JA : BAB 1

Romance Series 6467

BEVANKA Joshua termenung memikirkan rayuan Lila sebentar tadi. Nafasnya dilepaskan berat, diiringi dengan dengusan perlahan. Sikap wanita itu dengan segala helah dan kelembutannya yang dibuat-buat, hanya membakar api amarah dalam dirinya.

Rokok yang terselit di celah jemari dibuang kasar ke dalam bekas abu rokok di atas meja. Dia bersandar pada sofa, cuba menenangkan fikiran yang berkecamuk. Perlahan-lahan, matanya terpejam, tetapi usahanya sia-sia. Bayangan masa lalu yang gelap dan menyakitkan mula menyerbu ruang mindanya.

20 tahun lalu

Suara jeritan yang nyaring dan kuat menyedarkan Joshua dari tidur. Perlahan-lahan, dia turun daripada katil dan berjalan mendekati pintu bilik, jantungnya berdebar-debar. Pintu bilik dibuka sedikit, dan dia dapat melihat papa dan mamanya sedang bertengkar dengan hebat. Tubuhnya mula menggigil ketakutan, dan air matanya mengalir tanpa henti, menitis jatuh ke pipi.

“Papa… mama…” panggilnya perlahan, esakannya makin kuat seiring dengan ketakutan yang semakin menular.

Alexander, dengan wajah merah membara, menarik rambut Kayla lalu mengheret dia ke tengah ruang tamu. Kayla memukul-mukul tangan Alexander, berharap dia melepaskan cengkaman pada rambutnya, tetapi Alexander tidak peduli. Dia terus menolak tubuh Kayla dengan kasar sehingga wanita itu tersungkur di atas lantai.

Kayla, dengan rasa malu dan sakit yang mendalam, perlahan-lahan bangun, duduk menghadap Alexander yang sedang berdiri dengan kemarahan di wajahnya.

“Jangan, jangan pukul aku,” rayu Kayla, air matanya bercucuran, wajahnya penuh dengan kesakitan. Dengan tangan yang terketar, dia berlutut di hadapan Alexander, kedua-dua telapak tangannya dirapatkan, berharap mendapat sedikit belas kasihan.

“Tolong, aku merayu. Aku buat semua ini demi kau, Alexander. Tapi apa yang berlaku semuanya fitnah!”

Kayla mengeluh, cuba mencari kekuatan dalam dirinya. Namun, Alexander, yang tidak mahu mendengar penjelasan, mencengkam rambut Kayla lebih kuat.

“Arghhh! Aku tak percaya! Aku nampak dengan mata aku sendiri kau berpelukan dengan lelaki tu. Kau masih taknak mengaku?” jerit Alexander, suaranya penuh dengan amarah yang memuncak.

Kayla, walaupun tahu kebenaran telah pun diketahui, tetap cuba berdalih, cuba mempertahankan diri.

“Ak... aku cuma berkawan dengan dia. Tak lebih dari tu,” jawab Kayla dengan suara terketar.

“Huh! Penipu! Perempuan macam kau memang tak layak hidup dalam rumah aku! Keluar!”

Teriakan itu disusuli dengan satu tendangan kuat di perut Kayla. Kayla menjerit kesakitan.

“Argh... sakit...”

Kayla mengerang sambil memegang perutnya. Dia berbaring di atas lantai, mengesot sedikit demi sedikit, berusaha mendekati Alexander yang tidak bergerak dari tempatnya.

“Alexander, kalau kau mahu aku keluar dari rumah ni, izinkan aku membawa Joshua. Aku ibunya. Biar aku yang menjaga dia,” kata Kayla dengan suara yang penuh desakan.

Alexander, yang sebelumnya hanya berdiri diam, kini menoleh ke arah Joshua yang sedang berdiri memeluk bingkai pintu sambil menangis teresak-esak. Wajah anaknya itu penuh dengan ketakutan dan kesedihan. Lama dia merenung wajah anaknya, hatinya bergetar, tetapi dia tidak tahu apa yang perlu dilakukan.

Joshua yang ketakutan itu terus bersembunyi di sebalik pintu sebaik sahaja melihat papanya melihat ke arahnya.

“Bagaimana kau nak menjaga dia? Dengan menjual tubuh kau?” soal Alexander dengan nada menyinga, wajahnya penuh kebencian.

“Apapun pekerjaan aku selepas ini, kau tidak perlu ambil peduli. Kalau betul kau nak lepaskan aku, biar aku pergi mencari kebahagiaan aku sendiri,” ujar Kayla tegas, walaupun hatinya terluka. Dia bangun dan mendekati Joshua.

“Sayang, nanti sayang ikut mama, ya?” tanya Kayla dengan suara lembut, berharap anaknya akan mendengarnya.

Joshua menggelengkan kepala, matanya penuh dengan keresahan.

“Kenapa? Sayang kena ikut mama. Siapa nak jaga Joshua selepas ini? Joshua kena ikut mama jugak!”

Kayla memaksa, wajahnya penuh dengan ketegasan.

“Taknak! Joshua taknak!” Jerit Joshua, matanya penuh dengan ketakutan. Dia mengundur beberapa langkah ke belakang, berusaha menjauhkan diri dari ibunya.

“Joshua! Kau suka atau tidak, kau kena ikut mama!”

Kayla berkata dengan nada yang lebih keras, menarik tangan anaknya hingga menyebabkan Joshua terjatuh. Dia dengan pantas menarik anaknya ke arah pintu utama, berusaha membawa dia keluar dari rumah.

“Papa! Papa!” teriak Joshua dengan suara penuh emosi, cuba menarik perhatian Alexander.

“Kayla!”

Alexander memanggil dengan tegas. Dia mula melangkah mendekati mereka, wajahnya kelihatan penuh dengan kemarahan yang membara.

“Biar aku yang menjaga Joshua. Kau boleh pergi ke mana yang kau suka dengan jantan tu,” kata Alexander dengan penuh ketegasan, cuba menarik tangan Joshua.

Joshua, dengan ketakutan yang mendalam terus memeluk tubuh papanya, bersembunyi di belakangnya, berharap dapat dilindungi.

“Tidak! Joshua anak aku dan aku akan menjaga dia! Joshua, sini!”

Kayla bersuara keras, cuba memujuk anaknya untuk ikut serta. Dia mendekati Joshua, lalu berlutut di hadapannya, meletakkan tangan di pipi anaknya, suaranya menjadi lembut.

“Joshua, kau ikut mama, ya. Nanti mama akan bawa Joshua masuk sekolah baru. Joshua akan bahagia dengan mama…” pujuk Kayla sekali lagi, berharap anaknya akan setuju.

Joshua menatap wajah mama dan papanya, fikirannya kacau. Dia mendongak melihat Alexander, cuba merayu namun suaranya tersekat di tekak.

“Joshua nak tinggal dengan mama?” soal Alexander, suara lembut namun penuh dengan kekeliruan.

Joshua hanya diam, matanya merenung kedua-dua orang tuanya, hati kecilnya berperang antara kasih sayang dan kesedihan. Setelah lama merenung, akhirnya dia mengangguk dengan perlahan.

“Joshua tinggal dengan mama, ya.”

Kayla memberi arahan, lalu berlari ke dalam bilik Joshua. Pakaian dimasukkan ke dalam beg besar dan kemudian dia berlari pula ke biliknya, mengemas barang-barang dirinya dengan pantas, tanpa menoleh lagi.

Alexander hanya mampu melihat perlakuan isterinya. Rupa-rupanya Kayla telah lama merancang untuk meninggalkan dia. Tidak pernah dia menyangka, selama ini jiran-jiran mereka bercakap tentang Kayla, namun dia langsung tidak mengambil peduli kerana tidak mahu berburuk sangka. Hati Alexander dipenuhi dengan rasa kecewa dan kemarahan.

Kayla muncul kembali dengan dua biji beg di tangannya. Dengan penuh tekad, dia membawa Joshua keluar dari rumah.

“Joshua, nanti papa akan melawat Joshua,” teriak Alexander, suaranya penuh dengan keputusasaan dari dalam rumah.

Joshua hanya mengangguk, namun pandangannya kosong. Dia menoleh ke arah papanya dengan tatapan yang penuh dengan kerisauan.

Kayla, tanpa berkata apa-apa lagi, mengeluarkan telefon pintarnya dan menghubungi seseorang. Tidak lama kemudian, sebuah kereta muncul tiba-tiba, berhenti di pekarangan rumah mereka. Seorang lelaki keluar dan mendekati mereka dengan langkah cepat.

“Masukkan beg ke dalam bonet,” arah Kayla kepada lelaki itu, suaranya penuh dengan ketegasan.

“Jom, sayang. Kita masuk dalam kereta.”

Kayla mengajak Joshua, namun anaknya masih teragak-agak.

Bevanka Joshua berlari ke arah Alexander, memeluk tubuh papanya erat.

“Papa, Joshua nak tinggal dengan papa,” bisik Joshua dengan suara perlahan, penuh dengan perasaan.

“Joshua! Masuk dalam kereta!”

Kayla menjerit dengan kuat, memaksa anaknya untuk melepaskan pelukan papanya.

Alexander memeluk Joshua dengan penuh kasih sayang. Dahi anak lelakinya itu dikucup lembut, penuh emosi.

“Nanti papa akan melawat, Joshua. Dengar cakap mama, jangan nakal-nakal ya,” pesan Alexander dengan penuh kasih.

Joshua hanya mengangguk, matanya yang penuh dengan air mata masih memandang papanya.

Kayla terus menarik tangan Joshua ke arah kereta. Dengan hati yang hancur, Joshua hanya mampu melihat papanya dari dalam kereta, sebelum melambai-lambai ke arah Alexander, meninggalkan rumah itu dan segala kenangan yang masih ada di dalamnya.

Langkahnya perlahan memasuki rumah banglo moden itu. Joshua berdiri di tengah ruang tamu, matanya tertumpu pada lampu chandelier yang tergantung indah di siling. Mulutnya sedikit ternganga, kagum dengan kilauan cahaya terang dari lampu tersebut.

"Joshua..." panggil Kayla.

Joshua yang sedang khusyuk termenung tersentak mendengar suara itu. Kedua-dua bahunya terangkat tinggi, terkejut dengan sapaan mendadak Kayla.

"Jom kita naik ke atas," ajak Kayla sambil melemparkan senyuman lembut.

Tanpa sepatah kata, Joshua mengikut langkah Kayla dari belakang. Mereka menaiki tangga ke tingkat atas dan menuju sebuah bilik sederhana besar. Sebaik sahaja pintu bilik dibuka, matanya terbeliak melihat isi bilik tersebut. Segala-galanya tampak mewah dari perabot eksklusif hingga sebuah komputer berset lengkap di sudut bilik.

Kayla duduk di hadapan Joshua dan mengelus perlahan pipi budak kecil itu, meskipun usianya sudah mencecah 10 tahun.

"Sayang, mulai hari ini sayang tinggal dengan mama di sini. Kita akan bahagia bersama, ya," ucap Kayla penuh lembut dengan senyuman manis di bibir.

Joshua hanya mengangguk perlahan. Di usia sekecil itu, yang dia perlukan hanyalah kasih sayang mamanya. Selagi mamanya ada, dia merasa tenang.

"Kayla… Kayla!"

Suara jeritan Jeremy bergema dari tingkat bawah.

"Ya, coming! Joshua, duduk dulu dalam bilik, nanti mama datang."

Tanpa menunggu jawapan daripada Joshua, Kayla bergegas keluar, meninggalkannya sendirian di bilik itu. Dia perlahan melangkah ke arah katil, duduk di birainya, dan akhirnya merebahkan tubuhnya. Tidak lama kemudian, dia terlelap kerana terlalu penat.

Hampir setahun berlalu sejak Joshua tinggal bersama Kayla dan Jeremy. Sepanjang tempoh itu, tidak sekalipun papanya, Alexander, datang menjenguknya. Hari demi hari dia menunggu, namun penantiannya hanya disambut kehampaan. Khabar berita tentang papanya juga tidak pernah sampai.

Suatu petang, Joshua duduk di meja belajarnya, sibuk menyiapkan latihan matematik dari sekolah. Mulutnya terkumat-kamit menghafal sifir.

"Mana budak tu?"

Suara Jeremy kedengaran dari jauh. Langkah kakinya semakin lama semakin dekat.

"Joshua!"

Pintu bilik tiba-tiba dihempas kuat, membuatkan Joshua tergamam. Dia kaku di tempatnya, tidak berani bergerak.

"Kau tahu mana mama kau pergi?" soal Jeremy, nadanya kasar dan tajam.

Joshua hanya menggeleng perlahan.

"Kau tahu tak yang mama kau dah lari dengan lelaki lain?"

Kata-kata itu bagai menikam hatinya. Air mata mula bergenang di pelupuk mata. Mamanya telah mengulangi kesilapan yang sama, malah kali ini meninggalkannya bersama orang asing. Hatinya remuk. Bagaimana mamanya sanggup melakukan ini kepadanya?

"Kemas baju kau sekarang! Aku nak hantar kau ke rumah anak yatim. Di situ tempat yang paling layak untuk kau!"

Jeremy berdiri sambil bercekak pinggang, matanya menikam tajam ke arah Joshua. Wajahnya jelas menyinga.

Namun, Joshua tidak berganjak dari tempatnya. Tubuhnya terasa bagai dipaku pada kerusi.

"Kau pekak ke?! Aku suruh kau kemas pakaian kau!" tengking Jeremy dengan suara bergema. Dia meluru ke arah Joshua dan menarik telinganya dengan kasar.

Dengan langkah berat, Joshua bergerak perlahan ke arah almari pakaian. Tangannya terketar-ketar ketika mengeluarkan pakaian dan memasukkannya ke dalam sebuah beg kecil. Hatinya sarat dengan kesedihan dan ketakutan.

"Dah siap ke belum?"

Suara garau Jeremy memecah kesunyian bilik.

Joshua hanya mengangguk perlahan, tidak berani menatap wajah lelaki itu.

"Sally, bawa beg ni masuk ke dalam kereta! Malam ni juga budak ni keluar dari rumah aku. Aku tak nak anak betina tu tinggal kat sini lagi!" bentak Jeremy dengan nada penuh kebencian.

“Ba… baik, tuan,” balas Sally, suaranya bergetar ketakutan. Dia segera mengambil beg kecil di tangan Joshua dan berlalu keluar dari bilik.

Jeremy mula melangkah keluar, tetapi tiba-tiba dia berpaling semula ke arah Joshua.

“Kau tercegat lagi kat situ? Ikut aku turun ke bawah!” tengkingnya keras.

Joshua mengangguk perlahan dan mengikuti Jeremy tanpa sepatah kata. Hatinya penuh rasa takut, bimbang jika dia dipukul seperti sebelum ini.

Setibanya mereka di tingkat bawah, Jeremy menggenggam pergelangan tangan kecil Joshua dengan kasar dan menariknya ke arah kereta. Budak kecil itu tidak melawan, hanya menurut dalam diam. Tubuhnya terasa lemah, jiwanya semakin hancur.

Kereta yang dipandu Jeremy meluncur laju meninggalkan pekarangan rumah. Jalan yang gelap dan sunyi menambah rasa takut yang semakin menghimpit Joshua. Tangannya mula menggeletar, dan akhirnya dia tidak dapat menahan air matanya. Esakannya perlahan, namun kian lama menjadi semakin kuat.

“Berhenti! Berhenti!” teriak Joshua dengan nada panik.

Jeremy menjelingnya dengan tajam.

“Kau dah kenapa? Kau dah gila ke?”

“Berhenti! Joshua tak nak pergi ke rumah anak yatim! Joshua nak ikut mama!”

Jeritannya sarat dengan kesedihan dan keputusasaan.

Jeremy menghentak steering.

“Kau pekak ke? Mama kau dah lari dengan jantan lain! Kau tak ada tempat lagi di rumah tu!”

“Tidak! Mama tak lari! Mama tunggu Joshua! Mama, tolong Joshua!”

Joshua terus menjerit sambil mengetuk-ngetuk tingkap kereta. Air matanya tidak berhenti mengalir.

“Kau diamlah!” tengking Jeremy. Wajahnya merah, dan kesabarannya sudah di hujung tanduk.

“Berhentikan kereta ni! Joshua nak balik!”

Joshua terus meronta-ronta.

Jeremy yang marah, sudah hilang kawalan.

“Kau duduk sekarang sebelum aku pukul kau!”

Namun, amaran itu langsung tidak dihiraukan. Dalam keterdesakannya, Joshua mencapai rambut Jeremy dan menariknya dengan kuat.

“Aduh! Arghhh… Joshua!”

Kereta hilang kawalan, dan Jeremy dengan panik menekan brek secara mengejut. Tubuh kecil Joshua terpelanting ke arah cermin depan sebelum jatuh ke atas jalan raya.

Jeremy keluar dari kereta dengan tergesa-gesa, matanya liar memerhati tubuh Joshua yang terbaring tidak bergerak di atas jalan. Dia mendekati budak kecil itu dan menguis tubuhnya dengan kaki.

“Hoi… Joshua… bangunlah!”

Suaranya kini terdengar cemas, namun tidak ada jawapan.

Jeremy tersentak melihat darah yang mengalir dari kepala Joshua. Tubuhnya kaku. Joshua tidak sedarkan diri, dan darah terus membasahi jalan raya. Dia melangkah ke belakang, panik mulai menguasai dirinya.

“Aku… aku tak boleh kena tangkap…”

Jeremy bergumam sambil mengesat peluh dingin di dahinya. Tanpa berfikir panjang, dia berlari masuk ke dalam kereta. Mesin kereta dihidupkan, dan dia segera mengundurkan kenderaan sebelum melarikan diri dari tempat kejadian.

Joshua dibiarkan sendirian di tengah jalan, tubuh kecilnya berlumuran darah, terbaring di bawah langit malam yang kelam.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience