26 Tiada Larian

Family Series 57531

Pemberontakan Rhett hanya sia-sia. Sebagaimana papa hampir gila saat Mardhiah, ibu Deila tiba-tiba menghilang di saat cinta tengah mekar menguntum, begitu jugalah keadaan Rhett ketika itu. Sebagaimana Tok Teh pernah mengugut dan mengurung papa semata-mata tidak mahu papa keluar mencari Mardhiah, begitu jugalah yang dilakukan oleh papa terhadap Rhett. Dia dikurung seperti seorang banduan tanpa sebarang alat telekomunikasi dan hanya dilepaskan untuk menghadiri upacara akad nikahnya.

“Jangan malukan papa di depan Dato’ Zainal dan Zara. Lebih-lebih lagi di depan semua tetamu yang hadir. Andai terconteng arang pada reputasi keluarga kita, kau tidak akan dapat lihat langit biru lagi. I am being serious about this, Rhett Raffendy!”

“Just kill me, papa!”

“No! Kau ingat semudah itu? Kau nak papa siasat apa yang buat kau berubah hati dan hapuskan orang yang bertanggungjawab tu ke?”

“Papa!”

“Kau tahu papa mampu lakukan semua tu, Rhett! So, jangan paksa papa bertindak sekejam itu. Selama ini papa biarkan kau buat apa saja. Papa tak pernah campur tangan. Cuma satu, kau kena kahwin dengan Zara kerana keluarga kita telah terlanjur berjanji. Itu saja! Tak sukar kan?”

“Kahwin memerlukan cinta, papa!”

“Cinta? Papa kahwin dengan mama kau dulu pun bukan berlandaskan cinta. Semua aturan keluarga. Tengok, papa dan mama kau tetap bahagia!”

Rhett tergelak. Pendek tetapi sangat sinis.

“Betul ke bahagia? Di awal perkahwinan… papa bahagia ke?”

Papa kelihatan sedikit tersentak dengan pertanyaan Rhett. Wajah anak lelakinya itu ditenung dengan rasa curiga.

“Tell me papa… bagaimana papa mampu melupakan seseorang yang pernah papa cintai sepenuh hati? Bagaimana papa mengharungi hidup bersama wanita lain sedangkan hati papa milik orang lain?”

“Rhett!”

Papa terjerit. Tak dia sangka anak lelakinya itu rupanya mengetahui tentang kisah silamnya. Tak mustahil ibu yang menceritakan semua itu. Rhett lebih banyak menghabiskan waktu bersama toknya berbanding bersama dia dan isteri.

“Papa dah melalui semua itu. Papa lebih dulu merasa bagaimana sakitnya mencintai tetapi tidak dapat hidup bersama. Haruskah saya juga melalui semua itu, papa? You should understand out of all people. Saya benar-benar harap papa menyokong saya kerana papa memahami why saya bertindak gila!”

Papa terpempan. Terdiam kerana lidah kelu apabila diri tertampar dengan kata-kata sebak Rhett.

“Ya, papa faham. Dan seperti papa, kau juga kena lupakan semuanya dan bina hidup baru bersama Zara. Keputusan papa muktamad, Rhett!”

Rhett memandang papa dengan sayu. Harapan yang terakhir iaitu mahu memujuk papa kerana dia tahu papa adalah orang yang paling memahami perasaannya saat itu hancur berkecai. Ternyata papa juga sama seperti ahli keluarga yang lain. Lebih mementingkan air muka berbanding perasaan dia.

“Papa! Jangan buat saya macam ni papa! Lebih baik papa bunuh je saya! Papaaa!!!” Rhett dipegang oleh orang-orang suruhan papa apabila Rhett memberontak saat melihat papa meninggalkan bilik tersebut.

Tanpa kebenaran, pakaian Rhett ditanggalkan lalu diganti dengan baju pengantin Melayu serba putih. Semua dilakukan secara paksa, tanpa kerelaan Rhett. Walau pun wajah kusut masai, mendung tanpa sekelumit pun seri pengantin, Rhett tetap kelihatan kacak segak kerana kesempurnaan yang dia miliki.

Rhett termenung, merenung kosong pantulan diri sendiri di depan cermin. Tubir mata terasa panas saat melihat papa masuk ke dalam bilik, sudah siap memakai sepersalinan baju melayu. Masih segak, masih bisa mencairkan hati wanita yang memandang. Rhett merenung papa dengan rasa sayu. Terfikir saat itu, bagaimana agaknya kalau arwah ibu Deila masih hidup… adakah nasib dia akan jadi lebih baik, atau lebih buruk?

“Dah sedia ke?” Papa bertanya dengan nada vetonya.

Rhett memandang kosong. Cukup sedar kini pemberontakan dia hanya sia-sia.

“Adakah semua akan berakhir jika saya nikah dengan Zara? Papa tahu bagaimana perasaan saya. Papa tahu tindakan papa cuma buat saya dan Zara menderita. Papa benar-benar mahu saya melakukannya?”

Buat beberapa saat, papa hanya diam, menghunus tatapan tajam ke anak mata Rhett.

“Whatever happens, papa mahu perkahwinan ini terlaksana. Papa tak kisah apa terjadi selepas kau kahwin nanti. Seperti papa, you’ll survive Rhett! Cinta boleh dipupuk. Tambahan pula, kau dan Zara pernah saling mencintai.”

Rhett menggeleng bila dengar jawapan papa. Tak percaya sungguh papa akan berkata seperti itu. Jelas sungguh papa lebih peduli tentang hubungan baiknya dengan rakan seperniagaan berbanding kebahagiaan anak sendiri.

“Kita gerak sekarang, nanti terlewat!”

Rhett masih terpacak, mematung di depan cermin. Sungguh dia tidak rela membuka walau hanya selangkah kaki untuk keluar dari bilik itu. Dia lebih rela dikurung saat itu.

“Rhett Raffendy… kau pasti tak mahu papa bertindak lebih kejam dan menghancurkan orang yang tidak berdosa kerana kau kan?”

Rhett spontan menengadah, merenung papa dengan riak wajah terkejut. Paoa membalas tatapan Rhett dengan tajam. Dia tidak akan berkompromi tentang hal tersebut. Sebagaimana ibu pernah guna taktik yang sama terhadap dia suatu ketika dulu, dia yakin taktik itu juga pasti berkesan pada anak tunggalnya itu.

“Bawa dia pergi!” Perintah papa dengan tegas sambil memandang orang upahan dia sebelum melangkah pergi.

Rhett mengesat mata yang mulai basah. Tangan seorang lelaki yang cuba memegang dia ditepis kasar.

“Saya boleh jalan sendiri!” Bentak Rhett. Kaki diorak gontai menuju ke arah pintu.

Setibanya mereka di perkarangan masjid, Tok Teh adalah orang pertama yang menyambut Rhett. Tok Teh seolah memahami saat melihat wajah sugul Rhett.

“Ikut tok sekejap. Tok nak cakap sesuatu.” Tok Teh menarik tangan Rhett menjauhi papa. Rhett menurut dengan jiwa kosong. Dia tahu tok menyebelahi dia tetapi dia juga tahu tok takkan berbuat apa-apa. Dia sudah putus semangat untuk terus berharap ada keajaiban berlaku.

“Kau sepatutnya rasa gembira kerana akan menikah sekejap lagi. Mengapa tayang wajah macam kucing kematian anak ni?”

Rhett memandang Tok Teh dengan rasa sebak juga rasa jengkel. Tok dah nyanyuk ke? Sengaja nak menguji dia di saat-saat macam ni? Tok Teh tersengih lebar saat Rhett tarik wajah sebal.

“Tok ada sesuatu yang boleh ceriakan kau.” Tok Teh menyeluk beg tangannya lalu mengeluarkan sesuatu. Wajah sugul Rhett mulai memancarkan sedikit sinar apabila melihat benda yang dipegang oleh Tok Teh.

“Tok! Macam mana telefon bimbit saya boleh ada di tempat tok?”

“Psyttt… jangan cakap kuat sangat. Papa kau tak tahu tok curi-curi selongkar bilik mereka untuk ambil benda ni. Tok tahu telefon ni penting untuk kau. Tok juga mahu dapatkan nombor telefon Del. Tok lupa minta hari tu.”

“Tok…” Menitis air mata jantan Rhett saat itu. Tubuh Tok Teh ditarik masuk ke dalam pelukan. “Terima kasih, tok. Sayang tok ketat-ketat!”

Rhett tidak mampu menahan sebak. Dia menangis di bahu Tok Teh. Siapa pun yang melihat ketika itu pasti menyangka bahawa Rhett keberatan mahu berpisah dengan tok selepas berkahwin nanti, termasuklah Tok Teh yang juga berpendapat seperti itu. Sebab itu, Tok Teh turut menangis. Dia juga sangat berat hati mahu lepaskan Rhett sebenarnya. Hanya Rhett yang tahu mengapa dia menangis dengan hiba saat itu.

“Rhett… ibu… mereka semua dah bersedia dekat dalam tu. Kita masuk sekarang ya.” Mama muncul meleraikan pelukan Rhett dan Tok Teh. Masing-masing menyeka air mata.

Rhett hanya mampu akur dengan jiwa meronta-ronta. Melihat air muka Rhett, Tok Teh menggenggam jemari Rhett lalu ditariknya pergi.

“It’s okay, Rhett. Permulaan memang sangat sukar. Tetapi lama-kelamaan, kau akan membiasakan diri. Papa kau juga macam ni dulu.” Pujuk Tok Teh. Malangnya, ia langsung tidak menjentik perasaan Rhett. Semakin suram wajah Rhett. Bukan seperti lelaki lain yang mahu bernikah, keadaan Rhett ketika itu sama seperti seseorang yang hadir di upacara pengebumian.

Rhett dibawa ke tengah ruangan di mana seorang juru nikah sudah mengambil tempat. Saat Rhett melangkah masuk, kelihatan Zara Adelia melangkah dari arah bertentangan diiringi oleh keluarganya. Pandangan mereka berdua spontan bertaut. Harus diakui, Zara terlihat seperti seorang bidadari ketika itu. Jauh berbeza ketika dia bernikah dengan Deila tidak lama dahulu. Deila yang pada ketika itu hanya mengenakan baju kurung polos berwarna putih tanpa secalit mekap di wajah. Itu pun mereka main sambar sahaja di kedai baju di sempadan Thailand kerana kelam kabut.

Mengenangkan itu, Rhett dihimpit rasa bersalah. Berkaca mata saat seraut wajah polos Deila menjelma di layar minda. Deila Araferro seharusnya dapat yang terbaik tetapi disebabkan sikap rakusnya, Deila terpaksa terima seadanya. Sungguh pun begitu, Deila tidak pernah merungut malah tetap ceria dan menghiburkan. Rhett mengeluh. Wajah diraup dengan rasa kesal yang menebal.

Saat punggung dilabuhkan dan juru nikah mulai berbicara sebelum memulakan acara akad nikah, fikiran Rhett melayang jauh. Satu patah perkataan pun dia tidak dengar. Khutbah nikah oleh tok kadi yang berlangsung selama beberapa minit itu akhirnya tamat disusuli oleh upacara lafaz ijab kabul. Upacara yang pastinya buat pengantin lelaki menggelabah. Tidak buat Rhett!

Suatu ketika dulu, pernah dia mati-mati menghafal siap praktis di depan Zara lafaz ijab kabul tersebut. Begitu sungguh-sungguh dia ketika itu mahu menyunting Zara menjadi suri hatinya. Kini bila saat itu benar-benar tiba, dia rasa kosong. Jiwanya tiada di situ. Rhett merenung Zara yang duduk dengan begitu sopan dan ayu. Wajah jatuh menekur lantai saat Dato’ Zainal, wali kepada Zara memulakan ucapan.

Sunyi sepi! Semua mata memandang Rhett yang masih diam mengunci mulut. Ucapan wali sudah selesai, hanya menunggu penerimaan lafaz itu dari Rhett.

“Rhett…” Papa berbisik di belakang sambil menepuk lembut belakang Rhett.

“Rhett?” Giliran Dato’ Zainal menegur. Rhett menghela nafas panjang.

“Maaf, saya gemuruh. Boleh beri saya masa sebentar?” Usai berkata, Rhett bingkas bangun dan melangkah laju menuju ke luar. Dia yakin papa tidak akan mengejarnya kerana terlalu menjaga air muka di depan semua orang.

Rhett mundar mandir di luar masjid. Nafas ditarik lalu dihembus berulang-ulang. Pada ketika itulah, sesuatu terasa bergetar di poket seluar. Rhett mengeraskan tubuh sambil bola mata liar memandang sekeliling sebelum menarik telefon bimbit keluar dari poket lalu dibawa ke telinga.

“Rhett! Opah! Opah dah tinggalkan saya…”

Berpinar pandangan saat itu. Tangisan Deila di hujung talian membuat seluruh urat sarat gagal berfungsi.

“Rhett!” Saat itu juga, satu tangan menyentuh bahu Rhett.

Jadi ke x drg kawen ni? hurm...

Share this novel

mermaid
2024-03-20 07:34:05 

jangan kawen pleaseee sian del tuuu. zara tolonglah kenapa takfaham orang dah taknak kannn!

norsila
2024-03-20 06:09:43 

memang bodoh lari joo tggl smua nya...rasa nk sepak2 tranjang joo rheet ni..huuu

Zainabzety
2024-03-20 02:53:47 

yg hg ikut cakap bapak hg tu dh kenapa x kan hg x bolih lari bodoh punya jantan


NovelPlus Premium

The best ads free experience