Eryna mendongak. Di atas, sebuah tingkap kecil membenarkan cahaya masuk.
‘Tingkap!’
Dia segera memerhatikan sekitar bilik, matanya menyapu setiap sudut sehingga pandangannya berhenti pada sebuah tangga usang. Dengan langkah pantas, dia mengheret tangga itu ke bawah tingkap.
“Montel, mari sini.” Dia memanggil budak itu dengan lembut, sambil menunjuk ke arah tingkap. “Saya tolong awak keluar.”
Budak kecil itu memandangnya dengan mata yang penuh kebimbangan. Kemudian dia menggeleng, kepala kecilnya bergerak laju.
‘Oh, dah tak nak jauh pulak?’
Eryna tersenyum nakal, mencubit pipinya yang lembut. “Wah, tadi bukan main takut nak dekat dengan saya, sekarang awak tak nak jauh pulak? Dengar sini Montel, tingkap tu kecil sangat, saya tak muat. Awak sorang je yang boleh keluar dari sini. Lepas awak keluar nanti, awak cari orang untuk selamatkan saya ya? Saya tunggu kat sini, Okay?”
Budak itu masih kelihatan ragu-ragu, matanya memandang tangga dengan takut. Tetapi Eryna tidak memberi peluang untuk dia berfikir terlalu lama. Dengan cepat, dia mengangkat Montel ke atas tangga.
“Cepat,” katanya dengan nada berseloroh, “Kalau awak lelaki sejati, jangan takut. Saya jaga awak dari bawah.”
Budak kecil itu akhirnya mengangguk perlahan, walaupun tubuhnya masih menggigil. Tangannya yang kecil mula memegang sisi tangga, mendaki perlahan ke arah tingkap.
Eryna berdiri di bawah, matanya tak lepas memerhatikan setiap gerakan. Dalam hati, dia berdoa agar tangga itu cukup kuat untuk menampung berat budak itu. You can do it, Montel.
“Bagus,” bisiknya dengan senyuman kecil. “Nanti keluar, awak jangan lupa cari orang tau. Jangan pula terus hilang tinggalkan saya.”
Untuk pertama kali, Eryna melihat seulas senyuman kecil terbit di bibir budak itu.
Setelah bersusah payah membantu Montel keluar melalui tingkap kecil itu, tenaga Eryna terasa seperti habis digunakan. Gelombang pening kuat tiba-tiba melanda, dan sebelum dia dapat menahan diri, kakinya tergelincir.
“Ah,”
Dalam sekelip mata, dia jatuh dari tangga. Punggungnya menghentam lantai dengan bunyi yang cukup keras untuk membuat sesiapa pun yang mendengarnya terasa ngilu.
Dari tepi tingkap, Montel memandang dengan mata membulat. Wajahnya, yang sebelum ini seperti patung tanpa ekspresi, kini panik.
Eryna, dengan sisa kekuatannya, mengangkat tangan sedikit dan berbisik dengan suara serak, “Pergi…”
Bawah sinar bintang yang samar, dia terbaring di lantai stor itu, wajahnya pucat, tetapi kecantikannya tetap menyerlah. Matanya, lembap dan bercahaya, seperti lautan yang menyimpan ribuan bintang.
Namun, apa gunanya semua itu sekarang?
Eryna tersenyum pahit. Dalam kepalanya cuma satu, ‘Belum pun sempat aku balas dendam… aku akan mati kat sini? Ironinya…’
Tetapi, setidak-tidaknya, dia telah melakukan sesuatu yang bermakna. Dia berjaya menyelamatkan Montel. ‘Kalau anak aku masih hidup, mungkin usianya dah hampir sama dengan budak kecil tu.’
Fikirannya melayang ke lima tahun lalu, malam gelap yang menghancurkan semuanya. Selepas kemalangan kereta yang meragut nyawa anaknya, keluarganya memilih jalan paling kejam, menghantarnya ke sebuah universiti asing di Amerika, tempat untuk anak-anak orang kaya. Namun sebenarnya niat mereka hanya ingin membiarkan Eryna untuk hidup sendiri.
Mereka tidak peduli dia patah hati. Tidak peduli dia hampir hilang kewarasan.
Tetapi Eryna? Dia menolak untuk membiarkan dirinya hancur. Dia menarik diri daripada University pilihan keluarganya dan memohon masuk ke University of Southern California, dan memaksia dirinya sehingga hampir gila untuk belajar sehingga dia betul-betul berjaya.
Kenapa? Kerana dia mahu mengalahkan Natasha.
Bukan sekadar mengalahkan, dia mahu mengambil balik semua yang telah dicuri Natasha daripadanya. Kehormatan, kebahagiaan, impian, semuanya.
Paling penting, lakonan adalah impiannya yang paling besar.
Setelah kembali ke tanah air, wajahnya yang kini lebih mempesona bersama bakat lakonannya yang diasah bertahun-tahun menarik perhatian Sally, seorang pengurus terkenal. Melalui Starlight Entertainment, syarikat terbesar dalam industri hiburan, dia akhirnya nampak cahaya di hujung terowong.
Sepatutnya begitu.
Tetapi Natasha, si musuh abadi, tidak pernah membiarkannya hidup tenang. Dengan muka manis dan wang keluarganya, Natasha menyusup masuk ke Starlight, merasuah Sally, dan mula menindasnya dari segala arah.
Watak-watak utama? Untuk Natasha.
Peluang besar? Natasha dulu.
Setiap kali Eryna naik, Natasha memastikan dia jatuh lebih jauh.
Dan sekarang, selepas segala yang dia tempuh, dia mungkin akan mati terkunci dalam stor bar usang ini.
Ironi hidupnya terasa begitu memuncak hingga hampir membuatnya ingin tertawa.
Namun, sambil memejamkan mata, dia hanya boleh berharap.
‘Aku harap budak itu selamat. Aku harap dia dapat cari seseorang untuk selamatkan aku. Aku harap, kalau aku keluar dari sini hidup-hidup, aku akan dapat balas semua kesakitan ni.’
Dalam kepalanya yang mulai kabur, hanya satu janji berbisik.
‘Natasha, kau takkan menang selamanya.’
Pada masa yang sama, di bilik pejabat pemilik Bar Eton, suasana terasa seperti sedang menunggu bom meletup.
Pemilik bar, pengurus, pengawal keselamatan, dan semua kakitangan lain berdiri berbaris seperti pesalah yang menanti hukuman. Wajah mereka pucat, peluh menitik, dan kaki terasa lemah. Di mata mereka, ini bukan sekadar malam yang buruk, ini malam yang boleh mengakhiri karier, reputasi, atau lebih buruk, kehidupan mereka.
Sebabnya? Putera kecil Korporat Alonso, satu-satunya anak kesayangan Arman, hilang di bar mereka.
Di atas sofa mewah di tengah bilik, Arman duduk dengan wajah dingin seperti ukiran ais. Tiada secalit emosi kelihatan, tetapi auranya? Mencekik. Seolah-olah udara di bilik itu sendiri takut untuk bergerak. Tekanan dari lelaki itu begitu besar hingga membuat semua orang terasa seperti ingin melutut tanpa disuruh.
Di hadapannya, seorang lelaki muda sedang berlutut, wajah penuh dengan air mata dan hingus. Dia memandang Arman dengan ketakutan mendalam.
“Abang! Saya minta maaf! Ini semua salah saya! Saya tak patut bawa Putera Kecik ke bar! Kalau apa-apa terjadi kat dia, saya... saya tak layak untuk hidup lagi!”
Dia menutup wajahnya dengan tangan, menangis teresak-esak.
Sebelum sempat dia menambah drama, BAM! Tendangan keras mendarat tepat di dadanya.
Bunyi tulang yang mungkin retak membuatkan semua yang hadir terdiam, kulit kepala mereka terasa kebas. Tubuh mereka menggigil, dan mereka serentak meneguk liur. Mampuslah, ini baru tendangan pertama.
Azriel, adik lelaki Arman, dan si ‘genius’ yang membawa Putera Kecil ke bar, memegang dadanya sambil terbatuk, matanya berair menahan sakit. Tetapi, dia segera bangun, menegakkan badannya, dan kembali berlutut.
‘Kalau mak ayah tahu tentang ni… habislah aku. Kulit aku boleh jadi karpet ruang tamu!’ fikir Azriel, wajahnya penuh penyesalan dan ngeri.
Ketegangan dalam bilik itu makin memuncak, sehingga satu ketukan di pintu memecahkan keheningan.
Pemilik bar, yang paling dekat dengan pintu, tergesa-gesa membukanya. Dia menjenguk ke luar, tidak nampak sesiapa. Tetapi apabila dia tunduk, matanya membulat.
“Tuan… tuan muda!!!” jeritnya, separuh lega, separuh terkejut.
“Putera Kecik!” Azriel, yang sebelum ini kelihatan seperti anjing kesakitan, terus meloncat bangun. Dia berlari ke arah anak kecil itu, memeluknya seperti orang tenggelam yang baru diberi kesempatan bernafas.
“Oh, Putera Kecik! Putera kesayangan pak cik! Kamu pergi mana tadi?!” tangisnya, air mata jatuh laju sambil memeluk anak kecil itu erat-erat.
Semua orang di dalam bilik itu menghela nafas panjang serentak. Wajah mereka yang sebelum ini seperti disalut lilin cair, kini kembali sedikit berwarna.
Namun, ketenangan itu tidak bertahan lama.
Arman bangkit dari sofa dengan langkah perlahan tetapi penuh aura. Dia berjalan ke pintu, menarik kolar Azriel, dan menolaknya ke tepi dengan mudah seperti mengalihkan kusyen. Menunduk di hadapan anak kecil itu, wajahnya sedikit melunak, tetapi matanya tetap tajam.
“Pergi mana tadi?” tanyanya, suaranya dingin tapi lembut, cukup untuk membuat budak kecil itu tahu dia serius.
Anak kecil itu, dengan pipi yang masih sedikit basah dari pelukan pak ciknya, memegang tangan Arman. Tanpa berkata apa-apa, dia menarik tangan besar itu dengan cemas, cuba membawa Arman keluar dari bilik.
Arman mengikut langkahnya, tapi sesuatu membuatkan dia terhenti sejenak. Dia terhidu bau.
Bau alkohol, ya, tetapi itu tak mengejutkan. Apa yang menarik perhatiannya ialah bau lain yang bercampur. Haruman lembut yang halus, bukan bau minyak wangi yang menyengat, tetapi lebih seperti bunga segar yang mekar di puncak gunung bersalji.
Melihat ayahnya masih terdiam, Putera Kecil menunjuk dengan jari kecilnya ke arah tertentu sambil mengeluarkan bunyi “huh, huh” yang serak dari kerongkongnya, wajahnya cemas seperti mahu menangis.
Arman tidak menunggu lama. Dia mengangkat anak kecil itu ke dalam pelukannya dan terus berjalan ke arah yang ditunjukkan. Langkahnya pantas, menyebabkan orang-orang di belakangnya, termasuk Azriel, terpaksa bergerak cepat untuk mengejar.
Lima minit kemudian, mereka tiba di depan sebuah pintu stor di tingkat atas.
Putera Kecil memusing tubuhnya dengan pantas untuk turun dari pelukan Arman. Tanpa menunggu arahan, dia berlari ke pintu dan mengetuknya dengan sekuat tenaga. Tok! Tok! Tok! Bunyi ketukan itu kuat, hampir memantul ke sepanjang koridor.
“Putera Kecik, kenapa nii? Apa yang ada kat dalam?” tanya Azriel, keliru.
Arman memandang pintu itu dengan wajah tanpa emosi, kemudian memberikan arahan tegas. “Buka pintu.”
“Baik, baik!” Pemilik bar tergesa-gesa mengangguk sebelum menoleh ke pengurus wanita di sebelahnya. “Kau tercegat apa lagi? Cepat buka pintu! Mana kunci?”
“A-a… buka pintu?” Pengurus wanita itu kelihatan pucat. Jelas sekali dia tidak menyangka perkara ini akan sampai ke tahap ini. ‘Celaka!’ Dalam fikirannya, mengutuk Sally. Dia sudah berjanji untuk memastikan Eryna terkunci hingga uji bakat tamat. Tapi sekarang? Arman Alonso berdiri di sini, memberi arahan. Mana mungkin dia berani menolak?
Dengan tangan menggigil, dia mengeluarkan kunci dari poketnya dan membuka pintu dengan perlahan.
Ketika pintu itu terbuka, semua orang terdiam.
Di lantai stor yang sempit itu, seorang wanita muda terbaring tidak sedarkan diri.
Share this novel