BAB 4

Drama Series 728

AZFAR melangkah perlahan meniti jalan tanah merah yang mulai lecak ditimpa hujan tadi. Di belakangnya, Izza mengekori dalam jarak yang cukup terjaga. Menunduk hampir sepanjang jalan.

Hanya sesekali dia mengangkat muka dan kala itu, anak matanya akan segera jatuh pada belakang tubuh Azfar yang tampak berat menanggung entah apa di pundaknya.

‘Tatapan itu…’ desis Izza dalam hati.

Nafasnya seakan tersekat. Dada terasa senak menampung gelora yang tidak diundang.

Tadi sewaktu pandangan mereka bersua, Izza dapat merasakan satu sengatan aneh menghiris perlahan dadanya.

Mata lelaki itu. Redup namun tajam, seakan menyimpan sesuatu yang lama dan kelam. Dan rasa itulah, yang membangkitkan semula serpihan luka silam yang cuba Izza tanam dalam-dalam di dasar hatinya.

Dia sendiri tidak pasti pada intuisinya itu. Tidak pasti, apakah benar itu pemuda yang pernah menodai sucinya suatu ketika dulu lalu meninggalkannya terkapai dalam rasa hina yang tak bernoktah.

‘Allahu… kalau benar dia, apakah ini petunjuk-Mu untuk ana mengubat sisa luka itu dengan sabar dan reda? Atau hanya ujian untuk menguji hati ana yang masih belum pulih sepenuhnya?’

Izza mendakap mushaf di dada erat-erat. Jari-jemarinya menggigil halus. Langkahnya terus diatur satu persatu meski dalam resah, menjaga jarak agar tidak dekat benar dengan Azfar di hadapan.

Itulah yang diajarkan di madrasah. Tentang ikhtilat. Tentang adab memelihara batas meski hati sendiri bergetar tak menentu.

Dari belakang, dia hanya dapat memerhati bahu Azfar yang naik turun. Sesekali lelaki itu menggenggam tasbih, memutarnya laju seakan sedang melarikan diri daripada bayang fikir yang menyesak.

Hati Izza makin rawan. Dia tunduk lagi, memandang tanah yang bersulam daun-daun durian gugur cuba menenangkan degup yang seperti mahu memberontak.

‘Ya Allah, kalau ini jalannya, maka lapangkanlah dada ana untuk menerima apa pun takdir-Mu. Kalau bukan dia, jauhkan hati kami agar tak saling meluka.’

Azfar memperlahankan langkah, menoleh sedikit ke belakang. Izza cepat-cepat menunduk, pura-pura membetulkan hujung tudung labuhnya yang terselit di celah bahu.

“Ustazah, kelas kita minggu depan masih pada masa yang sama, kan?” suara Azfar sedikit bergetar, seolah teragak-agak mahu bertanya. Lamunan sang ustazah tersentak.

Izza menangkat wajahnya perlahan-lahan dan cuba ukir senyum tipis di balik niqab walau hatinya masih berperang dengan debar.

“InsyaAllah, akhi. Hari dan waktunya sama melainkan ada apa-apa hal, ana akan maklumkan nanti," terangnya perlahan.

Azfar angguk kecil. Matanya sekejap memandang Izza, kemudian cepat-cepat dialihkan ke tanah.

“Aiwah, syukran ustazah,” ujarnya perlahan.

Jemarinya kembali ligat memintal tasbih hitam, menandakan gelisah yang sukar dia sembunyikan.

Beberapa tapak kemudian, Izza pula menegur sekadar mencari ruang untuk membuang canggung.

“Akhi, ana harap kelas hari ni tidak terlalu berat untuk enta?”

Azfar terkedu kemudian geleng perlahan. Ada senyum nipis yang lahir meski canggung.

“Tak, ana rasa tenang. Cuma ana banyak kena belajar lagi," jawab Azfar yang sesekali pasti ingin merenung lama sepasang mata itu.

Izza angguk lantas menunduk. Sesekali, niqab yang ditiup bayu ditekan biar rapat kembali.

Selepas itu, mereka kembali diam hanya derap langkah di tanah lembap serta nyanyian unggas petang jadi saksi, betapa dua jiwa ini sedang bertatih dalam mencari reda Allah Swt.

***

Izza membaringkan diri di atas hamparan sejadah yang masih terbuka. Niatnya mahu lena dalam dakap wangi sajadah, biar hatinya tenang diselimuti zikrullah.

Namun saat kelopak matanya terkatup rapat, alam mimpi tiba-tiba saja memerangkapnya ke ruang silam yang paling kelam.

Dalam mimpi itu, Izza mendapati dirinya terkurung dalam sebuah bilik sempit. Dindingnya kusam dan lembap bagai menyimpan rahsia busuk yang lama terperap. Bau hapak menusuk hidung serta menyesakkan rongga dada, membuatkan perutnya mual dan tekaknya terasa pahit.

Kakinya kaku ibarat dibelenggu oleh kalung besi halimunan. Nafasnya tercungap, dada seperti ditekan timbunan batu yang sarat dengan ngeri.

Tiba-tiba, terdengar derap langkah. Perlahan pada mulanya seperti seekor musang mengintai mangsa sebelum bunyinya kian dekat, menampar-nampar cuping telinga. Izza cuba memekik namun suaranya hilang, ditelan dinding gelap yang membisu.

Di hadapannya muncul satu figura lelaki. Tinggi. Bahunya bidang namun wajahnya kabur hanya mata yang jelas, terpacak menusuk dalam.

Sepasang mata redup yang sarat kelam, bagai mengandungi cerita ngeri yang tidak terucap. Mata itu bagaikan bara yang terpendam lama, menanti masa membakar.

Figura itu tidak berkata apa-apa, hanya menatapnya dengan nafas yang berhembus kasar.

Kemudian, tangan yang kasar itu meraih lengannya. Cengkaman seperti belati menikam kulit. Izza meronta, tubuhnya menggigil dalam peluh dingin yang menitis setitik demi setitik.

“Allahu! Tolong jangan apa-apakan saya…” suara Izza tercungap-cungap, diiringi esak yang terputus-putus.

Airmata menitik bak mutiara retak, bertalu-talu membasahi pipi pucat. Dia cuba menepis serta menendang tapi tubuhnya terasa lemah, seakan diragut segala tenaga oleh rasa takut yang menelusup sampai ke tulang belakang.

Tatapan itu makin dekat, menelannya dalam renungan yang menghiris. Tiada belas kasihan, menelanjangi setiap cebis maruah yang cuba Izza tutup kemas selama ini.

Dalam sekelip mata, ruang itu bertukar gelita. Dan Izza tenggelam ke dalam lautan tangisan yang tidak pernah sempat didengari sesiapa.

Izza terjaga dengan tubuh menggigil kecil, sekujur badannya dibasahi peluh dingin. Nafasnya masih sesak. Dada turun-naik menahan sendu yang tak mampu dibendung. Tangannya meraba pipi. Basah, entah peluh atau airmata yang terus menitis tanpa izin.

Di luar jendela biliknya, malam terbentang hitam legam, hanya bulan yang malu-malu menampakkan wajah di balik mega suram, seolah turut berkabung bersama resahnya.

Sesekali, angin malam menyapu lembut wajah Izza yang masih dipagut sisa ketakutan. Dia bangkit perlahan, langkahnya longlai menuju bilik air.

Air wuduk yang menyentuh kulit bagai embun jernih meredakan bara, menyejukkan liang hati yang masih hangus oleh mimpi ngeri yang baru saja melepaskannya. Jemarinya mengusap lembut wajah, seakan mahu menghalau pergi bayang kelam yang tertinggal.

Kembali ke sejadah, Izza duduk lama di situ. Dahinya terhantar pada lipatan kain telekung. Air mata menitis perlahan, meresap ke serat kain putih itu.

'Allahu… ampuni ana, tenangkanlah hati ini…' lirih suaranya pecah di antara sedu. Doanya kecil, seakan takut malam pun mendengar segala gundahnya.

Hatinya mula berbisik, menyiat-nyiat luka yang masih berdarah.

‘Kenapa waktu itu ana terlalu lemah, terlalu mudah diperdaya? Ya Allah, hinanya diri ini… kotor dengan dosa yang tak mampu ana bersihkan meski air mata ini menitik saban malam.’

Dia mengangkat wajah, menatap kosong pada siling bilik yang kelam. Jemarinya memintal tasbih, butirnya berlari satu persatu menjadi peneman sunyi yang setia.

‘Kalau dapat ana undurkan waktu, ana akan lari jauh, Allah...’

“Kalau ini jalan yang Engkau aturkan, maka kuatkanlah ana menanggungnya dengan sabar. Dan kalau ini hanya helah syaitan untuk meruntuhkan dinding hati, maka peliharalah ana…” bisiknya, tenggelam timbul di celah esak yang menahan dada terasa sempit.

Akhirnya Izza tunduk lagi. Bahunya bergetar kecil. Bibirnya masih basah dengan zikir, memujuk diri agar tidak terus hanyut dalam takut yang menggigit.

Dalam lelah yang menjemput, dia terlena di atas sejadah membiarkan tubuhnya dililit dingin malam, sementara hatinya berharap mimpi kelam itu tidak kembali menjemput dalam lena yang seterusnya.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience