Bab 29

Detective Completed 54058

“JUJUR saya katakan, saya tidak suka memaksa. Tapi awak perlu cerna ayat saya baik-baik. Awak bakal isteri saya. Jadi, awak sendiri perlu serah diri dan siap sedia dari segala aspek untuk menjadi isteri saya sebelum saya guna segala paksaan.”
MasyaAllah. Ayat Haris itu sangat beracun. Ayat beracun itulah yang menghantui Dara sehingga ke pagi ini. Pantang mangatup mata, bayangan Haris bersama ayat berhantunya akan menyapa dan dia bakal mengalami mimpi ngeri.
“Kes Emir, masih menjadi kes polis. Bila dah melibatkan polis, awak perlu siap siaga. Lebih-lebih lagi dari segi emosi.”
Entah berapa banyak kali nasihat itu diulang-ulang oleh Haris.

"Faham je lah orang perempuan. Bab emosi je, selalu tak stabil. Bukan senang nak bekerjasama dengan orang perempuan. Terlalu banyak karenah."

Apa Haris kata? Kenapa ayat-ayatnya selepas itu seperti memperlekehkan kaum wanita? Apa lelaki itu fikir, wanita selemah yang dia sangkakan? Habis itu kenapa Haris setuju bila dia menghulurkan kerjasama? Jawapan diberikan lelaki itu tersangatlah tidak memuaskan hati.
“Saya nak awak nampak, lelaki yang awak mabukkan itu tidak akan menjamin masa depan. Dan lebih penting, mulut lelaki yang manis-manis ni, akan pahit dihujung-hujungnya bila hilang segala kemanisan. Awak yang akan tinggal dengan segala kepahitan tersebut. Macam sekarang. Satu sen pun Emir tak tinggalkan untuk awak."
Kata-kata Haris itu sangat kejam. Meninggalkan bekas di hatinya. Harus diakui, memang Emir tidak meninggalkan satu sen pun untuk Dara. Emir itu hanya meninggalkan janji kosong.
“Dara!”
Berterbangan semua perbualan bersama Haris malam tadi bila pintu biliknya diketuk. Emak yang datang menyapa. Belum pun Dara bersuara, emak sudah memulas tombol pintu dan terjegul separuh kepala emak.
“Lama lagi ke? Haris dah lama tunggu dekat luar.”
Dara mencebik. Baru tunggu lima minit, dah merungut? Bukannya tunggu satu jam pun. Dan percayalah, sebaik saja Dara masuk ke dalam ford ranger milik lelaki itu, sindiran akan mendahului segala-galanya.
Siapa sangka, telahan Dara kali ini salah. Sepanjang perjalanan, Haris itu banyak membisu. Tahu-tahu saja, mereka telah tiba ke lokasi di tuju Beberapa kali juga dia mengerling pada Haris. Darah gemuruh mula bergolak hebat. Betul ke Haris ingin membawa dia ke tempat ini? Dia bukan biasa dengan tempat-tempat begini. Ini kali pertama dia menjejakkan kaki ke sini.
“Kenapa? Dah takut?” Soal Haris sedikit mengejek.
Laju Dara memandang Haris. Lelaki itu terlalu asyik menghala ke depan. Tidak tahu apa yang menarik perhatiannya. Sepertinya, lelaki itu sedang menunggu kemunculan seseorang dan tidak mahu melepaskan momen tersebut.
“Kenapa perlu takut kalau ada polis yang mampu melindungi saya?” Dara juga panjangkan leher. Turut serta mencari apa yang dicari Haris.
“Dari mana awak belajar menjawab?”
Apa punya jenis soalan Haris. Soalan itu sesuai untuk budak-budak, bukan wanita dewasa macam dia.
“Saya belajar daripada awak, Haris.”
Diam di pihak Haris bila Dara jujur. Malah, Haris itu memberikan dia jelingan paling tajam.
“Saya bukan saja belajar menjawab, saya belajar menyindir juga daripada awak. Pakej dua dalam satu"
Berkerut dahi Haris. Itu sememangnya cara dia bercakap. Tapi bagus juga Dara belajar semua itu. Memang itu yang dia ingin terapkan pada Dara. Bukan selamanya menjadi perempuan naif dan kemudiannya dipijak-pijak sehingga tidak mampu untuk bangkit. Dara perlu bangkit dari sekarang sebelum teruk dikerjakan oleh Emir.
Dara mula bosan bila Haris hanya diam. Semua perbualan yang dia mulakan, tiada jawapan balas daripadanya. Sesekali, lelaki itu sibuk dengan telefon di tangan. Kemudian, kembali mengira bilangan kereta yang sudah keluar masuk dipetak parkir kereta di hadapan mereka.
“Seminit lagi…”
Giliran Dara pula menggarit kening. Apa yang seminit lagi?
“Tanya kalau ada apa yang nak tanya, jangan nanti kita dah turun awak banyak tanya pula." Haris membuka peluang untuk Dara bersuara.
“Kenapa tak tangkap terus Emir? Saya kan dah buat laporan. Tak perlulah mata saya sakit tengok dia berkeliaran sana sini. Saya boleh jumpa dia di lokap saja.” bukan soalan yang Dara ajukan. Lebih kepada rasa tidak puas hatinya.
Laporan polis pun sudah dibuat. Apa salahnya mereka keluarkan saja waran tangkap.
“Cakap senanglah. Bukti transaksi hanya ada pada Emir. Sebelum buat tangkapan, kena ada bukti dia betul-betul salah. Buat laporan, semua orang boleh buat. Yang tak senang, nak buat tangkapan. Nak ke buat risikan berhari-hari. Kalau kekurangan bukti, tak sampai dua puluh empat jam perlu lepaskan dia semula. Bukankah itu hanya membazirkan tenaga kami semua?”
Dara mengerdip mata beberapa kali. Betul juga apa dikata Haris. Dia sendiri pun tidak dapat kemukakan bukti yang diperlukan Haris. Padanlah Emir itu tidak kisah pun berjalan ke sana, ke mari.
“Setakat laporan polis awak tu, kekasih gelap awak tu sikit pun tak berkudis. Dia boleh saja rangka plot twist semula dengan buat tuduhan awak fitnah dia.”

Ayat Haris itu seakan-akan menampar pipi Dara supaya sedar.
“Dia buat macam tu?” Tanya Dara setengah percaya.
Haris menjeling. Kalau boleh, dia tidak mahu membocorkan apa-apa pun kerana semua ini masih dalam siasatan. Namun, demi membuka mata dan hati Dara, dia terpaksa juga bocorkan sedikit sebanyak maklumat demi menerangkan hati Dara yang hampir gelap.
“Patutlah…Emir cakap, tak ada bukti. Gaya bercakap pun bukan main berlagak lagi.
Maknanya, awak pernah berkas dia?”
“Kalaulah dulu awak tak dungu, Emir tu awal-awal dah boleh dicekup sumbat dalam penjara. Tapi dungu awak melebihi cinta awak.”
Mengetap sepasang bibir kecil Dara. Dalam waktu-waktu begini, Haris itu masih nak menunding jari ke arahnya?
“Syhh!!!” Jari telunjuk Haris melekap pada bibir bila dia dapat melihat pergerakkan bibir Dara dari ekor mata. Tumpuan dia kini pada kereta putih yang sudah elok terletak di hadapan kereta miliknya .
“Dia dah muncul…” Hampir tenggelam suara Haris.
Siapa yang muncul? Hati Dara tertanya-tanya. Dia juga memandang ke depan. Perlahan-lahan dia melopong. Dia menemukan Emir yang baru saja turun dari perut kereta. Bukan kereta yang sama Dara nampak tempoh hari. Warna kereta masih sama, namun modelnya jauh lebih mewah daripada sebelum ini.
Berapi-api marah Dara bila melihat Emir berlari-lari anak ke arah pintu sebelah penumpang. Bibir lelaki itu mekar dengan senyuman. Lebih memburuk, wajah Emir itu seperti sedang diulit bahagia.
“Ini bukan masanya nak cemburu buta! Ini masanya awak terangkan semula hati awak yang hampir hitam tu.”
Salah pilihan ayat Haris. Ayat lelaki ini bukan menyejukkan hatinya. Malah, menyemarakkan lagi api-api kemarahannya. Dia pun sudah hampir memadam sepenuhnya semua rasa cinta dia terhadap Emir. Yang tinggal hanya sisa-sisa dendam yang dia ingin lunaskan bersama Haris. Dendam dia tidak termasuk dalam rancangan Haris. Dia sendiri akan laksanakan jika berpeluang.
Habis bertebaran semua kemarahan Dara bila melihat sendiri wanita yang baru sahaja keluar dari perut kereta. Apa Dara tidak salah melihat? Emir itu bukan sahaja bertukar-tukar kereta. Malah perempuan juga termasuk dalam kategori tersebut.
Ini bukan perempuan yang Dara lihat tempoh hari. Ini perempuan yang Dara jumpa ketika bersama lelaki di sebelahnya. Lebih tepat bekas tunangan Haris.
Dara mencari seraut wajah Haris.
Apa yang dia diperlihatkan, seraut wajah tenang milik lelaki itu. Malah, Haris sedikit pun tidak melatah. Dia hanya merenung dan terus merenung tanpa bersuara.
Dara memandang semula ke arah pasangan tersebut. Bibirnya ingin menyebut nama perempuan itu, namun gagal. Sehinggalah pasangan tersebut telah hilang di sebalik pintu kelab malam yang tampak mewah.
Sekali lagi dia ingin melihat Haris, namun Dara hanyut dengan dunianya sehingga tidak sedar rupanya Haris sudah pun turun dari kereta. Hanya dia yang masih terpinga-pinga. Lekas dia melepaskan tali pinggang keledar lalu menjejakkan kaki ke tanah.
“Awak okay, Haris?” Sebaik sampai di depan muka Haris, Dara tidak tunggu lama untuk bertanya. Risau dengan apa yang bergolak di dalam hati lelaki ini.
“Life must go on, Dara. Tak okey pun, saya perlu okey.”
Kenapa Dara rasa, mulut Haris sedang berdusta? Jauh di dasar hati, dia rasa lelaki ini cuba menyembunyikan kekecewaan dan kesedihan.
“Awak tak okey, Haris.” Tahan Dara bila Haris ingin mula langkah.
Mengendur sepasang bahu Haris. Wajahnya diraup sekali. Kemudian, barulah pandangannya berakhir pada wajah Dara.
“Sekarang bukan masanya Dara. Awak yang nak sangat tahu siapa Emir kan? Saya dah tunaikan permintaan awak.”
“Tapi Emir dengan Umairah!” Akhir Dara sebut juga nama bekas tunang Haris.
“So?”
Diam di pihak Dara. Hanya bola mata dia rakus membalas renungan Haris yang mula menampakkan marahnya.
“Kalau saya tahu Umairah ada hubungan dengan Emir, saya tak akan paksa awak bekerjasama dengan saya. Sepatutnya, awak beritahu saya hal ini awal-awal.” Luah Dara kesal. Bagaimana mereka ingin menangkap Emir jika yang terlibat itu rupanya ada kena mengena dengan mereka berdua.
Tak…Tak…Tak...Pembetulan.
Haris yang ada kena mengena dengan mereka berdua. Bukan kerja Dara menyiasat jenayah mereka.
“Sebab tu banyak kali saya tekankan, saya tak suka bekerjasama dengan perempuan. Inilah puncanya! Kenapa nak campur adukkan kerja dengan perasaan? Yang lepas, biarkan lepas!” Terangkat sedikit bahu Dara bila suara Haris naik sedikit.

Kali ini, Haris menyebak rambutnya pula. Dia tak berniat pun ingin memarahi Dara. Tapi Dara itu memang jaguh melakukan hal yang satu ini. Jaguh menjemput kemarahannya.
“Sorry…” Sebut Dara antara dengar tak dengar saja. Dia sudah tunduk menekur jalan. Kali ini dia mengakui kesalahannya. Dia juga layak dimarahi.
Haris pandang Dara sebelum nafas panjang dihela.
“Tolong percayakan saya, Dara. Tolong buang apa pun yang negatif fikiran awak tu. Awak bakal isteri saya. Bukan Umairah. Kalau awak bakal isteri saya, maknanya Umairah dah jatuh ke tangga tercorot dalam hidup saya. Awak patut merasa bangga bila saya angkat awak ke tangga lebih tinggi berbanding dia. Itu sudah jelas yang saya sukakan awak! Did you get it? Atau awak masih lembab untuk faham saya sebenarnya suka pada awak, hurm?”
Dara angkat muka. Beranikan diri menatap wajah Haris. Keberanian Dara kian hilang bila Haris terus-terusan memberi renungan yang melemaskan dia.
Apa Haris itu hanya bercanda tentang hati dan perasannya? Tapi kenapa Dara rasa Haris itu tidak main-main? Lelaki ini nampak bersungguh-sungguh.
“Atau awak nak saya mulakan percintaan saya dengan awak sekarang?”
Soalan Haris itu berjaya buat Dara jadi tidak keruan. Dia resah sendiri.
“Kalau itu awak nak…Awak akan menyesal, Dara. Saya terlalu banyak keburukan dalam bercinta. Saya tak pandai bermanis mulut. Saya hanya pandai memberi layanan paling manis yang awak tak mungkin dapat lupakan.”
Keresahan Dara semakin teruk bila tanpa sedar dia berundur beberapa langkah. Dia hanya sedar bila belakang badannya bersandar pada kereta Haris.

"Tell me...Layanan yang macam mana awak nak?"
“Saya…Saya…”
Haris senyum sesaat dua bila Dara gugup untuk bersuara. Pandang muka dia pun Dara tidak berani. Dia senang dengan kegelisahan yang ditunjukkan oleh Dara.

Share this novel

omemie80
2024-07-31 19:42:30 

awaaaaaa - please update please please

Nani Silong
2024-07-30 20:12:32 

Awa... Blh tak malam ni update cite ni lagi.... Tq ye Awa...


NovelPlus Premium

The best ads free experience