ISTERI PENGGANTI: BAB 2

Romance Series 4943

LILY bersandar pada kerusinya, matanya tertumpu pada helaian kertas A4 yang dipenuhi dengan beberapa lakaran rekaan di atas meja. Itu merupakan koleksi terbaru baju kurung untuk Hari Raya yang bakal tiba tidak lama lagi. Rekaan eksklusif yang akan dijual di butiknya.

"Hmmm… aku kena ubah sikit bahagian leher ni, dan… bahagian tangan ni aku akan letak zip supaya…"

Tok! Tok! Tok!

Bunyi ketukan di pintu mematikan lamunannya.

"Masuk," arahnya perlahan tanpa mengalihkan pandangan daripada lakarannya.

Pintu terkuak, dan muncul seorang pekerja wanita dengan senyuman lebar di wajahnya.

"Cik Lily, boleh ke kalau kami nak balik awal hari ni?" tanya Suraya, salah seorang pekerjanya.

Lily mengangkat kepala.

"Hmmm… kenapa?" soalnya dengan dahi sedikit berkerut. Jari jemarinya mengetuk-ngetuk pensel yang dipegang.

"Macam ni, Cik Lily. Tadi kan, tiba-tiba saja si Maira ni ada hal. Suami dia tak sihat. Jadi, boleh ke kalau kami balik awal?"

Lily memandang Suraya dengan pandangan skeptikal.

"Eh! Suami Maira yang sakit, tapi korang berdua pula yang nak balik awal?" soalnya tenang.

"Errr… kami… kami…"

Suraya serba salah. Dia menoleh ke arah Aliya yang berdiri di sebelahnya sebelum sengaja menolak bahu temannya itu, memberi isyarat supaya Aliya pula yang bersuara. Lily hanya menggeleng perlahan melihat gelagat mereka.

"Okay, tak apa. Korang boleh balik. Tapi esok, masuk awal. Faham?" nadanya sedikit tegas.

"Faham, Cik Lily!" jawab mereka serentak sebelum bergegas keluar dari biliknya.

Lily menghela nafas perlahan. Matanya kembali meneliti lakaran di atas meja, pensil di tangannya sesekali diketap di antara bibir. Dia masih mencari idea untuk menyempurnakan rekaannya.

Masa berlalu tanpa disedarinya. Hampir dua jam dia leka mengubah dan membetulkan lakaran tersebut. Saat matanya tertancap pada jam di dinding, dahinya berkerut.

“Hmmm… patutlah sunyi. Dah pukul 9 malam rupanya. Baik aku balik…” desisnya perlahan.

Lily bangun, mengemas meja kerjanya, lalu merapikan solekan di wajahnya. Setelah memastikan semuanya tersusun, dia mencapai beg tangan yang disimpan di dalam laci.

“Nak masak apa malam ni? Hmmm… bosannya. Makan sorang, tidur sorang…” rungutnya perlahan sambil melangkah keluar dari butiknya.

Dia tunduk untuk mengunci pintu butik. Sebaik sahaja kunci diputar, satu perasaan aneh merayap di tengkuknya, seolah-olah ada yang memerhatikannya. Baru sahaja dia hendak berpaling…

“Arghhh!”

Jeritannya bergema di lorong sunyi. Jantungnya berdegup kencang apabila melihat seorang lelaki berdiri di belakangnya dengan senyuman sinis.

“Johari?” Lily tergamam. Suaranya bergetar.

“Err… apa kau buat dekat sini?”

Bekas adik iparnya itu merenungnya tajam.

“Hi, akak Lily. Lama kita tak jumpa, kan? Cantik akak sekarang. Makin…”

Johari mengerling ke tubuh Lily dari atas ke bawah.

“Seksi.”

Lily terasa mual dengan renungan itu. Dia segera melangkah ke sisi, cuba menjauh.

“Aku dah lewat ni. Aku balik dulu, ya.”

Namun, sebelum sempat dia pergi, pergelangan tangannya dicekak kuat.

“Akak Lily, kejaplah…”

Lily cuba menarik tangannya, tetapi genggaman Johari semakin erat.

“Kau nak apa ni? Lepaskan aku!” tengking Lily, suaranya tegas.

Johari ketawa kecil.

“Amboi, garangnya. Sejak jadi janda ni, makin garang ya? Mesti akak dah lama tak… berasmara dengan lelaki, kan?”

Nada suaranya penuh sindiran. Matanya berkilat dengan niat jahat.

“Apa kata kalau… adik temankan akak malam ni?”

Darah Lily berderau. Dia menepis tangannya sekuat hati, tetapi lelaki itu lebih kuat.

“Kau dah gila ke apa? Lepaskan aku, bodoh!”

Teriakan Lily bergema di lorong yang sepi. Namun, sebelum sempat dia bertindak, Johari menariknya ke dalam pelukan lalu menutup mulutnya dengan telapak tangan. Lily meronta-ronta, tetapi tubuh Johari yang lebih besar membuatkan dia langsung tidak mampu bergerak.

“Kenapa akak nak marah-marah ni?” bisik Johari ke telinganya.

“Adik cuma nak temankan akak. Apa salahnya, kan? Akak puas, adik pun puas…”

Lily menggigil ketakutan. Air matanya menitik tanpa sedar.

Johari menyeretnya ke belakang bangunan yang gelap dan sunyi. Hanya lampu jalan samar-samar menerangi kawasan itu. Nafas Lily semakin sesak apabila tangan lelaki itu merayap ke dadanya.

“Dah lama saya perhatikan akak. Akhirnya, dapat juga saya jumpa akak.”

Johari menolak Lily ke dinding dengan kasar. Sebelah tangannya masih menutup mulut Lily, sementara sebelah lagi melingkari pinggangnya.

“Jangan risau… Kalau akak mengandung nanti, saya akan bertanggungjawab. Akak teringin nak ada anak, kan?”

Lily menggeleng, air matanya deras mengalir. Dia cuba menggigit tangan Johari, tetapi cengkaman lelaki itu semakin kuat.

“Kenapa akak menangis? Terharu sebab dapat jumpa saya? Mesti akak rindu, kan?” Johari tersenyum miring sebelum menarik bahagian sisi baju Lily hingga koyak.

Seketika itu juga, darah Lily menyirap ke kepala. Tanpa berfikir panjang, dia mengangkat tangannya tinggi lalu menumbuk wajah Johari sekuat tenaga.

Johari terundur sedikit. Lily mengambil kesempatan itu untuk menyerang bertubi-tubi, memukul lelaki itu di belakang badannya.

“Lelaki tak guna! Berani kau sentuh aku!”

Dengan pantas, Lily mencabut kasut tumit tinggi di kakinya.

“Kau memang nak mampus, kan?! Nah, ambik ni!”

Dia terus menghentak kasut itu ke kepala Johari tanpa henti. Jeritan lelaki itu memenuhi ruang, darah mula meleleh di dahinya.

“Hoi! Kau buat apa tu?!”

Satu suara garau kedengaran dari jauh. Lily tersentak lalu berpaling. Seorang lelaki sedang melangkah ke arahnya dengan riak terkejut.

“Encik, tolong selamatkan saya! Dia nak rogol saya…” ujar Lily sambil berlari ke arah lelaki itu.

Namun, lelaki tersebut hanya memandang Johari yang terkulai di tanah dengan dahi berlumuran darah.

“Dia nak rogol kau ke, atau kau yang nak bunuh dia? Aku tengok dia yang teruk kena belasah.”

Lily mendengus geram. Dia merentap bajunya yang koyak di bahagian bahu lalu menjeling lelaki itu.

“Encik tengok baju saya ni! Sah-sah dia yang nak rogol saya. Saya cuma lawan balik! Jom, kita tinggalkan dia.”

Tanpa menunggu jawapan, Lily menarik tangan lelaki itu, mengajaknya menjauh dari Johari yang masih mengerang kesakitan di tanah.

“Tapi… dia tu…”

“Encik nak kena tangkap ke, hah?” potong Lily pantas.

“Kalau rasa nak makan nasi free dalam lokap, silakan tunggu dengan dia.”

Lelaki itu mengangkat tangan menyerah.

“Errr… okay, aku ikut kau. Encik yang terluka tu, pandai-pandailah minta tolong orang lain!” jeritnya kepada Johari sebelum mengekori Lily.

Lily berjalan terhuyung-hayang kerana sebelah kasut tumit tingginya masih dipegang. Dia menanggalkan sebelah lagi lalu berjalan berkaki ayam menuju ke keretanya.

“Cik! Cik! Tunggu kejap!”

Lelaki itu memanggilnya, tetapi Lily langsung tidak menoleh.

Dia membuka pintu kereta dengan tergesa-gesa, masuk ke dalam, lalu memecut pergi.

Hatinya masih berdegup kencang. Jari-jemarinya mencengkam stereng erat. Dada Lily naik turun menahan sebak. Hanya satu perkara yang bermain di fikirannya saat ini… Dia tidak akan biarkan perkara ini berlalu begitu sahaja.

"Cis! Tak guna punya perempuan!" bentak Noah dengan geram, tangannya mengepal menahan marah. Nafasnya turun naik, dadanya berombak dengan rasa tidak puas hati yang membuak-buak.

"Aku nak tolong dia, tapi dia pergi tinggalkan aku pula! Macam aku ni musuh dia! Sial betul! Baik aku berambus sebelum polis datang. Nanti tak pasal-pasal aku pula yang kena tuduh cuba membunuh," bebelnya sambil menghentak kaki ke tanah, geram dengan situasi yang tidak masuk akal itu.

Dengan satu dengusan kasar, Noah berpaling dan melangkah laju, meninggalkan kawasan itu tanpa menoleh ke belakang lagi. Dia tidak mahu terjerat dalam masalah yang bukan berpunca darinya.

Di tempat lain, Lily masih menangis teresak-esak sambil memandu. Air matanya menitik laju, membasahi pipi dan hujung dagunya, tetapi dia tidak mampu berhenti. Tangannya menggenggam stereng erat, cuba menstabilkan diri walaupun jiwanya sedang berkecamuk.

Dia tidak mahu pulang ke rumah. Ketakutan menyelubunginya. Dia tahu, keluarga bekas mentuanya pasti akan mencarinya. Tapi kalau bukan ke rumah, ke mana lagi dia harus pergi?

"Mana aku nak pergi ni?" desisnya dengan suara serak, cuba berfikir dalam keadaan minda yang berserabut.

Satu per satu nama muncul di fikirannya.

"Aku tak boleh pergi rumah Rania. Dia tinggal dengan keluarga dia, tak selamat untuk aku ke sana... Hmm, Shasha! Ya, aku patut pergi rumah Shasha..."

Tanpa berfikir panjang, Lily terus menekan minyak, menghala ke rumah sahabat baiknya itu. Perjalanan sejauh tiga puluh minit terasa seperti berjam-jam. Jantungnya berdegup kencang sepanjang jalan, ketakutan masih menyelubungi hatinya.

Sebaik tiba di kawasan perumahan Shasha, dia memperlahankan keretanya dan memandu masuk ke lorong kecil yang menuju ke rumah itu. Namun, pergerakannya terhenti apabila melihat sesuatu yang mencurigakan. Sebuah kereta berwarna hitam yang diparkir tidak jauh dari rumah tersebut.

Di dalamnya, beberapa orang lelaki duduk menunggu dalam keadaan mencurigakan. Mereka tidak berbual, hanya diam sambil memerhati sekeliling.

Lily mengetap bibir. Hatinya berdegup semakin laju.

"Siapa tu?" bisiknya perlahan, cuba menenangkan diri, walaupun naluri kuatnya sudah memberi amaran bahawa sesuatu yang buruk sedang menantinya.

Kemudian, fikirannya menangkap satu kemungkinan yang membuatkan darahnya serta-merta menjadi sejuk.

"Entah-entah... Johari yang arahkan dorang untuk berjaga-jaga dekat sana."

Serta-merta tubuhnya menggigil. Jari-jarinya mencengkam stereng erat, hampir putih buku-buku jarinya.

"Tak... aku tak boleh ambil risiko. Kalau benar itu orang-orang Johari, aku dalam bahaya!"

Lily menelan liur. Tanpa membuang masa, dia segera memutarkan stereng dan meninggalkan kawasan itu secepat mungkin.

Air matanya kembali mengalir deras.

Hari ini… semuanya terasa seperti mimpi buruk. Dia bukan sahaja nyaris dirogol oleh bekas adik iparnya sendiri, tetapi dia juga tidak mempunyai tempat untuk pergi.

"Ya Allah… apa lagi yang aku akan lalui?" rintihnya perlahan, suaranya tenggelam dalam keheningan malam yang semakin gelap.

Lily memandu tanpa arah, hanya mengikut jalan tanpa tahu destinasi sebenar. Air matanya masih belum kering, dan fikirannya bercelaru. Dia cuba mencari tempat yang selamat, tetapi setiap sudut terasa penuh dengan ancaman.

Dia menggigit bibir, cuba menenangkan degupan jantung yang masih belum stabil. Setelah beberapa minit berlalu, matanya terpaku pada papan tanda sebuah hotel kecil di tepi jalan. Hotel itu kelihatan biasa, tidak terlalu mewah, tetapi cukup untuknya berlindung buat sementara waktu.

Dengan tangan yang sedikit menggigil, Lily memberhentikan kereta di hadapan lobi hotel. Dia menarik nafas panjang sebelum melangkah keluar, matanya melilau ke sekeliling, memastikan tiada sesiapa yang mencurigakan sedang mengikutinya.

Pintu kaca hotel itu terbuka secara automatik, dan udara dingin dari penghawa dingin menyapa wajahnya yang masih basah dengan sisa air mata. Hanya ada seorang pekerja di kaunter penyambut tetamu. Seorang lelaki pertengahan usia yang kelihatan bosan, sibuk menaip sesuatu di komputer.

Lily menarik nafas sebelum mendekati kaunter.

“Selamat malam, cik. Nak check-in?” tanya pekerja itu dengan nada profesional, langsung tidak mempedulikan wajahnya yang pucat dan mata yang sedikit sembap.

“Ya… satu bilik, untuk satu malam,” balas Lily dengan suara serak.

Lelaki itu mengangguk dan mula menaip sesuatu.

“Bilik standard atau deluxe, cik?”

“Apa-apa saja, asalkan saya boleh masuk sekarang,” katanya, hampir merayu.

Pekerja itu hanya mengangkat bahu sebelum menyerahkan kunci kad kepadanya.

“Bilik 208, tingkat dua. Bayaran boleh dibuat semasa check-out.”

Lily mengambil kunci dengan tangan yang hampir menggigil. Dia mengangguk kecil dan terus melangkah ke arah lift tanpa berkata apa-apa lagi.

Sebaik sahaja pintu lift tertutup, dia bersandar pada dinding logam yang sejuk, menghembuskan nafas berat. Seluruh tubuhnya terasa lemah. Dia benar-benar keletihan, bukan sahaja secara fizikal tetapi juga emosi.

Setibanya di tingkat dua, dia melangkah longlai ke bilik bernombor 208. Setelah memastikan tiada sesiapa di lorong itu, dia segera masuk dan menutup pintu rapat. Dia mengunci pintu, memasang selak keselamatan, dan menyandarkan dahi ke permukaan kayu yang sejuk.

Keadaan bilik itu sederhana dengan katil bersaiz queen, sebuah meja kecil, dan televisyen yang terpasang tanpa suara. Langsir tebal menutup tingkap, membuatkan ruang itu terasa lebih selamat.

Lily melangkah perlahan ke arah katil dan akhirnya rebah di atas tilam. Dia merenung siling putih yang kosong, nafasnya tersekat-sekat.

Semuanya terasa begitu menyakitkan.

Dia hampir dirogol. Dia tidak tahu ke mana harus pergi. Dia terpaksa melarikan diri seperti seorang pelarian.

Dan kini, dia keseorangan di bilik hotel yang sunyi, hanya ditemani dengan luka yang tidak dapat dilihat oleh sesiapa.

Air matanya kembali mengalir.

“Kenapa semua ini terjadi pada aku?” bisiknya perlahan, suaranya hampir tenggelam dalam keheningan malam.

Dia memejamkan mata, cuba mencari sedikit ketenangan, tetapi bayangan kejadian tadi kembali menghantuinya. Dia masih dapat merasakan ketakutan yang mencengkam, desakan tangan kasar yang cuba merobek kehormatannya, dan suara Johari yang mengerang kesakitan sebelum dia melarikan diri.

“Apa pun yang terjadi, kau kena bertenang, Lily…" bisiknya perlahan, cuba menenangkan diri.

Lily menggigit bibir, menahan rasa sesak di dada. Dia tidak mahu menangis lagi, tetapi hatinya terlalu lemah untuk berpura-pura kuat.

Malam itu terasa panjang, kesunyian semakin menyesakkan, dan esok dia perlu berlakon seperti tiada apa yang berlaku.

Share this novel

Erna Md Nordin
2025-02-02 08:15:04 

best...kuat juga si lily ni...


NovelPlus Premium

The best ads free experience