Bab 1

Romance Series 7953

BALAI pelepasan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur lengang di awal pagi. Bunyi roda beg tarik dan pengumuman penerbangan menjadi latar sunyi yang menggigit perasaan. Benar orang kata antara perpisahan yang paling banyak kita lihat adalah di lapangan terbang. Semua ucapan akan menjadi satu amanat yang berat.

Nadia memeluk lengan hoodie kelab sukan kampus yang pernah mereka sama-sama naikkan. Rambutnya disanggul ringkas. Dia berdiri berhadapan dengan Haris, matanya cuba menyimpan wajah itu sedalam mungkin. Mungkin dia akan merindui wajah ini semasa di kampung sana, dan mana mungkin dia akan menghubungi lelaki ini lagi.

Musuh yang kini sudah menjadi kawan baik. Dan, itu adalah bagi Haris kerana Nadia sudah pun mengkhianti perasaan itu dalam diam dan entah bila ia menyapa.

Haris menyandang beg galasnya dan tersenyum, tapi senyuman itu seperti tidak sampai ke matanya seperti selalu.

"Nad, kau confirm ke tak boleh datang esok? Ke kau wayang aku je ni konon nak balik kampung. Padahal esok kau surprise aku?" Haris mencuba. Mana tahu Nadia mahu menyakatnya, sengaja beritahu tidak datang ke majlis pernikahannya esok.

Nadia menggeleng perlahan. Tergelak kecil. "Aku kena baliklah. Lagipun, tiket hari ni yang murah dan yang ada. Aku dah cuba cari tiket lain, tapi semua dah penuh. Aku kena balik Sabah hari ni juga. Tok ayah tak sihat. Aku minta maaf, Haris."

Dia tunduk. Jemarinya menggenggam boarding pass sekuat hati.

Haris menarik nafas panjang, cuba menahan kecewa yang menjalar. "Tak apalah. Aku faham. Family first kan."

Sunyi seketika. Mereka hanya berpandangan. Seolah-olah tiada siapa di sekeliling.

"Aku doakan kau bahagia dengan Sofea." Suara Nadia bergetar perlahan. Terimbau dia tentang bagaimana antara dia dan Haris munculnya Sofea. Gadis yang cantik dan popular di universiti.

Haris tersenyum sedikit. "Terima kasih, Nad. Kau penyebab utama aku boleh jatuh hati kat dia. Terima kasih jadi posmen."

Nadia menoleh, melihat skrin besar yang mengumumkan penerbangannya ke Kota Kinabalu.
"Aku pergi dulu, eh?"

Haris mengangguk. Tapi langkah Nadia terasa perlahan, seperti berat meninggalkan sesuatu yang tak pernah sempat dia miliki. Dia serba salah, namun dia perlu lindungi dirinya sendiri kerana dia takut dia tidak mampu menghadapi hari esoknya.

“Sorry, Haris. Aku doa aku takkan jumpa kau lagi,” ucap Nadia perlahan dan mengorak langkahnya dengan yakin.

KEESOKAN harinya, mentari pagi menyinar lembut di halaman sebuah resort mewah di Janda Baik. Haris berdiri mengenakan baju melayu putih bersulam perak, wajahnya tenang, tapi hatinya sedikit kosong. Hari penting tanpa sahabat yang paling penting, langsung tiada khabar daripada Nadia semenjak semalam.

Namun segalanya berubah saat dia menoleh dan melihat Sofea berjalan perlahan menuju ke arahnya, lengkap dalam busana pengantin berona pic lembut. Senyumannya seperti bunga mekar, menenangkan hati Haris yang berkocak.

"Saya lambat ke?" tanya Sofea manja.

"Tak, awak memang sentiasa tepat pada masanya... dalam hidup saya." Haris menyambut tangan Sofea perlahan, seolah-olah dunia berhenti bergerak seketika.

Usai ijab kabul, ketika tetamu sibuk bergambar dan bergelak ketawa, Haris menarik Sofea ke sudut taman kecil di tepi sungai.

"Terima kasih, Sofea. Sebab pilih saya."

Sofea memandangnya penuh cinta. "Saya tak pilih awak, Haris. Hati saya yang pilih."

Mereka tertawa kecil. Haris menyentuh pipi isterinya, perlahan. “Saya janji, awak akan sentiasa dicintai.”

Sofea mengangguk. “Saya tahu.”

DARI jauh, di sebuah bilik kecil di Kundasang yang diselimuti kabus petang, Nadia memandang skrin telefonnya. Foto-foto perkahwinan Haris dan Sofea memenuhi media sosial. Haris kelihatan bahagia, dan Sofea... begitu anggun.

Nadia senyum pahit. “Cantik sangat dia, Haris... Kenalah dengan type kau. Barulah padan dengan kau,” bisiknya sendiri.

Dia menatal gambar satu per satu. Gambar Haris merenung Sofea, memegang tangannya, memeluknya di pelamin. Semua itu seakan-akan mengukuhkan bahawa tempatnya bukan di sisi lelaki itu. Mereka sangat sepadan dan Haris kelihatan sangat bahagia, walhal semalam monyok semacam saja menghantarnya pulang di lapangan terbang.

Dia menutup telefon dan melabuhkan tubuh di katil. Di luar jendela, kabus mula menebal, menyembunyikan pemandangan gunung. Hatinya perlahan-lahan belajar melepaskan.

BEBERAPA bulan berlalu. Semua membawa kehidupan masing-masing untuk menjadi yang lebih baik. Tidak semua ada rezeki untuk berkahwin awal seperti Haris dan Sofea.

Di ruang tamu rumah mereka yang kecil tapi selesa di Shah Alam, Sofea duduk bersila di atas lantai sambil menunjukkan sesuatu di skrin telefon.

"Haris..." Dia bersuara perlahan.

Haris yang sedang menyusun fail kerja menoleh. "Ya, sayang?"

Sofea menunjukkan gambar jalur dua pada alat ujian kehamilan. Haris tercengang. Dia mula mahu menghadam dengan apa yang dia lihat. Bukankah itu? "Betul ni?"

Sofea mengangguk sambil tersenyum. "Saya mengandung."

Haris ketawa kecil sebelum terus memeluk Sofea erat. "Alhamdulillah... Ya Allah, terima kasih."

Sofea menyandarkan kepala di dada suaminya. Tangannya mengusap perutnya yang masih rata. Mereka mula memasang angan dan membina impian untuk masa depan dengan orang baru yang bakal mewarnai hari mereka yang akan datang.

Wajah Haris tersenyum, entah kenapa dia teringatkan Nadia. Nadia pernah mengatakan dia akan jadi bapa yang bertanggungjawab bila sudah mempunyai anak. Itu saja pujian yang baik daripada Nadia.

MEREKA sangkakan panas hingga ke petang, namun hujan datang sebelum tengah hari. Suasana rumah itu berubah menjadi sunyi. Haris duduk di sisi Sofea yang baru selesai menjalani ujian kesihatan di hospital. Doktor baru keluar dari bilik. Sofea memandang ke luar tingkap. Wajahnya tenang, tapi matanya berkaca. "Saya... mungkin tak sempat tengok anak kita membesar, Haris."

Haris menoleh, pandangannya kosong. "Apa maksud awak?"

Sofea menahan nafas. "Come on... saya ada kanser. Tahap tiga dah. Tapi apa pun saya nak lahirkan anak kita, Haris. Apa pun jadi."

Haris menggenggam tangan Sofea. “Kita lawan sama-sama. Saya takkan biar awak hadapi semua ni seorang.”

Sofea hanya mengangguk perlahan, sebelum meletakkan tangannya di atas tangan suaminya.
"Saya takut, Haris. Tapi saya takut... awak lupa saya bila saya dah tak ada."

Air mata Haris tumpah perlahan. “Dah, jangan cakap yang bukan-bukan. Kita semua akan bersama sampai bila-bila.”

“Nadia ada kat mana ya?” tanya Sofea dan terus membuatkan Haris terdiam dan menggeleng.

Awan mendung berarak perlahan di langit. Di balik setiap pertemuan dan perpisahan, ada yang belum selesai.

Dan kisah mereka, baru sahaja bermula.

Share this novel

Indah Puji
2025-05-29 16:01:58 

next kak


NovelPlus Premium

The best ads free experience