mungkin-“

Panggilan yang diterima tamat. Tidak menanti lagi Tengku Eidrees terus meninggalkan katil. Dicapai baju dan seluarnya yang bersepah di lantai lalu disarungkan kembali ke tubuh. Sambil itu tangannya sibuk menghubungi seseorang memberi beberapa arahan melalui telefon.

“Alan, ambil aku di hotel sekarang. Hantar ke KLIA. And get me a flight ticket to Heathrow ASAP. Any available flight. Tak kisah. Aku kena sampai di sana hari ni juga!”

Elana yang terdengar suara ribut dan cemas Tengku Eidrees berbicara di telefon sedari tadi ikut terjaga dari tidur. Dia bangun lalu duduk di birai katil sambil menyelimuti tubuh polosnya dengan gebar putih. Matanya memerhati gerak-geri kelam-kabut Tengku Eidrees tanpa mengerti apa-apa.

Riak muka Elana sedikit curiga. Dia hanya sempat menangkap suara perbualan lelaki itu bercakap di telefon tadi menyebut ‘bonda’ dan kemudian ‘Alan’ serta ‘Heathrow’. Elana tidak memahami butir bicara tersebut. Mahu ditanya kenapa. Namun, tidak terkeluar ayat itu di bibirnya. Sementelah teringat akan status dirinya sekadar ‘isteri rahsia’ yang tiada sebarang hak untuk bertanya apa-apa.

Selesai menyarung pakaian, Tengku Eidrees membelek dokumen pengenalan diri termasuk pasport miliknya yang berada di atas meja. Mujurlah ia sentiasa dibawa bersama. Memudahkan dirinya apabila ingin terbang ke mana-mana dalam tempoh segera.

Satu lagi panggilan kedengaran masuk ke telefon pintar Tengku Eidrees tidak lama kemudian. Lelaki itu terus menjawab panggilan tersebut.

“Tengku, saya dah sampai di lobi.” Suara pembantu peribadinya memaklumkan di hujung talian.

“Okey, aku turun sekarang.”

Dengan tergesa-gesa Tengku Eidrees menyarung kasut sebelum melangkah menuju ke pintu bilik suite. Bagaimana pun, langkahnya terhenti dan dia menoleh ke belakang.

Kala itu Tengku Eidrees merenung sejenak ke tubuh Elana yang sedang memandangnya dari sudut kamar. Mimik muka perempuan itu berkerutan seolah-olah meminta dia memberikan penjelasan terhadap apa yang berlaku.

“Aku…”

Namun, ucapan itu terhenti. Tengku Eidrees merasakan tidak perlu memaklumkan apa-apa kepada Elana. Sementelah perempuan itu bukan siapa-siapa pun di dalam hidupnya.

Lalu Tengku Eidrees mengalihkan tubuh dan menyambung semula langkahnya yang terbantut tadi. Dia membuka pintu dan bergegas pergi dari kamar suite berkenaan. Begitu sahaja. Tanpa sebarang kata atau pesan. Meninggalkan Elana yang masih termanggu menatap ke arah yang sama sendirian.

Share this novel

EmNatrah
2025-02-11 00:38:04 

kesiannya Elana...mujur dah nikah..


NovelPlus Premium

The best ads free experience