Bab 2

Romance Series 7953

SEJAK disahkan menghidap kanser, tubuh Sofea semakin lemah. Rambutnya gugur sedikit demi sedikit, wajahnya pucat dan mata selalu letih. Tapi dia tetap kuat untuk mengandungkan zuriatnya. Ini adalah satu-satunya harapan yang menyala dalam hidupnya sekarang.

“Saya tak kisah sakit macam mana pun, Haris. Anak ni... anak ni bukti cinta kita.” Suaranya perlahan, tapi tegas.

Haris menggenggam tangan isterinya yang semakin kurus. “Saya tahu. Tapi kalau keadaan awak makin teruk, doktor cakap…”

“Tak.” Sofea mencelah lembut. “Saya akan lahirkan dia. Saya nak dengar tangisan pertama anak kita.”

Haris tunduk. Tak mampu melawan semangat itu. Dalam diam, dia kagum. Sofea kuat. Lebih kuat daripada dirinya sendiri.

Bulan-bulan berlalu, dan Haris mengurangkan kerjanya. Fokusnya cuma satu, Sofea. Dia memasak, mandikan Sofea, bawa dia ke hospital, bacakan buku untuk bayi dalam kandungan.

Setiap malam, dia akan bercakap dengan perut Sofea. “Hai anak papa… Nama apa kita nak bagi nanti ya?” Sofea senyum.

“Kalau perempuan, saya suka nama Ara Damya.” Haris mengangguk perlahan. “Ara Damya... lembut dan kuat. Macam awak.”

Akhirnya, hari yang ditunggu tiba. Sofea selamat melahirkan seorang bayi perempuan, kecil dan comel, dengan tangisan kuat yang menggema dalam bilik bersalin. Perjalanan sembilan bulan yang mereka tempuhi bersama sangat berat dan mencabar.

Sesungguhnya Sofea wanita paling kuat dia pernah temui. Air mata Haris tumpah. “Assalamualaikum, sayang. Ayah ada dekat sini,” bisiknya di telinga si kecil.

Sofea kelihatan sedikit sihat selepas melahirkan. Pucatnya berkurang, matanya bercahaya. Dia puas dengan apa yang dia berjaya lakukan, semua ini atas izin Allah. Permintaan demi permintaan dia Allah makbulkan. Air matanya juga tumpah lebih lagi melihat pemandangan yang terindah di hadapannya ini.

Di ruang wad, sambil mendukung Ara, Sofea bersandar di bahu Haris. “Cantik tak anak kita?”

“Macam awak,” jawab Haris sambil tersenyum penat.

Sofea diam sejenak, sebelum bertanya perlahan, “Haris… awak pernah fikir pasal Nadia?”

Haris terdiam. “Kenapa tanya?”

“Sebab… saya masih ingat cara awak pandang dia dulu. Dan dia pun… dia tak datang majlis kahwin kita. Awak tahu dia ke mana?”

Entah kenapa isu Nadia berbangkit lagi. Haris menggeleng. “Tak. Lepas dia balik Sabah tu, dia terus senyap. Tak update apa-apa. Saya pun... tak nak kacau hidup dia.”

Sofea menggigit bibir. Pandangannya kosong. “Kalau saya mati nanti, awak akan kahwin lain tak?”

Haris terpempan. “Sofea...”

“Saya tak cemburu,” ujar Sofea, walaupun suaranya serak. “Tapi... saya sedih kalau nanti anak kita tak rasa kasih ibu yang sebenar. Saya takut… kalau awak jumpa orang baru, anak kita akan rasa terpinggir.”

Haris mendakap isterinya dan anak yang baru lahir itu dipandang mereka berdua dengan penuh cinta. “Saya tak fikir sejauh tu. Saya cuma nak awak sihat. Dahlah, saya nak azankan anak kita ni.”

Sofea mengangguk dan dalam waktu ini entah kenapa dia menjadi tamak dalam berdoa agar dia diberikan kesempatan lagi. Jika tidak, semoga suami dan anaknya ini bertemu dengan orang selayaknya.

DI seberang Laut China Selatan, Nadia sibuk dengan kelas sukarelawan di pedalaman Sarawak. Kadang-kadang di Sabah, kadang-kadang di kampung nelayan yang jauh dari capaian internet. Hidupnya berubah drastik, bukan lagi gadis universiti yang ligat berlari di padang, tapi wanita yang menahan luka perlahan-lahan.

Namun setiap kali langit petang merah jingga, setiap kali terdengar lagu yang pernah mereka nyanyi dalam karaoke kolej, hatinya tersentuh.

“Apa khabarlah kau, Haris…” bisiknya satu malam ketika angin dingin bertiup dari laut.

Dia tidak tahu apa-apa tentang perkembangan Haris. Semua itu dia yang pilih kerana dia tidak mahu ada sifat cemburu yang akan membuatkannya lebih sukar melupakan Haris.

MALAM itu sunyi. Haris duduk di sisi katil hospital. Ara tidur dalam katil kecilnya. Sofea terbaring, nafasnya tidak lagi teratur. Matanya separuh terbuka, memandang siling dengan pandangan jauh.

“Haris...” Suaranya seperti bayang, lemah dan hampir hilang.

“Ya, sayang. Saya kat sini.” Haris menggenggam tangannya yang sejuk.

Sofea senyum. “Ara... kalau dia besar nanti, cerita dekat dia... mama dia sangat sayangkan dia.”

Haris mengangguk sambil menahan air mata. “Saya janji.”

Sofea menutup mata perlahan. Haris rasa dada isterinya turun naik dengan sangat perlahan.

“Maaf… saya tak dapat temankan awak lama…” bisik Sofea, nadanya semakin tenggelam.

Haris menangis. “Jangan cakap macam tu. Awak berehat dulu. Esok kita balik rumah, ya?”

Tapi tiada lagi suara. Hanya Haris mendengar desahan yang menyebut nama Allah dengan penuh kasih sayang.

Nafas terakhir Sofea terhenti seperti hembusan angin yang menghilang.

Haris menggenggam erat tangan yang kini dingin. “Sofea?”

Dia menjerit perlahan. Raungannya bergema dalam bilik kosong. Dunia menjadi senyap. Bayi kecil di buaian hanya merengek halus, seolah-olah memahami… bahawa malam itu, mereka telah kehilangan seorang yang sangat bermakna dalam hidup mereka.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience