DULANG yang mengandungi dua gelas jus buah ditatang dengan penuh berhati-hati oleh Delisha. Setelah tiba di sebuah meja, dia meletakkan dua gelas air minuman itu untuk dihidangkan kepada pelanggannya. Setelah menghantar pesanan kepada pelanggan, perempuan itu tergesa-gesa pula berlari menuju ke kaunter pembayaran kerana terdapat pelanggan yang ingin membuat pembayaran sedang menunggu di sana.
"Akak nak bayar ke? Meja nombor berapa?" Tanya Delisha sambil tersenyum kepada pelanggannya.
"Meja nombor lapan." Jawab wanita yang sedang berdiri di depan kaunter. Delisha segera memeriksa skrin di atas meja kaunter.
"Meja lapan.. tiga puluh dua ringgit je." Delisha memberikan jumlah harga yang perlu dibayar oleh pelanggannya itu. Wanita di depan kaunter pula segera mengeluarkan telefon pintarnya dan membuat imbasan pada kod QR yang terpampang di atas meja kaunter. Sejenak kemudian, dia menunjukkan layar telefon bimbitnya itu kepada Delisha.
"Okey, akak dah bayar." ujar wanita tersebut.
"Okey, terima kasih.. sila datang lagi.." Delisha tersenyum setelah menyemak kemasukan wang pembayaran ke akaun perniagaannya.
Setelah pelanggannya itu berlalu pergi, Delisha menghembuskan satu nafas berat. Dia kepenatan menguruskan restorannya yang baru dibuka beberapa hari itu. Di sebabkan perniagaannya baru mula beroperasi, dia masih kekurangan tenaga pekerja yang dapat membantunya bila mana pelanggan datang berduyun-duyun. Pekerja yang dia miliki sekarang masih belum mencukupi untuk melancarkan urusan perniagaannya dengan sempurna. Mahu atau tidak, dia sendiri yang terpaksa bekerja menjadi pelayan dan menjaga kaunter pembayaran.
Seketika kemudian, telefon bimbitnya pula berdering. Delisha dengan pantas melihat gerangan pemanggil yang sedang menghubunginya. Bibirnya tersenyum seraya menjawab panggilan telefon tersebut.
"Baby.. datang la restoran i.. tolong i please.. orang ramai la hari ni.. you tahu tak, sayang sendiri kena jadi pelayan hari ni tau.. letih la. Nak kena jaga kaunter lagi.."
Pada masa yang sama, Amira yang kelaparan, berjalan dalam keadaan yang lemah. Subuh tadi, mujurlah dia menemui sebuah masjid. Di masjid itu, wanita itu sempat bersolat subuh dan tidur seketika di dalam ruangan solat masjid. Kini setelah terjaga dari tidurnya, dia mula ditekan oleh kelaparan. Dia terpaksa berjalan dan berharap agar mendapatkan sesuap makanan untuk mengisi perutnya.
Sedang berjalan, Amira melihat seorang wanita yang duduk di bangku pada sebuah perhentian bas. Dari kejauhan, dia melihat wanita tersebut sedang memakan sebiji burger. Baru sebahagian burger tersebut dimakan, wanita itu langsung membungkus burgernya kembali dan membuang ke tong sampah. Wanita itu tergesa-gesa menaiki sebuah kereta yang datang menjemputnya di sana. Amira yang melihat keadaan tersebut ingin mengambil peluang. Fikirnya, dia perlu mendapatkan sisa burger tersebut untuk dijadikan alas perutnya.
Namun baru sahaja melangkah menuju ke sana, tiba-tiba Amira melihat seekor anjing sedang berdiri bersebelahan tong sampah yang ditujunya itu. Wanita itu segera menghentikan langkah kakinya. Dia takut untuk mendekat dengan haiwan tersebut. Namun bagi Amira, dia perlu mendapatkan makanan yang dibuang tadi. Anjing itu ditatapnya lama. Dia sangat berharap agar anjing tersebut segera pergi dan berlalu dari sana.
"Woff!! Woff!.." Anjing yang menyedari dirinya diperhatikan oleh Amira pula segera menyalak, mungkin sebagai satu tanda sapaan. Namun Amira yang ketakutan segera melarikan diri dan menjauhi kawasan tersebut.
Amira yang sangat lapar dan keletihan itu hampir menyerah. Matanya mulai bergenang. Dia sudah tidak mampu untuk terus menahan diri, hidup dalam keadaan bergelandangan sebegitu.
"Ya Allah, bantulah hambaMu ini.. tolonglah aku Ya Allah.. berikanlah rezekiMu kepadaku.. Permudahkanlah rezekiMu kepadaku.. aku lapar Ya Allah.." Amira menitiskan air mata di saat merayu kepada Tuhannya. Dia sudah tiada pilihan selain memohon kepada Yang Maha Memberi rezeki.
Tidak lama kemudian, Amira berjalan melintasi sebuah restoran. Dindingnya terbuat dari kaca lut sinar yang tebal dan membolehkan orang dari luar melihat keadaan di dalam restoran tersebut. Amira yang kelaparan menelan liur apabila melihat para pelanggan di dalam restoran sedang menikmati makanan mereka. Restoran tersebut di perhatikan lama. Selain memikirkan kelaparannya, Amira mula terkenangkan restorannya yang terletak di kampung. Suasana dan warna di dalam restoran tersebut serta susun atur kerusi dan meja hampir sama dengan restorannya. Fikir Amira, dia harus pulang secepat mungkin ke kampung halamannya dan kembali menguruskan restoran miliknya itu.
"Padahal aku ada restoran sendiri.. tapi sekarang, pemilik restoran pun takde makanan yang mampu dimakan.." luah Amira sambil matanya terus menatap keadaan di dalam restoran di depannya itu.
Tiba-tiba seorang lelaki yang berpakain kemas dan segak berjalan mendekati Amira. Lelaki itu merenung lama ke arah wanita yang sedang berdiri menatap restoran. Setelah berdiri di sebelah Amira, lelaki itu mula menyapa.
"Awak buat apa kat sini?"
Amira yang terkejut dengan sapaan tersebut segera berpaling dan melihat ke arah lelaki yang berdiri di sebelahnya itu. Lelaki berambut pendek itu terlihat tampan dan segak bergaya.
"Takde.. takde apa-apa.." Amira berpaling tubuh dan ingin beredar dari sana.
"Awak nak makan ke? Kalau nak makan, jom la masuk dalam restoran ni.." Ujar lelaki terbabit. Dia sepertinya mengerti keadaan yang sedang di alami oleh Amira.
Mendengar kata-kata tersebut, Amira mematikan langkah. Dia kembali berpaling ke arah lelaki yang menyapanya itu. Lelaki itu seolah tahu dengan keadaannya yang hampir kebuluran. Amira sama sekali tidak ingin menolak jika ada yang ingin memberikannya sedikit makanan. Dia sudah tidak mampu untuk menanggung rasa lapar yang menekan perutnya. Lelaki itu pula terus tetap menatap ke arah Amira.
'Hmm.. muka cantik.. tapi pakaian comot.. dia ni bukan orang gila atau gelandangan biasa.. orang macam ni, kalau tak lari dari rumah, mesti kena buang dengan keluarga.' bisik hati lelaki tersebut dalam membuat andaian. Dia agak bijak dalam membuat taakulan berdasarkan keadaan Amira. Matanya pula masih menatap Amira dari hujung kepala sehingga ke hujung kaki. Melihatkan Amira yang masih diam tetapi reaksi wajahnya menunjukkan dia sememangnya terlalu lapar dan menginginkan makanan, lelaki itu mengulangi ajakannya.
"Kalau awak nak makan, jom la masuk dalam restoran ni.."
"Tapi.. saya takde duit.." Amira membalas dengan jujur.
"Jangan risau.. biar saya belanja awak.. lagipun restoran ni milik tunang saya.." lelaki itu cuba menyenangkan hati Amira.
"Tapi saya tak kenal pun awak.. awak pun tak kenal saya.." Amira masih ragu-ragu, namun dia sebenarnya sangat berharap untuk mendapatkan sedikit makanan bagi mengisi perutnya. Mendengar ucapan Amira, lelaki itu mula menggarukan kepalanya yang tidak gatal.
"Kita nak tolong orang, tak semestinya kena kenal dulu orangnya.. saya tahu awak lapar.. jom la masuk makan.. awak makan je apa-apa dulu buat isi perut.. saya ikhlas nak tolong awak." ujar lelaki tersebut. Amira mula mengangguk. Dia melihat keikhlasan pada wajah cahaya mata lelaki di hadapannya itu. Lelaki itu mula melangkah menuju ke arah pintu restoran dan Amira perlahan-lahan turut mengikuti langkah lelaki tersebut. Sambil berjalan, lelaki itu sempat menyambung perbualannya dengan Amira.
"Saya Eddy.. awak jangan risau.. ini restoran tunang saya.. dia baik orangnya.. awak nama apa?"
"Saya.. Amira.." jawab Amira dengan teragak-agak.
"Amira.. nice name.. ah, jemput la masuk.." Eddy membuka pintu restoran dan mempelawa Amira untuk masuk ke dalam. Amira segera menurut. Setelah masuk ke dalam restoran, mereka menuju ke sebuah meja paling hujung di satu sudut.
"Awak duduk kat sini dulu.. awak nak makan, minum apa, order je.. semuanya saya belanja.. saya nak pergi kat depan tu jap." Eddy tersenyum sambil mengarahkan Amira untuk duduk di sana. Sementara lelaki itu pula menuju ke arah Delisha yang sedang berada di meja kaunter. Dari kejauhan, Delisha sudah melihat kehadiran Eddy yang datang membawa Amira masuk ke dalam restorannya.
"Baby.. perempuan mana pulak yang you bawa ni?" tegur Delisha setelah Eddy tiba di tempatnya.
"Entahlah sayang.. i nampak dia duk berdiri kat luar restoran ni tadi.. dia duk tengok je kat dalam ni.. i rasa dia memang tengah kebuluran tu.. you bagi la apa-apa makanan kat dia.. kesian pulak i tengok.."
"Laa.. habis, takkan la semua orang homeless yang berdiri depan restoran i, you nak bawak masuk.." Delisha sedikit mengeluh dengan sikap baik hati yang melampau kekasihnya itu.
"Sayang.. cuba la berbuat kebaikan dengan ikhlas.. bukan ada pun homeless lain yang duk berdiri depan ni.. lagipun, i rasa pelik la tengok perempuan tu.. you tengok la sendiri.. walaupun nampak pakaian dia kotor, tapi muka dia bersih.. lawa pulak tu.. bukan macam orang gelandangan yang lain.." ujar Eddy.
"Amboi, bukan main baby ni.. siap tilik muka orang.. tahu pulak perempuan tu cantik ye.. you ni biar betul.. ke you ada plan nak buat apa-apa dengan dia?" balas Delisha dalam nada yang cemburu.
"Ish, plan apa pulak sayang ni.. i memang niat nak tolong dia je.. ikhlas.. sebab tu i bawak dia jumpa you.. you jangan la fikir yang bukan-bukan.." Eddy mula dapat mengesan hawa cemburu yang menyelubunyi suasana hati kekasihnya itu.
"Orang lelaki, bukan boleh percaya.. entah-entah kat belakang i, ada berapa orang sayang pun i tak tahu.." Delisha merungut sambil menjuihkan bibir. Eddy langsung tertawa melihat ulah kekasih hatinya itu. Lelaki itu kemudian mencubit pipi Delisha.
"I bersumpah, i takde simpan perempuan lain, okey... cukup la i layan you sorang je.. yang sorang ni pun dah tak terlayan, dengan macam-macam perangai.. nak cari yang lain, buat datang bala je.." Eddy cuba memujuk.
"Hmm.. ye la tu.."
"I swear.. only you in my heart.. my baby bucuk.. takde dah perempuan lain yang lagi cantik dari you.." Eddy cuba mengambil hati Delisha dengan kata-kata pujian.
"I tak percaya.. weekk.." Delisha menjelirkan lidah kepada lelaki di depannya itu. Eddy pula terus menekan pipi Delisha dengan kedua belah telapak tangannya dan menguli-uli pipi kekasihnya itu.
"Dah la.. jom la kita pergi jumpa perempuan tu.. i rasa dia ada masalah dengan keluarga.. you cuba la tanya-tanya sikit.. kalau ada yang kita mampu tolong, nanti kita tolong.. i kesian tengok dia.. tapi i rasa tak sesuai la kalau i yang tanya dia. You yang sama-sama perempuan, pergi la tanya dia.. perempuan sama perempuan senang sikit dia nak bercerita.." Eddy memberikan saran.
Delisha kemudian mendapatkan makanan dan minuman dari dapur restoran dan segera di bawa ke meja dimana Amira berada. Setelah menyajikan makan dan minum kepada Amira, Delisha turut memperkenalkan dirinya. Melihatkan Amira yang sangat kelaparan, Delisha tidak ingin mengganggu wanita itu makan. Dia memberikan masa untuk Amira menjamu selera terlebih dahulu sebelum mereka mula berbicara panjang lebar dan saling berkenalan nanti.
Saat melihat Amira, terdetik di hati Delisha mengenai kata-kata Eddy. Benar ucapan kekasihnya itu. Amira terlihat sangat cantik dan berseri wajahnya jika dilihat dari jarak dekat. Cuma pakaiannya sahaja yang terlihat comot. Mungkin dugaan Eddy juga ada benarnya. Amira bukanlah gelandangan yang biasa. Melihatkan penampilan wanita itu, Delisha turut menduga jika Amira itu di halau dari rumah oleh keluarganya atau dia sendiri yang melarikan diri daripada keluarga. Tidak mungkin orang yang berupa paras secantik Amira dengan wajahnya yang berseri itu merupakan gelandangan biasa pada umumnya.
Delisha tersenyum sendiri tatkala melihat Amira makan dengan lahapnya. Wanita itu benar-benar kelaparan. Dalam beberapa hari kebelakangan ini, dia hanya memakan sisa makanan yang dibuang orang. Kali ini adalah kali pertama dia dapat menikmati makanan seenak itu dan dapat dimakan dengan sepuas hati. Setelah selesai Amira menghabiskan makanannya, Delisha baru kembali bersuara.
"Awak ni sebenarnya dari mana?" soal Delisha dengan ramah, cuba untuk berkenalan dengan Amira.
"Saya datang dari kampung.. saya datang sini sebab nak jumpa orang.. sekarang, saya nak balik kampung semula tapi tak mampu.." Amira mengatur kata untuk memulakan cerita.
"Tak boleh nak balik kampung? kenapa pulak? ah, mana barang-barang awak? Takkan awak datang sini sehelai sepinggang je.." tanya Delisha lagi. Amira terdiam seketika. Dia harus berbohong dan mereka cerita agar identitinya yang sebenar tidak terbongkar.
"Saya.. kena rompak. habis semua barang saya, dengan purse, IC hilang.. duit langsung tak ada.."
"Kalau macam tu, saya bagi la kat awak duit untuk beli tiket.. nanti awak balik kampung semula.. jangan duk hidup melarat kat kota macam ni.." Delisha yang baik hati cuba menunjukkan keprihatinannya untuk membantu.
"Eh, takpe la.. saya tak nak la berhutang dengan sesiapa.. awak bagi makan ni pun dah cukup bagus.. saya pun tak tahu macam mana nak balas budi awak yang ni. Jangan buat saya lebih terhutang budi." Amira cuba menolak. Delisha terdiam sejenak sebelum menyambung kata.
"Hmm, kalau macam tu, apa kata awak kerja je kat restoran ni sementara waktu.. saya berikan awak gaji, nanti awak boleh balik kampung. Saya pun perlukan pekerja sekarang ni."
"Betul ke? baiklah.. kalau macam tu saya setuju." Amira tersenyum lebar.
Share this novel
Alahai, kesiannya Amira..nasib jumpa org baik..tp tulah napelah dia lari yerk? Riz plak apa jd kt dia? Hihihi...bila nk smbung author?