“MAK tidur sini ke malam ni?” tanya Ameena selepas memanggil suaminya masuk ke dalam bilik tidur mereka.
“Dah tu. Takkan nak suruh mak balik?” tanya Taufiq semula sambil menanggalkan baju dan seluar kerjanya.
Ameena duduk di birai katil sambil mencapai baju kotor suaminya itu dan diletakkan di dalam bakul. “Taklah. Maksud saya mak tak ada cakap ke yang nak tidur sini kat awak?”
“Tak ada. Mungkin masih merajuk dengan alang.”
Keluhannya cuba disembunyikan. Dia merasa tidak cukup selesa dengan mertuanya kerana hubungannya menjadi rengang juga adalah kerana sikap mertuanya ini.
“Awak temanlah mak kat luar. Nanti kita makan malam sama-sama,” kata Taufiq yang terus masuk ke dalam bilik mandi.
Ameena hanya mengangguk dan keluar dari bilik tidur mereka.
“Mak?” panggil Ameena mesra.
“Mak nak makan dulu ke?” tanya Ameena.
Puan Leha gelengkan kepala. Wajahya nampak runsing. “Tak seleralah.”
“Mak nak makan benda lain,” kata Puan Leha sengaja dia mahu menyusahkan menantunya ini. Bahagia sangat dia dengan Taufiq. Hari tu tengok macam dah bergaduh.
“Makan apa?” tanya Ameena sambil menanti jawapan emak mertuanya.
Puan Leha menggelengkan kepalanya sambil tersenyum. “Tak apalah. Tak nak susahkan.”
“Mak bagitahu je sekarang semua boleh order dan hantar kat depan rumah,” balas Ameena.
Puan Leha masih sepi. Dia sememangnya tidak rapat dengan menantunya yang ini. Matanya menangkap pada gelang tangan yang dipakai oleh Ameena.
“Mak?” panggil Taufiq yang baru saja keluar dari bilik dan kelihatan sangat segar.
“Mak laparlah Fiq,” adu Puan Leha sambil mengerutkan wajahnya.
“Lapar? Meen ada masak tu. Jomlah makan sekali,” ajak Taufiq dan terus menuju ke meja makan sambil memerhatikan emaknya yang masih duduk di sofa.
Ameena hanya memandang dua beranak itu dan mengisi nasi ke dalam pinggan.
“Mak nak makan sate lah. Boleh bawakkan mak pergi kedai tu?” tanya Puan Leha seperti serba salah.
Taufiq jadi serba salah. Dia memandang Ameena yang sedang meletakkan nasi ke dalam pinggan.
“Kita makan nasi dululah mak,” sambut Taufiq.
Puan Leha hanya mendiamkan dirinya.
“Pergilah. Nanti mak cakap apa pulak kan. Saya duduk rumah je. Awak temanlah mak awak tu hati tengah runsing tu,” kata Ameena dan memaniskan wajahnya.
Terus saja Taufiq mengangguk dan bangun menuju ke bilik lalu mengambil kunci. “Jom mak. Fiq tunggu kat luar. Kita pergi makan sate.”
Tersenyum terus wajah Puan Leha. Laju saja dia mencapai tudung dan menyarung ke kepalanya.
Ameena memandang pintu dan terus saja mengawal reaksinya terus saja dia tidak berselera untuk makan.
“SEDAP mak?” tanya Taufiq bila melihat bersungguh emaknya makan sate. Sudah tentu lama teringin. Kasihan dia melihat emaknya ini. Membesarkan mereka adik beradik tanpa merungut. Kini tugas mereka untuk membalas jasa emak mereka.
Ayahnya sudah lama tiada. Jadi, semuanya dipikul emaknya seorang.
“Mestilah sedap sebab mak nak makan ni. Taufiq tak nak makan ke?” tanya Puan Leha.
Taufiq menggeleng. “Meen masakkan kat rumah tu. Nanti je kat rumah Fiq makan. Sekarang ni mak makan dulu.”
Terus saja terasa pasir di mulut Puan Leha. “Meen tu masak memang sedap ke?”
“Sedap jugaklah mak untuk tekak Fiq,” balas Taufiq bersahaja.
“Kenapa Fiq bagi Meen pergi kerja? Tak cukup duit ke?” tanya Puan Leha.
“Eh, taklah. Meen yang nak kerja. Fiq bagi jelah lagipun dia mesti bosan dah duduk rumah,” kata Taufiq sambil tersenyum walau sebenarnya hal lain yang dikatakan kepada Ameena.
Puan Leha mengangguk. “Habis tu dia kerja kat mana? Mak tanya dia, tapi yalah Meen tu mana nak bercerita dengan mak. Apa yang susah sangat nak cerita pun tak tahulah.”
Taufiq senyum. “Tempat kerja lama dia. Dengan kawan-kawan dia.”
“So, lepas ni tak perlulah nak berbelanja lebih kat dia sebab dia dah kerja. Jangan bagi sampai dia pijak kepala Fiq tau. Banyak dah mak dengar isteri pijak kepala suami sebab dah berduit.” Sengaja Puan Leha ingin menasihati sebegitu.
“Taklah, mak. Meen tu macam tu je dia,” kata Taufiq mempertahakan isterinya.
Puan Leha hanya mendengus kecil. “Gelang tangan kat tangan Meen tu Fiq yang belikan ke?”
Taufiq seperti berfikir-fikir. “Ha, ya. Sebab masa tu main duit kutu kat ofis saja join budak-budak ni. Dorang bukan buat kutu duit tapi kutu emas. Seronok juga. Tu yang Meen dapat tu.”
“Hmm, cantik. Teringin juga nak pakai yang halus macam tu. Cantik,” puji Puan Leha denga nada niat yang lain.
“MONYOK je muka kau,” tegur Clara dan Yuzi mengangguk mengiakan.
“Nampak sangat ke?” tanya Ameena sambil mengeluh kecil.
Yuzi gelengkan kepalanya. “Mak mertua kau kat rumah kau lagi ke?”
Ameena mengangguk. Hari ni dah masuk hari yang ketiga. Bilalah mertuanya ini akan pulang ke rumah.
“Kau okey tak?” tanya Clara pula.
“Macam ni jelah. Aku dengan Taufiq macam tu jugaklah. Tak ada apa progress sangatlah cerita dia. Yalah nak bermanja ke nak apa ke susahlah kan,” keluh Ameena. Dia rasa sangat lega kerana sekarang ini dia sudah pun bekerja jadi dia tidak akan stress duduk di rumah.
“Apa kata kau ajak Taufiq makan malam sama-sama. Kira macam balik kerja ni kau suruh Taufiq ambil kau. Kau cakaplah kereta kau problem ke. Okey?” cadang Yuzi.
Ameena tersenyum. Yalah, sudah lama dia tidak menaiki motosikal bersama Taufiq. Mengapa tidak ya mereka seperti dulu.
“Boleh ke aku balik awal?” tanya Ameena kepada dua orang kawannya dan merangkap bos kepadanya.
Yuzi dan Clara berpandangan lalu mengangguk sambil ketawa.
Share this novel