BELUM pun habis cerita perihal Yana, kerunsingan Dara semakin menjadi-jadi bila dia pulang ke rumah. Penatnya berdiri seharian pun belum hilang. Penat Dara pula kian melarat mendengar ayat-ayat belati emak.
Mengeluh panjang dibuatnya. Emak kalau bab-bab mengugut, emak tiada tandingan. Emaklah pemegang pingat emas. Jarang-jarang emak sandang gelaran pemenang pingat perak.
"Mak...Jiwa Dara sudah sebati dekat kilang tu. Dara suka kerja situ." Akui Dara.
Sudah berkali-kali Dara menolak tawaran kerja pejabat. Sengaja disembunyikan perkara itu dari pengetahuan emak. Kali ini, entah bagaimana suratnya boleh terlepas.
Padahal sudah berkali-kali Dara pesan pada Wak Posmen. Kalau surat atas namanya serahkan pada hujung minggu. Jangan sesekali serahkan pada emak. Sekarang, tembelangnya dapat dihidu.
"Jangan ingat mak tak tahu. Dara dah banyak kali terima tawaran kerja syarikat besar-besar. Tapi banyak kali juga Dara tolak."
Dara celik mata.
"Mak curi-curi masuk bilik Dara?" Tanya Dara tidak percaya.
"Kalau mak tak masuk bilik tu, sampai mati pun mak tak akan tahu."
Mengetap bibir kecil Dara. Emak sudah pandai buka cerita tentang kematian. Ini yang Dara tidak suka. Bila sebut kematian, emak akan sebut pula perihal-perihal tanggungjawab seorang anak. Kesudahannya, emak mula mengarang wasiat.
"Dara tak nak kerja-kerja pejabat. Dara dah biasa penat. Nanti kerja pejabat, Dara hanya luangkan masa dalam pejabat. Belum lagi nak biasakan diri dengan suasana baru...Kawan baru...Lagipun, tawaran Dara terima jauh-jauh pula tu." Dara pejam mata kembali. Sengaja juga mencipta alasan supaya emak berhenti mendesak.
"Mak tak sanggup tengok Dara penat macam ni, balik malam-malam. Esok kerja semula. Mak tak pernah nampak Dara ada masa dengan kawan yang lain kecuali Yana." Emak pun tidak kurang hebatnya dalam berdebat.
"Nak pergi mana mak tengah-tengah musim covid ni. Nanti Dara terima kerja tu, dibuatnya kerajaan umum lockdown lagi, Dara pula diberhentikan kerja sebab nak jimat kos yang ditanggung syarikat. Tak nak lah!" Cantas Dara. Dia bukan berniat nak kurang ajar. Itulah kehidupan sekarang. Zaman baharu yang hidup dengan penyakit.
"Mak nak Dara terima juga kerja tu. Minggu depan Dara kena laporkan diri atau mak dengan Dira akan keluar dari rumah ni." Tegas emak.
Terangkat tubuh Dara dari perbaringan.
"Mak nak tinggal mana?"
"Mak boleh tumpang rumah Makcik Ani."
Melotot sepasang mata Dara.
"Mak?!" Separuh jerit suara Dara.
"Mak tahu kan Makcik Ani tu macam mana? Nanti habis semua dia ungkit. Mak sanggup dengar ke semua cacian Makcik Ani? Dara tak sanggup!" Jatuh sepasang bahu Dara bila emaknya nekad benar.
Makcik Ani bukan boleh diharap sangat. Adik-beradik ayah semuanya sama saja. Bila tahu ayah lari meninggalkan mereka anak beranak, mulalah cerita-cerita kurang menyenangkan timbul. Emak juga yang diburuk-burukkan. Bertambah pula ayah lari meninggalkan hutang kepada kami. Semakin seronok Makcik Ani merendah-rendahkan maruah kami sekeluarga.
Mujur hutang yang ditinggal tidak cecah ratusan ribu. Emak menggadai semua emas demi melunaskan semua hutang-hutang ayah tanpa menyusahkan anak-anak. Kesudahannya, tiada lagi emas yang sering menjadi perhiasan emak. Semua selamat di tukar kepada wang ringgit.
"Dara tak setuju mak nak pergi sana!" Putus Dara setelah fikir baik buruknya. Dia menghempas tubuh kasar di atas sofa. Mata dipejam rapat.
"Dara hanya perlu setuju cadangan mak. Terima kerja tu. Atau malam ini juga mak bungkus semua baju dan pindah." Muncung emak terhala pada kertas tawaran di atas meja.
Terbuka sedikit sepasang mata Dara. Raut wajah emak di tatap. Emak sudah memaksa. Ekor mata, dia nampak emak menapak masuk ke dalam bilik dan selang beberapa minit kemudian emak muncul dengan beg di tangan bersama Dira. Sedepa muncung adiknya.
"Jangan datang jumpa mak selagi mak hidup. Tunggu berita kematian mak, baru Dara datang Rumah Makcik Ani."
Berdenyut kepala Dara. Emak kalau membuat keputusan, jarang fikir panjang. Semuanya dilanggar. Hidup mati sering dijadikan senjata menundukkan dia. Jelingan Dira pula menandakan dia yang bersalah sehingga adiknya terpaksa mengikuti emak.
"Bagi Dara masa seminggu."
Selesai Dara bersuara, telinga menangkap suara gembira emak bukan kepalang. Ugutan emak berjaya dengan cemerlang. Sekelip mata emak menghilang ke dalam bilik dengan begnya semula. Dira pula memberi jelingan paling tajam.
"Awal-awal setuju kan senang. Ni menyusahkan semua orang."
Panas pula hati Dara apabila dipersalahkan.
"Kau!?" Belum pun Dara memarahi Dira, bunyi daun pintu dihempas menyusul.
Dara merengus. Malam ini dia akan tidur di ruang tamu bersama hati yang berdongkol. Marah dia pada emak masih tersisa, bertambah pula marahnya pada Dira yang sudah pandai melawan. Dasar adik tak guna!
KEESOKAN harinya juga Dara menghantar notis berhenti kerja. Bukan main terkejut ketuanya. Bermacam-macam soalan yang perlu dia jawab. Pujian demi pujian pihak atasan umpama menjirus air di daun keladi. Dia sudah berjanji dengan emak. Jadi, dia perlu tunaikan tanpa sebarang prejudis.
Yana lah orang paling terkesan dengan keputusan mendadak dia. Seharian Yana diamkan diri. Dara pula dihimpit rasa bersalah. Walhal mereka pernah nekad untuk berkerja bersama-sama selamanya. Tetapi, Dara lah yang memusnahkan harapan mereka.
"Yana..." Tegur Dara.
Diam.
Tiada sahutan dari Yana. Bahkah, Yana sibuk melakukan tugas tanpa menoleh sedikit pun pada Dara. Yana dah berubah. Tak pernah-pernah Yana layan dia sebegini dingin.
"Mak aku kirim salam." Titip Dara. Emak berkali-kali menyampaikan salamnya, hanya Dara yang menangguh. Dan niat sebenarnya adalah mahu Yana membuka mulut. Tidak menjauhkan diri darinya.
"Aku tahu harinya akan tiba, Dara. Cuma aku tak sangka secepat ini."
Tidak jadi Dara nak melangkah. Lambat-lambat dia berpaling.
"Mak kau dah cerita pada aku. Tipulah aku tak sedih. Sebab tu aku tak cakap dengan kau. Aku nak biasakan diri tanpa kau."
Sempit dada Dara.
Sempat dia melihat jari Yana naik menyeka hujung mata, sebelum Yana berpusing padanya sambil melemparkan senyuman cukup lebar. Tapi Yana tidak dapat menyembunyikan kesedihan di matanya. Dara nampak semua itu.
"Janji kau jangan lupakan aku dekat sini."
Laju Dara mengangguk kepala. Mana mungkin dia dapat melupakan Yana yang riuh. Yana yang ada ketika dia susah. Yana yang menjadi panel juri ketika dia mahu berkawan dengan mana-mana kawan lelaki. Yana lah segala-galanya.
GENAP seminggu, Dara munculkan diri di syarikat yang emak sungguh-sungguh mahu dia kerja. Sesampai saja di sini, tidak senang duduk Dara dibuatnya. Entah berapa kali dia mengerling jam yang melilit dipergelangan tangan.
Setiap kali mata bertembung dengan wanita hampir sebaya dengannya, dapat Dara rasakan senyuman dia hambar. Bahkan tampak kekok.
Dada Dara rasa ingin pecah apabila terdengar telefon berbunyi. Gadis tadi segera mengangkat. Sempat Dara curi-curi lihat wanita itu. Entah apa yang dikatakannya, Dara tidak dengar. Tumpuan Dara beralih bila wanita itu sesudah menamatkan perbualan. Dia tidak mahu tertangkap curi-curi dengar.
"Cik Dara."
Tegak tubuh Dara bila nama dia disebut. Debaran dia kian menggila.
"Ya."
"Tuan Habib nak jumpa."
Peluh renik Dara mula timbul. Sempat dia seka anak rambut yang terjuntai di dahi. Telapak tangan dia juga terasa basah. Tidak tahu kenapa dia segugup ini.
Dara berdiri tegak di depan pintu. Lambat-lambat buku lima dia singgah di pintu bilik Tuan Habib. Selaku CEO Syarikat Rezeki Holding. Dua kali Dara meneguk liur. Dia masuk setelah mendengar suara dari dalam.
Terbata langkah Dara. Bukan sepasang mata yang tertumpu kepada dia. Tetapi tiga! Ada dua orang lelaki dan seorang perempuan yang sedang menunggu dia.
"Duduklah." Pelawa lelaki separuh abad.
Dara jadi kekok bila dia dipelawa duduk di ruangan tetamu. Apalagi, setiap langkah dia menjadi tumpuan mereka semua.
"Jangan malu-malu...Duduk."
Dara patuh. Disebelah lelaki itu, ada perempuan muda yang meneliti dia dari atas ke bawah. Rasanya, tiada yang pelik. Dara memilih baju kurung moden mengikut potongan badan, rambutnya pula di biar lepas paras bahu.
Sedang Dara sibuk menilai mereka satu persatu. Baru dia sedar sesuatu dari ekor mata. Disebelah kanan, ada sepasang mata yang turut memandang ke arahnya. Renungannya sarat dengan rasa tidak berpuas hati.
Tuan Habib berdehem. Memecahkan rasa canggung dan sepi. Dia sedar akan ketidakselesaan Dara.
"Apa yang membuatkan Cik Dara berubah fikiran?"
"Sorry?!" Dara seperti baru bangun dari tidur. Terkejut dengar soalan Tuan habib.
"Oh, ya. Saya tahu. Saya lambat seminggu untuk lapor diri. Saya minta maaf." Itulah pertama kesalahan Dara.
Disebabkan emak yang beria-ia nak Dara kerja pejabat, terpaksalah dia menelefon syarikat tersebut bagi menyampaikan persetujuan dia menerima tawaran mereka. Bukan main terkejut dia apabila mendengar tarikh sepatutnya mulakan kerja sudah pun terlepas. Kecewa Dara semakin melarat apabila jawatan yang dipinta telah pun terisi dengan orang lain yang baru memulakan kerja semalam.
Tapi Allah itu sebaik-baik perancang. Lewat petang semalam dia menerima panggilan untuk hadir pada hari ini bertemu dengan CEO syarikat.
"Pihak kami ada menunggu maklum balas dari Cik Dara. Mungkin Cik Dara tidak berminat, jadi...Kami telah pun memanggil orang lain untuk menggantikan tempat Cik Dara." Wanita muda itu bersuara pula.
"Saya minta maaf." Pinta Dara lagi. Wajarlah kesalahan itu diletakkan atas bahunya.
"Tapi saya perlukan seminggu untuk berhenti kerja di tempat lama. Barulah saya dapat laporkan diri di tempat baru." Dara tetap mahu memberi penjelasan walaupun sudah terlambat.
Dara perasan, wanita itu dan Tuan Habib saling berpandangan.
"Saya faham. Mungkin bukan rezeki saya di sini. Apa pun, saya ucapkan kasih atas tawaran Tuan." Dara berura-ura untuk pergi. Dia tidak mahu menaruh sebarang harapan. Dan dia juga tidak perlukan simpati mereka. Mungkin dia boleh mencuba nasib di tempat lain.
Tentang emak, pandai-pandailah Dara memujuk nanti. Rajuk emak tak akan lama. Percayalah.
"Nanti!" Tegah wanita itu.
Tak jadi Dara bangkit. Dia duduk semula.
"Kalau Dara tak kisah, saya nak tawarkan kerja di bahagian lain. Under saya." Wanita muda itu membuat tawaran mengejut.
Dara pandang dia tidak berkedip.
"Atiya...Anak perempuan sulung saya. Dia yang nak sangat Dara bekerja bawah dia. Kebetulan ada satu kekosong jawatan di unit kewangan." Secara tidak langsung Tuan Habib memperkenalkan wanita yang murah dengan senyuman. Dia dapat rasakan Dara tertanya-tanya apa hubungan mereka berdua.
"Tapi..." Dara ingin bantah. Kelayakkan dia, bukanlah dalam bidang kewangan. Dia lebih sesuai di unit pentadbiran.
"I know! Tapi awak boleh belajar. Saya sendiri boleh ajar awak...Itu pun kalau awak sanggup nak belajar." Potong Atiya. Tahu apa yang mahu dikatakan Dara.
Dara hampir menitiskan air mata. Berkali-kali dia mengucap syukur apabila diterima berkerja di sini. Jika tidak, dia sendiri tidak tahu bagaimana mahu berhadapan dengan kekecewaan emak.
"Terima kasih!" Dek rasa gembira yang meraja, tiada apa yang mampu Dara ucapkan selain dua perkataan tersebut.
Tanpa sengaja, dia menoleh ke kanan. Dara salah caturan. Tadi dia nekad untuk tidak menoleh. Sekarang, mata dia bersabung dengan mata helang tersebut. Cepat-cepat Dara melarikan pandangan.
Dia siapa?
Oh, ya!
Dari cara pemakaian lelaki itu, Dara menebak dia mungkin pemandu Cik Atiya. Padanlah lelaki itu dari tadi lebih kepada memerhati daripada bersuara.
Cuma, renungan lelaki itu lain semacam. Seolah -olah ada melakukan jenayah berat. Jenayah yang tiada pengampunannya lagi. Hanya menunggu masa gantung sampai mati!
Share this novel