Beberapa hari meluangkan masa bersama, ada hal yang membuatkan Dara tertanya-tanya. Apa Haris tidak perlu bekerja? Rasanya terlalu lama masa yang diperuntukkan Haris buatnya. Malah masa mereka bukan saja dihabiskan berada di rumah. Puas Haris membawa Dara berjalan ke sini dan sana. Dan selepas ini ada satu destinasi terakhir yang mereka akan tuju sebelum pulang ke rumah. Itu yang disebut-sebutkan oleh Haris malam tadi. Cuma Dara masih belum tahu di mana destinasi terakhir mereka.
“Ingat siapa?”
Dara yang sejak dari tadi menghabiskan masa menikmati pemandangan pagi dari balkoni menoleh. Bibirnya terus merekah menyambut kepulangan Haris.
“Someone.” Dara bawa kaki mendekati Haris yang berpeluh-peluh. Rutin suaminya di pagi hari. Tak perlu dia bertanya ke mana perginya Haris kerana suaminya pasti akan keluar berjoging atau berbasikal jika ada waktu terluang.
“Siapa yang bertuah tu? Pagi-pagi dah ada yang rindu.”
Semakin lebar senyuman Dara.
“Awak dah sarapan?”
Soalan Dara itu hanya mengundang lirikan Haris. Suaminya nampak tidak berpuas hati dengan sesi berbalas soalan di antara mereka.
“Belum?” Dara memilih untuk mengabaikan lirikan tersebut.
“Kalau buat muka macam tu, betul lah tu. Tipikal orang lapar. Suka pandang orang macam nak makan.” Dara bersuara lagi.
Dara saja berjalan melintasi Haris. Dia tahu, dirinya menjadi perhatian Haris. Bila suaminya sudah diam, itu tandanya dia perlu bersedia. Haris itu akan mengadakan rancangan berskala besar. Dan, Dara juga perlu menyediakan perisai kukuh untuk menepis serangan tersebut.
“I see…Awak dah pandai abaikan saya.” Lima minit menjadi pemerhati dan pendengar, akhirnya Haris bersuara.
“Mandi dulu, baru sarapan.” Dara abaikan apa yang baru disebut Haris.
“Mandi akan buat saya lebih lapar.” Kata Haris.
Langkah Dara terhenti. Perut Haris perlu dijaga. Jadi dia perlu tukar rancangan.
“Kita sarapan dulu.” Putus Dara.
Mujur semuanya telah terhidang awal-awal lagi. Langkah diatur ke meja makan tidak jauh dari sini. Baru beberapa langkah, Dara menoleh bila Haris masih tidak berganjak dari tempatnya.
“Kata lapar…” Sebelah kening naik, mempersoalkan Haris yang masih di situ dengan ke dua tangan berada di pinggang. Dara faham sangat gaya itu. Gaya orang tidak berpuas hati sejak di awal perbualan.
Dara kembali mendapatkan Haris. Sengaja meneroka seluruh wajah Haris. Hasil penerokaan lima minit, Dara menemukan apa yang dimahukan suaminya. Dia menemukan punca Haris begini. Dan Haris akan begini selagi tiada penjelasan dari pihaknya.
“Gara-gara someone tu…Awak cemburu?” Sengaja Dara bertanya soalan begitu.
“Cemburu tanda sayang, Dara.”
Tangan Dara naik melekap pada tulang pipi suaminya.
“Saya tahu, Haris.”
Sebelah kening Haris terjongket. Kalau dah tahu, kenapa tidak berterus terang? Seingat Haris, dia sudah tekankan hal ini awal-awal lagi. Dara bebas bercinta dengan sesiapa pun. Percintaan itu terbatal jika Dara sudah menjadi hak dia yang mutlak.
Namun, sedikit sebanyak. Dara tak pernah lagi berbohong. Isternya terlalu jujur. Ada kalanya, Haris tidak mampu mengawal perasaan. Seperti apa yang berlaku sekarang. Dia tidak akan tenang selagi tidak tahu siapa orangnya. Dia tidak akan benarkan mana-mana lelaki singgah di fikiran isterinya.
“Yang cetek akalnya, yang sukar ajak diajak berkompromi dan yang kuat cemburu tak bertempat…Yang itu lah buatkan saya selalu teringatkan dia. Kuat kan pengaruh someone tu? Sampai sekarang saya pun asyik teringatkan dia.” Sengaja Dara menyebut perkataan cemburu. Dan provokasi Dara berjaya bila Haris mengecilkan sepasang matanya.
Haris tahu, Dara hanya fikirkan dirinya. Demi menguatkan telahannya, dia perlu dengar sendiri dari mulut isterinya, barulah dia berpuas hati.
“Berhenti cemburu dengan diri awak, Haris. I was thinking about you.” Akui Dara bila Haris seperti mahu menerkam dia sekarang juga.
Barulah bibir Haris membentuk senyuman. Tangan Dara yang masih di wajahnya, diraih. Agak lama dia menyelami jauh ke dasar anak mata isterinya. Dia masih samar-samar mencari tahu apa yang menganggu isterinya sejak semalam.
“Awak ada sesuatu yang nak dikongsikan bersama saya?”
Haris perasan, senyuman Dara itu hilang sesaat sebelum kembali semula sedia kala. Malah, Dara tenang menjawab soalannya.
“Saya dah berkongsi semuanya dengan awak, Haris.”
“Tapi saya rasa ada satu yang kurang.” Haris masih dengan firasatnya.
Sekali lagi Haris menemukan senyuman kekok Dara. Malah dua kali isterinya tertangkap melarikan pandangan mata.
“Itu hanya perasaan awak.” Dara pura-pura mengambil tuala yang elok melilit di leher Haris.
“Perasaan saya jarang-jarang gagal, Dara.” Haris tetap rasa ada yang tak kena. Lebih teruk, pergerakkan tangan isterinya ingin mengelap peluh dia juga terbantut.
“Really? Saya pun tak pernah cakap awak gagal.”
Sorotan Haris berubah sekelip mata. Dia tahu cara untuk menangani Dara. Yang pasti, bukan dengan cara memaksa. Dia ada cara jauh lebih berkesan.
“Haris!”
Dara menolak tubuh Haris yang mendekat. Haris sepatutnya mandi terlebih dahulu. Peluh ditubuh suaminya pun baru sahaja ingin mengering. Namun percubaan untuk menjauhkan Haris kebiasaannya menemui kegagalaan. Kini Haris pusingkan badannya, lalu di dorong perlahan.
“Kita nak ke mana, Haris?” Biarpun dia nampak ke mana arah tujunya Haris, Dara tetap juga bertanya.
“Mandi.” Jawab Haris sepatah.
“Tapi saya dah mandi.”
“Tadi awak cakap dah berkongsi semuanya dengan saya. Bahagian ni…Saya rasa awak belum tunaikan.”
Selangkah lagi Dara akan menapak masuk ke dalam bilik air, dia berpusing mencari Haris. Bibir Haris itu bebas dari senyuman. Wajah Haris itu yang sedang tersenyum gatal padanya.
“Saya boleh buat benda lain sementara tunggu awak mandi.” Dara ingin beredar, namun Haris kalau sudah pasang niat. Sukar untuk dihapuskan niatnya.
“Dengan termenung fikirkan someone? No…No…No! Awak boleh tengok live. Saya dah ada depan mata awak.”
Mengetap seulas bibir Dara. Timbul rasa menyesal kerana berkata begitu tadi.
“I’m out of energy, Dara. Kalau tak, saya terus angkat je awak. Senang.”
Entah kenapa Dara tidak percaya Haris itu kehabisan tenaga.
“Saya perlukan tuala mandi.” Dara beralasan.
Pergerakkan Dara terbatas lagi bila tangan Haris menghalang dia pergi mengambil tuala tidak jauh dari sini.
“Saya ambil.” Haris menawar diri.
Baru dua langkah, telinga dia menangkap bunyi sesuatu. Sebaik menoleh, kelibat Dara telah pun menghilang di sebalik pintu. Kemudiannya dia mendengar isterinya bersuara dari dalam.
“Saya mandi dulu, tunggu turn awak lepas ni.”
Haris ketawa perlahan. Niatnya ingin mengenakan Dara, berbalik padanya semula.
Tumpuan Haris terganggu bila telefon dia berbunyi. Lekas dia panjangkan langkah pada meja solek berhampiran. Melihat nama pemanggil yang naik, segera butang hijau ditekan. Dia melangkah keluar dari situ. Sempat Haris menoleh sekali lagi bagi memastikan Dara masih di dalam bilik air.
“Assalamualaikum Kak.” Sapa Haris.
Dia mendengar butir bicara si pemanggil dengan teliti sebaik salamnya di sambut. Lima minit Haris begitu sebelum dia bersuara.
“Tunggu saya. Dalam dua jam saya sampai. Harap-harap sempat.”
Usai menamatkan panggilan, Haris masuk semula ke dalam biliknya. Tuala dicapai. Dia perlu segera bersiap. Dalam masa dua jam, dia dan Dara perlu berada di sana. Tidak boleh lambat. Dia pilih untuk menggunakan bilik air lain. Lain kali baru dia tuntut perkongsian yang ini.
“AWAK tak salah tempat ke Haris?”
Haris mengerling Dara di sisi. Tumpuan isterinya pada rumah banglo di depan. Haris juga perasan, berkali-kali Dara merenung papan tanda di hadapan banglo tersebut.
“Yayasan OrphanCare.” Sebut Haris. Tangan Dara masih di dalam genggaman dia.
Dara mencari seraut wajah Haris. Sebaik pandangan mereka bertaut, Dara cuba membaca isi hati suaminya. Dia juga ingin tahu kenapa Haris membawa dia ke sini. Lima minit merenung, Dara masih belum menemukan sebarang jawapan.
“Kita buat apa dekat sini? Awak nak ambil anak angkat?” Dara muntahkan soalannya bila Haris itu hanya merenung dirinya tanpa bersuara.
“Jom! Kak Riza dah tunggu kita.”
Bukan jawapan yang diterima, tetapi ajakan Haris untuk masuk ke dalam. Ajakan itu sudah memadai memberi dia jawapan bahawa Haris tidak salah membawa dia ke sini. Memang inilah tempat terakhir yang menjadi destinasi mereka.
Haris membuka pintu keretanya, hanya Dara yang teragak untuk turun. Selagi dia tidak tahu motif Haris, selagi itu rasa was-wasnya tidak surut.
“Come on, Dara. They are waiting us.”
Nak tak nak, Dara turun juga. Dia mengekori langkah Haris dari belakang biarpun suaminya masih belum melepaskan tautan. Tidak jauh dari sini dia menemukan wanita yang tampak manis berbaju kurung menunggu ketibaan mereka.
Automatik Dara melorek senyum. Sebaik Haris melepaskan tangannya, Dara menghampiri Kak Riza. Sepuluh jari dihulurkan untuk menyalami wanita tua beberapa tahun itu.
“Isteri Haris?” Ramah suara Kak Riza bertanya.
Senyuman tipis Haris menjawab pertanyaan Kak Riza.
“Mari, masuk dalam.” Pelawa Kak Riza.
Dara menurut tanpa banyak bicara. Namun, baru tiga langkah dia menoleh kembali bila Haris tidak ikut sama.
“Awak tak ikut?” Dara bertanya pada Haris masih tercegat di situ.
“Nope! Women’s Day. Saya tak nak ganggu. Kak Riza memang dah lama nak jumpa awak.”
Dengar saja kenyataan tersebut, dapat Dara rumuskan Kak Riza ini pasti antara yang rapat dengan Haris. Sebab itu suaminya langsung tidak risau meninggalkan dia bersama wanita ini.
“Bukan lama pun akak culik Dara. Tak sampai satu jam.” Sempat Kak Riza bergurau bila Haris pada dasarnya merelakan Dara pergi, namun raut wajahnya nampak sedikit seperti tidak rela melepaskan.
Kak Riza telah mengheret Dara masuk ke dalam, sempat dia menjeling Haris. Apa yang Dara dapat baca melalui pandangan mata suaminya, Haris akan baik-baik saja. Tak perlu terlalu risaukan seorang bayi tua itu.
“Haris selalu juga ke sini.”
Hilang bayangan Haris dari pandangan matanya. Dara menoleh ke sisi. Langkahnya diatur menyaingi langkah Kak Riza. Tidak gopoh. Sopan. Sesuai dengan penampilannya. Warna pastel menyerlahkan lagi kelembutan wanita ini.
“Haris ke sini?” Ini kali pertama Dara dengar bahawa Haris itu rupanya sering turun padang melakukan amal kebajikan.
Soalan Dara dijawab dengan anggukan kepala Kak Riza.
“Dara tahu apa fungsi tempat ni?”
Tiba-tiba Dara diajukan soalan tersebut.
Sungguh! Lidah Dara kelu untuk menjawab. Dia pun tak tahu Haris akan membawa dia ke sini. Ini kali pertama dia menjejakkan kaki di sini. Daripada papan tanda yang dibaca tadi, tempat ini pasti dihuni oleh anak-anak yatim. Tapi, anehnya. Sejak Dara menjejakkan kaki di sini, dia belum mendengar suara lain lagi. Keadaan juga sepi.
“Ni mesti Haris tak cerita kan?” Tebak Kak Riza bila Dara hanya tayang senyuman janggal.
“Sini...Akak tunjukkan Dara tempat ni.”
Sedikit sebanyak, Dara mula merasa selesa bersama Kak Riza. Mungkin kerana Kak Riza menjadi penghidup suasana. Bukan main riuh Kak Riza bercerita. Pantang Dara diam, ada saja modal wanita ini mengajak dia buka mulut.
“Baby hatch?” Kening Dara hampir bertemu bila mereka tiba di satu bilik khas yang tertulis ‘baby hatch’. Ada ruangan kecil yang sesuai untuk menempatkan bayi.
Seperti biasa, Kak Riza sentiasa tersenyum sebelum menjawab soalan.
“Di sini, kami cuba mengurangkan kes pembuangan bayi yang semakin meruncing. Bukan setakat tu, kami juga beri peluang untuk para ibu melahirkan dan menyelamatkan bayi-bayi mereka.”
Tak perlu Dara bertanya lebih lanjut. Dia tahu maksud ayat tersebut. Semestinya anak itu yang dilahirkan tanpa kerelaan ibu bapa mereka kerana anak itu tidak sah tarafnya. Dan kesalahan itu tidak wajar diletakkan semata-mata kepada wanita atau remaja yang hamil. Siapa tahu mereka sedang menanggung kisah pahit ditelan sehingga memilih untuk melahirkan bayi tanpa pengetahuan keluarga atau masyarakat.
“Anak kecil itu tidak berdosa, Dara. Mereka berhak untuk hidup. Kami cuba memberi sinar baru kepada mereka untuk hidup sama seperti bayi-bayi yang lain bersama keluarga angkat mereka.”
Dara jatuhkan pandangan pada katil bayi tidak jauh dari sini. Sempat dia meneroka keadaan sekeliling. Peti itu lengkap dengan penghawa dingin dan lampu. Sedikit sebanyak, Dara faham susur galur tempat ini diwujudkan. Semestinya, jiwa wanitanya sedikit goyah mendengar kata-kata Kak Riza.
“Kita tunggu di sebelah. Hari ni, kami ada terima kes baru. Dia akan serahkan anaknya dalam setengah jam dari sekarang.” Kak Riza mengajak Dara duduk di bilik bersebelahan dengan bilik baby hatch.
Di bilik ini, ada satu skrin hitam putih yang disediakan bagi memantau bilik baby hatch untuk memastikan keselamatan bayi yang ditinggalkan. Bilik ini digunakan pihak Yayasan menunggu selama lima belas minit jika si pemberi itu bertukar fikiran mengambil semula bayi mereka. Itu yang diceritakan Kak Riza sebentar tadi.
“Haris ada beritahu akak yang dia nak ambil anak angkat?” Entah bagaimana soalan itu boleh terpacul dari mulut Dara. Siapa tahu, suaminya dalam diam mempunyai niat sebegitu.
Kak Riza memandang Dara tidak berkedip sebelum dia ketawa perlahan.
“Kalau dia ada niat sekali pun, Haris masih belum layak untuk mengambil anak angkat.”
Sekali lagi dahi licin Dara berkerut.
Apa perlu ada syarat yang perlu diikut sebelum mengambil anak angkat?
“Sebelum Haris mengambil anak angkat, dia perlu tepati kriteria yang sudah ditetapkan pihak Yayasan. Yang pertama saja Haris sudah gagal. Sekurang-kurangnya pasangan itu sudah berkahwin selama lima tahun dan mempunyai rekod kesihatan berkaitan masalah kehamilan."
Ya!
Mereka baru mendirikan rumah tangga. Mana mungkin dia atau Haris mempunyai masalah. Hubungan mereka masih awal. Terlalu muda. Jauh lagi perjalanan mereka perlu tempuh.
“Setakat ini, ada lebih kurang tiga ratus keluarga angkat yang memohon. Sepuluh keluarga yang dalam senarai menunggu.”
Ayat seterusnya buatkan Dara insaf. Tak semua pasangan yang bertuah untuk memiliki anak. Tiga ratus itu bukanlah angka yang sedikit. Mereka terpaksa mengambil anak angkat sebagai inisiatif. Semestinya setiap pasangan mengharapkan kehadiran cahaya mata sebagai penyeri hubungan mereka.
“Jangan risau, Haris tu memang dah cakap dengan akak dia akan berusaha bersungguh-sungguh melahirkan legasi Hilman Haris.” Seloroh Kak Riza.
Merah padam muka Dara. Haris kalau bercakap hal kelambu mana pernah tidak bersungguh-sungguh.
“Haris memang macam tu. Tapi dia yang paling banyak bagi kerjasama. Dalam tempoh seminggu saja, segala urusan selesai dan mereka selamat ke pangkuan keluarga angkat masing-masing.”
Turun naik kepala Dara. Ini pun Kak Riza awal-awal sudah memberi pencerahan tadi. Sebaik bayi ditinggalkan, mereka akan membawa ke hospital untuk memastikan keadaan bayi stabil, bebas dari penyakit terutamanya HIV. Malah keluarga angkat juga akan dihubungi untuk melihat keadaan bakal anak angkat mereka. Kerjasama pihak PDRM pula adalah hanya menerusi laporan polis dibuat jika ada bayi yang diserahkan di sini untuk proses anak angkat.
Apa yang boleh disimpulkan, Dara sangat kagum dengan penubuhan Yayasan ini. Sekurang-kurangnya, mereka yang mengandung kerana menjadi mangsa kerakusan nafsu manusia, mempunyai tempat untuk berlindung. Mereka juga tidak menambahkan lagi dosa dengan membunuh atau membuang bayi mereka.
Perbualan mereka terganggu bila telefon Kak Riza berbunyi. Dara memberi ruang pada Kak Riza berbual dengan si pemanggil. Dia hanya menoleh setelah mendengar suara Kak Riza mengucap syukur. Raut wajahnya nampak bersinar.
“Alhamdulillah...Syukur!” Kak Riza menerpa ke arah Dara.
“Remaja tadi tak jadi nak serahkan anak. Dia sendiri akan besarkan anak tu, dan si pelaku bakal bertanggungjawab sepenuhnya.”
Entah kenapa, Dara ikut gembira. Bukankah itu sepatutnya berlaku? Setiap masalah yang melanda, pasti ada jalan penyelesaiannya. Dan remaja tadi berhak untuk hidup bahagia, dan belajar daripada kesilapan yang lalu.
Besar langkah Dara menuju ke ruangan parkir kereta. Dia diberitahu bahawa Haris sedang menunggu dia di dalam kereta. Dara tidak sabar untuk bercerita dengan Haris. Banyak yang ingin dia kongsi dan bertanyakan pada suaminya.
“Macam mana lawatan sambil belajar hari ni?”
Soalan Haris menyapa dia terlebih dahulu sebaik dia masuk ke dalam perut kereta.
“Good.” Dara sudah terkena penyakit Haris. Dia suka dengan perkataan itu.
“Do you like a kid, sayang?”
Dara menoleh. Dia tidak gugup memberi senyuman.
“Of course I am.” Jawab Dara yakin.
Senyuman Dara itu gagal bertahan lama bila Haris mengeluarkan sesuatu dari handbag miliknya. Dia diserang gugup.
Haris yang bersungguh-sungguh menyuruh dia tinggalkan handbag padanya. Dan dia lupa, ada sesuatu yang tersimpan di dalam beg tersebut. Sesuatu yang dia saja yang tahu.
“Jadi, boleh kita ketepikan pil ni?”
Dara tarik nafas dalam-dalam. Perlahan-lahan dilepas.
“Hal ini yang awak was-was nak kongsi dengan saya selama ni?”
Mata Dara mengerdip beberapa kali. Kotak putih dan wajah Haris dipandang silih ganti. Dia sudah tertangkap.
“Ya Haris...Pil perancang tu saya punya." Akui Dara tanpa selindung.
Giliran Haris pula menyedut segala udara untuk memenuhi dadanya yang sempit. Dia tahu hal ini dua hari yang lalu. Dia juga yang berpakat dengan Kak Riza bawa Dara ke sini. Dan hasil sepakatan mereka membuahkan hasil bila dia melihat sendiri raut wajah gembira Dara ketika menghampiri kereta. Cuma satu saja Haris ingin tahu dari mulut isterinya.
“Why?” Itu yang Haris nak sangat tahu. Kenapa Dara mengambil pil itu tanpa pengetahuan dia.
Share this novel