SELEPAS seminggu majlis perkahwinan Amanda, hari ini Naira Iris diseru untuk berjumpa dengan Naem. Naira Iris sudah dapat agak Naem akan ajak dia berjumpa. Tidak mungkin Amanda tidak mengadu pada Naem dengan apa yang telah dia lakukan pada adik saudara kesayangan abangnya itu.
Naira Iris pelik. Mereka yang lahir dari rahim yang sama tetapi Amanda juga yang sering Naem lebihkan. Bukan Naira Iris.
Adakah Naem juga menyimpan rasa dengki padanya sedari dulu? Sebab itu abangnya lebih suka memihak kepada Amanda dari dulu?
Perempuan itu pula? Apalagi ambil kesempatanlah!
“Ada apa nak jumpa ni? Nak ugut apa pula kali ni?”
Naira Iris tak pernah tak buat Naem terus naik angin walau baru bertemu kerana mulut celupar adiknya itu.
“Kau ingat aku tak tahu apa kau dah buat masa wedding Amanda?” Kasar suara Naem.
“Buat apa? Buat wedding cake dia yang cantik tu?” balas Naira Iris dengan muka selamba.
“Kau jangan nak tayang muka bodoh kau tu macam aku tak tahu kau curi-curi jumpa abah masa tu kan?” jerkah Naem.
Naira Iris pandang tepat wajah bengis Naem. Dia kekal tenang walau perbuatannya sudah kantoi.
“So apa masalahnya?”
“Aku dah cakap yang aku haram kan kau jumpa abah?” Masih kasar lagi nada Naem.
Naira Iris ketawa sinis.
“Bukan ke lagi berdosa seorang abang melarang adiknya bertemu dengan bapa kandung sendiri? Haram? Apa yang haramnya?” Sinis Naira Iris.
Suka hati Naem buat hukum agama sendiri kerana rasa bencinya.
“Selagi aku jadi penjaga abah, aku memang takkan izinkan kau jumpa dengan abah. Tak kira kau curi-curi jumpa atau kau sanggup melutut di kaki aku.”
Sudah lali Naira Iris dengar kata-kata Naem itu.
“Abah tu masih hidup lagi kau dah salah guna kuasa kau sebagai anak lelaki kan, abang.”
Naem ketawa sinis. Itulah perkara yang paling dia banggakan. Sebagai anak sulung dan satu-satunya anak lelaki tunggal Encik Nazli, dia berhak tentukan apa saja yang dia mahukan. Apatah lagi ketika ini Encik Nazli sudah tidak berdaya.
“Dan sebagai abang kau, wali yang gantikan tempat abah nanti…”
Naira Iris kekal tenang walau hatinya sudah rasa tidak tenang. Apa muslihat Naem lagi?
“Aku ada satu tawaran untuk kau. Aku nak kahwin kan kau dengan pilihan aku…”
Naira Iris genggam kedua-dua tangannya kuat di bawah meja.
“Abang tak ada hak untuk paksa Iris kahwin dengan sesiapa pilihan abang. Abang memang wali tapi abang bukan wali yang berhak untuk paksa Iris berkahwin dengan seseorang yang Iris tak nak. Wali Iris yang berhak masih hidup lagi. Abah!” tegas Naira Iris bersuara untuk mengingatkan Naem tentang haknya sebagai wali.
Dalam syarat wali yang boleh memaksa seorang anak perempuan untuk berkahwin ialah ayah dan datuk kandung sahaja. Itu pun ada beberapa syarat iaitu tidak ada persengketaan, perkahwinan yang sekufu dan bukan lelaki yang memudaratkan anak serta mampu bayar mahar.
“Sebab itu aku cakap aku ada tawaran untuk kau!”
“Dan tawaran tu akan berubah jadi ugutan kalau Iris tak ikut cakap abang?”
Naem senyum sinis. Tak dinafikan Naira Iris memang bijak meneka helahnya.
“Kalau kau nak jumpa abah, kau kena ikut cakap aku. Kau kena kahwin dengan lelaki yang aku dah pilih untuk jadi suami kau. Kau kan nak jumpa abah sangat? Jadi ikut jelah cakap aku. Tak payah banyak bunyi.” Sinis Naem.
“Huh! Lelaki mana yang abang pilih untuk jadi pak turut abang semata-mata nak control Iris ha? Atau Amanda yang tolong cari kan? Tak pun ni datang dari idea bodoh dia!” Naik satu oktaf suara Naira Iris apabila dapat merasakan ini semua idea daripada Amanda yang pergunakan Naem untuk melepaskan geram padanya setelah Naira Iris berjaya buat Amanda kini hidup dalam kegelisahan kerana Naira Iris.
Naem tak balas. Memang Amanda yang suruh Naem memaksa Naira Iris berkahwin dengan pilihan mereka. Amanda kata itu saja cara untuk mengawal Naira Iris dari buat bukan-bukan. Naem pun terkejut mendengar cerita Amanda yang Naira Iris sanggup sabotaj kek kahwin Amanda kerana cemburu. Sekali lagi Naem ditipu Amanda untuk dendamnya. Naem dapat agak adiknya tidak akan berdiam diri lagi kerana itu Naem ikut kata Amanda. Naem masih tidak mahu Naira Iris kembali dalam keluarga mereka dengan mudah. Adiknya perlu ditunduk!
“Aku tak peduli. Hujung bulan ni aku dah tetapkan tarikh untuk kau jumpa dengan bakal mertua kau. Nak tak nak, kau kena ikut cakap aku. Kalau tak, sampai kau mati…Kau takkan dapat jumpa abah,” ugut Naem tanpa rasa bersalah.
Naira Iris ketapkan giginya menahan amarahnya. Nampaknya mereka semua makin bermain kasar dengannya.
Mata Naira Iris mengekori langkah Naem yang sudah pergi tinggalkan dia keseorangan dengan ugutan gila lelaki itu.
“Abang, you give me a brilliant idea. Buat apa Iris cari orang kaya untuk hidup senang tujuh keturunan macam abang cakap kalau Iris boleh cari orang kaya untuk buat abang melutut pada Iris kemudian hari…”
NAIRA IRIS tak sabar menantikan kepulangan seseorang. Hari ini rumahnya akan meriah kerana kawan baiknya akan menemani dirinya yang keseorangan di rumah selama ini. Satu-satu kawan baiknya yang sentiasa bersama Naira Iris dari dulu sampai sekarang. Kawan yang melihat jatuh bangunnya dan macam mana Naira Iris dibuang keluarga.
Naira Iris buka pintu rumahnya apabila mendengar ketukan di luar.
“Aileen…” jerit Naira Iris.
“Iris…”
Mereka terus berpelukan di luar rumah. Masing-masing teruja setelah sebulan tidak ketemu. Semuanya kerana Aileen berada di luar negara kerana tuntutan kerja.
“Nasib baik aku ni datang dari jenis keluarga pecah belah. Kalau tak, confirm keluarga aku mesti cemburu sebab aku touchdown je terus jumpa kau.”
“Hisy! Kau ni kan…”
Naira Iris tak suka Aileen berkata begitu. Ikutkan kisah Aileen lagi sedih daripadanya. Aileen dari kecil tak merasa kasih sayang yang lengkap walau masih ada kedua-dua ibu bapanya lagi sehingga sekarang.
Ibu bapa Aileen sudah berpisah dari umurnya masih kecil dan Aileen dijaga oleh nenek saudaranya setelah ibu bapanya masing-masing kahwin baru. Setelah umur Aileen 17 tahun, kawannya itu mula hidup berdikari apabila nenek saudaranya telah meninggal dunia. Ibu bapa Aileen langsung tak kisah akan dirinya. Sekarang ini pun Aileen sudah lama tidak bertemu walau tahu di mana kedua ibu bapanya berada.
Sebab itu Aileen lebih faham apa yang Naira Iris rasakan apabila hidup bersendirian tanpa keluarga.
“So, bunga Iris… Kau masak apa? Aku dah lapar makanan melayu hasil air tangan kau.” Aileen buat muka kelaparan apabila masuk ke dalam rumah kawannya ini.
Naira Iris senyum melebar. Sudah pasti dia masak semua makanan kegemaran Aileen untuk makan malam mereka.
“Kau pergi mandi dulu…Lepas tu kita dinner sama-sama. Aku masak special tau malam ni.” Laju Naira Iris menolak Aileen ke arah bilik air rumahnya.
“Kejap…Why aku macam rasa something fishy je…” Aileen kecilkan matanya. Dari tadi Aileen perasan riak wajah Naira Iris macam mahu sesuatu daripadanya.
“Kau nak apa dari aku?” tebak Aileen.
Naira Iris ketawa.
“Aku pergi kerja tau bukan pergi shopping…” rungut Aileen.
“Tapi mesti sugar daddy kau ada belanja kan…”
Pap!
Aileen tampar lengan Naira Iris.
“Auch! Balik bukan bagi ole-ole tapi bagi tamparan dia pula,” cebik Naira Iris.
“Kau la suruh aku fokus kerja sampai aku tak ada masa nak cari sorang dua sugar daddy mata biru tau.”
Naira Iris ketawa mengekek.
“Amboi! Ada pasang niat juga eh?”
Aileen juga turut ketawa. Semua itu hanya gurauan mereka berdua saja. Aileen belum gila mahu melibatkan dirinya dengan golongan sebegitu walau kerjanya memang berurusan dengan golongan VVIP. Naira Iris pula tak gila lagi nak galakkan kawan baiknya terjebak dalam hubungan sebegitu. Naira Iris selalu berdoa yang Aileen akan bertemu dengan lelaki yang boleh buat Aileen merasa bahagia hidup berkeluarga.
Setelah mereka berdua selesai makan malam bersama, Naira Iris dan Aileen terbaring di ruang tamu sambil menonton filem. Macam inilah mereka luangkan masa bersama jika tidak keluar.
“Aileen…”
“Hmmm…” Mata Aileen fokus menonton televisyen. Tak seperti Naira Iris yang mula berkira-kira mahu bercakap sesuatu dengan Aileen. Lebih tepat kali ini dia perlukan pertolongan Aileen pula.
“Kau tahu…Amanda kahwin dengan anak salah seorang pemegang saham NADI Group…” Naira Iris mulakan cerita.
“Amanda? Serius la? Dia yang kahwin dengan anak Dato Riyad?” Terkejut Aileen mendengar cerita Naira Iris. Bekerja dalam bidang korporat sudah tentulah Aileen kenal nama-nama orang besar.
NADI Group juga salah seorang pelabur dalam syarikat tempat Aileen bekerja.
“Kau patut korek awal-awal dengan siapa si Amanda tu kahwin. Bukan setakat kek kahwin dia je kau boleh jahanam kan. Wedding gaun dia pun aku boleh suruh orang tolong sabotaj kan untuk kau.” Aileen pula yang geram sekarang ini.
“NADI Group tu bukan ada tiga pemegang saham terbesar ke?” tanya Naira Iris.
Aileen angguk. “Dan sekarang anak-anak dorang pula yang menerajui NADI Group. Untunglah jadi anak orang kaya. Habis belajar dah tahu kena campak kat mana?”
Siapa yang tak nak bekerja di NADI Group? Syarikat pelaburan itu menjadi tempat idaman untuk orang-orang muda membina kerjaya di situ.
Hah! Ada seorang sajalah yang tolak mentah-mentah jawatan penting dalam syarikat tersebut.
“So laki Amanda tu berjawatan besar la kat situ?” tanya Naira Iris lagi.
“Of course la! Dah bapak dia ada saham kat situ. Anak tumpang la sekaki. Dan sekarang adik saudara kau tu goyang kaki kikis harta laki dia jelah kat rumah,” jawab Aileen selamba sambil kutuk Amanda.
Tiba-tiba Aileen sedar sesuatu.
“Kau ada next plan apa lagi? Beria kau buat research pasal orang-orang kaya ni?” Terkejut juga Aileen tadi bila Naira Iris tahu NADI Group ada tiga pemegang saham terbesar yang monopoli syarikat tersebut.
“Plan aku nak cari orang kaya juga! So antara Dato Zamir dengan Tan Sri Ahmad? Yang mana aku boleh aim untuk capai matlamat aku? Mana yang lebih berkuasa. Keturunan siapa yang aku perlu target?”
Naira Iris begitu jujur dengan niatnya tanpa selindung. Ternganga mulut Aileen yang dengar. Sebulan tak jumpa Naira Iris, kawannya tiba-tiba berubah matlamat. Tak lagi besar matlamat Naira Iris ini.
“Masa kau buat research? Google tak bagi tahu kau ke?”
Naira Iris terdiam. Aileen boleh agak yang Naira Iris memang sudah bertekad kalau tak, Naira Iris takkan buang masa buat research perkara yang tidak ada kaitan dengan dirinya.
“Dah tentu la Tan Sri Ahmad. Dia pemegang saham paling besar!” tokok Aileen.
Dahi Naira Iris berkerut. “Tapi Tan Sri Ahmad bukan ada anak lelaki muda. Takkan aku nak…”
Aileen sudah ketawa dulu. Dia boleh agak apa yang bermain dalam kepala Naira Iris. Amboi tahu memilih.
“Dia cuma ada anak lelaki seorang yang sudah lama meninggal dunia tapi dia masih ada cucu lelaki tunggal yang menjadi pewaris dalam keluarganya.”
Berubah wajah Naira Iris. Kenapa dia tak jumpa apa-apa dalam carian tentang cucu lelaki Tan Sri Ahmad.
“Tapi tulah cucu dia tak kerja kat NADI Group.”
“Habis tu kerja kat mana?” tanya Naira Iris ingin tahu.
“Dia buka company sendiri. Tapi NADI Group masih melabur dalam company dia tu. Nama company dia Q.A Management.”
Naira Iris buat pilihan tepat untuk bercerita pada Aileen kerana sememangnya Aileen ibarat Wikipedia T20 untuk Naira Iris cari tahu maklumat.
Wajah Naira Iris berubah ceria. Tiba-tiba terlintas idea dalam kepalanya.
“Aileen…” Naira Iris rangkul lengan Aileen…”
“Hah! Aku dah boleh agak apa yang kau nak?”
Dengar suara Naira Iris sudah Aileen tahu apa kehendak kawan baiknya itu.
“Aku awal-awal bagi tahu kau ya. Cucu Tan Sri tu misteri eh. Orang tahu kewujudan dia tapi orang tak boleh dekati dia.”
“Apa maksud kau?”
“Dia macam ni la. Orang tahu dia tu cucu siapa tapi dia lebih suka berurusan untuk company dia saja. Dia tak campur urusan hal NADI Group. Orang hanya dapat berurusan dengan dia kalau melibatkan Q.A Management je. Lebih dari tu orang tak berpeluang langsung dekati dia. Even Tan Sri pun control all media and press kalau bercakap pasal cucu dia tu yang suka buat hal sendiri.”
“So untuk kes kau…”
Naira Iris pandang Aileen.
“Abang kau kerja kat NADI Group…Amanda kahwin dengan anak Dato Riyad so lebih baik kau target anak Dato Zamir yang sebumbung sekali dengan dorang semua tu? Lagipun anak Dato Zamir tu sama je macam anak Dato Riyad tu…Pandang perempuan cantik je. Kalau tak, takkan Amanda tu boleh cekup si Raykal tu,” cebik Aileen.
Entah kenapa Naira Iris lebih berminat melibatkan cucu Tan Sri Ahmad dalam rancangannya.
“Tapi apahal tiba-tiba kau nak cari anak orang kaya ni juga? Sejak bila kau suka berlumba siapa dapat lagi bagus dengan Amanda hah?”
Naira Iris ceritakan semuanya pada Aileen. Apa sebab dia mahu buat kerja gila nak cari calon suami dalam keturunan antara pemegang saham NADI Group kerana Naira Iris mahu Naem tunduk padanya pula jika dia berkahwin dengan seseorang yang berjawatan besar di NADI Group.
“Kalau macam tu aku setuju kau tackle cucu Tan Sri Ahmad sebab orang tua tu kedudukan dia paling teratas sekali. Confirm la cucu dia akan mewarisi semuanya nanti.” Tiba-tiba Aileen galakkan Naira Iris menukar sasarannya kerana rasa sakit hati dengan cerita Naira Iris.
“OMG! Abang kau tu memang dah gila. Spesis anak lelaki tak sedar diri. Bukan dia beria jaga abah kau pun. Tetap dia upah orang jaga bayar pakai duit pencen abah kau juga,” kutuk Aileen.
“Tapi macam mana aku nak tahu pasal cucu Tan Sri tu?” rungut Naira Iris kecewa.
Rasanya hobi Naira Iris sekarang suka buat kerja gila. Tak cukup sabotaj kek kahwin anak orang kaya dan sekarang sibuk nak cari calon suami keturunan orang kaya juga. Tiba-tiba penyakit tak sedar diri Naem dan Amanda mula berjangkit dengan Naira Iris. Nama pun satu keturunan!
“Aku boleh tolong…tapi itulah aku kena buat pengorbanan besar la untuk kau.” Aileen tayang wajah berbelah bahagi. Sayang kawan punya pasal terpaksalah Aileen buat benda yang dia tidak berminat.
“Tolong macam mana?” Naira Iris sudah teruja.
“Kau ingat tak cerita jiran sebelah rumah aku tu…”
Naira Iris angguk berkali-kali. Dia masih ingat yang Aileen pernah cerita jiran sebelah rumah Aileen suka sangat rancang temujanji buta untuk anak lelakinya. Sampai jiran Aileen itu pernah tawar pada kawannya itu untuk cuba sekali.
“Aku baru ingat anak Mak Cik Salima tu kerja kat Q.A Management. Position dia boleh tahan juga la tinggi kat company tu. Sebab tu Mak Cik Salima tu asyik suka sangat set up blind date untuk anak dia tu sebab anak dia busy je. Bak kata Mak Cik Salima, busy jadi orang kuat bos.”
Mata Naira Iris sudah bersinar seperti kerlipan cahaya. Naira Iris nampak jalan untuk menuju sasarannya.
“Aileen…aku ada idea!”
Ting! Seperti lampu mentol menyala, begitu juga kepala otak Naira Iris dapat idea.
“Apa kata kau rekomen aku kat jiran kau tu. Suruh dia set up blind date anak dia dengan aku,” kata Naira Iris dengan semangat.
Aileen terpinga-pinga. “Kau serius la?”
Aileen baru fikir yang dia terpaksalah buat pengorbanan. Rekomen kan diri sendiri pada jiran sebelah rumahnya untuk pergi blind date dengan anak jirannya semata-mata mahu cungkil dan korek pasal cucu Tan Sri Ahmad. Sekarang Naira Iris pula nak lakukan sendiri?
“Kau biar betul? Takkan la kau sendiri nak pergi blind date semata-mata nak korek pasal cucu Tan Sri tu?”
“Habis tu? Kau nak volunteer? Aku lagi risau? Kau tu boleh pergi meeting dengan lelaki je tapi kau bukan sanggup pergi dating dengan lelaki pun.”
Aileen sengih. Betullah cakap Naira Iris itu. Silap hari dia yang rosakkan rancangan mereka.
“Tapi macam mana kalau kau tersangkut dengan anak Mak Cik Salima tu pula?”
Tiba-tiba Aileen buat andaian.
“Mungkin jodoh aku la kut!” seloroh Naira Iris.
“Iris…” Aileen sudah geram. Boleh pula Naira Iris buat lawak. Aileen tak mahu rancangan Naira Iris makan dirinya sendiri nanti.
“Kau jangan risau la. Kau sendiri cakap yang anak jiran kau tu dah berapa banyak kali kena pergi blind date tapi tetap sampai sekarang seorang pun tak sangkut juga kan? Itu tanda apa? Anak jiran kau tu memang tak minat lagi nak settle down la… So…”
“So???”
“Mungkin aku boleh offer berkawan dengan dia je…Orang lelaki, dia bukan suka sangat kena push… Lebih baik aku tunjuk minat untuk berkawan saja tak lebih dari tu. No feeling hard! Dia pun takkan rasa terbeban.”
Itu yang Naira Iris fikirkan. Dia pun bukan teruk sangat nak permainkan perasaan orang lain demi kepentingannya. Jadi lebih baik dari awal dia sudah letak had dalam rancangannya walau semua boleh berubah. Naira Iris perlu berani dalam rancangannya.
“Okey. Deal! Aku akan tolong kau. Girls brings boy out!”
Naira Iris tersenyum. Aileen satu-satunya kawan yang takkan hampakan dia tapi selalu beri sokongan padanya. Sekali Naira Iris melangkah, dia perlu bersedia. Kemungkinan hatinya sendiri akan terluka dengan rancangan yang dia cipta!
Hai semua... Jemput baca karya baru NovelPlus Original. Bab esok akan update pukul 12pm tau. Jangan lupa komen dan rate ya.
Share this novel