Bab 2

Romance Series 14906

LIMA tahun kemudian…

Bar Eton, koridor tingkat atas, suasana yang lengang.

Eryna menyandarkan tubuhnya pada dinding, kepalanya berdenyut seperti irama drum rock yang tidak mahu berhenti. Selepas malam panjang menemani pelabur-pelabur dengan senyuman palsu dan gelas-gelas minuman keras yang tak berkesudahan, dia hanya mahu bersendirian untuk sejenak. Tempat bersih, sunyi, dan jauh daripada manusia. Tetapi, hidupnya jarang memberi apa yang dia mahukan.

“Eryna,” suara Sally memecahkan keheningan, nadanya tegang. Wanita itu berdiri di hadapannya dengan wajah seperti taufan baru nak melanda.

Eryna menarik nafas panjang. Kenapa malam aku tak pernah ada rehat? Dia memaksa dirinya berdiri tegak. “Kak Sal, ada apa ya?”

Sally menyilangkan tangan di dada, matanya menikam. “Awak daftar untuk uji bakat watak utama dalam 'Rahsia di Tanah Syurga'?”

Eryna mengangkat kening, malas bermain teka-teki. “Ya. Kenapa?”

“Esok awak tak boleh pergi!” Sally mendengus, suaranya cukup tajam untuk memotong kaca.

Eryna tidak terkejut. Malah, dia hampir tertawa. “Oh? Why not?”

Sally mencondongkan tubuhnya ke depan, seperti harimau yang siap menerkam. “Kenapa awak buat benda ni kat belakang saya? You know kan company dah tetapkan Natasha sorang je yang akan pergi uji bakat tu kan?”

Mata Eryna menyepet, senyum nipis terukir di bibirnya. “Jadi? Itu tak bertentangan dengan rancangan syarikat, kan? Takkanlah Natasha, adik ‘kesayangan’ saya, takut seorang pelakon kecil macam saya ni rampas peranan dia?”

Wajah Sally memerah, nadanya makin mendidih. “Hey Eryna, kau ingat kau siapa hah? Kau ingat senang-senang je kau boleh rampas peranan Tasha? Jangan mimpilah! Kau tahu tak? Keluarga kau dah labur 30 juta dalam filem tu, dan Natasha dah dapat pun watak tu!”

“Dah tu? Yang nak gelabah sangat ni kenapa Kak Sal?” balas Eryna santai.
Sally mengepal penumbuk, jelas cuba menahan diri. “As your manager, kau mesti ikut semua rancangan aku! Rancangan company kita!” suaranya naik.

Eryna mengangkat bahu, ekspresinya tidak berubah. “Oh, jadi Kak Sal masih ingat saya ni artis bawah akak. Baguslah, sekurang-kurangnya tak la saya ni rasa terbuang macam tu je.”

Sally mendengus kasar. “Eryna, aku tak ada masa nak berdebat dengan kau. Kalau kau tak nak dengar cakap aku, jangan salahkan aku kalau aku terpaksa guna cara kasar!”

Sebelum Eryna sempat menjawab, satu tolakan kuat datang dari belakang. Dia hilang keseimbangan, terhuyung-hayang ke depan sebelum badannya ditolak masuk ke dalam sebuah bilik kecil di sudut koridor.

“Hey! Apa ni!” jerit Eryna, tetapi bunyi pintu yang tertutup kuat menenggelamkan suaranya. Dia berpaling dengan wajah terkejut.

Telefon bimbitnya? Hilang.

Dia memandang ke sekeliling. Stor kecil yang penuh dengan kotak dan debu. Bau hapak memenuhi udara, membuatkan dia hampir terbatuk. “Seriuslah? Ini rancangan Kak Sal? Biar aku terkunci dalam stor?”

Eryna memukul pintu dengan kedua-dua tangannya. “Hoi! Ini takkan buat aku berhenti pergi uji bakat tu! Kalau kau nak pakai taktik bodoh macam ni, pastikan kau fikir langkah seterusnya!”

Tiada jawapan. Hanya senyap.

Bunyi langkah di luar pintu semakin jauh, menjadi samar sebelum hilang sepenuhnya.

Eryna menarik nafas panjang, tahu tiada guna menjerit. Dia menyandarkan tubuh pada pintu, sebelum perlahan-lahan meluncur turun ke lantai. Wajahnya kosong, tetapi fikirannya berkecamuk.

‘Natasha... kau memang tak pernah puas, kan?’

Dulu, waktu dia mula masuk ke syarikat hiburan ini, Natasha masih bersikap 'baik', hanya memastikan dia diberi watak-watak kecil yang menyedihkan. Tetapi sekarang? Gadis itu sudah menjadi diva yang menginjak-injak semua orang, dan Eryna adalah sasaran utamanya. ‘Dari sabotaj biasa ke… ini? Taktik rendah macam ini, kunci orang dalam stor bar?’

‘Kalau aku tak dapat peranan kali ni, aku mesti keluar dari Starlight Entertainment. Tak ada pilihan lain.’

Tiba-tiba, di tengah-tengah kekusutan fikirannya, satu bunyi halus menarik perhatian.

‘Ada tikus ke?’

Eryna menjeling ke arah timbunan kotak di sudut bilik. Matanya mengecil, cuba mengenal pasti sumber bunyi, tetapi apa yang dia nampak membuatnya terkaku.

Di belakang timbunan kotak, ada seorang budak kecil.

Wajahnya halus, putih, dan tembam. Agak-agak berumur empat atau lima tahun, matanya gelap dan besar, penuh dengan ketakutan. Tubuh kecilnya menggigil, seolah-olah dia baru sahaja melarikan diri dari seekor naga.

‘Eh, apa budak kecik ni buat dalam stor bar?’

‘Orang gila mana yang bawa budak kecik ke bar macam ni?’

Eryna memiringkan kepala, cuba berbicara dengan nada lembut. “Hai, siapa nama awak? Macam mana awak boleh ada kat sini?”

Budak itu hanya diam, memandangnya dengan mata bulat penuh waspada, seperti seekor kucing kecil yang baru ditemukan di lorong belakang.

“Okay…” Eryna tersenyum tipis. “Kalau awak tak nak cakap, saya panggil awak Montel, ya? Jadi, Montel… macam mana awak boleh masuk dalam ni? Ada orang kunci awak juga ke?”

Masih tiada jawapan.

“Awak nak gula-gula tak? Saya ada…” Dia menyentuh poketnya, tetapi kosong. Ah, dah lupa. Semua gula-gula sudah diberikan kepada pelabur tadi.

Budak itu tetap diam. Malah, semakin menggigil kuat.

Eryna menghela nafas. “Okay, tak nak jawab, tak apa. Saya bukan polis.” Dia menyandarkan tubuh pada dinding, memejamkan mata, cuba mengabaikan si Montel kecil. ‘Biarlah. Bukan urusan aku.’

Mereka duduk di situ, masing-masing di sudut sendiri, dalam keheningan. Tetapi ketenangan itu tak bertahan lama.

Mentol lampu di atas mereka tiba-tiba berkelip. Sekali. Dua kali. Kemudian, gelap sepenuhnya.

Dalam kegelapan itu, Eryna mendengar bunyi aneh. Klek-klek-klek. Dia menajamkan telinga. Setelah beberapa detik, dia sedar bunyi itu datang dari gigi seseorang yang sedang berketap.

“Montel?” panggilnya, sambil tersenyum kecil. “Awak takut gelap?”

Bunyi ketapan itu terhenti sejenak… hanya untuk kembali lebih kuat, seolah-olah budak itu sedang digoncang ribut.

‘Alamak, dia ni penakut rupanya.’

Eryna menggeleng. Dengan perlahan, dia bangkit, membersihkan punggungnya dari debu. Langkahnya perlahan menuju ke arah budak kecil itu.

Montel tersentak, wajahnya makin pucat apabila Eryna mendekat. Dia menyorok lebih dalam di belakang kotak, matanya seperti mangsa yang menunggu serangan pemangsa.

Eryna duduk di sebelahnya, tanpa berkata sepatah pun. Dengan santai, dia bersandar pada dinding, memejamkan mata.

“Don’t be so scared, saya cuma nak duduk kat sini. Bukan nak makan awak,” gumamnya malas, suaranya setengah bercanda.

Montel kelihatan keliru, tapi giginya masih berketap.

“Nak tidurlah,” kata Eryna perlahan.

Montel memandangnya, dan untuk sesaat, bunyi ketapan itu perlahan. Tapi Eryna sudah terlalu letih untuk menyedarinya. Matanya terpejam, tidak lama kemudian, dia terlena di sebelah budak kecil itu.

Kepalanya masih berdenyut-denyut, kesan dari malam panjang menemani pelabur yang lebih banyak minum daripada berbicara. ‘Sally, kau memang kejam.’ Eryna menghela nafas perlahan, cuba mengabaikan keletihan yang menghimpit.

Dia tersedar selepas beberapa ketika, tapi ada sesuatu yang ganjil. Sisi kakinya terasa hangat. Apabila dia menundukkan kepala, matanya membulat kecil.

‘Montel.’

Budak kecil itu kini meringkuk di sebelah kakinya, tangannya yang kecil memegang hujung bajunya seperti menggenggam tali keselamatan. Wajahnya damai, walaupun sedikit pucat.

Eryna tersenyum kecil, tidak mampu menahan tawa perlahan yang keluar dari bibirnya. ‘Macam kucing.’

Suasana itu membawa ingatan lama. Ketika di kampung, dia pernah terjumpa seekor anak kucing terbiar. Kucing itu takut dengan orang. Setiap kali dia mendekat, kucing itu akan lari. Sehinggalah dia tidak memberi perhatian dan membiarkan kucing itu, barulah kucing itu mendekat, malah memanjat naik ke pangkuannya.

“Awak ni... sama macam kucing kampung tu.” Dia tertawa kecil sambil menunduk memandang budak itu.

Montel menyedari pandangannya dan membuka mata perlahan. Wajah kecilnya berubah sedikit merah, tetapi kali ini, tiada lagi rasa panik dalam matanya. Sebaliknya, matanya yang besar penuh dengan rasa ingin tahu.

Eryna tersenyum lebih lebar. Dia tidak tahan lagi. Tangannya gatal, dan tanpa fikir panjang, dia mengusap kepala kecil budak itu. Rambutnya lembut, seperti bulu kapas.

Namun, sebaik sahaja tangan Eryna menyentuh dahinya, senyumnya lenyap serta-merta.

‘Panas. Kenapa panas?’

“Awak demam?” Suaranya cemas, tangannya segera menarik tangan kecil budak itu. “Kenapa tak cakap tadi?”

Dia menggigit bibirnya, fikirannya berputar mencari jalan keluar. Sally jelas akan biarkan dia terkunci di sini sehingga uji bakat esok berakhir. Tetapi kalau budak kecil ini terus dibiarkan demam seteruk ini? Keadaannya mungkin akan menjadi lebih teruk.

Sambil fikirannya mencari jalan keluar, dia perasan sesuatu yang ganjil. Mentol lampu di stor ini sudah pecah, tetapi… kenapa masih ada cahaya?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience