Keesokan harinya, seawal pagi, Uwaisy sempat berjumpa Faiq di koridor blok C.
Masih terngiang-ngiang di kepala Faiq tentang pertanyaan pelik Uwaisy semalam.
"Faiq, semalam kau tanya aku kan, kenapa manusia kena rasa bersyukur?"
Uwaisy senyum sambil duduk atas bangku kayu usang.
"Aku nak jawab hari ini."
Faiq sekadar mengangguk malas, walaupun dalam hati sebenarnya rasa ingin tahu.
"Pertama, kau tahu tak berapa kali manusia hirup oksigen dalam sehari?"
Uwaisy memandang Faiq dengan pandangan penuh makna.
"Mana aku nak tahu..." Faiq menggaru kepala.
"Setiap saat, setiap nafas yang kau ambil, itu rezeki dari Allah. Kalau kau nak tahu betul-betul, buka Surah Al-Hasyr. Allah kata, segala apa yang ada di langit dan di bumi bertasbih pada-Nya. Setiap oksigen yang kau sedut ni pun sebab Allah izinkan."
Faiq terdiam.
Ada rasa sejuk menjalar di hatinya.
Selama ini dia bernafas percuma, tapi tidak pernah pun bersyukur.
"Dan satu lagi, kau tengok ni."
Uwaisy mengeluarkan sebotol air pelik dari beg sekolah.
Air berwarna coklat pekat, berbau strawberi campur asam boi.
"Strawberi, Milo, Asam Boi... campur semua sekali. Rasa pelik kan?"
Uwaisy tersengih.
Faiq cebik. "Gila kau, apa benda pelik sangat ni?"
Uwaisy gelak kecil. "Macam tu lah kita manusia. Berbeza, pelik-pelik perangai, lain-lain rasa. Tapi bila bercampur, tetap boleh jadi sahabat. Tetap boleh serasi kalau ikhlas."
Sekali lagi Faiq tersentak.
Ada sesuatu dalam kata-kata Uwaisy yang mengetuk pintu hati kecilnya.
Faiq mula terfikir sejenak bahawa dirinya sudah terlalu jauh dari Allah.
Sudah terlalu lama dia buang Tuhan dari hatinya.
Sudah terlalu lama dia hanyut dengan kemarahan dan dendam.
Keesokan paginya, bermulalah sedikit perubahan dalam diri Faiq.
Dia jadi terlalu berhati-hati bila bernafas, seolah-olah takut "habiskan" oksigen percuma yang Allah beri.
Setiap hembusan nafas, Faiq rasa pelik — otaknya sibuk berfikir, otak medula oblongata pun rasa "penat" sebab bernafas dengan penuh sedar.
Di kantin sekolah, takdir menemukan dia lagi dengan Idzlan Farhan.
Seperti biasa, pertembungan mereka tidak pernah damai.
Masing-masing mulut lancang, masing-masing ego tinggi.
"Oi budak baru, ingat kau duduk awal dekat meja ni, kau boleh selamanya pegang meja belakang ni?" sindir Idzlan dengan suara sinis.
Faiq menjeling tajam. "Kau nak sangat meja ni? Apa lagi, buatlah cara lelaki!"
Suasana mula panas.
Beberapa pelajar lain dah mula berkerumun, seronok tengok drama percuma pagi-pagi.
Idzlan sengaja cari gaduh.
"Kalau berani, kita settle macam orang dewasalah. Perlumbaan motor. Siapa menang, meja ini dia punya!"
Faiq senyum sinis. "Bila-bila masa, anak jantan mana takut cabaran?"
Tapi kali ini, Idzlan ada muslihat lain.
Dalam diam, Idzlan mula menawarkan sesuatu yang lebih besar.
"Bukan setakat meja kantin, bro. Kalau kau menang... aku kenalkan kau dengan dunia sebenar. Dunia Pacito."
Faiq mengangkat kening. "Pacito?"
"Kelab motor paling stylo. Idaman semua budak sekolah sekarang. Masuk Pacito, kau bukan budak biasa lagi bro. Kau jadi lagenda."
Ayat Idzlan macam racun manis.
Dan Faiq, dengan jiwa mudanya yang sedang bergolak, mula goyah.
Masa yang sama,
masalah disiplin Faiq mula merebak ke telinga pihak sekolah.
Surat panggilan temuramah dihantar kepada Datin Sri Faridah dan Dato' Sri Nizam.
Ibubapa Faiq, yang selama ini sibuk kerja, akhirnya terpaksa turun ke sekolah untuk berbincang tentang prestasi akademik dan disiplin Faiq yang semakin merosot.
Share this novel