KDMT 2

Drama Series 14710

“PAPA, tolonglah. Papa kena pergi hospital untuk dapatkan rawatan lanjut,” rayu Trisha.

Dato’ Tamim hanya menguntum senyum segaris. Pertama kali dia melihat anak gadis tunggalnya merayu sebegini. Selama ini, hubungan antara mereka tidak mesra kerana sikap Trisha yang degil dan keras kepala itu sukar untuk dikawal.

Akibatnya, Dato’ Tamim sering menjatuhkan hukuman pada Trisha menyebabkan anak gadisnya itu menjauhkan diri. Sehinggalah pada satu tahap, Trisha dihantar masuk ke asrama penuh di sebuah negeri yang agak jauh dari rumah mereka.

Oleh sebab itu, Trisha terasa dirinya dibuang. Sepanjang berada di asrama, dia langsung tidak pulang ke rumah keluarganya, sehinggalah Thaqeef memujuk Trisha agar menurunkan ego dan meminta maaf pada Dato’ Tamim. Segalanya masih segar dalam ingatan Dato’ Tamim saat mengenang kembali kedegilan Trisha.

“Pa!” Lengan Dato’ Tamim ditepuk lembut sambil Trisha ketap bibir menahan geram. Dato’ Tamim sedikit tersentak lantas wajah Trisha dipandang.

“Adik cakap dengan papa ni, mengelamun pula dia,” marah Trisha.

Dato’ Tamim ukir senyum nipis. “Kalau mahu papa ke hospital, boleh. Tapi, bersyarat…”

Trisha cebir bibir. Dato’ Tamim ni, mulalah tu. Bisik hati kecilnya. Mata Trisha mengecil memandang pada Dato’ Tamim. “Syarat apa Dato’ Tamim? Sepatutnya awak sayang diri sendiri. Pergi hospital pun sampai nak kena pujuk. Awak tak kasihan pada Datin Maria ke?” Trisha membebel lagi. Dia buat olengan mata.

Dato’ Tamim ketawa besar. Dia tahu Trisha mula merasa jengkel dengan sikapnya. “Papa teringin tengok adik naik pelamin.”

Serta merta berubah riak wajah Trisha apabila mendengar keinginan ayahnya itu. Dia terdiam sejenak. Cuba menghadam permintaan itu.

“Okey nanti adik naik pelamin. Siapa kahwin bulan depan? Kita pergi majlis dia, then adik naik atas pelamin dia. Deal? So, papa akan ke hospital kan?” kedengaran polos balasan daripada Trisha. Bukan dia tidak faham, tetapi dia malas mahu melayan kehendak Dato’ Tamim.

Sekali lagi Dato’ Tamim menghambur tawa. Balasan Trisha buat dia geli hati. “Bukan itu maksud papa. Umur adik dah 25 tahun. Papa takut tak sempat tengok satu-satunya anak gadis papa berkahwin.”

Saat mendengar ayat terakhir itu, hati Trisha diserbu rasa sebak. Wajah Dato’ Tamim dipandang sayu. “Papa suka buat adik rasa bersalah,” ucap Trisha dengan nada sayu.

Dato’ Tamim menghentikan tawanya seraya tersenyum lebar memandang pada wajah Trisha. “Papa bukan mahu buat adik rasa begitu. Tetapi, papa takut, usia papa tak panjang.”

“Kenapa mesti adik? Kenapa bukan along atau angah?”

“Sebab adik anak kesayangan papa,” balas Dato’ Tamim dengan tenang. Trisha mendengus sinis. “Sayang apa kalau papa hantar adik ke asrama. Jauh pula tu dan papa selalu marah adik,” gumam Trisha. Tanpa sedar dia meluah rasa yang terpendam selama ini.

Senyuman Dato’ Tamim mati. Dia sudah dapat mengagak luahan seperti itu akan keluar juga daripada mulut anak gadisnya itu.

“Papa terlalu sayangkan adik, sehingga papa menganggap adik anak yang sempurna. Akan dengar setiap kata-kata papa dan mama. Tetapi, papa tak sedar yang papa gagal dalam mengawal dan mendidik emosi papa sendiri,” lirih suara Dato’ Tamim tika ini.

Riak wajah Trisha berubah serta merta. Terbit rasa bersalah di dalam hati. Wajah sayu Dato’ Tamim direnung dalam. “Okeylah, adik akan kahwin. Tapi, adik pun ada syarat,” Trisha sudah tidak mahu mengecewakan hati orang tuanya lagi. Jadi, dia terus bersetuju agar Dato’ Tamim segera mendapat rawatan lanjut.

Dato’ Tamim tersenyum mendengar kata-kata itu. Like father like daughter. “Apa syaratnya?”

“Papa kena jalani semua rawatan di hospital sehingga papa sihat tanpa sebarang alasan. Deal, Dato’ Tamim?” soal Trisha sambil bangun dari duduknya dan mengambil ubat yang dibekalkan oleh Doktor Safwan beberapa hari lepas. Air dari botol mineral dituang ke dalam gelas kosong yang berada di atas meja. Kemudian, dibawa pada Dato’ Tamim.

“Macam mana Dato’ Tamim? Setuju dengan perjanjian kita?” ulang Trisha sambil menyerahkan ubat dan air kosong tersebut kepada Dato’ Tamim.

“Tapi, papa nak adik berkahwin dulu. Baru papa akan ikut semua syarat adik,” ubat dan air bertukar tangan. Trisha buat olengan mata sekali lagi. Dia merasa jengkel dengan perjanjian yang hanya memenangkan satu pihak sahaja.

“Baiklah Dato’ Tamim. Now, eat your medicine,” arah Trisha. Tegas. Dato’ Tamim ketawa kecil. Dia tahu Trisha tidak akan menunaikan janjinya. Tetapi, dia juga ada cara untuk membuatkan anak gadisnya itu berkahwin.

Ubat disumbat ke mulut. Perlahan Dato’ Tamim meneguk air kosong. Rengkungnya bergerak ke bawah menolak ubat-ubat yang baru ditelan. Kemudian, gelas diserah kembali pada anak gadis yang sejak tadi setia menunggu dia menelan ubat-ubatannya.

“Thank you,” ucap dato’ Tamim. Dia menyandarkan tubuh ke kepala katil. Terasa sedikit letih dan dadanya mula berombak kencang.

“Papa okey tak ni?” soal Trisha mula bimbang.

“A little bit tired. But, I’m okay.”

“Sure?”

“Yes.”

“Pa, why not kita terus ke hospital by today?” Trisha memberi cadangan. Tetapi, saat melihat gelengan daripada Dato’ Tamim, dia jadi geram. “Why are you so stubborn?” marah Trisha. Dia sudah tidak tahan dengan kedegilan Dato’ Tamim. Sebal.

Dato’ Tamim ketawa kecil sambil memegang dada yang terasa sedikit perit. Trisha menghenyak punggungnya ke sebelah Dato’ Tamim. Dia mula bimbang.

“Papa tak okey. Please… kita ke hospital. You need treatment,” pujuk Trisha dengan nada sayu. Wajah Dato’ Tamim dipandang dengan penuh rasa kasih dan sayang.

“Penuhi syarat papa dahulu and I will fulfill your wish,” mendatar suara Dato’ Tamim saat ini. Dia masih lagi cuba memujuk Trisha mengikut kehendaknya.

Trisha melepaskan keluhan berat lantas dia bangun dari situ. Nafas ditarik dalam dan dihela perlahan. “Okey, pa. Adik akan kahwin secepat yang mungkin. Puas hati?”

Dato’ Tamim tersenyum nipis lalu menganggukkan perlahan.

“Bila papa boleh berjumpa bakal menantu papa?” soal Dato’ Tamim seolah menjerat Trisha. Dia tahu anak gadisnya itu masih belum punya teman istimewa. Trisha membungkam. Terkelip-kelip matanya cuba menghadam soalan daripada Dato’ Tamim.

“I don’t have special boyfriend,” jujur sahaja jawapan itu meluncur keluar daripada mulut Trisha. Wajahnya selamba.

“Takkan takda sorang pun yang adik berkenan? Kawan-kawan pejabat ke, sekolah ke atau kawan-kawan belajar dulu?”

“Takda, pa. Adik dekat sekolah dan kolej dulu, garang macam singa. Takda siapa berani dekat,” jawab Trisha bersahaja. Dia melipat kedua belah tangannya ke dada. Dato’ Tamim menghambur tawa. Sungguhlah anak gadisnya itu memang garang dan keras kepala. Sama dengan sikap Dato’ Tamim. Yelah, mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi?

“Papa suruh along atau angah carikan untuk adik lah kalau begitu. Setuju?” cadang Dato’ Tamim setelah tawanya reda.

Trisha tarik nafas dalam-dalam. Sejujurnya dia tidak faham kenapa Dato’ Tamim beria benar mahu lihat dia berkahwin. Namun, hatinya mula merasa tidak senang. Adakah ini dikatakan buang tabiat?

Dengan rasa berat hati, Trisha bersetuju sahaja dengan cadangan Dato’ Tamim. Lagi pula, dia sendiri tiada masa untuk mencari dan mengenali pasangan hidupnya. Biarlah segala-galanya diuruskan oleh Thaqeef dan Tazim.

“Okey, adik ikut sahaja apa kehendak papa. Apa yang penting, papa ke hospital,” tegas Trisha sudah tidak memikirkan tentang diri sendiri lagi. Segalanya dilakukan demi Dato’ Tamim.

Jika selama ini, dia selalu melawan dan menyakiti hati orang tua itu. Kini, dia mahu memenuhi permintaan Dato’ Tamim. Biar pun dia harus mengorbankan kehidupan sendiri. Dia rela.

Senyuman Dato’ Tamim membuatkan hati Trisha sedikit lega. Dia berharap benar agar Dato’ Tamim kembali sihat seperti biasa.

HAMPIR seminggu dia tinggal di Teratak Sakura milik keluarganya. Dari situ dia ulang alik ke pejabat. Kalau ikutkan tempat kerjanya agak jauh dari Teratak Sakura. Tetapi, demi Dato’ Tamim, dia dengan rela berada di situ untuk beberapa hari lagi.

Sejak Dato’ Tamim sakit, Trisha banyak berubah. Dia lebih rapat dengan ayahnya berbanding sebelum ini. Apa yang dia lakukan hanya untuk menebus kembali kesalahannya yang dahulu. Sebab itu dia setuju untuk berkahwin.

Masuk sahaja ke rumah, mata Trisha bergerak-gerak mencari penghuni rumah itu. “Mana semua orang?” gumamnya.

“Assalamualaikum. Mama. Papa…” ucap Trisha sambil matanya meliar ke seluruh rumah.

“Cik Trisha dah balik?” soal Mak Mah.

“Mama dengan papa mana Mak Mah?” terus Trisha menyoal.

“Ada di halaman. Dekat gazebo. Ni Mak Mah nak hantar minuman pada datin dan dato’. Kalau Cik Trisha nak minum petang, Mak Mah bawakan sekali,” ujar Mak Mah.

“Trish tak nak apa-apa. Dah kenyang.”

“Kalau macam tu Mak Mah bawa minum petang ni pada datin dan dato’ dulu ya,” kata Mak Mah dengan sopan.

“Takpalah. Biar Trish bawakan minum petang ni untuk mama dan papa,” Trisha menawarkan dirinya untuk membawa dulang makanan itu.

“Eh, takpa Cik Trisha. Biar Mak Mah je yang bawa,” halang Mak Mah.

“Takpa. Biar Trish yang bawa. Mak Mah janganlah panggil Cik Trisha. Skema betul bunyinya. Macam dekat pejabat pendaftaran negara pula Trish rasa. Panggil Trish je,” kata Trisha dengan selamba. Lalu, dulang yang ada di tangan pembantu rumah itu diambil dan dia terus berjalan ke halaman rumah untuk bertemu dengan Dato’ Tamim dan Datin Maria.

Mak Mah tersenyum selepas mendengar kata-kata anak majikannya itu. Kalau dulu, Trisha gadis yang agak liar dan kasar. Riak wajahnya sentiasa mencuka. Sehingga takut dia nak menegurnya. Dan gadis itu sering bertengkar dan tidak sependapat dengan Dato’ Tamim. Tetapi kini, sejak gadis itu meningkat dewasa dan telah berkerja banyak perubahan yang telah berlaku pada gadis itu. Mak Mah bersyukur kerana dia tahu Trisha memang gadis yang baik. Dan dia juga gembira melihat keluarga Dato’ Tamim bahagia seperti ini.

“ASSALAMUALAIKUM, Dato’ Tamim. Datin Maria,” sapa Trisha sebaik sahaja dia menjejak kaki ke laman itu. Dengan berhati-hati, dulang makanan diletak ke lantai gazebo.

“Waalaikumsalam. Bila balik? Mama tak dengar bunyi kereta pun,” ujar Datin Maria.

“Baru je sampai. Mana nak dengar. Mama sibuk bermesra dengan papa,” sakat Trisha. Selamba.

Dato’ Tamim ketawa. Manakala Datin Maria pula mencebir geram dengan usikan anak perempuannya itu. “Kenapa adik yang hantar ni? Mak Mah mana?” tanya Datin Maria.

“Adik suruh Mak Mah cuti. Bagi chance dekat mama dengan papa honeymoon dalam rumah ni,” usikan itu bersambung lagi.

Dato’ Tamim ketawa besar. “Tak sangka adik ni kelakar. Selalu sebelum ni asyik nak marah je,” katanya dengan tawa yang masih bersisa. Dalam pada dia bercakap, terselit juga sindiran terhadap anak perempuannya itu.

Trisha buat olengan mata. Geram dengan sindiran daripada Dato’ Tamim. “Dulu adik darah muda. Sekarang adik dah matang. Memanglah berbeza. Mana ada semua manusia sama je hidup dia,” bebelnya.

“So, memang betul-betul dah ready nak berumah tanggalah ni?” sahut Dato’ Tamim. Lebar senyumannya diberikan pada si anak.

“Yes,” ringkas Trisha menjawab. Tak sampai hati nak menolak permintaan Dato’ Tamim saat melihat wajah pucat ayahnya itu.
“Adik betul-betul serius ke nak kahwin ni?” kali ini Datin Maria menyampuk. Bukan apa, dia bimbang jika anak perempuannya itu tersalah pilih pasangan hidup.

“Yes, ma. Kenapa? Mama tak percaya ke adik dah boleh kahwin?”

“Bukan macam tu. Mama risau adik tersalah pilih suami,” luah Datin Maria. Apa tidaknya, keputusan itu dilihat tergesa-gesa.

“Mama jangan risau sebab yang pilihkan suami adik tu anak-anak lelaki mama. Apa-apa, mama salahkan diorang,” bersahaja Trisha membalas.

Datin Maria terus menoleh pada Dato’ Tamim dengan pandangan geram. “You la ni paksa adik kahwin.”

Dato’ Tamim ketawa kecil. “I bukan apa, takut tak sempat…” belum sempat dia habiskan ayatnya, Trisha mencelah, “Papa jangan cakap bukan-bukan!” amaran diberikan pada ayahnya itu. Dia betul-betul tak suka mendengar Dato’ Tamim bercakap sebegitu.

Dato’ Tamim ketawa lagi. Sejak Trisha dan dia berbaik, hatinya merasa sangat lega. Dia bersyukur kerana Allah memakbulkan doanya. Dan kini, Trisha sudah jauh berubah berbanding dulu.

“You kena dapatkan rawatan di hospital. Memang ajal maut di tangan Tuhan. Tapi, kita sebagai manusia kena ikthiar!” kali ini Datin Maria pula membebel. Sakit hatinya setiap kali Dato’ Tamim mengelak daripada mendapatkan rawatan di hospital.

“Ya. I akan dapatkan rawatan di hospital. Tapi…,” kata-kata Dato’ Tamim terhenti di situ. Lalu, matanya di bawa ke arah Trisha.

“Yes. I know. Adik akan kahwin secepatnya supaya papa ke hospital,” celah Trisha. Sudah faham maksud pandangan ayahnya itu. Walaupun hal itu agak menjengkelkan, namun, tetap sahaja dia akan tunaikan. Demi kesihatan Dato’ Tamim dan demi menebus rasa bersalahnya pada ayahnya itu. Dia sanggup buat apa sahaja.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience