MCJKKS BAB 3 : DRESS PENDEK!

Romance Series 2756

PAGI itu, langit cerah seperti suasana hati Inka Christie yang penuh semangat. Dia melangkah masuk ke kawasan rumah agam Datin Sri Ruhil Amani, membawa beberapa baldi bunga segar bersama dua pekerjanya.

“Wow, ini lebih besar dari rumah dalam drama TV!” salah seorang pekerja, Rina, bersuara kagum.

Inka hanya tersenyum. Sebagai seorang penjual bunga, dia sudah terbiasa masuk ke rumah-rumah besar untuk menghias. Tapi, rumah ini memang luar biasa. Seni bina klasik dengan pintu besar berukir, dikelilingi taman bunga yang tersusun rapi.

Datin Sri Ruhil menyambut mereka di pintu.

“Inka, saya mahu hiasan bunga yang mewah, tapi jangan terlalu keterlaluan. Saya suka yang elegan.”

“Baik, Datin Sri. Saya akan pastikan dekorasinya sesuai dengan keindahan rumah Datin Sri,” jawab Inka dengan penuh keyakinan.

Mereka segera mula bekerja, menggubah bunga-bunga segar menjadi karya seni yang indah di ruang tamu rumah agam itu.

Ketika sedang menyiapkan hiasan di bahagian tangga, Inka berdiri di atas sebuah tangga lipat sambil meletakkan jambangan bunga di sudut tinggi. Semuanya berjalan lancar sehingga dia memutuskan untuk menuruni tangga tersebut.

“Rina, boleh ambilkan aku pita—”

Belum sempat dia menghabiskan ayatnya, kaki Inka tergelincir. Tangga itu bergoyang, dan sebelum dia sempat berpaut, tubuhnya melayang ke udara.

“Ya Allah!” jerit Inka. Dalam fikirannya, dia sudah bersedia untuk menghadapi lantai granit yang dingin dan keras itu.

Namun, kejatuhan itu tidak berlaku seperti yang dia bayangkan. Sebaliknya, dia merasakan ada sesuatu yang kuat dan hangat menyambut tubuhnya.

Inka membuka matanya perlahan-lahan. Dia hampir tidak percaya dengan apa yang dia lihat. Riz Adrian, jirannya yang selalu dingin itu, sedang memegangnya erat.

Mata mereka bertemu. Waktu terasa berhenti seketika. Inka hampir lupa bernafas ketika melihat wajah Riz yang serius, namun tetap kelihatan seperti seorang putera raja dari cerita dongeng.

“Kau okey, tak?” Riz bertanya, nadanya tegas.

Inka hanya mampu mengangguk perlahan. Dalam fikirannya, dia hampir berterima kasih kepada takdir kerana memberinya momen seperti ini.

Namun, lamunan itu tidak bertahan lama. Riz Adrian tiba-tiba memutuskan untuk melepaskan pegangannya tanpa sebarang amaran.


“Aaa—” Inka terjatuh ke lantai granit dengan bunyi ‘thud’ yang memalukan.

“Aduh!” jerit Inka sambil memegang punggungnya.

Riz Adrian hanya berdiri di situ, tersenyum sinis sambil menyilangkan tangan di dada dengan wajah yang kembali dingin.

“Kau patut lebih berhati-hati. Aku tak selalu ada untuk menyelamatkan kau.”

Inka mendongak, menatap Riz Adrian dengan mata yang sedikit berair—bukan kerana sakit fizikal, tetapi kerana egonya tercalar.

“Awak ni... tak ada hati ke? Saya hampir patah pinggang, dan awak biarkan saya jatuh macam ni?”

Riz mengangkat kening.

“Aku dah tolong kau elak kecederaan lebih teruk. Itu sudah cukup.”

Melihat wajah Riz yang langsung tidak menunjukkan rasa bersalah, Inka merengus.

“Terima kasih atas ‘pertolongan’ awak yang separuh jalan itu.”

Riz Adrian tidak menjawab. Dia hanya memandang Inka Christie dengan pandangan yang sukar ditafsir sebelum berpaling dan berjalan keluar dari ruang itu.

Tidak lama selepas itu, Datin Sri Ruhil Amani masuk ke ruang tamu.

“Inka! Awak tak apa-apa ke? Riz kenapa buat Inka macam tu?” Dia kelihatan risau.

Inka segera bangun, membetulkan bajunya sambil tersenyum lemah.

“Saya okey, Datin Sri. Tadi... hampir jatuh, tapi ada orang selamatkan.” Inka mengerling ke arah Riz Adrian yang sedang membawa dirinya ke pintu utama.

Datin Sri Ruhil memandang ke arah pintu tempat Riz menghilang.

“Oh, Riz Adrian. Dia memang macam tu—kasar di luar, tapi dalam hati dia baik.”

Inka hanya tersenyum kecil. Dalam hati, dia memikirkan sesuatu yang lain. Riz Adrian mungkin dingin dan kasar, tetapi detik di mana dia menyelamatkan Inka barusan tadi terasa seperti sesuatu yang lebih besar dari sekadar insiden biasa.

Namun, satu perkara yang Inka pasti tentang Riz Adrian—Inka tidak akan membiarkan kejadian itu berlalu begitu sahaja. Jika Riz Adrian fikir dia boleh mempermainkan egonya, dia silap besar. Inka Christie adalah gadis yang tahu bagaimana untuk melawan, dan dia bersedia untuk menghadapi Mr. CEO yang dingin itu dengan gaya tersendiri.

Inka Christie berdiri di sudut ruang tamu yang sudah dihiasi dengan bunga-bunga segar. Tangannya masih memegang pita hiasan, walaupun tubuhnya terasa sedikit sakit akibat terjatuh tadi. Namun, senyuman Datin Sri Ruhil Amani yang lebar membuatkan Inka melupakan seketika rasa tidak selesa itu.

“Inka, saya sangat kagum dengan hasil kerja awak,” ujar Datin Sri Ruhil sambil memerhati setiap sudut ruang itu.

“Bunga-bunga ini bukan sahaja segar, tetapi susunannya sangat elegan. Awak benar-benar tahu apa yang saya mahukan.”

“Terima kasih, Datin Sri,” jawab Inka sambil tersenyum sopan.

“Tugas saya memastikan semuanya sempurna.”

“Awak patut berehat. Serahkan saja yang selebihnya kepada pekerja awak. Saya tak mahu awak sakit teruk pula.”

Inka menggeleng.

“Tak apa, Datin Sri. Saya akan pastikan semuanya selesai seperti yang Datin Sri inginkan.”

Datin Sri Ruhil menggeleng sambil tersenyum kecil, kagum dengan semangat Inka.

“Baiklah. Tapi kalau awak rasa tak larat, jangan paksa diri.”

Sedang Inka sibuk menyusun bunga terakhir di pasu tinggi berhampiran pintu, langkah berat terdengar mendekati ruang itu. Dia tidak perlu menoleh untuk tahu siapa yang datang. Aura itu... siapa lagi kalau bukan Riz Adrian?

“Inka Christie.” Suara dalam itu bergema di ruang tamu, membuatkan Inka sedikit tersentak.

Dia berpaling perlahan, matanya bertembung dengan Riz Adrian yang bersandar di dinding, tangannya dimasukkan ke dalam poket seluar. Pandangan Riz yang sinis itu membuatkan jantung Inka berdegup lebih laju, walaupun dia cuba mengawalnya.

“Ada apa lagi, Encik CEO?” tanya Inka dengan nada separa santai, cuba menyembunyikan kegugupannya.

“Aku cuma nak pastikan kau tak jatuh lagi. Tak ingin aku nak jadi hero kali kedua hari ini,” balas Riz, senyuman kecil terukir di wajahnya.

Inka memutarkan matanya.

“Tak perlu risau. Saya dah pastikan semua tangga stabil sebelum panjat.”

Namun, dia tiba-tiba teringat sesuatu. Pakaian. Baju dress paras lutut yang sedikit kembang ini. Ya Allah! Inka menyedari ia langsung tidak sesuai untuk kerja-kerja seperti tadi.

Dia cuba berdiri dengan sopan, menarik dressnya sedikit untuk menutupi lutut. Tapi sebelum dia sempat berkata apa-apa, Riz Adrian sudah melangkah mendekat.

Dengan gerakan yang hampir tidak diduga, Riz menunduk sedikit dan berbisik perlahan di telinga Inka.

“Kau sengaja, kan?”

Inka tergamam. Dia berpaling, memandang Riz dengan wajah penuh tanda tanya.

“Sengaja apa?”

Riz tersenyum sinis, matanya melirik ke arah dress yang dipakai Inka.

“Pakai dress macam ni dan buat kerja panjat tangga. Kau tahu aku ada di sini, kan?”

Wajah Inka merah padma.

“Awak ingat saya tak ada kerja lain selain nak menggoda awak?” balasnya, cuba merendahkan suara supaya Datin Sri Ruhil tidak mendengar.

Riz mengangkat kening.

“Aku tak kata kau tak ada kerja lain. Tapi, ini agak... mencurigakan.”

Inka menarik nafas panjang, cuba menahan rasa geram.

“Dengar sini, Encik CEO. Saya pakai dress ini sebab saya sangka tugas saya hanya menghias bunga di meja. Tak sangka kena buat kerja panjat tangga juga. Kalau awak rasa tergoda, itu masalah awak, bukan saya.”

Kata-kata Inka membuatkan Riz Adrian terpana seketika. Dia tidak menyangka gadis itu begitu berani melawan kata-katanya. Namun, dia hanya tersenyum kecil, seolah-olah menikmati setiap detik perdebatan itu.

“Inka, kau memang... menarik,” katanya akhirnya.

Inka mendengus.

“Menarik untuk siapa? Untuk awak marah-marah setiap masa?”

Riz hanya tertawa kecil, membuatkan hati Inka semakin geram. Namun, sebelum Inka sempat membalas, Datin Sri Ruhil masuk semula ke ruang itu.

“Riz, apa yang kau buat di sini? Jangan ganggu Inka. Dia masih bekerja.”

“Oh, Riz cuma pastikan dia tak jatuh lagi, Mummy,” jawab Riz dengan nada tenang.

Datin Sri Ruhil memandang Riz dengan wajah tidak percaya sebelum mengalih pandangan ke arah Inka yang wajahnya masih merah.

“Inka, jangan layan Riz sangat. Dia memang suka mengusik orang.”

Inka tersenyum kecil, cuba menyembunyikan perasaan serba salah.

“Saya dah biasa, Datin Sri. Lagipun, saya hampir siap.”

Datin Sri Ruhil mengangguk sebelum keluar semula dari ruang itu, meninggalkan mereka berdua.

Riz Adrian memandang Inka sekali lagi, kali ini dengan senyuman yang lebih lembut.

“Aku serius tadi. Kau memang menarik. Dan tak kisah kalau kau nak terus goda aku”

Inka melemparkan pita hiasan ke arah Riz, tetapi lelaki itu mengelak dengan mudah sebelum keluar sambil tertawa kecil. Inka hanya mampu mengeluh panjang. Lelaki itu... benar-benar mencabar kesabarannya.

Setelah selesai menghias ruang tamu rumah agam Datin Sri Ruhil, Inka berdiri dengan tangan di pinggang, memandang hasil kerjanya. Dia tersenyum puas, meskipun tubuhnya terasa letih. Teman-temannya yang membantu sudah pulang lebih awal, meninggalkan Inka untuk menyelesaikan sentuhan akhir.

“Inka, awak benar-benar berbakat,” kata Datin Sri Ruhil, muncul dari dapur sambil membawa dulang berisi jus oren.

“Saya sangat suka dengan hiasan ini. Terima kasih banyak.”

“Sama-sama, Datin Sri. Ini memang tugas saya,” jawab Inka sambil tersenyum. Dia menundukkan sedikit kepalanya sebagai tanda hormat.


“Kalau begitu, sebagai tanda penghargaan, saya mahu awak hadir ke majlis hari lahir saya malam ini,” ujar Datin Sri Ruhil dengan nada ceria.

Mata Inka membulat.

“Majlis hari lahir, Datin Sri? Malam ini?”

“Ya! Majlis kecil-kecilan saja, hanya keluarga dan teman rapat. Tapi saya rasa kehadiran awak akan melengkapkan majlis ini. Lagipun, awak sudah menghias rumah ini begitu cantik.”

Inka cuba menolak dengan sopan.

“Datin Sri, saya rasa tak sesuai untuk saya—”

Namun, Datin Sri Ruhil memotong dengan tegas tetapi lembut.

“Saya tak terima alasan. Awak mesti datang, Inka. Jangan risau tentang pakaian. Riz akan bawa awak ke butik untuk ambil pakaian yang sesuai.”

Kali ini, Inka benar-benar terpana.

“Err... Riz?” tanyanya, hampir tidak percaya dengan apa yang didengarnya.

Datin Sri Ruhil mengangguk sambil tersenyum.

“Ya, Riz. Dia akan hantar awak pulang dan singgah di butik kegemaran saya untuk belanja awak. Anggap saja ini bonus istimewa untuk hasil kerja awak yang luar biasa.”

Inka menoleh ke arah Riz Adrian yang tiba-tiba muncul di ambang pintu. Lelaki itu berdiri dengan wajah dinginnya, namun bibirnya melengkung sedikit, seolah-olah menahan tawa.

“Kenapa Riz, Mummy?” Riz bertanya dengan nada malas.

“Kerana Riz ada kereta, dan Riz tak ada kerja lain yang lebih penting hari ini,” jawab Datin Sri Ruhil dengan tegas.

“Riz CEO, Mummy. Riz... busy,” Riz membalas, cuba mengelak.

Namun, Datin Sri Ruhil tidak peduli.

“CEO pun perlu berehat. Anggap ini rehat sambil membuat kebajikan.”

Inka berdiri di situ, merasa seperti berada dalam mimpi buruk yang aneh. Dia cuba sekali lagi untuk menolak.

“Datin Sri, saya rasa tak perlu susah-susah—”

“Inka, awak tak boleh tolak. Saya dah putuskan,” potong Datin Sri Ruhil.

“Riz, tolong pastikan Inka dapat pakaian yang sesuai. Dan Mummy mahu Riz sendiri yang pilih.”

“Pilih pakaian?” Riz mengulang, kelihatan seperti baru mendengar arahan paling pelik dalam hidupnya. “Me?”

“Ya, anak bertuahku. Riz tahu kan citarasa Mummy? Jadi, Mummy percaya pada pilihan kamu.”

Inka menelan air liurnya. Riz Adrian memilih pakaian untuknya? Ini pasti gurauan. Tapi melihat wajah Datin Sri Ruhil yang serius, dia sedar ini bukan jenaka.

Riz mengeluh perlahan sebelum melirik ke arah Inka dengan senyuman sinis.

“Baiklah. Tapi kalau Mummy tak suka dengan pilihan Riz, jangan salahkan Riz.”

Inka mengangkat tangan, cuba membantah.

“Saya rasa ini—”

“Jangan bimbang, Inka,” Datin Sri Ruhil memotong lagi.

“Saya tahu Riz akan buat pilihan yang terbaik.”

***

Dalam perjalanan, suasana di dalam kereta terasa canggung. Riz memandu dengan tenang, sementara Inka duduk di sebelahnya, cuba mencari topik untuk menghilangkan rasa tidak selesa.

“Kau selalu buat kerja macam ni?” Riz bertanya tiba-tiba, memecah keheningan.

“Kerja macam mana?”

“Panjat tangga dengan pakai dress pendek.”

Wajah Inka segera memerah, tertunduk malu.

“Saya tak rancang untuk panjat tangga hari ini. Itu kebetulan.”

Riz mengangguk perlahan, tetapi bibirnya melengkung menjadi senyuman kecil.

“Kebetulan yang menarik.”

Inka mendengus.

“Awak sengaja nak cari pasal, kan?”

“Tak. Aku cuma nak pastikan kau lebih berhati-hati selepas ini,” balas Riz dengan nada sinis.

Ketika mereka sampai di butik, Riz masuk bersama Inka dan mula memerhati pakaian-pakaian yang dipamerkan. Dengan ekspresi serius, dia mula memilih beberapa gaun malam.

Inka memandangnya dengan wajah hairan.

“Awak serius ke nak pilih untuk saya?”

Riz memandangnya sekilas.

“Mummy aku suruh, kan? Aku hanya ikut arahan.”

Sementara Riz sibuk memilih, Inka memandang ke cermin butik. Macam mana aku boleh terjebak dalam situasi ini? fikirnya. Namun, dia tidak dapat menahan senyuman kecil yang muncul di bibirnya.

Riz Adrian mungkin dingin dan menyebalkan, tetapi ada sesuatu tentang lelaki itu yang membuatkan Inka rasa tidak mahu lari. Atau mungkin dia cuma terlalu penat untuk berfikir dengan jelas.

Gatal tul Mr CEO kita ni, dh suka tu cakap jelah...

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience