BAB 1 - SIASAT

Romance Series 243117

IQBAL menghampiri tunangnya Rania yang sedang sibuk menulis sesuatu di dalam buku repotnya. “Macam mana? Jadi tak, kita nak ke kelab malam nanti?”

Rania mengangkat wajahnya sedikit, lalu menundukkan semula wajahnya ke arah buku repotnya. “Kita pergi berdua aje ke?” soal Rania pula. Suaranya sedikit berat.

“Yalah. Kita berdua aje. Kalau kita pergi dengan team, kantoi kita nanti.”

“Tapi… saya rasa macam tak sedap hatilah.” Rania berhenti menulis. Entah kenapa, dia merasakan ada perkara buruk yang bakal terjadi nanti. Tidak pernah-pernah pula dia berasa seperti ini. Dan ini bukanlah pertama kali mereka berdua melakukan siasatan. 

“Tak ada apalah Nia. Kita cuma nak menyiasat aje. Bukan buat apa pun. Kalau awak tak nak pergi tak apalah. Saya boleh pergi seorang aje. Lagipun informer saya dah suruh saya ke sana,” ujar Iqbal.

“Hmm… yalah. Saya tunggu awak dekat lobi nanti. Kalau tak ada apa-apa, saya nak keluar dulu. Ada kerja sikit.” Rania mula berlalu dari mejanya dan menuju ke pintu lif, tanpa menunggu Iqbal bersuara. 

“Nia,” panggil Iqbal.

Rania berhenti, sambil memusingkan badannya memandang Iqbal.

“Yes?”

“Jangan risau okey? Tak ada apa yang akan berlaku. Saya akan lindungi awak. Dan saya sentiasa akan bersama-sama dengan awak Nia,” ujar Iqbal sambil tersenyum tipis. 

Rania mengerutkan dahinya. Lindunginya? 

MUZIK di dalam kelab malam bergema dengan kuat. Para pengunjung mula menari dengan penuh lincah. Iqbal dan Rania mula mencari satu sudut yang tersorok, agar konco-konco King tidak akan perasankan kehadiran mereka berdua.

King merupakan ketua kongsi gelap yang terkenal di Johor Bahru. Dan sememangnya dia merupakan penjenayah yang dikehendaki pada ketika ini.

Seorang pemberi maklumat mula menghampiri Iqbal, lalu berbisik ke telinganya. “Tuan, King sebentar lagi akan ke kilang lama untuk berjumpa dengan rakan dia. Saya dapat tahu, ada sekumpulan wanita dari Philippines sudah sampai ke Malaysia semalam. Dan King dah beli semua wanita Philippines tu. Tuan boleh ke sana sebentar lagi untuk dapatkan lebih maklumat,” ujarnya.  

Iqbal mengangguk-angguk. “Baik. Aku akan ke sana.”

Pemberi maklumat tersebut terus sahaja berlalu pergi. 

“Kita ke sana kejap lagi.” Iqbal memandang Rania. 

“Awak betul ke nak ke sana? Kita langsung tak ada backup team ni.” Riak wajah Ranial mula berubah kerisauan.

“Don't worry. Tak ada apa yang akan berlaku. Bukannya kita nak tangkap dia orang pun. Just nak siasat aje.” Iqbal cuba menenangkan Rania.

“Tapi saya betul-betul tak sedap hati ni Iqbal.” Jantung Rania benar-benar sedang berdegup laju. 

“Saya dah cakap, kan? Memang takkan ada perkara buruk berlaku. Saya akan lindungi awak. Percayalah cakap saya ni.” 

“Apa-apa ajelah.” Rania tidak mahu berbahas lagi. Mungkin dia terlalu berfikir yang bukan-bukan. 

Seperti yang dikatakan pemberi maklumat tadi, mereka berdua terus menuju ke kilang lama tersebut. Tiba sahaja di sana, dengan pantas mereka berdua menyorok di sebalik tong-tong kosong. 

Tidak sampai 5 minit, King dan konco-konconya pula tiba di situ. 

Shuhh... Iqbal mengarahkan Rania untuk tidak bersuara. 

Rania hanya mengangguk sedikit. Nasib baiklah dia sempat menghubungi IPD tadi, dan meminta pasukannya datang ke sini, sebelum berlaku kejadian yang tidak diingini nanti. 

Dalam 10 minit memerhatikan King, tiba-tiba sahaja ada sesuatu yang keras sedang diacukan ke kepala Iqbal. Iqbal tersentak, begitu juga dengan Rania.

Wajah Rania terus sahaja berubah menjadi pucat, apabila melihat konco King sedang tersenyum sinis, sambil mengacukan pistol ke arah kepala tunangnya.

“Boss! Dia orang di sini!” jerit konco King.

King ketawa sekuat hatinya. “Bawa dia orang ke sini!” arah King.

Konco King terus sahaja merampas pistol daripada Rania dan juga Iqbal. Mereka berdua memang tidak sempat melakukan apa-apa. 

“Bangun! Jalan cepat!”

Rania dan Iqbal bangun dari tempat persembunyian, lalu mereka berdua berjalan perlahan ke arah King, sambil pergerakan mereka dikawal oleh konco King tadi. 

“Oh lu berdua sudah ada sini? Apa macam terkejut tak?” King ketawa.

Tidak lama itu, pemberi maklumat Iqbal pula muncul. Lelaki itu ketawa sambil memandang ke arah Iqbal dan Rania. Iqbal benar-benar terkejut. Rupa-rupanya ia adalah satu perangkap.

“Terkejut tengok informer you? I dah bayar dia ma...” King tersenyum. 

Iqbal benar-benar tidak sangka. Dia sudah ditipu. 

“You orang berdua sudah tahu aktiviti I semua. Dan you orang juga sudah mengganggu periuk nasi I. Patut ke I biarkan? Mestilah tak patut, kan?”

“King, you dah banyak buat masalah. Tak mungkin pihak polis nak berdiam?!” Iqbal bersuara. 

“Ini periuk nasi I. I cari duit dengan cara ini. And you orang tak perlu masuk campur! And, for your information, I tak takut dengan polis! Dan I tahu, apa yang patut I buat sekarang. You berdua patut mati!”  

King terus mengeluar sepucuk pistol dari kocek seluarnya, lalu dihalakan ke arah Iqbal. 

“King! You jangan melampau! Berani you nak tembak pihak polis?!” Iqbal menjerit kuat. 

Rania pula sudah tidak senang duduk ketika ini. Apa perlu dia lakukan? Pistol mereka berdua pula sudah dirampas oleh konco King tadi.

“Just shut up! You ingat I tak berani tembak?” King sudah tersenyum sinis. Perlahan-lahan pistolnya diacukan ke arah Rania. 

“Kalau I bunuh dia dulu, bagus juga, kan?” 

Iqbal tersentak. 

“I dapat tahu, dia tunang you. I'll kill her first.” Belum sempat King menarik picu pistol tersebut, Iqbal terlebih dahulu menyepak pistol dari tangan King, lalu pistol tersebut terpelanting ke tepi. 

“Nia run!” arah Iqbal. 

Rania dan Iqbal dengan pantas berlari ke arah belakang kilang.

“Oh you berdua mau lari ya. Keluar sekarang pengecut! Cepat! Cari mereka berdua! Jangan terlepas!” jerit King sambil mengarahkan konconya mencari mereka berdua.

Rania dan Iqbal cuba untuk melarikan diri dari tempat itu, tetapi bunyi tembakan rambang di dalam kilang tersebut, telah membuatkan mereka susah untuk melarikan diri.

“Nia, awak dengar sini. Saya nak awak lari dulu, dan saya akan cover awak,” arah Iqbal.

“Tak! Saya takkan tinggalkan awak!” Rania bersuara tinggi, dengan wajahnya yang merah, berserta peluh yang merenek di dahinya. 

“Kalau awak tak pergi. Kita dua-dua akan mati, awak faham tak! Pistol kita pun dah dirampas. Macam mana kita nak larikan diri?!” marah Iqbal.

Rania tidak mempedulikan Iqbal. Tidak. Dia tidak akan meninggalkan Iqbal walau apa pun yang terjadi.

“Boss ini mereka!” jerit konco King. Rania dan Iqbal terkejut. Mereka sudah ketahuan. 

Iqbal dengan pantas memberikan satu tendangan yang kuat ke arah konco King tersebut. Lelaki tersebut terus terjatuh ke belakang, akibat tendangan yang kuat itu. Setelah itu, Iqbal terus sahaja merampas pistol daripada tangan lelaki tersebut. 

“Cepat Nia. Kita lari!” Tangan Rania ditarik. 

King yang mendengar jeritan konconya tadi, dengan pantas berlari ke arah mereka berdua, sambil melepaskan tembakan. 

Bang! 

Bunyi tembakan telah mengejutkan Iqbal dan juga Rania. 

“Cepat Nia!” Iqbal cuba untuk melindungi tunangnya Rania. 

“Mana you mau lari!” jerit King. 

Bang! Bang! 

Dua das tembakan dilepaskan lagi. 

Tubuh Rania terus sahaja ditolak ke atas tanah, lalu dirinya jatuh tersembam. Manakala Iqbal pula berdiri tegak memandang Rania.

Tidak lama itu, tubuh Iqbal terus sahaja rebah mencium tanah. 

Rania tergamam melihat Iqbal yang jatuh tertiarap pada saat ini. 

“Iq… Iqbal? Iqbal?” Tergagap-gagap suara Rania saat ini, dengan kedua-dua matanya mula berkaca-kaca.

Rania terus sahaja bangun dari atas tanah, lalu meluru ke arah Iqbal. Dia sudah tidak peduli lagi dengan konco-konco King mahupun King. Jika nyawanya hanya setakat ini sahaja, dia redha. Ya, dia redha. 

“Iqbal?” Tubuh Iqbal terus sahaja dirangkul, lalu kepala tunangnya itu direbahkan di atas ribanya. Darah mula membasahi tanah. 

“Iqbal, jangan tinggalkan saya Iqbal… jangan tinggalkan saya…” Air matanya semakin mengalir laju. 

Iqbal menahan sakit saat ini, sambil matanya tidak lepas merenung Rania. “Apa awak buat lagi ni? Sepatunya awak lari…”

“Saya takkan tinggalkan awak.”

Rania menangis teresak-esak sambil mengusap rambut Iqbal.

“Saya minta maaf. Saya tak dapat nak lindungi awak Nia...” 

“Awak tak perlu minta maaf. Bukan salah awak... kalau saya akan mati malam ni, biarlah saya mati bersama-sama dengan awak.”

“Jangan jadi bodoh Nia… sekarang lari… “ Suara Iqbal semakin lemah.

“Bagus! Sebentar lagi tunang you akan mati. Sekarang ini, giliran you pula,” ucap King, yang tiba-tiba muncul di hadapan mereka berdua.

“Tak guna kau King!” jerit Rania.

King mula menghalakan pistol ke arah Rania, belum sempat dia mahu menarik picu pistol tersebut, tiba-tiba sahaja dadanya telah ditembak oleh salah seorang anggota polis yang sudah pun tiba di situ. 

Bang! 

King terus sahaja jatuh rebah di situ. 

“Jangan bergerak! Kamu semua sudah dikepong!”

Sepasukan polis, mula menangkap konco-konco King yang ada di dalam kilang tersebut.

Rania yang masih meriba Iqbal mula tidak tentu arah. Lebih-lebih lagi dada Iqbal kelihatan turun naik saat ini. 

“Tolong call ambulance sekarang!” arah Rania.

“Nia… no need…” tahan Iqbal, sambil tangannya perlahan-lahan menyentuh pipi Rania.

“Awak… please. Jangan tinggalkan saya.” Rania meraung.

“Jangan menangis Nia… dan saya nak minta maaf, jika saya… ada buat salah dengan awak.” Suara Iqbal semakin tersekat-sekat di saat ini. 

“Tak, tak. Awak tak ada buat salah apa pun dengan saya. Awak bertahan ya… awak takkan apa-apa.” Rania mengusap rambut Iqbal dengan perlahan. Air matanya masih tidak berhenti mengalir. 

“Saya sayangkan awak Nia. Carilah pengganti saya, selepas saya pergi...”

“Saya tak nak cari pengganti! Saya tak nak! Tolonglah Iqbal. Jangan cakap yang bukan-bukan. Tolong, jangan tinggalkan saya,” rayu Rania. Air matanya sudah semakin deras.

Nafas Iqbal sudah semakin sesak. Dia juga sudah tidak dapat bersuara. Tetapi Iqbal sempat mengucap, sebelum kedua-dua matanya tertutup rapat.

“Iqbal!” jerit Rania.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience