EDEN keluar dari bilik dan tutup pintu bilik dengan cermat.
Di luar, dua orang pengawal berdiri dengan wajah serius.
“Macam mana?” ujar salah seorang dengan nada sinis.
Seorang lagi menjawab, “Tuan Muda, memang tak salah lagi. Memang orang yang kita sangkakan tu. Kereta Tuan Muda habis kena bakar, tapi tu bukan masalah besar. Kami dah uruskan orang-orang tu tadi. Tapi... perempuan yang dengan Tuan Muda tadi memang lain macam. Power!”
“Buat background check. Nama dia Naria Aulia.”
“Baik, Tuan Muda. Ah, orang-orang tu, nak kami apakan?”
“Patahkan kaki diorang, hantar balik ke ‘tuan’ diorang,” arah Eden dengan dingin walaupun bibirnya mengukir senyuman sinis.
Berani buat, beranilah tanggung akibatnya.
“Err... Yang Cik Puan dalam bilik tu, nak kami buat apa?”
“Carikan aku rumah PPR satu. And sediakan aku RM 100,000, cash.”
Dia ambil sapu tangan daripada poket lelaki berambut panjang di sebelahnya dan mengelap sisa ubat di tangannya, matanya penuh tekad.
Anak buahnya bingung, tak faham apa niatnya.
“Lepas tu… nak buat apa?”
Eden mengecilkan mata, kemudian berkata perlahan, “Aku akan kahwin dengan dia.”
KEESOKAN paginya…
Naria terjaga disebabkan cahaya terang dari luar tingkap. Kemudian barulah dia teringat yang semalam dia pergi ke hotel dan sesuatu yang tak masuk akal telah berlaku.
Dan kemudian lelaki tu... Gigolo tu…
Belum sempat dia habis berfikir, pintu dibuka dari luar. Dia spontan menoleh.
Lelaki tinggi itu bersandar di pintu dengan senyuman kecil sambil memegang satu beg. Dia merenung wanita yang berada di atas katil dan baru bangun. Rambutnya serabai.
“Selamat pagi,” sapa Eden.
Suaranya lembut. Sama dengan embun pagi yang terletak di atas dedaun pohon. Cukup menenangkan gelisah dalanm hati. Namun wajahnya nampak bertentangan. Eden nampak jahat dan berbahaya.
“Morning…” jawab Naria, sedikit gugup.
Selepas dia siap bersiap, barulah dia sedar lelaki itu berpakaian sangat santai. Hanya kemeja biasa dan seluar kasual hitam. Aura lelaki kaya palsu dengan sut Balenciaga semalam hilang terus. Dan pagi ini, Eden nampak lebih muda berbanding semalam.
“Mana baju Balenciaga awak yang semalam tu?” soal Naria.
Eden memandang beg yang dibawa dengannya pagi ini. Sinar sedih jelas kelihatan pada wajahnya.
“Saya dah tinggalkan dunia gigolo tu. Saya takkan layan mana-mana perempuan lagi lepas ni. Saya tekad untuk berubah dan kahwin dengan awak, Naria.”
Naria terbatuk kecil. Dia dapat bayangkan ibunya mesti akan mengamuk kalau dia bawa lelaki ini balik.
DI rumah Naria…
Sebaik sahaja sampai di pintu, ibunya dah nampak tengah menyumpah, memaki tentang betapa tak gunanya anak perempuan itu. Naria terasa sakit hati, tapi dia tetap menahan diri.
“Assalamualaikum, mak cik,” Eden tiba-tiba menyapa.
Ibunya terkejut melihat lelaki itu. “Siapa ni?!” jeritnya.
Selepas menilai keadaan, wanita lewat 40-an itu terus melolong, “Anak perempuan tak guna! Kau keluar rumah semalaman dengan jantan?!” Tangannya diangkat tinggi, sedia untuk menampar.
Namun Eden terus menghalang. Tindakannya yang menggenggam pergelangan tangan wanita itu membuatkan wajah wanita itu meringis kesakitan.
Dia berkata tenang, “Saya datang nak masuk meminang anak mak cik. Harap mak cik boleh kawal emosi mak cik.”
“Kahwin dengan anak aku? Kau rasa kau mampu ke?”
“Maksud mak cik?”
“Kalau kau tak ada RM 300,000, jangan mimpi nak kahwin dengan anak aku!”
“Maaf, saya cuma ada RM 100,000.” Suaranya seakan malu dengan jumlah wang yang dibawa dengannya pada ketika itu.
“Duit pun tak ada, ada hati nak kahwin dengan anak aku? Pergi mampus sana!”
Dalam kepalanya, si ibu dah merancang untuk menyerahkan Naria pada lelaki tua kaya yang sedang nazak di rumah. Dengan cara itu dia dapat rumah di kawasan perumahan yang mewah dan duit dari duit hantaran. Kalau lelaki tua tu mati, mestilah harta lelaki tua itu akan diberikan kepada Naria.
“Cukuplah dengan RM 100,000. Kalau mak cik tak kahwinkan dia dengan saya, belum tentu ada lelaki dekat luar sana yang sanggup kahwin dengan anak mak cik,” balas Eden dengan yakin tapi berhati-hati.
“Hah! Jangan cakap macam bagus sangat! Anak aku ni dah ada calon!” jerit ibunya.
Naria menatap ibunya, suaranya tenang tapi penuh tekad, “Kalau mak tak restu Naria kahwin dengan lelaki ni, Naria rela bunuh diri. Lepas tu mak hantarlah mayat saya dekat orang tua.”
Kata-katanya taklah tajam, tapi nampaklah yang Naria memang enggan berkahwin dengan lelaki tua itu.
“Kau ni memang anak sial!” makinya lagi.
Tiba-tiba seorang lelaki berlari masuk ke rumah itu. “Puan! Puan, Tuan Azhar baru meninggal sekejap tadi!”
“Apa?!” ibu Naria terduduk, terkejut.
Duit… Rumah impiannya… Calon ‘perfect’ menantunya, semua hilang dalam sekelip mata.
“So… kamu nak kahwin dengan anak mak cik dengan hantaran RM 100,000 tu?” soal si ibu lagi, mendongak.
KEMUDIAN, di surau...
Naria rasa gementar. Pada usia 24 tahun, dia akan berkahwin dengan seorang lelaki yang pada masa ini… masih belum bekerja.
“Kenapa? Awak menyesal nak kahwin dengan saya?” Eden memandangnya.
“Tak… Sebab saya, awak dah hilang RM 100,000 peninggalan arwah mak awak. Jomlah kita….” Naria menarik tangannya.
“Awak ada rumah tak?” soal Naria tiba-tiba. Selepas ibunya setuju untuk kahwinkan dia dengan Eden, dia ibarat kena halau keluar dari rumah. Semua barang dia kena humban keluar dari rumah.
Dia dah tak dibenarkan balik ke rumah itu lagi.
“Ada.”
PADA hari pertama perkahwinan mereka, Eden bawa Naria balik ke ‘rumah baru’ mereka.
Rumah PPR itu kecil sahaja dalamannya. Dalam rumah itu ada tiga bilik. Satu bilik utama, bilik kedua lebih kecil berbanding bilik utama dan bilik ketiga adalah di sebelah pintu masuk. Di luar bilik ketiga terus ke bahagian dapur yang sempit. Bilik mandi ada dua tapi yang kedua itu kecil dan sekali dengan jamban duduk. Ruang tamu pula ada sofa lusuh, meja kecil dengan beberapa botol air mineral yang hampir kosong dan ada semangkuk mi segera yang bersisa.
“Eden, saya nak tanya… Awak ada duit lagi ke sekarang ni?” Naria terpinga.
Eden menoleh, “Kenapa? Awak menyesal kahwin dengan saya ke?” Dia sendiri hairan siapa yang uruskan tempat ini.
Walaupun dia minta benda remeh begini, rasanya tak perlulah nampak kotor macam ni.
“Bukan. Saya nak beli barang dapur. Hari ni kan kita baru kahwin. Takkanlah awak nak saya buatkan awak megi?” Naria mengeluh.
Eden seluk poket dan keluarkan RM 200. “Ni cukup ke?”
“Sementara saya nak kemas rumah ni, boleh tak kalau awak tolong pergi belikan barang dapur?”
Sejak melangkah masuk, Naria terus masuk ke dalam mode mak-mak. Dia terus mengerah Eden untuk bekerja.
“Saya… pergi beli barang dapur?” Eden terpinga. Dia tak pernah jejak kaki ke pasar raya. Pasar raya tu apa pun dia tak tahu.
“Awak memang selalu makan megi je ke?” Nada Naria lembut, ada nada kesian dalam intonasinya. “Hari-hari tak boleh makan mi segera. Tak elok.”
Eden terdiam. Entah kenapa, setiap kali dia memandang perempuan ini, dia akan rasa macam dia tengah kena bebel dengan seorang warga emas.
Dia ambil senarai yang dibuat oleh Naria sebelum melangkah keluar untuk tugasan beli barang dapur yang pertama dalam hidupnya.
Tangannya terus hubungi nombor orang kanannya sebaik sahaja dia melangkah ke bahagian lif PPR itu.
“Nazri, pasar raya dekat mana?”
Hampir gugur lutut Nazri. Presiden kepada empayar perniagaan terbesar dunia, orang terkaya di dunia, yang ada tukang masak Michelin dari Itali, tengah tanya pasar raya dekat mana?
Dah gila ke bos dia ni?
Share this novel