GERABAK tren LRT bergerak di landasan. Dari salah satu tempat duduk, Elana bersandar sambil melihat melalui cermin kaca pemandangan Bandaraya Kuala Lumpur yang tidak sunyi dari kesibukan dan hiruk-pikuk warga kota.
Keluhan berat berhembus. Wajahnya terlihat suram dan muram. Sesekali nampak kerutan di dahi dan keningnya. Seakan resah serta tenggelam melayan fikirannya sendiri.
Peristiwa satu malam yang telah meragut 'kesuciannya' oleh seorang lelaki asing tidak dikenali dua hari lalu masih terbayang di ruang mata. Biar pun tika itu dia berstatus ‘isteri’ dan hubungan tersebut sudah di’halal’kan, namun Elana tetap merasakan dirinya tidak ubah seperti perempuan murahan yang dinodai tanpa kemahuan sendiri. Harga dirinya bagai dicampak begitu sahaja selepas lelaki itu memperoleh apa yang dimahukan.
Selama dua hari Elana setia menanti di kamar suite hotel ternama itu. Dia menunggu kepulangan ‘suaminya’. Tapi, tiada. Nak keluar pun tidak berani setelah teringat ‘ugutan’ lelaki berkenaan tempoh hari supaya dia tidak melarikan diri. Dia hanya makan apa yang ada. Kebetulan di ruang pantri kecil tersimpan stok makanan segera.
Bagaimana pun, hari ini Elana terpaksa meninggalkan kamar suite hotel berkenaan setelah seorang kakitangan memaklumkan bahawa tempoh penginapannya di hotel itu telah tamat.
Permulaannya Elana agak ragu-ragu. Takut dan bimbang akan keselamatan dirinya. Namun, setelah yakin tiada apa-apa atau sesiapa mengekorinya barulah Elana meninggalkan bangunan hotel tersebut.
Sambil masih melayan fikirannya, pandangan Elana jatuh ke sebentuk cincin emas yang berada di jari manis. Cincin yang disarungkan oleh lelaki bergelar suaminya tempoh hari. Dia mengusap perlahan cincin itu.
Siapa menyangka dalam tempoh satu malam sahaja telah mengubah segala-galanya. Dia kini adalah seorang isteri kepada seorang lelaki yang sebelum ini langsung tidak pernah dikenali. Malah, dia tidak tahu-menahu apa-apa pun berkenaan lelaki itu. Hanya nama lelaki itu sahaja yang menyapa di ingatan.
‘Tengku Eidrees Adrian’.
Segala maklumat lain berkenaan lelaki itu tidak Elana ketahui. Malah, dia tidak tahu bagaimana mahu menghubungi lelaki itu.
Ayat terakhir yang Elana dengar sebelum mereka berpisah adalah perkataan ‘Heathrow’. Kalau tak silap Heathrow itu nama lapangan terbang di London.
Adakah lelaki itu mengunjungi Kota London? Tapi, berapa lama? Adakah lelaki itu akan kembali semula ke sini? Lalu bagaimana dengan dirinya? Bolehkah dia meneruskan kehidupan seperti biasa selepas ini?
Semua persoalan itu mengusutkan fikiran Elana. Namun, satu hal yang Elana sedikit lega adalah kerana hutang adiknya tempoh hari telah dilangsaikan.
Langsai setelah dia dijadikan ‘barang pertukaran’ dan ‘cagaran’. Betapa murah harga dirinya demi menyelamatkan nyawa adik sendiri!
Elana menggelengkan kepala tanda kecewa. Harap-harap lelaki-lelaki kongsi gelap tempoh hari tidak akan mencari dirinya dan Rafeq lagi.
“Stesen berikutnya Bandar Tun Razak...”
Saat terdengar pengumuman dari peti rakaman suara menyatakan tren dinaiki sudah tiba ke destinasi, Elana bangun meninggalkan tempat duduk. Dia melangkah keluar dari gerabak tren bersama para penumpang lain.
SELEPAS meninggalkan Stesen LRT, Elana berjalan menyusuri laluan pejalan kaki menuju ke sebuah bangunan flat PPR yang terletak berdekatan. Di sinilah kawasan tempat tinggalnya. Tempat tinggal untuk golongan ‘marhaen’ sepertinya.
Teringat saat dia berpeluang mengunjungi kondominium milik Tengku Eidrees tempoh hari. Terletak di Mont Kiara. Amat mewah dan bercita-rasa tinggi. Jauh berbeza lokasi serta persekitaran tempat itu berbanding di sini. Rasanya lelaki golongan atasan seperti Tengku Eidrees tentu tidak sudi bertandang ke kawasan murah seperti ini.
Langkah Elana tidak lama kemudian tiba di lobi bangunan flat PPR. Dia menuju ke arah pintu lif. Namun, Elana mengeluh hampa apabila dilihat dua buah lif di hadapannya tidak berfungsi. Seperti biasalah, lif rumah pangsa seperti ini kerapkali rosak.
Mahu tidak mahu Elana terpaksa menggunakan laluan tangga untuk ke rumahnya yang terletak di tingkat 10. Beginilah rutin kehidupan penduduk disitu. Tidak seperti rumah milik Tengku Eidrees yang mempunyai lif persendirian dan bergerak terus ke aras 30 untuk ke 'penthouse'nya.
Buat seketika Elana merasakan jurang kehidupan antara dia dan Tengku Eidrees terlalu jauh. Seperti langit dan bumi. Elana tidak hairan apabila lelaki itu memilih merahsiakan pernikahan mereka disebabkan perbezaan status kehidupan. Tentu lelaki itu malu memperisterikan dirinya.
Elana pasrah. Mungkin itu yang sebaiknya buat mereka berdua. Sekurang-kurangnya dia tidak melakukan hubungan terlarang bersama lelaki itu.
Setengah jam mendaki anak tangga ke tingkat atas, barulah Elana tiba di tingkat 10 pangsapuri tersebut. Penatnya tak tahu nak cakap. Renik peluh membasahi wajah dan tubuh.
Menjejak ke dalam salah satu rumah di aras tersebut, kebetulan Elana ternampak kelibat adik tirinya Rafeq berada di ruang tamu. Kaki dan tangan Rafeq berbalut kain kasa. Manakala bahagian muka bertampal plaster. Anak muda berusia 17 tahun itu nyata terkejut sebaik melihat kakaknya.
“Kak, kau pergi mana dua malam tak balik? Lelaki-lelaki hari tu buat apa kat kau??” Rafeq menyoal ingin tahu.
Selepas kejadian dipukul lelaki-lelaki gangster tempoh hari, Rafeq pulang ke rumah selepas
meminta seorang kawan menjemputnya. Tak berani Rafeq nak ceritakan kepada emaknya tentang hal sebenar yang berlaku. Risau ‘dilibas’ oleh emak pula nanti. Dia memaklumkan bergaduh dengan budak-budak nakal lain.
Soalan Rafeq tidak dijawab. Elana memandang adik tirinya itu dengan perasaan geram dan marah. Rafeq punca dia terjerat dalam semua yang berlaku tempoh hari sehingga terpaksa bernikah dengan seorang lelaki asing!
Spontan Elana mencapai sebiji kusyen kecil yang berada di kerusi ruang tamu lalu ditekap dengan penuh emosi ke muka adiknya. Melepaskan amarah.
“Kak, apa ni?? Woi lemaslah aku!” Rafeq meronta-ronta.
“Kau punya pasal akak kena mengadap gangster-gangster hari tu! Lepas ni kau jangan berani nak pinjam duit dari Ah Long lagi!” Elana menjerkah.
Rafeq lantas menjerit meminta tolong.
“Makkkk tolonnggg!!”
Seperti dijangka tidak lama kemudian muncul seorang wanita lewat empat puluhan di ruang tamu bersama riak muka yang bengis dan menyinga.
“Apahal ni?!!”
Suara nyaring dan garang Puan Rosidah yang juga emak tiri Elana bergema di unit rumah flat itu.
“Mak tengok kakak ni. Dia pukul Rafeq. Rafeq tak buat salah apa pun. Sakit mak...huhu…”
Rafeq mengadu dengan muka ‘cebik’ macam budak kecil. Minta simpati emaknya.
“Kenapa kau pukul Rafeq??”
Puan Rosidah mengerling tajam ke arah Elana. Spontan tangannya naik menampar kuat ke bahu kiri anak tirinya itu. Pantang sungguh dia kalau sesiapa sakiti anak kesayangannya biar pun si Rafeq itu sudah besar panjang.
Elana mengetap bibir tanda geram dengan gelagat adik tirinya. Selalu dimanjakan emak mereka. Dan dia pula sering dijadikan tempat si emak melepaskan geram dan amarah sejak dari kecil.
Mahu sahaja Elana ceritakan kepada emak tentang perangai Rafeq yang berani meminjam wang dari Ah Long dan hampir dibunuh tempoh hari. Tapi, emak tentu tidak percaya. Bagi emak Rafeq budak baik yang tidak pernah melakukan kesalahan.
“Ni dua hari tak balik rumah kau pergi mana?? Mana gaji kau?? Cepat bagi sini aku nak bayar bil-bil semua!” Suara lantang Puan Rosidah menyoal.
Dalam keluhan Elana membuka beg mengeluarkan dompet. Beberapa keping not kertas lima puluh diberikan kepada emak. Gaji hasil bekerja sebagai pelayan di sebuah restoran itu kebetulan diterima dua hari lalu. Seperti biasa gajinya setiap bulan harus diserahkan kepada emak.
Puan Rosidah terus merenggut kasar wang kertas itu dari tangan Elana. Dia mengira satu-persatu kepingan duit tersebut. Seketika kemudian terpamer kerutan di mukanya.
“RM900 je? Mana lagi 100??"
Dalam serba salah Elana menjawab. “RM100 tu kena potong sebab ada hari Lana sampai lambat ke tempat kerja…”
“Kena potong?? Haish, kau ni memang bodohlah! Asyik menyusahkan aku je. Hish!!” Puan Rosidah menengking sambil menunjal ke tengah dahi Elana.
Sudah acapkali begitu. Elana sendiri sudah terbiasa menerima segala makian dan tengkingan dari emak tirinya.
Tambahan pula memikirkan emak tirinya sudi membesarkannya selepas pemergian abah tersayang. Walaupun tidak disayangi dan sering dimarahi, namun Elana tetap menghormati emak sebagai seorang ibu. Sementelah dia tidak mempunyai sesiapa lagi di dunia ini.
Arwah abahnya berkahwin dengan Puan Rosidah ketika dia berusia 10 tahun. Kedua-dua mereka sama-sama duda dan janda. Abah kematian isteri manakala Puan Rosidah bercerai dengan bekas suaminya. Masing-masing mempunyai seorang satu anak.
Sejujurnya Elana tetap menyayangi Puan Rosidah dan Rafeq kerana hanya mereka satu-satunya ahli keluarga yang dia ada.
Lamunan Elana bagaimana pun terhenti saat melihat emaknya tiba-tiba sahaja menarik tangannya dan menelek ke cincin emas yang tersarung di jarinya.
“Ni cincin apa?? Ohh kau tipu aku kata gaji kena potong??!”
Alamak! Elana baru menyedari berkenaan cincin emas pemberian ‘suaminya’ tempoh hari. Cincin sempena pernikahan mereka.
“Err tak… ini cincin…”
Elana gugup untuk memberitahu perkara sebenar. Serta-merta teringat pada 'ugutan' Tengku Eidrees tempohari.
Tanpa menanti penjelasan, Puan Rosidah terlebih dahulu bertindak menanggalkan cincin emas tersebut dari jari Elana.
“Bagi aku cincin ni. Aku nak pergi gadai!” Bersahaja Puan Rosidah berkata.
Elana cuba membantah. “Mak, jangan. Cincin tu…”
Namun, Puan Rosidah sudah menghilang ke dalam kamarnya.
Elana hanya mampu mengeluh perlahan. Gusar seketika fikirannya. Bagaimana jika Tengku Eidrees kembali nanti dan bertanya berkenaan cincin tersebut. Apa yang mahu dijawabnya? Haih, runsing.
******
SEBUAH Range Rover bergerak meninggalkan Lapangan Terbang Heathrow menuju ke sebuah pusat perubatan yang terletak di tengah Kota London. Tengku Eidrees dijemput oleh pemandu peribadi keluarganya sebaik sahaja dia mendarat di bumi UK.
Dengan menaiki penerbangan lebih 24 jam menggunakan Etihad Airways dari Kuala Lumpur termasuk ‘stopover’ di Abu Dhabi, Tengku Eidrees akhirnya selamat tiba ke destinasi dituju.
Penat, letih, jet-lag. Semua ada. Namun, perasaan cemas dan gelisah yang memenuhi fikirannya mengatasi segala kelelahan. Dia tidak sabar-sabar mahu menemui insan yang disayangi sebelum terlewat.
Hampir setengah jam kemudian, Range Rover yang membawanya berhenti di depan pintu sebuah pusat perubatan. Tengku Eidrees bergegas turun dan melangkah masuk ke dalam.
Keluar dari lif di aras kelima, Tengku Eidrees berjalan di lorong koridor menuju ke sebuah kamar rawatan. Dari jauh dia dapat melihat kelibat seorang wanita separuh baya dalam ‘trench coat’ berwarna gelap sedang menanti kehadirannya di situ.
“Bonda.”
Tengku Eidrees terus mendapatkan wanita itu lalu memeluknya erat.
“Alhamdulillah Eid dah selamat sampai. Bonda risaukan Eid. Eid sihat? Kesiannya anak bonda. Mesti penat sangat travel jauh dari KL," ucap Tengku Zanariah sambil memekup tapak tangannya ke pipi si anak.
Seraya Tengku Eidrees mencapai tangan bondanya lalu mengucup penuh hormat.
“Eid sihat alhamdulillah. Papa macam mana? Eid risau sangat lepas bonda beritahu tentang papa hari tu.”
Saat itu tona wajah Tengku Zanariah berubah muram. Dia tidak mahu membimbangkan si anak. Tetapi, dia tidak boleh menyembunyikan perkara sebenar dari pengetahuan anaknya.
“Eid masuklah tengok papa. Setakat ini doktor maklumkan keadaan papa stabil. Tapi, papa masih belum sedarkan diri. Bonda risau kalau papa…”
Tanpa dapat menghabiskan kata-katanya, air mata sudah mengalir membasahi pipi Tengku Zanariah.
Melihat reaksi bonda, Tengku Eidrees terus memeluk wanita kesayangannya itu sekali lagi. Bahu bonda diusap lembut. Ingin memujuk dan menenangkan bonda.
“Sshh…insya-Allah papa akan okey. Kita doakan untuk papa ye, bonda.”
Tengku Zanariah mengangguk perlahan. Akur dengan pujukan anaknya. Dia kemudian meleraikan pelukan antara mereka dan meminta Tengku Eidrees masuk ke dalam kamar rawatan.
Sebaik kakinya melangkah ke ruang kamar rawatan kelas pertama itu, Tengku Eidrees dapat melihat sekujur tubuh papanya sedang terbaring di katil bersama alat sokongan pernafasan. Serta-merta perasaannya diserang sebak. Dia menghampiri katil lalu meraih jemari papanya yang sedang terbaring lemah lalu dikucup perlahan.
“Assalamualaikum papa. Eid datang sini. Papa kuatkan semangat ye. Eid tahu papa kuat. Kami tunggu papa sedar semula. Insya-Allah.”
Tengku Eidrees terasa dadanya seakan sesak. Resah dan bimbang memikirkan segala kemungkinan yang bakal berlaku.
Papanya, Tengku Ekhsan pernah mengalami serangan strok kali pertama beberapa tahun yang lalu. Selepas menjalani berbagai peringkat rawatan dan terapi kondisi tubuh papa sedikit baik.
Tetapi, tidak dijangka apabila papa sekali lagi diserang penyakit yang sama. Dan kali ini keadaannya lebih kritikal berbanding dahulu. Malah, menurut doktor peribadi mereka yang sempat dihubungi semalam, kebarangkalian untuk papa pulih semula adalah amat tipis. Dan mereka hanya mampu berdoa agar papa dapat kembali sihat seperti sebelum ini.
Pandangan Tengku Eidrees kemudian jatuh ke wajah seorang gadis muda yang sedang tertidur sambil meriba mukanya dengan lengan bersebelahan tubuh papa mereka. Satu-satu adik perempuannya, Tengku Syarafina.
Seraya Tengku Eidrees menepuk perlahan ke bahu gadis itu mahu mengejutkan si adik. Gadis itu terjaga sambil memisat kelopak mata sebelum pandangannya bertukar teruja.
“Abang Eid.”
Tengku Syarafina terus bangun dari duduknya lalu mendakap erat abangnya dengan erat. Tengku Eidrees turut membalas semula pelukan itu.
“Abang Eid… papa…”
Serentak itu Tengku Syarafina menangis bersama esakan kecil. Sama seperti bonda tadi, gadis ini juga tidak dapat menyembunyikan kesedihan.
Lalu Tengku Eidrees memujuk adik kesayangannya. Diusap perlahan air mata yang mengalir di pipi gadis itu.
“Sshh…don’t cry. Insya-Allah papa okey. Fina kuat kan? Jangan nangis kat sini. Kita kena kuat untuk bonda. Mmm.”
Tengku Syarafina mengangguk. Sedikit sebanyak dia bersyukur kerana abang kesayangannya turut berada di sini bersama-sama mereka.
Tengku Eidrees kemudian berpaling ke arah bonda yang berada berhampiran mereka.
“Bonda, Eid akan teman bonda dan Fina di sini. Eid akan bantu jaga papa sampai papa sembuh semula.” Tengku Eidrees mengucapkan kata-kata itu.
Melihat kepada situasi ketika ini, Tengku Eidrees merasakan dia perlu terus berada di bumi UK untuk satu tempoh yang lama. Sehingga bila dia sendiri belum pasti.
Share this novel
Update plzz