Bab 1
HUJAN renyai yang membasahi bumi, menyebarkan bau ketenangan dan membuatkan semua merasakan nyaman. Kakinya dibawa ke dalam bilik dan dengan degup jantung yang laju. Diluahkan apa yang dia mahukan.
“Awak, saya nak... malam ini.”
“Tak dapat.”
Wajah ceria Aamal serta-merta berubah sendu apabila menerima penolakan mentah-mentah daripada suaminya. Setelah sekian lama mengumpul keberanian, inilah jawapan mengecewakan yang dia terima.
“Kenapa? Kenapa awak tak nak sentuh saya?”
“Saya tak cintakan awak.”
“Hubungan suami isteri itu perlu berdasarkan cinta ke?”
“Dia macam makan tapi tak kenyang?”
“Saya tak tahu sebab saya tak pernah buat. Tapi walaupun awak tak cintakan saya, sekurang-kurangnya kita lakukan ini demi keluarga kita.”
Aamal bangun dari katil dan menghampiri suaminya yang sedang berdiri menghadap tingkap.
“Awak, tolonglah,” Aamal memeluk suaminya dari belakang. “Jangan buat untuk saya, tapi untuk keluarga kita.”
Sunyi. Tiada jawapan.
“Kalau awak tak nak juga, saya cakaplah yang awak ni gay. Lepas tu saya cakap pada kat keluarga kita yang awak tak nak ada anak.” Sengaja Aamal mengugut. Entah kenapa suaminya ini tidak mahu menyentuhnya. Bukankah idaman semua lelaki untuk disentuhi dan menyentuh?
“Mengarutlah awak ni.”
Aamal tersenyum menggoda. “So, jomlah.”
Nampaknya sia-sia sahaja Aamal memujuk. Suaminya memang tidak akan pernah menyentuhnya. Hatinya menjadi sakit dan entah kenapa hanya satu yang terlintas di kepalanya.
“Apa yang awak dapat ya buat saya macam ni? Saya penat nak kejar awak. Kalau awak memang dah tak ada rasa dengan saya. Baik kita bercerai je,” jawab Aamal geram.
Aamal benar-benar penat. Perlahan-lahan dia melepaskan pelukannya dan ingin berpaling, namun tiba-tiba tangan suaminya menahannya dan tanpa sebarang amaran, bibirnya menyentuh bibir Aamal.
“Awak?”
Wafi Zahin tidak berkata apa-apa dan terus mendalamkan ciumannya sehingga tubuh Aamal terdorong ke belakang dan terjatuh ke atas katil.
“Betul ke ni?” soal Aamal gugup dan terharu.
“Diamlah dan ikut sahaja apa yang saya buat.”
Malam yang diimpikan Aamal akhirnya menjadi kenyataan. Namun apakah pengakhirannya? Adakah cinta akan tumbuh dalam hati Wafi? Atau Wafi hanya tidak mahu digelar gay?
“AAMAL.”
“Ya, kak.”
“Jadi isteri yang baik ya. Terima kasih sebab terima cadangan akak ni. Wafi kawan yang sangat baik untuk akak. Kawan baik akak dan adik akak ni adalah dua orang yang paling akak sayang...” Aamna bercakap perlahan dan menahan sakitnya yang sudah seperti menunggu penghujungnya.
Aamal mengangguk dengan linangan air mata.
Aamna mengalihkan pandangannya kepada kawan baiknya, Wafi. Bibirnya mengukir senyuman lebih lebar agar Wafi tidak bersedih.
“Awak jaga adik saya okey? Kitorang dah tak ada sesiapa. Tolong jaga dia untuk saya.”
Wafi Zahin mengangguk tenang sambil mengawal air matanya. Saat semua orang dalam bilik itu menangis, Wafi Zahin tidak menitikkan setitis air mata pun. Dia hanya membalas senyuman Aamna dengan senyuman paling manis yang pernah dia berikan.
“Awak jangan risau. Saya akan jaga amanah awak.”
Wafi Zahin mendekatkan bibirnya ke telinga Aamna dan membimbingnya mengucapkan syahadah. Dengan tersekat-sekat, Aamna mengikuti bimbingan Wafi. Wafi Zahin terus membaca sehingga akhirnya dia merasakan suara itu lemah sepenuhnya dan nafasnya terhenti.
Seketika itu, bilik hospital dipenuhi dengan tangisan. Aamal menggenggam erat tangan kakak saudaranya, tidak mahu melepaskan. Aamal mahu menangis sekuat hati untuk meluahkan kesedihannya. Tapi dia tahu dia tidak boleh. Walau sakit, Aamal harus reda agar kakak saudaranya tenang di alam sana.
Walaupun mereka hanya hubungan kakak dan adik saudara sebelah ibu. Namun, hanya keluarga itu yang dia ada di muka bumi ini.
Proses pengebumian berjalan lancar. Semua orang mula meninggalkan tanah perkuburan, tinggal hanya Wafi Zahin dan Aamal. Aamal berdiri di belakang Wafi Zahin yang masih setia di sisi kubur Aamna.
“Tolong tinggalkan saya.”
Aamal terdiam seketika. “Boleh tak saya temankan awak kat sini?”
“Saya nak sendirian. Tolong, saya betul-betul nak sorang-sorang.”
“Baik.”
Dengan berat hati, Aamal meninggalkan kubur kakak saudaranya. Aamal merasa sangat kehilangan atas pemergian kakak sedaranya, namun kelihatan Wafi Zahin jauh lebih terkesan. Wafi Zahin langsung tidak menangis, dia nampak begitu kuat.
Namun sebenarnya, dia tidak sekuat yang terlihat...
Saat langkah Aamal semakin menjauh, samar-samar Aamal terdengar tangisan Wafi Zahin.
Aamal menoleh dan melihat suaminya yang juga merupakan kawan baik kakak saudaranya menunduk pilu. Air mata yang tadi sempat kering kembali mengalir di pipi Aamal.
Rasanya Aamal ingin berlari dan memeluk Wafi Zahin untuk memberikan kekuatan. Aamal ingin berkongsi kesedihan dan saling menguatkan. Namun Aamal tahu, saat ini Wafi Zahin hanya mahu bersendiri.
Aamal meneruskan langkahnya dan meninggalkan tanah perkuburan.
“AAMNA...”
Wafi Zahin mengusap nisan kawan baiknya dengan lembut seolah-olah sedang mengusap tubuh Aamna sendiri. Rasa seperti mimpi bila Aamna pergi secepat ini.
Sekitar enam bulan lalu, penyakit Amna merebak dengan begitu cepat. Tiga hari selepas sedar daripada pengsan, kesedarannya bukan untuk kembali hidup seperti biasa, tetapi untuk menikahkan Wafi Zahin dengan adik saudaranya. Bahkan di detik-detik akhir hayatnya, Aamna masih memikirkan kebahagiaan orang lain. Sedangkan mereka berdua saling memendam perasaan…
“Awak asyik cakap saya akan bahagia dengan Aamal. Tapi awak tahu tak, saya cuma sayangkan awak, hanya awak. Jangan marah kalau saya tak dapat terima adik awak sepenuhnya. Dan jangan marah kalau suatu hari nanti saya melepaskan dia. Saya yakin dia akan lebih bahagia dengan lelaki lain. Tapi awak jangan risau, saya akan sentiasa menjaga dia seperti yang awak amanahkan. Itu janji saya, dan saya akan pegang selamanya.”
SELEPAS dari tanah perkuburan, Aamal pulang ke rumah ibu saudaranya. Kedua-dua orang tuanya telah meninggal dunia, dan Aamal tinggal bersama kakak kepada ibunya. Beliaulah yang menjaga Aamal sejak remaja.
“Mak long.”
“Aamal, kuatkan hati ya.” Aminah memeluk anak saudaranya dan hanya satu-satunya saudara yang dia ada yang sudah dianggap seperti anak sendiri. Sudah tentu berat untuk Aamal menerima pemergian kakak saudaranya iaitu anak kepadanya yang begitu mendadak. Tapi apalah daya jika itu sudah takdir.
“Jom duduk dulu.”
Aminah membawa Aamal duduk di salah satu kerusi, lalu ke dapur mengambil segelas air putih dan menghulurkannya pada Aamal.
“Terima kasih, mak long.”
“Sama-sama.”
Sambil Aamal minum, Aminah mengusap rambutnya.
“Kita kena kuat. Sama-sama kuat. Melepaskan Aamna bukanlah mudah tapi dia dah cukup menderita dengan sakit dia. Sekurangnya dia pergi dalam keadaan yang baik-baik dan memaafkan semua yang terjadi. Kita doakan kesejahteraan Aamna ya, Aamal.”
Air mata Aamal kembali mengalir, namun cepat-cepat dia menyeka.
“Ya, mak long. Saya akan terus kuat... seperti Kak Aamna yang tak pernah penat untuk jalani hidup.”
Aminah tersenyum lega mendengar kata-kata itu.
“Oh ya... Wafi mana?”
“Wafi Zahin masih di kubur Kak Aamna. Nampaknya dia masih belum mampu lepaskan pemergian Kak Aamna.”
“Ya, itu perkara biasa. Kamu pun tahu kan, betapa sayangnya Wafi Zahin pada kakak kamu.”
“Ya, mak long. Saya tahu. Dan itu yang saya paling takutkan.”
“Takut apa?”
“Saya takut saya tak mampu gantikan tempat Kak Aamna. Kak Aamna terlalu sempurna. Jauh berbeza dengan saya yang biasa-biasa je. Kak Aamna wanita yang lembut, baik, dan pandai dalam segala hal. Sedangkan saya… saya masih jauh, mak long. Saya takut saya tak mampu jadi kawan yang baik untuk Wafi,” luah Aamal.
Melihat sendiri keakraban mereka berdua sesungguhnya membuatkan dia selalu tertanya-tanya tentang hubungan sebenar mereka. Namun, dia sedar. Mereka hanyalah sekadar kawan baik cuma mungkin dengan agak rapat.
“Jangan fikir macam tu. Kamu juga perempuan yang hebat. Kalau kamu tak mampu jadi seperti Aamna, jadilah diri sendiri. Jangan cuba jadi Aamna kedua. Buat suami kamu jatuh cinta dengan siapa kamu yang sebenar dengan semua kelebihan dan kekurangan kamu.”
“Boleh ke Mak Long?”
“Boleh. Pasti boleh. Tapi perlukan masa. Bukan mudah untuk buat Wafi jatuh cinta pada kamu. Benda ni takkan berlaku dalam sehari, sebulan, atau mungkin bertahun-tahun. Tapi Aamal gadis yang baik. Tak akan susah untuk buat suami Aamal sayang pada Aamal. Lakukan segalanya dengan ikhlas dan penuh kasih sayang, tanpa mengharapkan balasan.”
Nasihat Aminah sangat berguna, namun dia tetap risau.
Adakah melupakan seseorang yang kita sayang itu sesukar itu?
Aamal tidak pernah jatuh cinta pada lelaki. Dia tidak pernah merasai debaran jantung atau gugup bila berhadapan dengan seorang lelaki. Dia juga tidak pernah melalui patah hati, jadi dia tidak tahu rasa perit yang orang kata boleh membuatkan kita rasa seperti mahu mati.
Namun, Aamal yakin… sakitnya patah hati itu mungkin sama seperti peritnya ditinggalkan buat selama-lamanya oleh kedua ibu bapanya dan kakaknya.
“Aamal.”
Mak Long mengusap rambut Aamal dengan lembut.
“Satu perkara yang kamu kena ingat. Walaupun Aaman dah tak ada, jangan pernah rasa kamu keseorangan. Masih ada mak long. Mak long akan sentiasa ada untuk kamu. Bila kamu rasa penat, jangan menangis sendiri. Datanglah pada mak long. Mungkin pelukan mak long tak sehangat pelukan ibu kamu, tapi mak long akan sentiasa membuka tangan untuk menyambut dan memeluk kamu.”
Air mata Aamal kembali mengalir.
“Terima kasih, mak long. Terima kasih banyak.”
Aamal segera memeluk erat ibu saudaranya.
“Kali ini je, Aamal boleh menangis sepuas-puasnya, ya mak long?”
“Boleh, Aamal. Menangislah… jangan pendam. Lepaskan semuanya.”
Tangisan Aamal akhirnya pecah dalam pelukan mak longnya.
Share this novel