“Kandungan Puan Isabella terbunuh dalam kemalangan.”
Tengku Adrian Rhys memandang pembantu peribadinya seakan tak percaya. Kopi suam di tangan hampir terlepas dan tumpah.
“Kandungan? Isabella, mengandung?” Lelaki itu seakan terpana, lalu berbisik pada diri sendiri. “Masa bila pulak aku buat anak dengan dia…?”
Wajah Khai berubah riak. Dia, agak kecewa. “Doktor maklumkan yang kandungan Puan Isabella berusia hampir dua bulan,” jelasnya lagi.
Tengku Adrian terpisat. Dua bulan? Pasti sejak malam tu…
Tangannya yang memegang cawan sedikit menggigil. “Takkanlah dengan satu malam… Aku buat dia mengandung?”
Dia yakin, pasti kerana malam itu. Malam yang baginya menjijikkan.
Tengku Adrian mengeluh dengan perlahan. Padahal, dia dah rapikan betul-betul rencana kemalangan itu. Tapi anak yang tak diketahui kewujudannya pula yang menanggung akibat. Tengku Adrian mengurut pelipisnya dengan sebelah tangan. Antara bingung dan serabut.
“Berkenaan isteri Tengku pula, Puan Isabella koma untuk tiga hari—”
“Aku tak nak tahu pasal dia. Dah, kau keluar. Tapi panggil Diane masuk.”
Tengku Adrian memberi arahan tanpa memandang Khai lagi. Berita yang diterimanya pagi itu tak berjalan macam yang dia harap. Isabella masih bernafas walaupun koma, tapi anaknya pula meninggal?
Tragis.
KETIKA melintasi wanita itu, Khai sempat berbisik. Memberi amaran. “Ingat kedudukan kau, Diane.”
…
BUNYI tumit tinggi bergema di ruangan serba mewah dan gelap, menggambarkan gelapnya hati pemilik ruangan itu. Tapi pemilik bunyi gema ini tak gentar dengan hentakan kakinya.
Diane, seorang peguam berwajah jelita dengan potongan tubuh yang sangat menggoda. Dan suaranya yang lunak merdu, memanggil nama lelaki itu.
“Adrian.”
“Kenapa kau tak cakap yang Isabella mengandung?” Tengku Adrian tak tunggu lama untuk menyembur wanita cantik itu.
“Mengandung? Tapi anak dia dah matikan?”
“Itu anak aku juga, Diane!” Tengku Adrian mengeraskan suaranya.
Nada suaranya pecah di hujung, tapi Diane anggap itu cuma sisa amarah, bukan duka.
“So what? The kid’s dead. Kau nak apa lagi? Nak suruh aku korek kubur anak kau?”
“Diane…” Lelaki itu mengetap rahang, jelas tak puas hati.
“Bukan ke itu sepatutnya khabar berita yang baik? Bila kau tak ada anak dengan Isabella, lagi senanglah kau nak ceraikan dia. Betul tak?”
Tengku Adrian terdiam sejenak. Ada betulnya kata-kata peguam wanita itu, tapi… Itu tetap anaknya. Dan bukankah bermaksud dia, pembunuh? Secara tak langsung?
“Jangan sentuh aku.” Tengku Adrian laju menepis jari halus Diane yang cuba menyentuh wajahnya. Wanita itu tersentak, tapi senyumannya kekal tak pudar.
“Dahlah tu Adrian. Biar aku uruskan selebihnya. Bila buka je mata si Isabella tu, kau akan dapatkan perceraian kau. Aku jamin.”
Tengku Adrian tidak menjawab. Hanya membisu. Wanita itu bersuara lagi, angkuh.
“Kenapa? Kau rasa kau jahat? Ya, kau memang jahat, and there’s no turning back. Tapi jangan risau, aku akan bantu.”
Dengan itu, Diane berlalu keluar daripada ruang pejabat Tengku Adrian. Meninggalkan lelaki itu tercenung sendiri.
Sementara itu di sebuah ruang unit kecemasan…
SUNYI…
Semuanya serba putih. Isabella hampir saja fikir dia dah ke alam barzakh.
‘Kenapa aku, masih hidup…’
Itu bermain dalam fikiran Isabella. Dia dah tak mampu menangis. Air mata sudah kering. Hatinya hampa, cintanya sia-sia.
Tiga tahun. Tiga tahun Isabella bodohkan diri sendiri demi mengejar cinta lelaki hati beku yang bergelar suami. Tapi jangankan cinta, senyuman pun tak ada. Sentuhan kasih sayang, jauh sekali.
Bahkan diranjang pun, mereka umpama orang asing.
…
Bauan antiseptik dan pencuci lantai, aroma biasa kawasan itu menyengat ke dalam hidung. Ada cahaya, tapi menyilaukan.
Kelopak matanya berat. Seolah-olah ada tangan ghaib menekan.
Cahaya. Suara. Bunyi mesin. Perlahan-lahan, semuanya timbul macam buih dalam air.
“Puan Isabella?”
Suara itu lembut, namun terasa asing.
“Kalau puan boleh dengar saya, cuba gerakkan jari.”
Dia tak tahu kenapa. Tapi jari dia memang rasa nak bergerak. Tak banyak. Cuma sedikit. Cukup untuk buat jururawat itu panggil nama dia berkali-kali sambil tergesa-gesa keluar dari bilik.
Isabella nak bersuara. Tapi lidah dia kering. Tekaknya perit.
Aku… kat mana?
Tangannya terbaring atas cadar. Ada tiub. Ada wayar. Jantungnya mula berdegup kencang. Tapi tak tahu kenapa.
Kemudian, dia dengar suara tapak kaki tergesa-gesa datang dari arah pintu.
Jururawat tadi masuk semula bersama seorang pegawai perubatan. “Puan Isabella. Syukur awak dah sedar.”
Pegawai itu senyum. Suara dia lembut. Tapi Isabella hanya merenung siling.
Dia nampak bibir lelaki itu bergerak. Tapi dunia sekeliling masih kabur. Kepalanya berdenyut. Badannya terasa jauh daripada dirinya sendiri.
“Saya perlu maklumkan sesuatu, puan…”
Suara itu hanya samar-samar di pendengarannya. “Waktu kemalangan berlaku, awak...”
“...awak sedang hamil, puan.”
Isabella berkelip. Sekali. Dua kali. Tak ada reaksi.
“Kandungan awak... tidak dapat diselamatkan.”
…
“Saya, mengandung?”
Jururawat itu mengangguk, perlahan. “Ya. Kandungan puan hampir mencecah dua bulan.”
Isabella hanya mampu menelan kenyataan itu.
Sebal.
Dalam kepala, tak ada gambar bayi. Tak ada nama. Tak sempat pun.
‘Dua bulan. Dan aku tak tahu pun aku bawa nyawa dalam rahim aku. Dan sekarang, nyawa itu dah tak ada…’
Dan tak lama itu, Isabella ditinggalkan sendirian lagi bersama sunyi. Satu tangan diletak perlahan di atas perut.
“Tunggu mama di syurga ya sayang…” bisiknya.
…
TOK! Tok! Tok!
Bunyi pintu ditolak perlahan. Namun Isabella tak berpaling.
Langkah kasut tumit tinggi menyentuh lantai dengan rentak yang Isabella dah biasa dengar. Teguh, tepat, dan tak pernah simpati.
“Selamat pagi, Puan Dhia Isabella.”
Isabella hanya pejam mata. Dia benci suara lunak yang hadir daripada bibir narsistik.
“Saya Diane, peguam Tengku Adrian Rhys. Saya dengar daripada Khai, yang awak dah sedar.”
Isabella pekakkan telinga.
Saya harap, awak cukup sedar untuk terima dokumen rasmi.”
Diane berdiri di hujung katil, satu fail keras di tangan. Wajahnya neutral dan profesional. Dia sudah lali menguruskan hal seperti ini.
“Tengku Adrian Rhys minta saya serahkan ini sebaik sahaja awak sedar. Ini draf tuntutan cerai.”
Isabella masih tak memberi reaksi.
“Saya tahu awak belum cukup kuat untuk berdiri, jadi saya akan ringkaskan. Dia tak nak panjangkan hal ini. Puan Isabella akan diberi pampasan yang sewajarnya. Rumah. Akaun tunai. Tiada tuntutan lanjut.”
Isabella buka mata perlahan. Pandang siling.
Tak tengok Diane. Tak tengok fail. Tak tanya ‘kenapa’.
“Kalau saya tak setuju?”
Soalan Isabella yang tiba-tiba muncul buat Diane tersentak. “A-apa?”
“Saya tanya. Kalau saya tak setuju,”
“Tengku Adrian tak minta persetujuan apa-apa. Dia cuma nak saya sampaikan–”
“Diane. Awak pergi depan muka Adrian dan cakap, nak singkirkan saya bukan sekadar beri perceraian macam pengecut.”
Diane berubah riak. Terkejut. Isabella wanita polos, naif dan pendiam, sedang mencabar Tengku Adrian? Malah memanggilnya pengecut?
“Puan Isabella… Saya,”
Isabella yang masih berbaring, namun matanya tajam mencerlung.
“Pergi! Sampaikan kata-kata saya pada Adrian, dan jangan tinggalkan walau sepatah pun. Pergi sekarang!”
Diane mendengus, lantas kakinya di bawa keluar daripada ruang itu. Dia jelas tak puas hati kerana keengganan Isabella akan merosakkan rancangannya memiliki Tengku Adrian.
“Jaga kau, Isabella…”
…
SELEPAS beberapa hari, Isabella discaj daripada hospital. Dia dijemput pulang oleh pembantu peribadi suaminya, Khai.
Sesekali, Khai mengintip pantulan wajah sayu wanita itu pada cermin belakang. Melihat Isabella, hatinya ikut pedih.
“Khai,”
“Puan?’
Isabella tersenyum pahit. “Saya nak singgah kedai tu boleh?”
Jari menunjuk ke arah sebuah kedai runcit manisan.
“Puan nak saya belikan apa-apa? Saya belanja…”
“Tak apa ke?”
“Tak apa puan. Puan tak perlu bayar…” ujar Khai lagi. Kalau perbuatan kecilnya dapat ringankan sedikit hati Isabella, tak mengapa kalau mencuba.
Isabella tersenyum nipis. “Terima kasih…”
Siap membeli manisan, mereka bergerak pulang ke rumah. Isabella disambut oleh para pembantu rumahnya.
“Tengku belum balik rumah lagi selama sejak minggu lepas. Urusan kerja katanya.”
Isabella diam. Memang dah selalu begitu, Tengku Adrian akan menghilang tanpa khabar berita dan muncul bila-bila masa yang dia nak. Tapi Isabella tak mengharap pun yang lelaki itu akan kembali.
Isabella kemudian dipapah oleh Nona, salah seorang penjaganya ke kamar tidur.
“Kalau Puan Isabella nak apa-apa, panggil saya ya. Bila-bila masa je, saya akan datang.” Nona berbasa-basi.
Isabella mengangguk. Tapi dia betul-betul tak ada tenaga untuk berbual dengan sesiapa. Dan dalam hati, dia berharap Tengku Adrian tak pulang langsung ke rumah.
Tapi jangkaannya meleset ketika hari berlabuh ke malam.
…
Isabella yang masih lemah terduduk di atas katil bersaiz raja, bantal empuk melapik belakang tubuhnya.
Di luar, hujan renyai menampar tingkap. Sesekali, bentur guruh menyahut.
“Tengok, langit pun menangisi kamu, sayang…” bisik Isabella sendiri, mengusap perutnya.
Langsir berterbangan, memaksa Isabella berjalan dengan dua kakinya yang terasa lembik. Dia menutup tingkap yang masih ternganga luas dan menghalang angin kuat daripada menerjah masuk.
…
“DIA dah balik?”
Nona mengangguk laju. Mata memaku ke lantai. “Dah Tengku. Encik Khai hantar puan ke rumah pagi tadi.”
Wajah Tengku Adrian mendung, lebih gelap daripada langit hujan malam itu. Hatinya mendidih.
“Puan ada di bilik dan sedang berehat.” sambung Nona lagi. Agak cuak kerana dapat merasai angin kemarahan yang membuak dengan kepulangan Tengku Adrian. Sesiapa dalam rumah itu pun tahu, malam ni takkan berakhir dengan baik.
Tengku Adrian mendengus. Dia berang. Lebih penting, rasa tercabar dan terhina.
“Pengecut kau kata?”
Langkahnya laju dibawa ke tangga.
“Aku kata pengecut, sebab nak minta cerai?”
Pintu mahogani merah itu diterjah tanpa salam.
Isabella yang masih berdiri, hampir melompat terkejut. Dia serta-merta dihadiahkan wajah sang suami yang menggerunkan.
“Jadi kau tak nak bercerai ya?”
Soalan yang tiba-tiba mengunci mulut Isabella.
“Kau betul-betul yakin tak nak ceraikan aku? Kau masih nak bertahan?” Tengku Adrian mara lagi. Selangkah demi selangkah.
Isabella menegakkan tubuhnya. Dia tak akan goyah di hadapan suaminya.
“Aku bukan sampah yang kau boleh buang sesuka hati.”
“Oh… Jadi kau betul-betul nekad nak kekalkan perkahwinan ni?” Mata Tengku Adrian mencerlung menikam Isabella. Tapi wanita itu tak berundur.
“Bukan kau yang tentukan haluan hidup aku.”
Tengku Adrian tersenyum. “Jangan menyesal, sebab kau baru je sia-siakan peluang kau untuk bebas…”
Isabella tersentak. Apa maksudnya…
“Aku nak ceraikan kau supaya kau boleh bebas, tapi kau menolak. Jadi, aku tunaikan permintaan kau. Mulai malam ni…”
“Jangan sentuh aku!” Isabella menepis tangan lelaki itu yang mula menjalar ke bahunya. Tapi lelaki itu lebih kuat, lebih keras, memerangkap Isabella antara tubuhnya dengan dinding.
"Kau sendiri tahu yang selama ni, aku tak ingin sentuh kau. Sebab aku jijik dengan kau," Isabella memandang ke dalam mata lelaki itu, dan dia tak nampak manusia. Tapi binatang buas.
“Memandangkan kau tetap nak jadi isteri aku, aku akan manfaatkan tubuh kau sepenuhnya… Seumur hidup kau…”
...
Share this novel