Medina Atalia bangun perlahan-lahan dari pembaringan. Suasana rumah yang sudah sunyi membuatkan hatinya berbelah bahagi.
Langkahnya berjengket-jengket menuju ke ruang tamu semula, tempat telefon rumah diletakkan.
Tangan kanan digenggam erat di sisi, sedang fikiran pula berputar ligat mengingati satu persatu digit nombor telefon milik Mikael Lutfi.
Degup jantungnya makin laju, hampir menyamai detik-detik jarum jam yang berlari di dinding.
‘Aduh... nombor dia... sembilan, satu… dua… lepas tu berapa ya…? Ya Allah, aku harap ni betul… aku tak sanggup kalau kena marah atau... kena pecat!’
Medina Atalia menarik nafas dalam-dalam, tangan menggigil saat menggenggam ganggang telefon rumah.
Jari-jemarinya menekan butang satu demi satu dengan lafaz basmalah.
Tut...
Tut...
Tut...
Tak lama kemudian, terdengar suara garau dari seberang.
“Hello? Siapa ni?” Suara itu kedengaran tidak mesra.
Nada lelaki itu jelas menahan marah atau mungkin terganggu.
Medina Atalia tersentak, namun dia tetap cuba bertenang. Dia mengangguk perlahan seperti yakin, walau tiada siapa yang melihat.
“Alhamdulillah... memang Tuan Mikael…” bisiknya sendiri, lalu cuba menjawab dengan lebih yakin.
“Hello? Siapa ni?” suara itu kedengaran lagi, lebih keras dari tadi.
Jelas tidak sabar.
“Hello... Tuan Mikael ke ni?” suara Medina perlahan tapi cukup jelas untuk didengari.
Senyap.
Ada detik-detik yang sunyi di antara mereka, seolah-olah si lelaki di sana cuba memproses suara itu.
Kemudian suara itu kembali, kali ini lebih tegas dan mendesak.
“Ya saya. Dari tadi saya tanya ini siapa? Kenapa tak jawab!”
Medina Atalia menggigit bibir, menahan gugup.
“Erm… Tuan, saya ni Medina.”
“Apa?! Kau Medina?” Mikael Lutfi benar-benar terkejut.
Suara itu dia kenal sangat.
Tapi dia tak sangka gadis itu akan telefon malam-malam begini.
“Ya tuan… Saya minta maaf sangat. Saya… saya ada di rumah seorang doktor. Dia rawat kaki saya yang melecet sebab kejar Tuan siang tadi.” Nada Medina jujur, tapi dia tetap memilih untuk menutup cerita sebenar.
Dia tak sanggup memberitahu bahawa dia kini sedang berada di rumahnya sendiri rumah yang pernah dia tinggalkan dulu dengan air mata dan luka yang dalam.
Di hujung talian, Mikael Lutfi terdiam.
Ada suara tarikan nafas yang jelas, sebelum dia menyambung.
“Kaki awak melecet? Sebab kejar saya?” Suaranya perlahan, seakan-akan ada sedikit nada bersalah yang terselit.
“Saya minta maaf, Tuan. Saya tak sempat maklumkan lebih awal. Telefon saya tertinggal dan… saya tak ingat nombor Tuan. Saya baru teringat sebahagian saja tadi, jadi saya cuba nasib.”
“Dan berjaya.” balas Mikael ringkas.
Tapi tiada nada marah, tiada herdikan. Hanya suara yang berat dan sukar dibaca nadanya.
“Tuan... saya akan pulang awal pagi esok. Harap Tuan tak marah…”
“Awak okay sekarang?” soal Mikael tiba-tiba, memotong ketakutan Medina.
“Saya okay... Cuma sakit sikit waktu berjalan.”
“Baik. Jangan paksa diri. Esok pagi saya datang ambil awak.”
Medina Atalia terkedu.
“T-tuan nak datang ambil saya?”
“Ya. Awak tak sihat. Lagipun, saya yang salah juga. Saya buat awak kejar saya macam orang gila tadi. Saya tak tahu pula sampai cedera.”
Air mata Medina Atalia bergenang.
Ada sesuatu dalam nada Mikael yang buat hatinya terasa... dilindungi.
“Terima kasih, Tuan.”
“Rehat dulu. Esok kita bincang.”
Klik.
Talian terputus.
Medina Atalia mendakap ganggang telefon ke dadanya. Dada yang sebentar tadi bergelora kini perlahan-lahan reda.
Senyum kecil terukir di bibir, walau hatinya masih gusar tentang siapa dirinya yang sebenar, tentang rahsia yang masih terpendam.
Dan tentang kemungkinan, kalau Mikael tahu siapa dia… adakah lelaki itu akan tetap peduli seperti malam ini?
Share this novel