Bab 1

Romance Series 12632

BUNYI penggera dari telefon pintar di atas meja yang memecah kesunyian di bilik berkeluasan sederhana itu membuatkan Damia terjaga daripada mimpi dengan perasaan yang sukar dijelaskan.

Mimpi sama yang sering mengganggu tidurnya hampir setiap malam kembali menghantui fikirannya. Bayangan kabur seorang lelaki yang wajahnya tidak dapat dilihat dengan jelas dalam mimpinya itu membuatkan dia kembali tertanya-tanya buat ke sekian kalinya.

Dalam kemalapan cahaya lampu tidur, pandangannya terhala pada bingkai gambar di atas meja kecil bersebelahan dengan katil yang memaparkan dia dan seorang wanita, yakni ibunya. Dia tidak tahu langsung tentang siapa ayahnya atau keluarganya yang lain. Pada hakikatnya, bukanlah dia tidak tahu, tetapi dia tidak ingat. Dalam hidupnya sekarang, yang dia tahu dia hanya ada ibunya sahaja.

"Kenapa aku selalu dapat mimpi yang sama? Ada maksud ke mimpi tu? Ke mimpi tu sebenarmya petunjuk? Lelaki samar-samar dalam mimpi tu ayah aku ke?" Damia bergumam sendirian. "Hish, malaslah fikir, bukannya dapat jawapan pun!" Nafas panjang dihela, lalu dia segera menuju ke bilik air untuk membersihkan diri.

- - - -

SELESAI bersiap, Damia terus menuju ke dapur untuk menyediakan sarapan ringkas, tetapi nampaknya pagi ini Puan Kyra sudah berada di dapur lebih awal daripadanya.

Seperti biasa, riak wajah wanita kacukan Melayu-Spanish yang sedang meletakkan nasi goreng dan teh dalam jag yang telah siap ke atas meja makan kecil itu kelihatan tenang, tetapi raut wajahnya jelas terlihat seperti sedang memendam seribu satu rahsia.

"Mommy."

Wanita berusia penghujung lima puluhan tahun itu memandang Damia sekilas pandang sambil menarik kerusi dan terus duduk. "Hmm?" sahutnya sambil mencedok nasi goreng.

"Kenapa mommy berahsia sangat pasal siapa daddy Mia, pasal ahli keluarga yang lain dan pasal kehidupan kita sebelum ni? Pasal kemalangan Mia pula, macam mana Mia kemalangan dulu?"

Sekali lagi Puan Kyra hanya memandang anaknya sekilas, lalu dia terus menyuapkan makanan ke dalam mulutnya dengan lagak tenang seolah-olah tidak mendengar pertanyaan tadi. Ya, seperti biasa, itulah reaksi yang ditunjukkan oleh wanita itu setiap kali Damia membuka topik yang sama.

Damia melepaskan keluhan kecil dengan riak muka tidak puas hati. "Mommy, please... at least bagitahulah serba sedikit pasal daddy Mia. Is he alive? Kalau masih hidup, dia ada di mana?"

"Cepat makan or you'll be late for work. Hari ni last day Mia kerja kat kedai bunga Kak Leha, kan?" balas Puan Kyra dengan riak wajah yang tidak berubah. Tenang, tetapi aura ketegasannya jelas terpancar pada seraut wajah yang masih kelihatan muda dan cantik tanpa segaris pun kedutan itu.

Damia langsung menyandarkan belakangnya sambil berpeluk tubuh, masih dengan riak tidak puas hatinya. Selama beberapa tahun ini, dia gagal mendapatkan jawapan bagi setiap persoalan yang bermain di kepalanya daripada wanita yang dia anggap telah menempatkan dirinya dalam dunia yang penuh dengan misteri dan teka-teki itu. Namun, kali ini dia nekad mahukan jawapan.

"Mommy..." Nada suara Damia kedengaran seperti hendak menangis. Geram melihat lagak tenang dan bersahaja ibunya setiap kali dia membangkitkan topik yang sama. "Takkanlah dalam dunia ni kita berdua je? Macam mana Mia boleh wujud kalau takda ayah? Macam mana Mia..."

Belum sempat Damia menghabiskan percakapannya, Puan Kyra bingkas berdiri seraya membawa pinggannya yang sudah kosong ke singki. "Kalau Mia dah siap makan, tutup makanan tu dengan tudung saji. Mommy nak rehat kat bilik."

Damia terus menekup wajahnya buat beberapa saat sebelum dia mendengus. Entah seteruk apa kehidupan mereka sebelum ini sehinggakan ibunya mengunci mulut tentang masa lalunya sedemikian rupa.

Kalau bukan kerana memikirkan pengorbanan duit simpanan ibunya yang habis untuk rawatannya dulu, mungkin sudah lama dia memberontak dan keluar mencari tahu siapa ayah dan keluarganya di luar pengetahuan wanita itu.

- - - -

SUASANA di kedai bunga tempat Damia mengabdikan diri mencari sumber mata pencarian selama dua tahun itu terasa agak suram berbanding hari-hari sebelum ini. Pada ketika ini, Damia sedang sibuk mengemas dengan memasukkan bunga-bunga segar ke dalam kotak sambil mengenang momen-momen selama dia bekerja di situ.

Sedang asyik mengemas sambil mengelamun, suara memanggil namanya dari arah tepi menyentaknya daripada lamunan.

"Eh, Kak Leha." Damia spontan mengukir senyuman buat wanita yang telah dianggap seperti keluarganya sendiri itu. "Mia tak perasan pula akak datang. Ingatkan akak datang tengah hari nanti."

"Akak sengaja datang awal sebab pukul 10.00 pagi nanti akak ada urusan kat Pejabat Imigresen, nak urus visa akak tu." Wanita anggun berusia pertengahan empat puluhan tahun itu lantas mengambil tempat duduk di sebelah Damia. "Akak minta maaf tau, Mia. Akak terpaksa tutup kedai ni sebab akak kena ikut suami akak pindah ke luar negara. Tak sangka pula suami akak terima tawaran kerja tu," ujarnya dengan muka serba salah.

Laju Damia memegang bahu Puan Leha sambil tersenyum. "Takpa, kak... Mia faham. Lagipun, Mia dah dapat panggilan dah kemarin untuk lapor diri kat tempat kerja baru yang akak rekomenkan tempoh hari tu."

"Hah! Betul ke? Alhamdulillah... Sekurang-kurangnya tak juga akak rasa serba salah. Yalah, Mia kan kena tanggung belanja rumah. Mana nak kena tanggung rawatan jantung mommy Mia tu lagi."

"Tak perlu rasa serba salah, kak. Thanks kat akak, sebab bantuan akak, Mia dapat kerja kat situ."

"Kenapa nak berterima kasih kat akak pula? Akak cuma rekomenkan aje. Walaupun HR syarikat tu kawan lama akak, akak yakin bukan sebab tu Mia dapat kerja kat situ, tapi sebab kriteria jawatan tu memang layak untuk Mia.

"Mia nak cakap terima kasih juga!" tegas Mia, tetapi dengan senyuman.

"Ha, yalah, yalah... kasih diterima," balas Puan Leha yang turut tersenyum.

- - - -

HARI ini, sudah genap sebulan Damia bekerja di hotel mewah yang terletak tengah bandar raya itu sebagai penyambut tetamu. Kehidupannya berlangsung seperti biasa, cuma dia masih perlu membiasakan diri dengan penyelia mereka yang agak cerewet dan suka menyusahkannya.

Damia sedang sibuk menyusun kad kunci ketika Alin tiba-tiba datang dan mencuit pinggangnya. Laju Damia menoleh memandang rakan sejawatnya itu.

"Eh, Mia! Kau ada dengar tak desas-desus pasal isu hotel ni?" soal Alin dengan nada dan riak muka teruja, sedia membuka gosip.

"Isu? Isu apa?"

"Pasal syarikat ni dah kena beli. Bos besar kalah besar main judi, sebab tu dia jual hotel ni. Lepas tu kan... dengar cerita, CEO baru tu sebelum ni menetap kat Hungary, tapi balik stay kat sini. Aku dengar lagi, CEO baru kita tu nak buat rombakan dan perubahan besar-besaran. Entah-entah, kita ni kena buang kerja kut."

Damia hanya tersenyum nipis mendengar gosip daripada wanita satu-satunya rakan sekerja yang banyak bercerita dengannya itu. Malas hendak mengambil tahu tentang hal-hal seperti itu sebenarnya. Cukup asalkan dia masih terus bekerja di situ sahaja.

"Eh, Mia! Kau dengar ke tak ni?"

"Ya, aku dengar," jawab Damia, lalu dia meneruskan semula kerjanya yang terhenti tadi. "Just wait and see ajelah. Yakin dengan rezeki masing-masing. Kalau dah memang rezeki kita kat sini, syukurlah. Kalau tak, banyak lagi tempat lain kita boleh pergi."

Sedang asyik mereka bersembang, Encik Azhan iaitu pengurus besar hotel itu datang menghampiri mereka.

"Alin, Damia..."

Serentak dua wanita itu menegakkan tubuh dan memandang lelaki kacak berusia pertengahan tiga puluhan tahun itu, lalu serentak juga mereka menyahut.

"Hari ni ada seorang pekerja baru masuk. Dia kerja di bahagian stor. Nanti salah seorang daripada kamu bawa dia pergi ke bahagian stor ya? Ingatkan nak minta Melina yang bawa dia pergi round, tapi saya call Melina tadi, dia cakap dia kat luar sekarang."

"Jangan risau, Encik Azhan, nanti saya dan Mia yang settle pekerja baru tu, ya? Err, bila pekerja baru tu nak datang?" soal Alin.

"Sekejap lagi," jawab Encik Azhan sambil memandang ke arah pintu utama. "Eh! Ha, tu dia dah datang," ujarnya ketika dia terpandang orang yang dimaksudkan itu sedang menolak pintu kaca hotel.

Ketika lelaki yang baru tiba itu berdiri di depan kaunter, dia langsung tergamam melihat seraut wajah wanita bermata hazel coklat yang beriak tenang itu seperti sedang melihat hantu. Jantungnya berdegup kencang dan berlapis-lapis kerutan di dahinya, lebih kepada riak terkejut sebenarnya. Pelanduk dua serupa ke? getus hatinya. Namun, dia berusaha untuk tidak terlalu menunjukkan reaksinya.

"Hai, pekerja baru. Siapa nama awak? Nama saya Alin."

Spontan mata lelaki itu beralih kepada wanita berkulit kuning langsat bersanggul kemas yang sedang tersenyum manis itu, lantas dia berdeham kecil. "Nama saya Nazril," jawabnya sambil menunjukkan tag nama yang bersangkut di lehernya, lalu pandangannya kembali semula kepada wanita yang sedang memandangnya dengan pandangan kosong itu.

Apasal dia tengok aku macam tu? Macam nak telan orang je!" getus hati Damia dengan riak wajahnya yang sentiasa terlihat tenang seperti orang yang tidak berperasaan.

"Tuan, err... silap! Nazril, jom kita pergi ke pejabat saya sekejap. Lepas ni, dia orang akan tunjuk awak kat mana bilik stor ya?" kata Encik Azhan dengan senyuman.

Lelaki itu hanya mengangguk tanpa secalit pun senyuman dengan mata yang masih terhala kepada Damia buat beberapa saat sebelum dia jalan beriringan dengan Tuan Azhan sambil memasukkan kedua-dua tangan di dalam poket seluarnya.

"Erm, ada apa-apa masalah dengan Damia ke?" soal Encik Azhan sebaik sahaja pintu lif tertutup. Bukannya dia tidak perasan cara lelaki itu memandang Damia tadi.

"Damia?"

Encik Azhan tersenyum. "Ya, perempuan yang berdiri di sebelah Alin tadi tu, nama dia Damia. Damia Shezi. Dia baru lagi kerja sebagai penyambut tetamu kat sini. Dah masuk sebulan kalau saya tak silap."

So, it's really her, getus Nazril dalam hati.

"Cantik, kan? Dia masih single lagi tu."

Serta-merta riak wajah Nazril berubah tegang dan serius memandang Encik Azhan yang sedang tersengih di sebelahnya membuatkan lelaki itu langsung menunduk.

Dia meja penyambut tetamu, Alin dan Damia kembali melakukan tugas masing-masing sambil bersembang.

"Hensem kan pekerja baru tadi tu?" soal Alin sambil menyenggol lengan Damia yang sedang tekun melakukan kerjanya. "Tapikan... macam tak padan pula dia kerja sebagai pekerja stor. Yalah, aku tengok muka dia, penampilan dia dan gerak tubuh dia nampak macam dia ni orang yang educated walaupun dia pakai uniform macam kita. Hmm... tapi hensem kan dia, Mia?"

Damia sempat mencebik kecil sebelum dia memandang Alin sekilas pandang. "Hensemlah kut."

"Jawapan dia tu kan macam terpaksa je," balas Alin disusuli dengan tawa kecil. "Tapi, tulah. Hensem tapi muka ketat. Aku nak try lah juga, tapi takut nanti kan setiap kali dating, aku kena hadap pula muka ketat dia tu sepanjang masa. Hmm, takpa... mungkin cinta mampu membentuk personaliti abang hensem muka ketat aku tu. Kejap lagi, biar aku yang bawa dia pergi ke stor, okey?"

Damia hanya mengangguk dan tersenyum nipis mendengarkan kata-kata Alin, tidak berminat langsung tentang pekerja baru itu sebenarnya. Namun, dia tidak tahu bahawa pertemuannya dengan lelaki itu bakal mengubah hidupnya selepas ini.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience