BAB 1

Other Series 4475

BAB 1:

HUJAN turun renyai di luar jendela kaca hotel lima bintang itu. Langit Kuala Lumpur kelam, seolah-olah turut berkabung atas satu perkahwinan yang tidak pernah dimulai dengan cinta.

Rayyan Izzudin berdiri tegak di hadapan cermin, membetulkan kolar bajunya yang sudah pun sempurna. Potongan tuxedo hitam itu terletak kemas di tubuhnya yang tinggi dan tegap, seperti mana imejnya di mata rakyat. Tersusun, bersih, dan penuh wibawa. Wajahnya yang terpampang di dada-dada akhbar saban minggu dengan senyuman sederhana dan pandangan tajam, kini tidak menunjukkan sebarang emosi.

Di belakangnya, Inara sedang duduk di birai katil. Gaun satin berwarna champagne yang dipilih setiausaha Rayyan terletak anggun di tubuhnya. Wajahnya polos tanpa banyak solekan, dan rambutnya diluruskan sekadar menepati protokol.

Tiada kata di antara mereka sejak selesai majlis akad nikah pagi tadi.

“Pukul lapan, kita kena turun makan malam dengan tetamu kehormat,” kata Rayyan akhirnya, memecahkan kesunyian bilik.

Inara hanya mengangguk perlahan. Dia tidak menyukai tempat ini. Bukan kerana mewahnya, tetapi kerana segala-galanya terasa terlalu teratur, terlalu sempurna. Dia tahu, tempat seperti ini tidak pernah benar-benar selamat.

"Aku tak suka hotel macam ni," katanya perlahan, tanpa memandang Rayyan.

Lelaki itu menoleh. Sekilas. "Kenapa?"

"Entahlah. Rasa macam diperhatikan," balas Inara.

Rayyan tidak membalas. Sebaliknya, dia membuka kotak kulit hitam di atas meja sisi dan mengeluarkan sehelai dokumen.

“Ni perjanjian kita.” Dia meletakkannya di atas meja solek. Kontrak praperkahwinan, draf lengkap dengan syarat-syarat termasuk tak ada perceraian, tak ada hubungan fizikal, penampilan bersama dalam acara rasmi mengikut jadual, jaga imej baik dan kerahsiaan penuh.”

Inara memandang kertas itu tanpa minat. Dia sudah baca dan hafal semuanya. Termasuk klausa kecil yang menyatakan sekiranya salah seorang memungkiri syarat, pampasan akan dikenakan dalam bentuk reputasi dan wang.

Tetapi bagi Inara, duit bukan motivasinya. Dia mahukan sesuatu yang lebih dalam. Akses.

“Kalau kau ikut schedule yang aku bagi, takkan ada masalah,” sambung Rayyan, seolah-olah bercakap dengan pembantu, bukan pasangan.

“I’m not your assistant,” jawab Inara, tenang.

Rayyan mendekat, berdiri betul-betul di hadapannya. Matanya menusuk, tetapi Inara tidak berganjak.

“Kau bukan siapa-siapa, Inara. Dan aku ambil risiko besar kahwin dengan kau. Someone totally unknown.”

Inara tersenyum sinis. “Lucu. Aku rasa aku yang ambil risiko lebih besar kahwin dengan ahli politik.”

Sejenak, mata mereka bertembung. Sunyi. Tegang. Namun tidak ada sesiapa yang mengalah. Akhirnya Rayyan menghela nafas dan melangkah ke arah pintu.

“Sedia pukul lapan. Jangan buat masalah,” katanya sebelum keluar.

Inara menunggu beberapa detik sebelum bangkit. Dia membuka beg tangan kecilnya, mengeluarkan sebuah alat kecil sebesar kunci kereta. Jemarinya lincah menghidupkan suis dan menekan kod.

Suasana dalam bilik berubah. Sunyi. Tenang. Alat pengganggu frekuensi itu telah mengganggu sebarang percubaan pemantauan isyarat dari luar.

Dia mendekati meja sisi, tempat Rayyan menyimpan dokumen praperkahwinan tadi. Tetapi dia tidak menyentuh dokumen atau tablet yang tertinggal. Sebaliknya, dia hanya memerhati.

Tablet itu terkunci. Cap jari diperlukan untuk membukanya. Inara tidak bodoh untuk cuba membuka sesuatu yang akan meninggalkan jejak.

Sebaliknya, dia mengaktifkan mod pengimbas di alat kecilnya lalu menangkap metadata daripada tablet itu. Jenis perisian keselamatan yang digunakan, sambungan WiFi yang aktif, dan nama beberapa fail yang baru dibuka.

Salah satu fail itu bertajuk Fund Rakyat.

Inara menyimpan maklumat itu dalam memorinya. Dia tahu, pada masa depan, dia mungkin perlukan akses kepada dokumen itu, tetapi bukan malam ini.

Dia matikan alat pengganggu, menyimpan semula semuanya ke dalam beg, dan membetulkan gaunnya di hadapan cermin.

Perkahwinan ini mungkin bermula sebagai teater untuk umum.

Tapi dalam diam, ia sedang menjadi medan peperangan antara dua dunia yang bertentangan.

Dan malam ini, pentas pertama mereka baru sahaja bermula.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience