Mikael Lutfi masih berendam dalam bath tub dengan mata terpejam. Buih-buih sabun menyelimuti tubuh sasa yang sudah mulai lesu dengan beban fikiran.
Air hangat yang memeluk tubuhnya seperti tak mampu memadam resah yang mula membuak-buak di dalam hati. Dia mencintai Maria Elena itu pasti.
Namun, dia juga manusia biasa. Keinginan untuk memiliki zuriat sendiri bukan perkara kecil dalam rumah tangga.
Dia tak menuntut banyak, hanya impian sederhana untuk melihat anak kecil berlari di ruang tamu, memanggilnya papa.
Namun setiap kali dia membuka bicara, Maria Elena punya alasan. Alasan yang bersandar pada kecantikan, rupa dan ‘imej’. Mikael Lutfi mengeluh berat.
‘Kalau dia sayangkan aku, takkan dia tolak soal anak begitu saja...’
Dia mengelap wajahnya. Tak mahu fikir lagi. Tapi fikirannya tetap berpaut pada kenyataan Maria Elena tidak bersedia.
Dan dia? Sudah lama menunggu.
Di luar kamar mandi, Maria Elena berdiri di hadapan cermin. Menyapu krim malam pada wajahnya sambil matanya memerhati raut sendiri.
Ya, dia cantik.
Mata bulat, hidung mancung, bibir mungil. Ramai wanita mahu jadi sepertinya. Tetapi tekanan sebagai isteri kepada Mikael Lutfi bukan mudah.
Lelaki itu kacak, berjaya dan terlalu baik.
Terlalu ramai wanita mengintai ruang. Maria Elena tahu dia perlu kekal sempurna. Bukan untuk Mikael Lutfi sahaja, tetapi untuk dirinya sendiri juga. Kerana dia tidak mahu kehilangan.
Namun jauh di sudut hati, dia sedar semua alasan itu tidak akan menenangkan hati Mikael yang mendambakan zuriat. Maria Elena mengetap bibir, memandang pantulan wajah sendiri dengan resah.
Di dapur, suasana sudah kembali riuh dengan gelak tawa. Medina Atalia yang mula ceria kembali, kini sudah duduk bersila di atas kerusi makan sambil mengunyah buah oren yang dibawanya tadi.
"Makcik-makcik... Kalau Medina ada boyfriend, nak tak semua orang datang merisik sekali?" gurau Medina sambil tersenyum nakal.
"Amboi, bukan main lagi. Medina nak kahwin ke? Habis yang suka menangis bila kena sakat tadi tu apa?" Zara menepuk lembut bahu Medina.
"Eh itu emosi hormon okay, jangan salah faham..." Medina cuba berselindung sambil mengulum gelak.
"Medina, kadang-kadang makcik fikir juga... Kamu ni muda, comel, rajin pula tu. Siapa yang dapat kamu nanti memang beruntung sangat-sangat," Aminah berkata sambil menuang teh panas ke dalam cawan-cawan kecil.
"Err... Makcik jangan cakap macam tu, Medina malu lah..." Wajah gadis muda itu sudah merona merah.
"Ye lah, tapi jangan pilih orang tua pula. Contohnya macam..." Qila sengaja menahan ayat.
"Macam siapa?" tanya Medina penuh curiga.
"Macam... Tuan Mikael kita tu." Semua serentak tergelak.
"Eh jangan buat lawak, tak logik kot. Tuan Mikael tu macam mana pun, dia suami Puan Maria..." Medina bersuara perlahan, tetapi ada nada ganjil dalam tutur katanya.
Seakan dia sendiri tak pasti apa yang dia rasa apabila nama lelaki itu disebut.
Namun perbualan mereka terhenti apabila suara tinggi Qalsom Raudhah mula kedengaran dari ruang hadapan.
Suara lantang wanita itu memecah ketenangan rumah besar itu, mengejutkan seluruh isi rumah.
Zara, Aminah dan Qila saling berpandangan. Mereka tahu, bila Datin Sri Qalsom sudah meninggikan suara, pasti ada yang tidak kena.
“Eh, aku rasa elok kita pergi tengok. Takut nanti Puan Maria kena marah lebih-lebih,” kata Aminah.
Di ruang tamu, Maria Elena sedang berdiri di hadapan Qalsom Raudhah dengan wajah keras. Mereka sedang dalam perbalahan. Kata-kata sinis dan marah bertukar ganti antara menantu dan mertua.
“Kalau you jaga penampilan untuk Mikael, kenapa sekarang ni makin hari makin selekeh? Makan macam tak ingat dunia, pakai baju pun macam bibik!” bentak Qalsom, nadanya penuh jijik.
“Mama! I penat tahu tak? I cuma nak bahagia dengan cara I. You tak perlu pertikaikan semuanya.”
“Bahagia? Dengan perangai macam ni?! Jangan salahkan Mikael kalau dia mula cari perempuan lain.” Kata-kata itu tajam dan menikam terus ke dada Maria.
Maria Elena terdiam.
Untuk seketika, hanya degupan jantungnya yang kedengaran. Dia tahu Mama mertuanya bukan jenis suka bergurau.
‘Adakah benar Mikael akan berpaling…?’
Dan di saat itu, muncul kelibat Medina Atalia dari ruang dapur. Tanpa sengaja, dia terdengar hampir semua isi pertengkaran itu. Hatinya bergetar.
Tidak, bukan kerana takut tetapi kerana dia melihat satu sisi Maria yang jarang dipertontonkan. Sisi yang lemah. Yang rapuh.
“Datin Sri, maaf mengganggu... Tapi Puan Maria dah masakkan makanan tengah hari. Kalau Datin Sri sudi, boleh ke meja makan sekarang,” kata Medina sopan, mencuba untuk mencairkan suasana.
Qalsom Raudhah menjeling tajam ke arah gadis muda itu. Tetapi dia tak berkata apa-apa. Sebaliknya, dia bangun dan berjalan terus ke meja makan.
Maria Elena masih berdiri di tempatnya. Matanya kini mula digenangi air. Medina menghampirinya perlahan, lalu menyentuh lembut lengannya.
“Puan okay?” tanya Medina perlahan.
Maria mengangguk, walau bibirnya tak mampu tersenyum.
“Terima kasih...”
Di meja makan, suasana mula kendur. Qalsom Raudhah memandang makanan di hadapan ada ayam masak merah, sayur campur, sambal belacan dan ulam-ulaman. Makanan kampung yang menyelerakan.
“Siapa masak semua ni?” soal Qalsom dingin.
“Medina dan Zara bantu, Datin Sri,” sahut Qila.
“Hm. Boleh tahan sedap... Tapi jangan sampai kamu semua lebih-lebih pula. Ingat kamu tu orang gaji.” Suara Qalsom tajam, tetapi tiada yang membalas.
Mereka semua sudah lali dengan perangai wanita itu.
Maria datang duduk di sisi, matanya masih merah tetapi dia pura-pura tenang.
Tak lama kemudian, Mikael turun dari atas. Pakaiannya segar, rambutnya masih basah. Dia memandang Maria dan mamanya.
“Assalamualaikum,” ucapnya ringkas.
“Waalaikumussalam,” jawab yang lain.
“Mama dah sampai, kenapa tak bagitahu dulu?” soal Mikael sambil duduk berhadapan dengan Qalsom.
“I nak buat kejutan. Tapi sayangnya, yang I jumpa cuma kejutan yang tak menyenangkan.” Kata-katanya masih berbisa.
“Mama... Please, don’t start,” tegur Mikael dengan nada tegas.
Maria Elena hanya menunduk.
Medina Atalia pula, duduk jauh sedikit, memerhati diam-diam. Dalam hatinya, timbul simpati pada Maria. Walau wanita itu kadang menjengkelkan, tetapi hari ini Maria Elena kelihatan benar-benar terluka.
Petang itu, selepas semuanya selesai, Maria duduk termenung di balkoni bilik mereka. Angin petang menyapa wajahnya. Dia mengeluh berat. Terasa dunia sedang menghukum.
“Baby...” suara Mikael perlahan.
Maria menoleh. Mikael datang mendekat, lalu duduk di sebelahnya.
“Mama tegur sebab dia risau. Tapi cara dia kasar... I tahu you terluka,” ujar Mikael.
Maria hanya mengangguk perlahan. “Tapi I tak kuat macam you fikir, Mikael...”
“I tahu... Sebab tu I nak kita kuat sama-sama. Kalau you tak ready nak anak, I tunggu. Tapi... tolong jangan tolak terus impian I. Kita bincang, bukan bertikam.”
Maria menoleh. Buat pertama kali, dia nampak mata Mikael benar-benar jujur. Dia terasa bersalah.
“Okay... I janji, kita bincang nanti.”
Mikael senyum lalu menarik tubuh Maria dalam pelukan. Dan di balik pintu bilik, Medina yang baru sampai dengan dulang teh, berdiri kaku.
Hatinya terasa lain macam.
Dan dia tahu, perasaannya bukan main-main lagi.
Share this novel