BAB 2

Romance Series 5829

TELEFON pintar milik Dahlia bergetar di atas meja kecil di bilik sewanya. Dia baru sahaja berbaring setelah seharian kepenatan keluar mencari kerja baru. Letih tak usah cakap. Tapi, malangnya masih belum ada rezeki untuk dia mendapat kerja baru.

“Ya, ibu?” Dahlia menyapa lembut ibunya.

“Dahlia, ibu nak tanya duit untuk bayar yuran universiti Dani dah ada ke? Minggu depan dah nak daftar semester baru…” suara ibunya Puan Mawar kedengaran serba salah.

Adik lelakinya Dani belajar di sebuah universiti di utara tanah air. Memang Dani ada mendapat tajaan biasiswa. Namun, tetap tidak mencukupi untuk membayar berbagai keperluan.

Dahlia pejam kelopak matanya rapat-rapat. Hatinya bagai diramas rasa bersalah. Wang simpanan yang ada pun semakin susut. Tapi, dia tidak boleh menceritakan hal tersebut. Tidak mahu membuatkan ibu risau.

“Err… ada, ibu. Nanti Dahlia bank-in hujung minggu ni ya,” jawab Dahlia walaupun sebenarnya dompet dia tengah nazak. Tak lama lagi nak ‘arwah’ dah tu.

Selepas panggilan bersama ibu tamat, Dahlia mengeluh panjang. Lengan diletak di tengah dahi.

“Aduh, Dahlia… kerja tak ada, tapi nak jadi anak mithali kononnya. Hurm macam mana ni?”

Lantas Dahlia capai telefon pintarnya semula. Dibuka ke aplikasi mencari pekerjaan Jobstreet. Jarinya dileret di skrin melihat kalau-kalau ada jawatan kosong yang bersesuaian dengan kelulusan akademiknya.

Tiba-tiba bebola mata Dahlia bersinar saat ternampak satu iklan.

“JAWATAN KOSONG SEBAGAI PEMANDU PERIBADI KEPADA CEO DIPERLUKAN SEGERA.”

Dahlia terus membaca maklumat detil di iklan tersebut. Menjadi ‘Pembantu Peribadi’ kepada seorang CEO syarikat ternama. Wah, menarik! Dahlia teruja.

Gaji yang ditawarkan boleh tahan lumayan. Ada elaun tambahan lagi. Dan syarat yang diperlukan amat mudah. Hanya perlu memiliki lesen memandu dan boleh bekerja lebih masa. Kacang je tu!

Rasanya kelulusan Sarjana Muda Pengurusan Perniagaan yang dia miliki itu boleh kot nak memohon jawatan ini. Ah, cuba ajelah. Tak cuba tak tahu. Apa yang penting gajinya besar, bolehlah buat bayar semua hutang dan menampung perbelanjaan ibu dan adiknya.

“Ya Allah, semoga menjadi rezeki buatku…” Dahlia menadah tangan berdoa.

Dengan penuh bersemangat, Dahlia mengisi permohonan di laman sesawang tersebut tanpa berfikir panjang. Settle!

***

KEESOKAN harinya, tanpa diduga Dahlia mendapat panggilan dari sebuah syarikat yang menjemputnya untuk hadir ke sesi temuduga.

“Cik Dahlia Zalikha, sila datang ke Menara Al-Wakeel Holdings jam 10 pagi esok ya,” suara wanita di telefon memberitahu.

“Baik, puan. Terima kasih!” Dahlia menjerit kecil.

Setelah itu dia bersorak riang gembira seperti sudah berjaya dalam temuduga tersebut. Padahal belum tentu dapat.

***

JAM 10 pagi hari berikutnya, Dahlia sudah berada di lobi Menara Al-Wakeel Holdings. Bersedia untuk menghadiri sesi temuduga seperti yang diberitahu semalam.

Dengan pakaian pejabat membaluti tubuh serta solekan nipis di wajah, Dahlia melangkah kakinya dengan yakin menuju ke aras yang menempatkan bilik temuduga.

Harap-harap penemuduga nanti tak banyak tanya sangat. Jenuh dia nak ‘menggoreng’ jawapan.

“Cik Dahlia? Jemput ikut saya,” ucap wanita yang sudah menanti kehadirannya itu.

Dahlia dibawa ke sebuah bilik mesyuarat. Ada tiga orang panel temuduga semuanya. Dahlia menyerahkan fail berisi maklumat kelayakan akademiknya kepada mereka. Salah seorang lelaki berkaca mata di antara mereka membuka fail tersebut sambil mula bertanya beberapa soalan.

“Cik Dahlia, jadi awak berminat untuk posisi sebagai pemandu peribadi CEO kami?”

Dahlia tersenyum manis. Baru dia nak angguk…tapi tiba-tiba senyumannya membeku.

“Hah? Pemandu?”

Panel wanita mengangguk. “Ya, pemandu peribadi. Awak boleh memandu kereta mewah, kan?”

Dahlia ternganga. Alamak! Kejap-kejap. Dia cepat-cepat melihat semula iklan jawatan kosong yang masih disimpan di ruang galeri dalam telefon. Matanya membuntang.

‘Pemandu Peribadi CEO’.

Dia tepuk dahi.

‘Ya Allah, Dahlia! Kau ingatkan jawatan tu Pembantu Peribadi. Rupanya Pemandu? Kau ni ‘clumsy’ betullah!’ Dahlia mengutuk dirinya sendiri di dalam hati.

“Err… ya, ya puan. Saya pandai memandu. Kereta apa pun boleh. Myvi manual pun ‘licin’. Tak ada masalah,” kata Dahlia berlagak sambil menutup malu.

Panel lelaki berdeham. “CEO kami ada Rolls Royce, Bentley, Lamborghini. Awak mampu pandu?”

Err…lembu apa? Rolls apa? Aduh! Dahlia dalam hati dah nak pitam. Tapi dia terus senyum nipis nak ‘cover’ riak mukanya yang sudah tak keruan.

“Oh, kereta besar sikit je tu. Tapi, sama je semua kereta. Tekan minyak, jalan. Tekan brake, berhenti.”

Panel bertiga di hadapan Dahlia berpandangan. Mereka berbincang seketika. Terdengar sok sek sok sek suara mereka berbisik antara satu sama lain. Dahlia pula menanti penuh debar.

Seketika kemudian mereka berpaling semula ke arahnya. Dan salah seorang antara mereka menyatakan sesuatu.

“Baiklah, Cik Dahlia. Awak diterima bekerja di sini. Boleh mula bertugas sebagai Pemandu Peribadi kepada Tuan CEO kami minggu depan ya.”

Dahlia hampir terjatuh dari kerusi kerana terkejut. Tak sangka.

“Hah… saya diterima?”

“Ya. Awak diterima. Tahniah!”

Benar dia diterima. Atau dalam maksud sebenar tidak ada calon lain buat waktu ini. Dan sebetulnya juga tiada yang ingin menjadi pemandu peribadi kepada bos mereka yang amat cerewet dan egois itu!

“Err terima kasih banyak encik, puan.”

Dahlia teragak-agak mengucapkan terima kasih berserta senyuman palsu yang terukir di bibirnya. Tak tahu nak gembira atau tidak.

KELUAR dari bangunan Menara Al-Wakeel Holdings, Dahlia berjalan dengan langkah perlahan bersama mimik muka yang ‘blur’.

“Dahlia, Dahlia… kau ingat dapat kerja sebagai PA bos kaya. Rupanya jadi driver bos. Aduh. Tapi… urm pemandu pun pemandulah. Janji kau tak kebuluran hujung bulan ni. Hmm!” Dahlia berkata sendiri untuk menyedapkan hati.

Dahlia kemudian berdiri tegak sambil menggenggam tangan ke udara persis watak pemenang di dalam filem.

“Dahlia boleh! Dahlia takkan mengalah! Go-go-go Dahlia!”

Dia melaung memberi kata-kata semangat buat diri sendiri. Walau sebenarnya masih tidak tahu apa yang bakal menantinya di kemudian hari. Harap-harap semuanya akan baik-baik.

Share this novel

DHIA AMIRA.
2025-09-11 11:45:13 

ada lagi ek jobstreet?


NovelPlus Premium

The best ads free experience