TRISHA DIANI merenung langit sambil tarik nafas dalam dan dihela perlahan. Barulah dia merasa tenang dan nyaman setelah berhari-hari sibuk di pejabat menguruskan kemasukan pelajar praktikal yang baru sahaja mendaftar semalam. Kepala digerak ke kiri kanan cuba meregangkan urat-urat yang seakan menegang di lehernya. Sekali sekala dia mengurut lembut bahu dengan kedua-dua belah tangan.
Lagu S.M Salim berjudul Tak Seindah Wajah berbunyi dari telefon genggamnya. Lagu kegemaran si pemanggil.
Trisha mendungas perlahan. Malas betul nak menjawab panggilan itu. Dapat dia agak siapa gerangan yang menghubunginya kerana nada dering tersebut diletakkan khas untuk si pemanggil. Matanya mengerling pada telefon bimbit yang berada di tempat duduk sebelah. Sekali lagi dia mendungas kecil.
“Papa…” gumam Trisha dengan malas.
Beberapa saat kemudian, deringan tersebut berhenti. Belum sempat dia menarik nafas lega, sekali lagi telefonnya berbunyi. Perlahan dia meraup muka sambil mengeluh kecil. Dengan malas Trisha meranggeh telefon genggam itu dan disentuh imej jawab yang ada pada skrin telefon.
“Hello, Dato’ Tamim. What do you want, dato’?” sengaja dia mengalun intonasi malas pada suaranya dan menyebut nama Dato’ Tamim sebegitu.
“Adik, papa collapsed!” suara Datin Maria terdengar cemas dicorong telinganya. Trisha tergamam seketika. Setelah beberapa saat otaknya menghadam segala kata-kata Datin Maria, barulah Trisha memberi respon.
“Kenapa dengan papa?”
“Mama tak tahu. Tadi papa okey. Tapi, sekarang…” kata-kata itu terhenti di situ. Hanya esakan kecil sahaja yang kedengaran di hujung talian.
“Adik ke sana sekarang!”
Panggilan ditamatkan.
Tidak menunggu lama, Trisha bergegas bangun dari situ dan berjalan deras masuk semula ke ruang tamu. Dia perlu bersiap sepantas yang mungkin dan bertolak dengan lebih cepat pergi ke rumah orang tuanya.
SEBAIK sahaja sampai di halaman Teratak Sakura milik orang tuanya, Trisha terus berlari anak masuk ke rumah. Dada terasa berdetak tanpa arah. Kebimbangannya memuncak apabila melihat tiada siapa yang menyambutnya di muka pintu. Langkah diperbesarkan menuju ke tingkat atas. Pantas dia mendaki anak tangga dan hampir sahaja dia tersungkur di anak tangga terakhir. Dada digosok laju sambil bibir memanjat rasa syukur kerana dia tidak terjatuh di situ. Kalau tak, bertambah pula satu masalah lagi.
Kini, matanya ditalakan pada pintu bilik Dato’ Tamim. Tanpa menoleh kiri dan kanan, dia berlari anak ke arah bilik itu. Tombol pintu dipulas dan daun pintu ditolak. Terus kepalanya menjengah ke dalam.
Kelihatan Dato’ Tamim sedang terlantar di atas katil dengan wajah yang pucat dan matanya tertutup rapat. Trisha memandang pula pada Datin Maria dan di sebelah ibunya ada doktor peribadi keluarga mereka iaitu Doktor Safwan, turut berada di situ.
Serentak kedua mereka menoleh pada Trisha saat terdengar pintu terbuka.
“Adik!” Datin Maria meluru ke arah anak perempuan tunggalnya itu.
“Macam mana dengan papa? Is he okay?” soal Trisha seraya memeluk tubuh Datin Maria. Mereka bersama-sama berjalan mendekati katil Dato’ Tamim.
“Uncle Tamim cuma penat. Mungkin banyak kerja di pejabat menyebabkan dia letih dan pengsan,” terang Doktor Safwan pada Trisha. Wajahnya kelihatan tenang dan senyuman nipis terukir di bibir lelaki itu. Trisha mengangguk kecil.
Doktor Safwan yang sudah lima tahun berkhidmat sebagai doktor peribadi buat keluarga Dato’ Tamim agak mesra dengan keluarganya.
Trisha hela nafas lega selepas mendengar kata-kata tersebut. Datin Maria yang masih berada di dalam pelukannya dipandang. “Ma, papa okey. Don’t cry…” pujuk Trisha.
“Mama panik sangat tadi…” sayu suara Datin Maria meluahkan perasaan. Kolam matanya berkaca-kaca. Jelas terpancar kebimbangan yang masih belum surut diraut wajah tua itu.
“Don’t worry, aunty. Tiada yang serius pada kesihatan uncle. Uncle cuma perlu berehat sahaja daripada memikirkan kerja-kerja di pejabat. Itu sahaja,” ujar Doktor Safwan lagi.
Datin Maria mengesat air mata dengan telapak tangan. Hatinya turut lega mendengar penjelasan daripada Doktor Safwan. Cuma dia masih lagi terkejut dengan apa yang berlaku.
“Aunty pun perlu berehat,” pesan Doktor Safwan lagi.
“Mama dengarkan? So, jangan risau lagi tentang papa. He’s okay.”
“Thank you, Wan,” ucap Datin Maria. Doktor Safwan mengangguk sambil tersenyum nipis. Kemudian, Datin Maria mendekati Dato’ Tamim dan melabuhkan punggung di sebelah suaminya. Dia memandang sayu pada wajah si suami. Kebimbangannya masih belum surut.
“I pulang dulu, aunty,” kata Doktor Safwan meminta diri.
“Okey Wan. Thanks again,” balas Datin Maria seraya memandang sekilas pada Doktor Safwan.
“Trish, can we talk?” soal Doktor Safwan separa berbisik. Trisha angkat kening. Namun, dia mengangguk tanda setuju.
“Ma, Trish hantar doktor ke pintu ya,” ujar Trisha.
“Okey, Trish. Then, tolong minta Mak Mah bawakan orange juice untuk mama,” Datin Maria menitip pesan.
“Alright.” Lantas dia membuntuti Doktor Safwan keluar dari kamar itu.
Langkah kaki Trisha terhenti saat melihat sosok tubuh abang-abangnya yang baru sahaja mendaki anak tangga. Masing-masing memandang antara satu sama lain. Langkah mereka yang kelihatan tenang itu membuatkan Trisha sedikit geram. “Tenang sangat tu!” selamba sahaja Trisha melontar kata dengan riak dingin.
Doktor Safwan yang berada di hadapan Trisha hanya ketawa kecil saat mendengar kata-kata itu.
“Habis tu, adik nak suruh angah dengan along ni marathon ke apa?” balas Tazim bersahaja. Trisha cebir bibir.
“Tenang-tenang saja,” celah Thaqeef pula. Dia memang sentiasa bertenang dalam apa jua situasi. Trisha buat olengan mata saat mendengar jawapan daripada Thaqeef.
“Eloklah semua ada di sini,” Doktor Safwan memula bicara. Thaqeef dan Tazim serentak memandang Doktor Safwan. Terdetik di hati mereka sesuatu yang tidak baik telah menimpa kesihatan Dato’ Tamim.
“Serius ke sakit papa?” soal Tazim. Dahinya berkerut. Doktor Safwan menarik nafas dalam. Satu per satu wajah anak-anak Dato’ Tamim yang berada di depannya dipandang.
“Uncle Tamim mengalami gejala hipertension. Sewaktu I cek tekanan darah, ia melebihi daripada tekanan darah normal,” jelas Dotor Safwan tenang.
Tazim dan Thaqeef mengangguk serentak. Cuma Trisha sahaja yang tidak buat begitu kerana dia terlalu fokus pada penerangan lelaki di depannya itu. Dia menanti dengan penuh sabar apa yang Doktor Safwan mahu sampaikan kepada mereka bertiga.
“Memandangkan uncle dah berusia. Dia harus dapatkan rawatan susulan di hospital. Jika tidak, bimbang mempengaruhi kesihatan uncle. Jadi, I harap salah seorang antara you all bertiga, boleh pujuk Uncle Tamim untuk jalani rawatan di hospital,” sambung Doktor Safwan lagi.
Trisha, Thaqeef dan Tazim saling berpandangan antara satu sama lain. Terdengar keluhan kecil dilepaskan daripada mulut Tazim. “Bukan senang nak pujuk papa,” gumamnya perlahan.
Trisha angguk tanda setuju. Thaqeef pula hanya membungkam.
“Jika tidak dirawat, bimbang keadaan uncle semakin memburuk,” Doktor Safwan bersuara lagi. Dia harus memastikan salah seorang antara mereka berjaya memujuk Dato’ Tamim agar menjalani rawatan lanjut di hospital.
“Biar adik try pujuk papa,” Trisha menawarkan diri. Thaqeef dan Tazim serentak menalakan mata mereka ke arah Trisha.
Trisha yang selalu sahaja tidak sebulu dengan Dato’ Tamim dan selalu juga merajuk, menawarkan diri untuk memujuk? Tazim terus tertawa. Kepala digeleng laju sambil tangan menekup mulut. Sekali lagi Trisha buat olengan mata. Geram dengan ejekan Tazim padanya.
Pap!
Pukulan padu hinggap pada perut Tazim. Tersentak Tazim seketika apabila terasa perutnya dipukul. Perit. Thaqeef dan Doktor Safwan hanya tersenyum melihat gelagat Trisha dan Tazim.
“Sakitlah, gila!” marah Tazim sambil perutnya digosok perlahan. Mencerlung mata Tazim memandang Trisha yang sedang menjelir lidah padanya.
“Sudah. Jangan bergaduh!” Thaqeef memberi amaran apabila melihat Tazim seakan mahu membalas serangan Trisha itu tadi. Terus terhenti tindakan Tazim setelah mendengar amaran daripada abang sulungnya. Terbantut segala serangan yang baru sahaja ingin dia balas semula pada Trisha. Adik perempuannya itu tersenyum mengejek. Tazim pula buat muka geram.
“Okey, Wan. Nanti kami cuba pujuk papa untuk dapatkan rawatan di hospital,” ujar Thaqeef dengan serius. Doktor Safwan mengangguk seakan berpuas hati dengan jawapan yang didengarinya.
“Kalau begitu, I balik dulu,” kata Doktor Safwan meminta diri untuk pulang. Setelah bersalaman dengan Thaqeef dan Tazim, dia terus berjalan menuju ke anak tangga dan turun.
Thaqeef memandang pada kedua-dua adiknya. Terbit rasa gelisah di hati. Tazim dan Trisha diam membisu. Thaqeef tahu semua orang mula bimbang akan kesihatan Dato’ Tamim.
“Jangan beritahu mama buat masa ni,” pesan Thaqeef setelah beberapa detik dia berdiam diri. Tazim dan Trisha hanya mengangguk setuju.
Kemudian, mereka bersama-sama masuk ke kamar Dato’ Tamim untuk melihat keadaan ayah mereka.
Share this novel
tahniah.