FAYRA tersengih sebaik sahaja mendapat panggilan dari Han beberapa hari kemudian. Rei mahu mereka ke pejabat agama, sekali lagi. Sungguh-sungguh lelaki itu mahu ceraikan dia. Jujur, dia tiada bantahan sebenarnya. Cuma saja, dia sakit hati ditipu. Jadi, sengaja dia buat onar untuk balas balik perbuatan Rei.
Sekarang, dia rasa puas. Jadi, dia ambil keputusan untuk beri kerjasama penuh. Dia sudah bersiap cantik-cantik pada hari yang dijanjikan. Sudah bersedia melepaskan gelaran seorang isteri. Terkejut Ona melihat Fayra pada pagi itu.
“Ni, cantik sangat ni nak ke mana?” laju Ona tanya sambil pandang Fayra atas bawah dengan wajah penuh rasa kagum. Fayra tersenyum manis. Sengaja putar-putar tubuh di hadapan Ona.
“Cantik tak?” tanya Fayra, mahu minta puji.
“Cantik sangat. Nak jumpa Rei ke lelawa macam ni? Baguslah, tawan hati anak bertuah tu biar Rei asyik kejar sibuk nak berkepit, takut awak dirampas lelaki lain.”
Mati terus senyuman minta puji Fayra. Ah, Ona dah melebih dah ni! Tak Ona, dia tak nak cucu pengecut Ona tu. Jap lagi mereka akan jadi orang asing!
“Dahlah, saya pergi dulu Ona. Nanti terlewat!” tak nak carutan Ona meleret, Fayra buru-buru angkat kaki.
“Kalau ada masa, suruh budak bertuah tu balik.”
Sempat lagi Ona titipkan pesan. Fayra sekadar angguk. Rei memang tidak pernah muncul di mansion Ona. Mungkin sebelum ini kerap, tetapi tidak selepas dia tinggal bersama Ona sampaikan dia sangka Ona hanya sebatang kara. Ona selalu bebel, Rei sukar dikawal. Dah dewasa, macam tula, kata Ona.
Fayra memandu kereta yang Ona pinjamkan menuju ke pejabat agama. Ona suruh dia tukarkan hak milik kereta ke namanya, tetapi Fayra menolak sekerasnya. Dia tak nak harta Ona. Dia sudah pasang niat untuk menyediakan keperluan dia dengan duit hasil titik peluh sendiri.
Ketika sampai di depan bangunan tersebut, Fayra melihat seorang lelaki tinggi lampai dan bertubuh sasa sedang berdiri membelakangi dia, sibuk bercakap dalam telefon. Yakin itu suami dia, Fayra jalan berjengket mendekati, mahu curi dengar perbualan lelaki itu.
“Hal kecil macam tu pun you tak boleh uruskan sendiri ke? I dah kata I sibuk, takde masa nak temankan you!” diam sebentar. Fayra panjangkan leher.
“Dahlah! Kalau betul tak boleh, I hantar pembantu I… you tak faham ke? I ada urusan penting! I tak dapat temankan you!”
Telefon bimbit dijauhkan dari telinga. Sebuah dengus kasar, penuh kejengkelan dibuang. Siapa? Fayra kedutkan kening. Kekasih hati ke? Asal stress sangat suara tu?
Beberapa saat kemudian, telefon bimbit kembali dibawa ke telinga. Tepat pada waktu itu, telefon bimbit Fayra berdering nyaring. Terperanjat, Fayra hampir lompat katak.
“Ahhh!”
Kasut tinggi terpeleot, Fayra hilang kawalan pada tubuh. Meluru laju ke arah jejaka bertubuh seksi di hadapan dia. Rei menoleh lantas tergamam.
“Ahh!”
Pasti macam kisah klise dalam wayang cinta. Itu yang bermain dalam kepala Fayra ketika itu. Dia pasti menabrak tubuh sasa itu. Lengan berotot padu itu akan memaut pinggang dia, takkan biar dia jatuh terhempas di atas tanah. Apa yang berlaku seterusnya… ah, pasti macam cerita cinta Korea. Mata bertentang mata, lidah kelu, badan kejung-kejung macam terkena renjatan elektrik voltan rendah…
“Ahhh! Aduh!!!”
BAK!
Sirna angan-angan Mat Jeninnya apabila Fayra rebah mencium tanah. Kurang asam! Rei tak bagi kerjasama langsung. Mundur dengan pantas dan hanya pandang dia jatuh tertonggeng dengan wajah tanpa ekspresi. Tak guna! Mana dia nak letak muka lepas ni? Hancur teruk gaya diva yang mati-mati Ona turunkan kepada dia.
“Hey you!” panggil Fayra. Rei memandang ke arah lain. Buat-buat tak dengar.
“Hey! Tolong I, boleh tak?”
Rei memandang dingin sebelum membuang wajah dipenuhi rasa jengkel. Kejam! Fayra menyumpah dalam hati. Terkial-kial cuba bangun. Rei buat tak nampak. Telefon bimbit kembali melekap di telinga. Fayra mendengus apabila telefon bimbit dia kembali berlagu. Tak guna! Gara-gara panggilan lelaki itu dia kemalangan. Sikit pun tak tolong! Memang taklah dia nak simpan jadi laki. Rei kembali memandang Fayra. Dahi berkedut-kedut.
Tak puas hati, Rei dail sebaris nombor dalam skrin sekali lagi. Sama macam tadi! Telefon bimbit Fayra berlagu. Rei tamatkan panggilan. Bunyi deringan dari telefon bimbit Fayra turut berhenti.
“You ni siapa?” tak puas hati, Rei bertanya kasar. Dengan susah payah, Fayra akhirnya berjaya bangun. Pakaian yang terkena kotoran dilibas kasar. Buat tak dengar soalan Rei.
“You pekak ke?” perli Rei apabila soalannya tak dilayan. Dengan rasa sebal, Rei kembali mendail. Telefon Fayra berdering lagi.
“Stop calling me! I dah ada depan you kan?!” mencerlung mata memandang seraut wajah tampan itu. Serius, sangat kacak! Bentuk wajah, jawline, mata, kening dan hidung persis model kacak Turkish, bezanya dagu dan atas bibir licin. Iris mata hazel, sangat memukau siapa pun yang memandang. Gila! Suami dia kacak teruk.
“You… you ni siapa?” Suara maskulin yang terlontar terkocak sedikit.
“Fayra Mei Khayla… nama yang you sebut masa lafaz nikah. Tak ingat?”
Rei berdeham kekok. Bebola mata dilarikan dari terus dipaut oleh Fayra. Wanita itu kenakan dia! Baru dia sedar.
“You permainkan I!”
Fayra tergelak. Lenggok gelak yang bisa buat hati memanas.
“You kenakan I dulu, lupa?”
Rei terkelu. Ya, dia kenakan wanita itu lebih dulu. Cumanya yang dia tak sangka, wanita itu berani kenakan dia balik. Fayra ditenung dari rambut ke kaki. Perlahan, Rei hembus nafas lega. At least wanita di depan dia lebih sedap mata memandang, penampilan pun elok je. Tak macam wanita hari tu, menggerunkan!
“You tahu tujuan kita ke sini bukan?” sambil tanya, bebola mata tak dilarikan dari wajah Fayra. Diam-diam meneliti.
“Tahu.”
“So… takde bantahan kan? You boleh kemukakan syarat sebelum kita masuk ke dalam. I akan pertimbangkan jika ianya tak melampau.”
Fayra diam sejenak. Dahi berkerut halus.
“Kenapa nak bercerai?” itu soalan yang bermain di minda sebaik sahaja Fayra diberitahu tentang hal bercerai.
“Why not?!” dengan angkuh, Rei soal balik. Memandang Fayra seperti sedang mempersendakan wanita itu.
“Sebab cinta? You tak cintakan I?” tebak Fayra tanpa pedulikan cara Rei memandangnya walaupun hati sedikit memanas.
“Maybe! Cinta saya eksklusif, hanya diberikan pada yang benar-benar layak.” Penuh egois!
Fayra angguk tenang. Puas hati dengan jawapan yang Rei berikan.
“Let’s go,” ajak Fayra seraya mengorak langkah menuju ke pintu masuk. Rei tercengang. Terkejut! Tidak menyangka yang Fayra akan beri reaksi selamba seperti itu.
“You setuju? Tanpa apa-apa permintaan?”
“Yup!”
Rei kejar laju lalu menyaingi langkah Fayra di sebelah. Wajah sedikit bingung.
“Sure? Lepas ni you dah tak boleh nak demand dan tuntut macam-macam, mengerti? I tak nak naik turun mahkamah. I nak semuanya selesai secepatnya.”
“So do I… kita selesaikan semuanya dengan baik.”
Rei tergamam. Well, itu di luar jangkaan. Dia sudah persiapkan mental untuk berhadapan dengan pujuk rayu siap drama air mata tadi. Wanita ini… mahu lepaskan dia macam tu je tanpa meminta apa-apa? Bukankah wanita itu cuma mahukan wang? Kalau tak, kenapa setuju mahu kahwin sedangkan mereka langsung tak kenal, bersua pun tidak pernah.
Semuanya berjalan lancar. Soalan-soalan yang dikemukakan oleh pegawai di jabatan agama berjaya dijawab dengan tenang. Tiada percanggahan mahupun pertengkaran berlaku di antara Fayra dan Rei. Keduanya menolak sesi kaunseling. Akhirnya, surat rujukan diserahkan kepada Rei untuk diberikan ke mahkamah bagi tujuan memohon penceraian.
Rei lebih dulu keluar setelah selesai semuanya. Fayra hanya memandang sekilas. Dengan langkah tenang, Fayra menyusul beberapa minit kemudian, bergegas ke kawasan parking. Dia mahu terus ke butik. Ketika menghampiri kawasan parking, dia melihat Rei sedang buru-buru melintas sambil bercakap dalam telefon.
Fayra tersentak melihat sebuah kereta sedang memecut laju ke arah Rei. Lelaki itu langsung tak sedar, begitu serius bercakap dalam telefon. Panik, Fayra lompat bintang, cuba melambai untuk tarik perhatian Rei. Lelaki itu tak perasan langsung. Mahu jerit, dia rasakan sudah tak sempat. Fayra pecut dengan kasut tumit tinggi enam incinya.
“Rei, awas!!!”
Rei menoleh laju. Mata terbelalak saat Fayra menerkam tubuhnya bak singa menangkap mangsa. Telefon bimbit terlepas sebelum keduanya jatuh tergolek di atas jalan berturap. Golekan tubuh mati ketika belakang tubuh Rei melanggar bahu jalan. Tajam panahan mata, bak seorang penembak jarak jauh upahan saat dipaku ke wajah Fayra, yang hanya berjarak beberapa sentimeter dari wajahnya.
Fayra turut tergamam. Bukan begini pengakhiran misi menyelamatkan nyawa yang dia harapkan. Takde peluk-peluk, apalagi jatuh bertindihan dengan dia yang berada di atas macam keadaan mereka sekarang ni. Malu gila! Kat mana dia nak letak muka lawanya selepas ini?
“What’s wrong with you?!” Rei tanya dengan suara dalam dan dingin.
“T-Tak! Jangan salah sangka, I cuma selamatkan you dari ke… eh?”
Terbeliak tak percaya bebola mata Fayra saat menoleh ke arah kereta tadi. Kemain laju macam dikejar jembalang, rupanya cuma nak masuk parking berhampiran mereka? Kurang asam betul!
“A-Anu… tu… tadi kan…” gagap teruk mahu terangkan!
“You cuma nak ambil kesempatan kan?”
“Tak! Mana ada!” laju Fayra nafi, lesap terus gagapnya.
“Then why you still melekat dengan I?”
Haish!
Merah padam wajah Fayra menahan malu. Macamlah dia terhegeh sangat!
“You know, Rei…” cara pandangan berubah, manja dan gedik! Wajah tampan Rei yang dipenuhi kesinisan mendadak berubah. “I memang nak jauhkan tubuh I dari you, betul! Tapi, you yang tak nak lepaskan I…”
Rei terkaget. Argh! Baru dia sedar tentang sesuatu. Kelam-kabut lengan yang membelit pinggang Fayra dilarikan. Wajah juga terus dipaling. Sejak bila tangannya berada di situ? Siap peluk erat pinggang kerengga wanita itu?
“Terima kasih kerana lepaskan I.” Meleret-leret sengih mengejek di wajah Fayra saat tubuh dijauhkan dari Rei. Usai berdiri tegak, Rei ikut bangun tetapi tidak terus berdiri. Duduk di atas jalan berturap dengan kedua-dua lutut ke atas. Fayra membongkok.
“Need help?!” tangan dihulur bersama senyum tertahan. Rei jeling sebal.
“Go away!”
“Okay!”
Fayra putar tubuh lalu melenggang pergi. Pantas Rei melarikan anak mata dari terusan menatap punggung padat yang terayun ke kiri dan ke kanan bak supermodel sedang memperagakan pakaian itu. Wajah diraup. Tersentak sebelum bebola mata meliar mencari telefon bimbitnya yang berlagu dengan nyaring.
Selepas pertemuan itu, Fayra sudah tidak dihubungi oleh Han. Kesibukan kerja menyebabkan Fayra hampir terlupa tentang permohonan bercerai mereka. Dua minggu kemudian, Han menghubungi Fayra dan menyuruhnya datang ke pejabat agama bagi proses pengesahan penceraian dan pembatalan surat nikah.
Ah… akhirnya hari itu tiba juga, hari di mana dia bakal dilucutkan jawatan sebagai seorang isteri. Tak sampai setahun, tak sempat tunjuk kemahiran juga tak sempat merasa kasih sayang seorang suami… dia dah diceraikan! Tubuh tersandar lesu di penyandar. Pelipis diurut perlahan. Sedih? Tak, cuma kecewa sedikit… dia tak pernah bercinta, tak tahu bagaimana rasanya jatuh cinta. Suami pula semacam, tak beri dia peluang langsung, sudah tentulah dia rasa kecewa huhu…
Rei bersikap dingin ketika mereka bertemu buat kedua kalinya, mungkin ini kali terakhir di pejabat agama. Selesai urusan berkaitan, mereka diberitahu yang surat cerai akan dikeluarkan paling cepat dua minggu dari sekarang. Kini, sahlah mereka bukan lagi suami isteri. Ada rasa sebak bertandang tapi cepat-cepat Fayra usir.
Rei bergegas pergi tanpa memandang Fayra. Tiada sepatah kata pun meluncur dari bibir lelaki itu untuknya. Fayra memandang belakang tubuh Rei yang semakin menjauh dengan rasa sebal. Terbiut-biut bibir menahan sumpahan yang mencanak-canak buat lelaki itu.
Fayra masuk ke sebuah restoran mewah dan eksklusif selepas itu untuk merayakan kebebasannya. Dia mahu hadiahkan diri sendiri dengan makanan sedap-sedap dan mewah. Siapa tahu jodohnya ada di situ. Ketika sedang memilih makanan dalam menu, sepasang manusia melintas di tepi mejanya.
“Thank you tau sudi temankan I keluar. Seriously, I penat uruskan anak sorang-sorang. You asyik busy je dengan kerja.”
Toink!
Menegak kuping telinga dengar suara yang dibuat-buat manja itu. Serius, meremang bulu tengkuk dengar. Fayra cam benar suara itu. Suara seorang syaitan terlaknat!
“I dah sediakan maid untuk you kan?”
Deg!
Jantung berdegup laju. Suara maskulin itu juga sangat dia cam walaupun cuma beberapa kali menyapa pendengaran. Laju kepala terpusing.
What the…!!!
Argh! Tak boleh! Dia takkan biarkan!
Fayra bingkas berdiri lalu mencerlungkan mata ke arah pasangan yang sedang mengambil tempat duduk tidak jauh darinya itu.
Erysha Elyana dan Reizqi Budhriz!
Mengapa Erysha boleh bersama Rei? Di mana silapnya?
Fayra melarikan wajah ketika Erysha mendongak. Tak! Belum masanya dia dedahkan diri. Fayra kembali melabuhkan punggung. Dia kena tenangkan diri dan berfikir. Nafas naik turun dengan laju. Hampir dia tidak mampu menahan gelombang amarah yang menyerang dada.
Erysha Elyana... kau takkan dapat kebahagiaan, tak mungkin!
Share this novel