Series
3703
RUANGAN teater kecil itu penuh dengan ramai orang. Suara yang berbual-bual dan langkah kaki terus bergema di ruang kecil itu. Direktor Jun dah berada di tempat duduk Yang paling di depan, memerhati senarai pelakon yang akan diuji satu per satu pada malam ini.
Maya duduk di sebelah kiri pentas, memakai topi dan pelitup muka. Rambutnya dibiarkan terurai. Hanya sepasang mata yang dikenakan bulu mata palsu sahaja dilihat pada wajah itu. Di sebelahnya, Chris, pengurus Sophie, menunduk dan berbisik perlahan.
“Buat-buat je baca skrip. Dah naik pentas nanti, berlakon ala kadar je, lepas tu kau buat-buat pengsan. Nanti time kau dah ‘pengsan’, aku hantar kau balik. Settle kerja kau, senang.”
Maya menoleh perlahan, berpura-pura terkejut. “So, ini je peranan Sophie?”
Chris mendengus. “Mestilah. Kalau kau pandai berlakon untuk ‘pengsan’ pun dah cukup. Jangan pandai-pandai nak tambah drama sendiri.”
Dia berdiri dan menjawab panggilan telefon. Maya menunduk memandang skrip yang berada di tangan. Bibir di sebalik pelitup muka itu melengkung perlahan. Satu idea mula menyelinap dalam benaknya.
Ketika dia mengangkat wajahnya semula, matanya dah berkaca. Dia menyelami watak yang berada dalam skrip di tangannya. Marie, seorang wanita yang dikhianati dan kehilangan segalanya. Maya mengamati watak Marie sehingga air mata secara automatic terus bergelinang dalam matanya.
Seorang staf menghampiri. “Sophie, lepas ni giliran awak.”
Maya bangun dan berpura-pura batuk.
Chris cepat-cepat menyampuk, “Sophie memang tak sihat sejak penggambaran terakhir dia. Tapi sebab dia suka sangat dengan watak ni, dia tetap datang untuk try audition walaupun saya dah larang.”
Kata-kata itu membuatkan ramai mula berbisik-bisik. Ada yang memandang dengan pandangan yang kagum dan ada juga yang iri. Maya menunduk, mengawal tawanya. Sungguh dia rasa geli hati. ‘Pandai betul nak buat perempuan tu nampak suci.’
“Baiklah, calon seterusnya — Sophie,” ujar pembantu pengarah.
Maya melangkah ke atas pentas. Direktor Jun hanya mengangguk kecil, dah dimaklumkan kepadanya tentang ‘kesungguhan Sophie’ tadi. Selepas mendapat tahu keadaan ‘sebenar’, dia tidak lagi mempersoalkan apa-apa.
Maya menanggalkan topinya, menolak rambutnya ke belakang telinga. Pelitup mukanya masih menutupi wajah. Dia berdiri diam untuk beberapa saat di tengah pentas sebelum mula bergerak perlahan, tiga langkah ke kiri, tiga ke kanan dan terus mendalami watak yang dimainkannya – Marie.
Dia berpaling mendadak. Bukannya berpura-pura pengsan macam yang telah dirancang, tapi sebaliknya dia melutut di atas lantai dan mula menangis teresak-esak.
“Kenapa… kenapa awak tinggalkan saya? Mana perginya janji awak?” suaranya serak dan badannya terketar perlahan. Air mata yang betul-betul mengalir dari matanya membuatkan efek tangisannya nampak betul.
Satu demi satu titisan air mata jatuh ke pipi. Habis satu dewan berubah sunyi sepi.
Ini bukan sekadar lakonan semata, tapi ini adalah sebahagian dari sisinya yang disimpan dan tak ditunjukkan ke orang lain.
Tepukan perlahan mula kedengaran dari sudut dewan. Kemudian semakin kuat, bergema di seluruh teater.
Inilah lakonan yang sebenar.
Direktor Jun bangun dari kerusinya, terpegun. “Itu dia! Inilah Marie yang saya cari!”
Pembantunya cepat-cepat mencatat. “Watak pembantu ketiga, Marie — dilakonkan oleh Sophie!”
Chris yang berada di tepi pentas tersenyum puas. Tapi Maya hanya memandang dari sebalik pelitup muka dengan senyuman sinis. ‘Awal sangat nak gembira. Lakonan sebenar baru nak mula,’
Di barisan belakang teater, seorang lelaki bersut hitam duduk bersandar. Tangannya disilangkan di lutut, pandangan matanya tajam dan tenang. Lelaki itu tak lain dan tak bukan adalah Kai Allen.
Renungannya tertumpu pada wanita yang berada di atas pentas pada ketika itu. Mata lelaki itu mengecil sedikit. Dia tak sangka, lakonan yang baru sahaja disaksikannya itu nampak hidup, dan sangatlah menyentuh. ‘Dia betul-betul luar biasa,’ fikirnya dengan satu senyuman kecil muncul pada bibirnya.
Namun, saat Maya melangkah turun, satu suara kuat tiba-tiba bergema dari belakang pentas.
“Sophie boleh berlakon menangis? Jangan buat lawaklah!”
Semua kepala berpaling. Seorang wanita tinggi dengan solekan tebal pada wajahnya melangkah masuk – Nadra. Dia adalah pelakon utama untuk drama itu.
Dia menunjuk tepat ke arah Maya. “Kau bukan Sophie. Kau menyamar jadi dia, kan? Aku nak kau tanggalkan topeng muka kau kalau betul kau Sophie!”
Chris bergegas melangkah ke depan. “Nadra, jangan nak buat besar kepala! Hati-hati dengan apa yang you cakap! Kalau tak, you tunggu I hantar saman fitnah dekat you!”
Nadra tertawa sinis. “Fitnah? Kalau betul dia Sophie, suruhlah dia buka face mask tu. Kenapa, takut ke?”
Chris segera berdalih, “Sophie tengah demam teruk. Kalau dia buka mask, nanti sakit dia berjangkit. Dia ni fikir yang dia tak nak jangkitkan sakit dia dekat orang lain je.”
“Alah, alasan!” balas Nadra dengan senyum mengejek. “Kitorang semua ni bukannya bodoh. Sakit apa je yang boleh berjangkit kalau setakat buka mask untuk lima saat?”
Sorakan kecil kedengaran dari penonton yang berada di dalam dewan. Suasana bertukar menjadi riuh. Pembantu pengarah mula panik. “Pengarah, ramai wartawan dalam ni. Nak berhentikan dulu tak?”
Direktor Jun menatap Maya dengan wajah penuh tanda tanya. “Cik Sophie, boleh awak jelaskan?”
Seorang wartawan mula merakam. “Cik Sophie, betul ke yang awak pura-pura sakit? Siapa awak sebenarnya?”
Chris cuba menahan mereka, tapi gagal. Maya berdiri diam di tengah pentas, memandang ke arah orang ramai yang kini menuding kamera dan mikrofon ke arahnya.
Dia menarik nafas panjang, menggenggam mikrofon. “Saya…” Dia menunduk sedikit, kemudian mengangkat wajahnya. Tangannya perlahan-lahan menanggalkan pelitup muka.
Ruangan dewan dipenuhi dengan bunyi bisikan.
Maya menunduk hormat ke arah Direktor Jun. “Maaf, saya bukan Sophie. Saya Maya Arina.”
Senyap.
Beberapa saat kemudian, dewan itu meletus dengan banyak suara yang terkejut.
“Itu Maya Arina?! Pelakon yang pernah menang anugerah besar tu?”
“Bukan ke dia dah tarik diri dari dunia lakonan?”
“Kenapa dia audition untuk pihak Sophie?”
Wartawan segera menerjah. Mikrofon hampir terkena pada wajahnya.
“Ini ke cara awak nak buat comeback?”
“Betul ke yang awak cuba rampas watak Sophie?”
“Dah ramai lupakan pasal awak, kan? Ini tanda-tanda yang awak nak masuk semula dalam bidang lakonan ke?”
Soalan yang bertubi-tubi itu menyakitkan telinga, tapi Maya kekal tenang. Dia dah jangka dengan reaksi begini.
Namun, dalam sesak dan sorakan, seorang lelaki muncul di pintu masuk teater. Suaranya rendah tapi cukup kuat untuk mematikan keriuhan di dalam bilik itu.
“Cukup.”
Semua berpaling.
Kai melangkah masuk perlahan, langkahnya cukup mengintimidasikan dan nampak tenang. Aura dingin yang menyelubunginya membuatkan orang ramai berundur tanpa perlu dipaksa.
Dia berdiri di depan pentas. Matanya menikam ke arah Maya. “Sayang betul…” katanya perlahan, suara dalam itu membawa makna yang tak dapat ditafsir.
Dewan itu serta-merta berubah sunyi dengan kemunculan mengejut lelaki itu.
Share this novel