SETELAH semalaman melakukan siasatan dan meneliti segala dokumen mengenai masalah yang dihadapi oleh Amira, Rizal akhirnya menemui beberapa celah yang mengandungi keraguan. Beberapa dokumen yang sepatutnya ada, namun tidak wujud dalam lampiran yang diberikan kepada Amira. Keesokan harinya, Rizal memutuskan untuk menemui beberapa orang yang terlibat dalam projek tersebut bagi mencari bukti dan mendapatkan semula dokumen yang sepatutnya.
Lelaki itu bersungguh-sungguh berkejaran ke sana sini dengan motosikalnya. Setelah menemui pengurus dan penyelia projek, Rizal turut mencari pembekal bahan binaan kepada projek tersebut. Setelah berhempas pulas, akhirnya segala masalah mula terlerai.
Sambil memegang beberapa helaian kertas di tangannya, Rizal dengan tersenyum berjalan menghampiri Amira.
"Nah, dokumen yang awak perlukan.. saya dah dapatkan semula salinan.. Projek tu takde masalah.. cuma dokumen ni je yang hilang." Rizal menyerahkan helaian kertas ditangannya kepada Amira.
"Wah, tak sangka awak boleh dapatkan semula dokumen ni.. terima kasih Rizal." Amira teruja setelah menerima dokumen yang dihulurkan. Matanya meneliti satu persatu dokumen yang diterimanya itu.
"Dah, betulkan semula laporan kewangan yang awak buat tu.. rasanya dah takde masalah.." Rizal memberi dorongan. Dia gembira apabila dapat membantu Amira menyelesaikan masalah.
Pada masa yang sama, Ikmal yang berada tidak jauh dari situ melihat keberadaan Rizal. Lelaki itu lantas menyepak tong sampah berhampirannya. Dia sengaja menjatuhkan tong sampah itu dan membiarkan sampah sarap bertaburan di lantai.
"Woi cleaner! Kau buat apa kat sini? Ni, sampah atas lantai kenapa kau tak bersihkan? Buta ke?" Ikmal melaungkan suaranya kepada Rizal.
Mendengarkan suara Ikmal itu, Rizal dan semua orang yang berada di dalam ruangan pejabat tersebut memandang ke arah pemilik suara berkenaan. Rizal menyorot tajam matanya ke arah Ikmal. Dia tahu lelaki itu sengaja ingin mempermainkannya. Tong sampah yang tergolek di lantai itu jelas sengaja di jatuhkan, malah sampah sarap yang bertaburan juga sengaja di kais-kais dengan kaki oleh Ikmal bagi membuatkan sampah itu berselerakan.
Rizal yang menahan amarahnya tidak ingin membuat masalah. Dia segera berjalan untuk mendapatkan penyapu.
"Kau nak pergi mana pulak tu? Kan aku suruh kau bersihkan sampah ni!" Ikmal bersuara.
"Ambil penyapu." Rizal menjawab ringkas lantas meneruskan langkah kakinya.
"Buat apa pakai penyapu.. pakai tangan dan mulut kau je.. kau kan suka makan sampah.. kau telan je semua sampah ni.. lepas tu lantai ni kau jilat sampai bersih." Ikmal tertawa sinis.
Rizal tahu lelaki itu sengaja memprovokasi dirinya. Dia terpaksa memekakkan telinganya dan meneruskan langkahnya untuk mendapatkan penyapu. Pekerja lain hanya diam tidak berkutik. Tidak berani membantah perbuatan Ikmal walaupun mereka sedar, pengurus mereka itu sengaja ingin menganiaya Rizal. Amira turut mendiamkan diri dan memerhatikan Rizal dari arah belakang. Rasa simpatinya terhadap Rizal mengetuk-ngetuk pintu hatinya. Namun gadis itu juga tidak mampu untuk berbuat apa-apa. Dia sedar diri mereka hanyalah pekerja bawahan. Tersilap kata, mereka bakal kehilangan kerja.
Seketika kemudian, Rizal kembali bersama penyapu dan segera membersihkan sampah sarap yang berselerakan di lantai. Amira juga tekun menyiapkan semula laporan kewangan yang harus dia betulkan. Selesai membersihkan sampah yang bertaburan itu, Rizal langsung ingin meninggalkan ruangan tersebut. Namun ketika melintas di hadapan Amira, gadis itu kembali menyapa.
"Rizal.. nanti kita makan sama-sama.. saya belanja awak."
"Eh, kenapa nak belanja saya?" Rizal sedikit terkejut.
"Laa.. awak dah banyak tolong saya.. bersusah payah awak dapatkan semula dokumen untuk selesaikan kerja saya ni.. saya kena belanja awak sebagai tanda terima kasih saya." Amira tersenyum manis.
"Ish, saya ikhlas nak tolong awak.. tapi kalau awak nak belanja, saya takkan tolak." Rizal sempat bergurau sambil tersengih, menampakkan giginya. Lelaki itu kembali meneruskan langkah kakinya dan meninggalkan ruangan pejabat tadbiran. Amira pula tersenyum kecil seraya menggelengkan kepala. Gadis itu kemudian menyambung kembali kerjanya. Dia harus menyiapkan tugasannya itu secepat mungkin.
BEBERAPA jam kemudian, Amira menyandarkan badannya ke kerusi sambil kepalanya mendongak ke atas. Satu hembusan kasar diluahkan pada mulutnya. Sedetik kemudian, satu senyuman terukir pada bibirnya. gadis itu kembali menatap hasil kerja yang berjaya disiapkan olehnya. Tanpa membuang masa, Amira segera menyusun kembali segala dokumen yang berselerakan di atas mejanya. Matanya melihat ke arah jam yang tergantung pada dinding pejabat. Masih tersisa satu jam sebelum waktu bekerja tamat. Dia masih sempat untuk menghantar laporan kewangan yang dibuatnya pada hari tersebut.
Baru sahaja ingin bangkit dari kerusi, Amira melihat Ridwan berjalan dengan tergesa-gesa.
"Encik Ridwan! saya nak serahkan laporan kewangan yang dah saya perbaiki.." Amira dengan pantas memanggil Ridwan dan menyatakan hasratnya.
"Saya busy ni.. kena keluar dulu.. awak serahkan terus je laporan awak tu kat Encik Ikmal.." Ridwan menjawab dan segera pergi dengan tergopoh-gapah.
Tanpa membuang masa, Amira menurutkan arahan yang diterimanya itu. Gadis itu lantas membawa hasil kerjanya berserta segala dokumen yang berkaitan dan menuju ke bilik Ikmal. Tiba di hadapan muka pintu bilik, Amira segera mengetuk pintu dan mula masuk ke dalam bilik.
Encik Ikmal.. ini laporan kewangan pasal projek Taman Rinda yang saya dah perbaiki.. sebelum ini memang ada dokumen yang hilang, tapi saya dah berjaya dapatkan semula." Amira memberi penjelasan sambil menyerahkan hasil kerjanya kepada Ikmal yang duduk di meja kerjanya.
Ikmal menyambut pemberian Amira dan segera meneliti hasil kerja gadis tersebut. Helaian demi helaian dibelek dan diperiksa. Ikmal dengan wajah serius terangguk kecil.
"Not bad.. ini baru betul." Ikmal mula bersuara. Amira tersenyum gembira apabila hasil kerjanya diterima dan mendapat pujian dari pegawai atasan tersebut.
Ikmal kemudian berdiri dari kerusi dan mula berjalan menghampiri Amira. Amira yang melihat Ikmal berjalan ke arah belakangnya lantas berpaling tubuh. Ikmal pula terus merapatkan kedudukannya dengan Amira menyebabkan Amira mula berundur beberapa tapak ke belakang. Gadis itu kemudian tersudut ke arah meja, manakala Ikmal pula dengan pantas meluruskan kedua belah tangannya ke arah meja dan menyekat pergerakan Amira. Amira yang terbelenggu mulai cemas.
"En..Encik Ikmal.. tolong.. jangan.." Amira semakin tidak selesa dan mula ketakutan.
"Dah lama aku duk perhati.. rapat betul kau dengan budak cleaner tu.. korang ada apa-apa ke? Apa yang dia dah bagi kat kau?" Ikmal bersuara perlahan. Amira tersentak. Dia tidak menyangka hubungan baiknya dengan Rizal selama ini dperhatikan.
"Ka..kami.. kami takde ada-ada.. kami cuma kawan je." Amira memberi penjelasan. Dia mula merasa aneh. Padahal dia tidak perlu menjelaskan kepada sesiapa pun mengenai segala perhubungannya dengan siapa sekalipun. Bahkan Ikmal selaku pegawai atasan pun tiada hak untuk masuk campur di dalam urusan peribadinya.
"Dia tu cuma cleaner.. apa je yang dia boleh bagi kat kau? baik kau bersama aku.. aku janji, semua kemahuan kau, aku akan penuhi." Rizal mula menyampaikan tujuan. Dia sebenarnya sudah tertarik kepada Amira. Namun melihatkan gadis itu berhubungan baik dengan Rizal yang dibencinya, Ikmal semakin tidak dapat mengawal perasaannya.
"Maaf, saya tak nak ada apa-apa hubungan.. saya dengan Rizal pun cuma kawan.. Encik Ikmal jangan salah anggap hubungan kami." Amira semakin ketakutan. Tubuhnya mula menggelentar apabila tubuh Ikmal semakin merapat ke arahnya.
"Tak rugi kau jadi kekasih aku.. aku akan berikan kau segala kemewahan.. apa saja yang kau nak, aku akan berikan.." Ikmal semakin dirasuk oleh nafsu. Lelaki itu dengan pantas menggenggam kedua belah tangan Amira.
"Tolong! Lepaskan saya.. jangan apa-apa kan saya.." Amira yang sangat ketakutan mula menjerit dan menangis.
"Diam! Jangan menjerit.. kalau kau bising lagi, aku akan pastikan kau tak bekerja kat sini lagi!" Ikmal memberi ugutan.
"Tolong! Jangan apa-apakan saya! Tolong!" Amira terus menjerit. Dia tidak menghiraukan ancaman daripada Ikmal. Kini yang penting, dirinya terselamat daripada menajdi mangsa kerakusan nasfu pegawai tersebut.
Ikmal yang geram dengan tindakan Amira itu segera menekup mulut gadis tersebut. Lelaki yang sudah hilang kewarasakan akalnya itu merapatkan wajahnya ke leher Idayu yang tertutup dengan tudung.
Pada masa yang sama, Rizal yang sedang berjalan di luar bilik Ikmal terkejut dengan suara teriakan Amira. Tanpa berlengah, dia segera masuk ke dalam bilik tersebut. Rizal terkejut apabila melihat Ikmal yang sedang mencabul kehormatan Amira. Lelaki itu segera berlari menerpa untuk menyelamatkan gadis tersebut.
"Bangsat! Mampus kau hari ni!" Rizal langsung menarik Ikmal dan melepaskan satu tumbukan ke arah wajah lelaki tersebut. Menerima pukulan daripada Rizal, Ikmal langsung rebah ke lantai. Tanpa menunggu, Rizal melepaskan lagi serangan berupa tendangan ke arah lawannya. Tujahan kaki Rizal tepat mengenai muka Ikmal. Lelaki itu teruskan serangannya dengan memijak Ikmal beberapa kali. Tidak cukup dengan itu, Rizal melepaskan lagi beberapa tumbukan ke arah muka pengurus tersebut.
Kini, beberapa orang pekerja lain turut muncul di muka pintu bilik setelah mendengar keriuhan yang berlaku. Mereka mula berkerumun untuk menyaksikan kejadian Ikmal dipukul teruk oleh Rizal.
"Kau memang binatang! Kau sanggup mencemarkan kesucian gadis sebaik Amira ni! Kau tak layak jadi manusia!" Rizal melepaskan satu lagi tendangan penghabisan ke arah tubuh Ikmal.
"Kau! Kau tak guna! Hari ni kau dipecat dari syarikat ni.. budak sampah tak guna.. berani kau pukul aku." Ikmal masih ingin mengancam walaupun telah dipukul dan jelas terbukti bahawa dia yang bersalah.
"Kau tak perlu nak pecat aku! Hari ni, aku sendiri yang akan berhenti! Aku taknak tengok lagi muka bangsat macam kau!" Rizal mencapai tong sampah di dalam bilik itu dan lantas mencurahkan sampah di dalam tong tersebut ke arah Ikmal. Kemudian tong sampah yang tidak berisi itu dilempar kuat ke arah Ikmal.
Rizal segera mendekati Amira yang masih menangis kencang. Dia benar-benar kasihan melihat keadaan gadis tersebut. Rizal benar-benar tidak dapat mengawal amarahnya apabila melihat Ikmal cuba menodai gadis sebaik Amira. Kini hatinya puas apabila telah memberi pengajaran kepada syaitan bertopengkan manusia itu. Namun Rizal sedikit bingung. Dia tidak tahu bagaimana untuk menenangkan Amira yang sedang ketakutan itu. Rizal hanya mendekati gadis tersebut dengan pandangan penuh simpati.
"Awak tak apa-apa?" Rizal bertanya. Namun lelaki itu kemudian terkejut apabila Amira yang sedang menangis itu membenamkan wajahnya ke dada Rizal. Amira menangis teresak-esak di pangkuan Rizal.
"Dah.. jangan menangis lagi.. awak jangan takut.. saya ada kat sini." Rizal cuba memujuk. Lelaki itu kemudian menolak kedua bahu Amira dengan lembut. Gadis itu pula tertunduk sambil menahan tangis. Rizal yang tidak dapat mengawal dirinya segera menyeka air mata yang sedang mengalir di pipi Amira.
Amira hanya mengangguk perlahan. Dia turut mengesat air matanya yang tersisa. Gadis itu kemudian menatap Rizal dan mereka mula bertentangan mata. Di dalam hatinya, Amira bersyukur dengan kehadiran Rizal di sana. Lelaki itu telah menjadi penyelamat dan menjaga kesucian dirinya. Namun Amira sedikit bingung. Dia sangat selesa apabila berada di samping Rizal. Malah tanpa segan silu, sebentar tadi dia melepasi batasan dengan merapatkan wajahnya ke dada lelaki tersebut. Kini Amira mula malu kepada dirinya sendiri.
"Dah, jom pergi dari sini.. saya nak pergi kat pejabat HR untuk undur diri dari syarikat. Saya taknak dah bekerja kat sini, nak kena tengok muka bangsat tu lagi." Rizal mula menyuarakan hasratnya.
"Emm.. saya pun nak berhenti.. saya pun dah tak selamat duduk kat sini." Amira turut mempunyai pendapat yang sama. Dia tekad untuk berhenti kerja. Kali ini maruahnya hampir tergadai, namun berjaya diselamatkan oleh Rizal. Tetapi dia tidak tahu, suatu hari nanti, kejadian yang sama akan berulang malah akan menjadi lebih teruk. Malah Rizal sendiri sudah tidak ingin bekerja di sana. Amira juga sudah tiada pelindung jika terus bekerja di sana.
Tindakan untuk berhenti kerja juga dirasakan tepat oleh Amira memandangkan dirinya masih lagi seorang pekerja yang berada di fasa penilaian dan belum menjadi seorang pekerja tetap. Jika dia sudah menandatangani kontrak untuk menjadi pekerja tetap, dia pasti akan dikenakan kompensasi jika berhenti dalam tempoh kontrak suatu masa nanti. Jadi, berhenti kerja pada masa sekarang adalah langkah terbaik yang harus dia lakukan.
Gadis itu percaya, rezeki itu ada di mana-mana. Rizal kehilangan kerjanya hari ini kerana dirinya. Amira juga ingin turut bertanggung jawab. Mungkin suatu hari nanti, dia akan dapat bekerja semula bersama Rizal di syarikat lain.
Share this novel
kesian amira nasib la ada Rizal