SUASANA di kota raya agak lengang pada malam itu. Mungkin kerana langit yang menurunkan airnya, menyebabkan umat manusia tidak begitu ramai yang keluar pada malam tersebut. Gerimis malam hadir bersama tiupan angin yang agak kuat, menjadikan hawa pada waktu itu kedinginan. Di celahan sudut kota, Amira berjalan berseorangan di bawah titisan hujan. Wanita itu terus melangkah dalam keadaan menggigil, menahan kesejukan. Akhirnya dia tiba di satu perhentian bas dan mula berteduh di situ. Namun dengan pakaiannya yang basah kuyup, dia terpaksa berpeluk tubuh untuk mengurangkan rasa sejuk. Dia tiada pilihan. Pakaian yang ada pada tubuhnya itu adalah satu-satunya pakaiannya, pemberian jururawat di hospital.
Sedang menahan kesejukan yang terasa seolah menusuk ke tulang hitamnya, perut Amira pula berkeroncong, meminta untuk diberikan isi. Hari ini seharian dia belum menjamah sebarang makanan. Wanita itu kemudian menggosokkan kuat kedua belah telapak tangannya agar dirinya merasa sedikit kehangatan. Kemudian, dia menekan pula perutnya yang sedang kelaparan.
"Sayang.. Maafkan mama.. mama takde duit nak makan.. bersabarlah nak.. Setidaknya, mama akan selamatkan sayang.. mama akan pastikan sayang lahir dengan selamat ke dunia ni.. mama janji akan besarkan sayang sebaik mungkin.." Amira berbicara kepada anak dalam kandungannya sambil tangannya menggosok perut. Seketika kemudian, Amira sedikit mendongakkan kepalanya dan termenung jauh.
"Riz.. maaf.. mungkin ini adalah jalan yang terbaik buat kita.. kita tak ditakdirkan bersama.. dunia kita jauh berbeza.. pipit takkan dapat hidup bersama enggang.. biarlah saya tanggung sendiri kesakitan ni.. semoga awak akan bahagia bersama kekasih lama awak.." Amira berbicara sendirian. Hatinya semakin sebak apabila mengenangkan kisah cintanya yang tidak dapat bertahan lama. Kepalanya kemudian ditunduk dan Amira melihat cincin perkahwinan yang ada di jari manisnya. Cincin itu sangat bermakna buatnya. Itulah cincin yang diberikan oleh Rizal sempena hari jadinya dahulu. Cincin itu yang menjadi saksi saat bermulanya cinta Amira dan Rizal.
Amira mengulum senyum sendirian apabila mengenangkan saat dia menampar Rizal setelah lelaki itu cuba menciumnya ketika memberikan cincin tersebut kepadanya. Amira tak menyangka selama perkenalan, mereka berdua masing-masing sudah saling menyimpan perasaan. Rizal yang tidak bertangguh segera ingin meminangnya. Namun belum sempat semuanya terjadi, berlaku pula kecelakaan sehingga mengakibatkan Rizal kehilangan ingatan. Demi menunaikan janji dan memikul tanggung jawab, Amira sanggup bernikah dengan Rizal yang pada ketika itu langsung tidak diketahui latar belakangnya.
Amira mengimbau kembali kehidupan mereka selama lebih dua tahun bersama sebagai suami isteri. Mereka bahagia walaupun hidup dalam serba kekurangan. Namun mereka masing-masing berusaha untuk mengubah kehidupan masa depan mereka bersama, sehingga terbinalah sebuah restoran. Tak disangka, melalui restoran mereka itulah Rizal bertemu kembali dengan Shahira dan membawa mereka kepada keluarga lelaki tersebut. Amira seolah tidak percaya, lelaki yang menjadi suaminya itu sebenarnya adalah anak kepada orang kaya, bahkan antara yang terkaya di dalam negara. Amira mula merasa terhina dan rendah diri. Kedudukannya sangat rendah dan jauh berada di bawah jika dibandingkan dengan keluarga suaminya.
"Inilah yang terbaik.. pipit patut berada di jalanan.. bermain sesama pipit.. enggang terbanglah tinggi di awan bersama enggang juga.."Amira tersenyum hambar. Dia melirik sekilas lagi ke arah cincin di jari manisnya.
"Lapar betul.. aku pun takde duit nak beli makanan.. patut ke aku jual atau gadai cincin ni? setidaknya, boleh jugak buat beli makanan dan beli tiket balik kampung.." Amira mengeluh panjang. Dia tidak sanggup untuk kehilangan cincin tersebut. Namun keadaan dirinya sekarang juga sangat terdesak. Kini, hanya cincin itu sahajalah satu-satunya barangan berharga yang dia miliki. Fikiran Amira kemudian melayang, teringatkan ibu dan neneknya di kampung. Wanita itu menghela nafas panjang, seolah ingin menarik dan mengumpul kekuatan.
"Aku kena kuat! Aku mesti balik kampung! kehidupan aku bukan kat sini!" tekad Amira. Namun pada masa yang sama, dia masih tidak tahu bagaimana untuk dia pulang ke kampung halamannya, bahkan untuk mengisi perut dengan makanan sahaja dia masih tidak mampu. Di hembus angin sejuk pada malam itu, Amira yang kedinginan semakin kegigilan. Disebabkan hujan masih tidak berhenti, Amira membaringkan badannya pada bangku panjang di perhentian bas tersebut. Tanpa disedari, dia yang kepenatan setelah berjalan seharian akhirnya tertidur dengan bajunya yang kebasahan dan perutnya yang kelaparan.
Pada masa yang sama, Rizal masih berjalan di tepi jalan. Dia langsung tidak menghiraukan dirinya yang ditimpa hujan lebat dan angin kencang. Misinya hanya untuk mencari Amira. Dia harus menemukan isterinya itu. Sepanjang hari, dia turut berjalan tanpa henti. Perutnya juga tidak beralas dengan apa-apa isi.
"Mira.. tolong kembali.. kalau sayang nak pergi, kita pergi sama-sama.." Rizal berbicara sendirian sambil kakinya dipaksa untuk terus berjalan. Lelaki itu kelihatan seperti orang kurang siuman. Sejak pagi, dia terus berjalan tanpa arah tujuan dan mulutnya memanggil-manggil nama Amira. Pada mindanya, dia harus melihat Amira muncul di depan matanya.
Seketika kemudian, muncul seorang lelaki yang membawa payung dan menghampiri Rizal. Lelaki itu sudah pun mengikuti jejak langkah Rizal sejak pagi tadi. Dia adalah orang upahan Tan Sri Hanafi yang ditugaskan untuk mengikuti dan mengawasi Rizal sepanjang masa. Lelaki kaya itu tidak mahu sesuatu yang buruk berulang kepada anaknya dan dia sama sekali tidak ingin kehilangan lagi anak lelakinya itu. Jadi dia telah mengupah dua orang lelaki yang akan sentiasa mengikuti pergerakan Rizal, kemana sahaja anak Tan Sri Hanafi itu pergi. Disebabkan sudah terlalu lama mengikuti perjalanan Rizal yang tak tentu arah, malah berjalan di dalam hujan lebat, lelaki upahan itu terpaksa mendekat dan cuba memujuk Rizal untuk kembali ke rumah.
"Encik Rizal.. saya dapat arahan dari Tan Sri untuk bawa Encik balik ke rumah.." ujar lelaki berpayung kepada Rizal. Namun Rizal langsung tidak mengendahkan lelaki tersebut dan terus berjalan. Pandanganya terus tertumpu ke arah hadapan dengan langkah kakinya yang terhuyung hayang.
"Encik Rizal.." Lelaki berpayung itu memegang tangan Rizal untuk menghalang pergerakannya. Namun Rizal lantas menarik tangannya dengan kuat dan pegangan lelaki tersebut langsung terlepas.
"Berambuslah! Jangan kacau aku.. rumah tu, bukan rumah aku.. aku hanya nak cari isteri aku... aku hanya nak Amira.." Rizal membentak sebelum meneruskan langkah kakinya yang sudah semakin lemah.
"Tapi Encik Riz.. saya tak boleh langgar arahan Tan Sri.. dia nak saya bawa Encik Riz balik ke rumah.."
"Itu bukan rumah aku! aku tak nak tinggal kat rumah tu! aku hanya nak isteri aku.. aku nak isteri aku.." Rizal terus berjalan seperti orang yang kehilangan akal. Lelaki yang mengikutinya itu pula semakin serba salah.
Sedetik kemudian, sebuah kereta toyota vellfire berwarna putih muncul dan segera berhenti berhampiran Rizal dan lelaki yang mengikutinya itu. Pintu bahagian penumpang terbuka dan Shahira mula menampakkan diri. Gadis itu membuka payung dan segera turun dari kereta. Lelaki yang berpayung tadi terus mendekati Shahira.
"Cik Ira, saya dah ajak dia balik.. tapi dia tak nak.." ujar lelaki tersebut kepada Shahira.
"Hmm, takpelah.. biar saya uruskan.." Shahira mengangguk kepada wajah yang serius. Gadis itu kemudian segera berjalan dengan langkah yang laju untuk mengejar Rizal.
"Abang.. Abang Riz.. Abang nak kemana? Jom la kita balik dulu.. hujan lebat ni.." Shahira cuba memujuk abangnya. Namun Rizal tetap tidak mengendahkan adik perempuannya itu. Langkah kakinya terus di atur untuk melangkah maju walaupun semakin kehilangan upaya.
"Abang Riz.. dengar la apa yang Ira cakap ni.. jom la kita balik rumah dulu.." Shahira tetap berusaha dan mendekati abangnya.
"Pergi! jangan kacau aku! aku tak nak tinggal kat tempat jahanam tu! mana-mana rumah yang tak boleh terima isteri aku, aku pun takkan duduk kat sana!" jerkah Rizal.
Shahira tersentak dengan kelakuan abangnya itu. Dia tahu abangnya itu sangat kecewa dengan perbuatan ibu mereka terhadap Amira. Di sebabkan itu juga kakak iparnya itu melarikan diri. Namun Shahira tidak menyangka jika abangnya itu akan berkelakuan sebegitu rupa. Rizal tidak ubah seperti orang gila yang bergelandangan. Shahira hampir menangis. Gadis itu baru menyedari betapa besar cinta abangnya itu terhadap isterinya.
"Abang.. Mama pun dah minta maaf.. dia dah menyesal.. abang jangan la macam ni.. jom la kita balik dulu.. nanti kita cari lagi Kak Mira.."
"Dia minta maaf kat siapa? yang dia sakiti siapa? Kalau bukan kerana dia, isteri aku takkan pergi macam ni.. sudah! Kau balik la.. duduk dalam timbunan wang emas kat rumah tu.. berenanglah dalam longgokan intan berlian tu semua.. aku tak perlukan kekayaan tu semua.. aku hanya perlukan isteri aku.." Rizal mengacungkan jari telunjuknya kepada Shahira. Lelaki itu kemudian kembali meneruskan langkah kakinya di dalam siraman air hujan.
"Abang Riz.." Shahira yang sudah tidak mampu menahan emosinya mula menangis. Dia benar-benar sedih melihat keadaan abangnya itu.
"Kau.. balik la.. jangan kacau aku.. aku nak.. cari.. Amira.." Suara Rizal semakin perlahan. Ketika itu juga dia mula rebah, tergeletak di tepi jalan dan tidak sedarkan diri.
"Abang!.." Shahira menjerit kuat apabila melihat Rizal sudah pengsan di tepi jalan, bertemankan air hujan yang lebat. Dia bergegas mendapatkan abangnya itu. Lelaki yang bersama mereka tadi juga segera mendapatkan Rizal dan membawanya menuju ke arah kereta yang dinaiki oleh Shahira sebentar tadi.
Shahira tiada pilihan. Dia terpaksa membawa Rizal kembali ke rumah terlebih dahulu walaupun abangnya tadi berkeras tidak mahu pulang ke sana.
Bagaimana pun, keselamatan dan kesihatan abangnya itu harus diutamakan. Pada masa yang sama, Shahira juga turut khawatir mengenai keadaan Amira. Kakak iparnya itu secara tiba-tiba hilang dan melarikan diri dari hospital. Entah kemana wanita itu sudah pergi. Seharian Tan Sri Hanafi mengerahkan orang untuk mencari namun masih tidak mendapat sebarang khabar. Shahira sendiri bingung untuk mengesan keberadaan kakak iparnya. Kota metropolitan itu bukanlah kecil. Mencari satu orang dalam lautan jutaan manusia bukanlah suatu perkara yang mudah.
Tiba di rumah Tan Sri Hanafi, Rizal diusung dan diletakkan di bilik tamu. Badannya segera dibersihkan dan pakaiannya yang sudah basah serta kotor juga ditukar ganti. Doktor peribadi yang diupah oleh Tan Sri Hanafi segera di panggil untuk memeriksa keadaan lelaki tersebut. Selesai doktor memeriksa, Tan Sri Hanafi segera mendekati doktor lelaki yang hampir sebaya dengan dirinya itu.
"Macam mana keadaan anak saya doktor?" tanya Tan Sri Hanafi.
"Hmm.. dia pengsan sebab terlampau letih dan stress agaknya.. dan suhu badan dia pun dah semakin meningkat.. mungkin nak demam.. selain tu, takde masalah lain dah saya rasa.. nanti bagi paracetamol dengan antibiotik, okey la tu.."
"Baiklah.. terima kasih doktor." balas Tan Sri Hanafi.
"Ya lah.. kalau macam tu, saya balik dulu la Tan Sri.." Doktor tersebut segera meminta diri untuk pulang. Sebagai seorang doktor peribadi, begitulah tugas yang harus dipikulnya. Dia harus sentiasa bersiap sedia untuk merawat Tan Sri Hanafi sekeluarga tidak kira masa. Walaupun dirinya dipanggil pada tengah malam, dia harus pergi menunaikan tanggung jawabnya.
Kini Tan Sri Hanafi dan Puan Sri Rohayu berdiri di tepi katil yang menempatkan Rizal. Anak lelaki mereka itu ditatap dengan penuh rasa kasihan. Tan Sri Hanafi sendiri tidak menduga jika anaknya itu akan bertindak dan berkelakuan seperti orang tidak siuman setelah mengetahui mengenai kehilangan isterinya. Dia sendiri telah mengerahkan ramai orang untuk mencari menantunya itu setelah mendapat khabar mengenai wanita tersebut yang melarikan diri dari hospital, namun sehingga kini masih belum mendapat sebarang berita.
"Sayang.. jangan tinggalkan abang.." Rizal yang tidak sedarkan diri meracau dengan suara perlahan. Sedikit pergerakan daripada Rizal itu membuatkan Tan Sri Hanafi dan Puan Sri Rohayu terkejut.
"Riz.. Riz dah sedar ke? Riz bangun la.. jangan buat Mama risau.." Puan Sri Rohayu menahan sebak, memanggil-manggil nama anaknya itu. Namun Rizal kembali diam kaku di pembaringannya.
"Huh, sekarang baru awak nak risau? Keadaan Riz je yang awak risau? Pasal Amira macam mana? Entah dia duduk kat mana, tidur kat mana sekarang.. entah makan ke tidak.. yang tu awak tak risau?" Perli Tan Sri Hanafi kepada isterinya. Namun kata-katanya itu penuh dengan kebenaran.
"Dah Riz ni anak saya.. mesti la saya risau.." jawab Puan Sri Rohayu.
"Habis tu, Mira tu bukan anak menantu awak? dia tu isteri Riz.. awak jangan duk buat perangai lagi.. awak tengok sendiri sekarang ni.. sebab awak la si Mira tu lari, tinggalkan Riz.. dan apa yang jadi kat Riz sekarang? Riz dah macam orang gila duk cari bini dia.. awak suka anak awak jadi macam ni? Ingat Rohayu.. anak kita dah dewasa.. lagi-lagi si Riz ni hilang ingatan.. dia tak perlukan kita.. tapi dia hanya perlukan seorang isteri untuk jaga dia, temankan dia.. dia bukan budak kecik yang perlukan orang tua.." Ucap Tan Sri Hanafi. Puan Sri Rohayu terdiam sambil merenung lama wajah Rizal. Kata-kata suaminya terasa mula mengetuk pintu hatinya.
Share this novel
Amira lari pula dah ..kesian Riz cari smpai naik gila.Datin Rohayu tu dah insaf ke tu?
Aduhai...kenapalah kau lari Amira, mama Riz ni pun x insaf² lg ke..?